Anda di halaman 1dari 20

1 1.

0 Pengenalan

Konsep modal insan mula diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Modal insan merupakan satu konsep yang diperkenalkan bagi membangunkan masyarakat di Malaysia supaya lebih berdaya saing dan berbakti kepada negara. Modal boleh dikatakan sebagai sumber atau punca untuk mendapatkan sesuatu yang diharapkan. Insan pula merujuk kepada manusia yang hidup di muka bumi ini. Jadi, modal insan ialah sumber yang perlu ada pada seseorang manusia untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Memetik kata-kata Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai modal insan;

Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan. Kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen. Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.

YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perutusan Hari Pekerja, 1 Mei 2006)

Walaupun konsep modal insan masih baru di Malaysia, namun penghayatan tentangnya semakin tinggi. Setiap masyarakat mulai sedar akan kepentingan untuk mendapatkan nilai modal insan dalam mempertingkatkan kemampuan diri. Hal ini turut disedari oleh para penulis tanah air yang tidak pernah lupa untuk memasukkan elemen yang dapat membangunkan sesuatu modal insan dalam setiap individu yang membaca karyanya.

2.0

Modal Insan dalam kesusasteraan Melayu

Menurut Kamarudin Hj Husin( 1988:1), kesusasteraan ialah satu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Daripada huraian yang diberi oleh Kamarudin Hj Husin tersebut, dapatlah dikatakan bahawa penulis menggunakan karya yang dihasilkan untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Pembinaan modal insan boleh diterapkan melalui karya yang dihasilkan oleh penulis kerana dengan karya yang dihasilkan, mereka boleh menggambarkan watak sebagai seorang yang berimej positif. Dengan gambaran watak yang positif dan baik tersebut, pembaca akan terkesan dengan pembacaannya seterusnya dapat menerapkan nilai modal insan dalam dirinya. Walaupun di Malaysia terdapat pelbagai karya yang dipasarkan, namun penulis yang baik akan cuba memasukkan unsur yang baik dalam karya mereka bagi membangunkan modal insan dalam diri seseorang itu. Seperti dalam novel Wajah Seorang Wanita, karya S.Othman Kelantan itu, beliau banyak menerapkan nilai-nilai yang terpuji dalam penceritaannya bagi menyedarkan pembaca seterusnya menjadikan karyanya satu karya yang bukan sahaja sekadar untuk dibaca tetapi juga mendidik. Di samping itu, modal insan turut diterapkan dalam pengajian Kesusateraan Melayu. Hal ini demikian kerana, dengan pembelajaran tentang konsep modal insan dan segala kandungan yang ada dalam modal insan akan menyedarkan pelajar tentang kepentingan membangunkan modal insan dalam diri setiap individu. Pembelajaran mengenai modal insan akan menjadikan pelajar lebih menghayati pengertian sebenar modal insan dan akan menjadikannya sebagai panduan dalam hidup.

3 3.0 Analisis Unsur-unsur Modal Insan dalam Novel Wajah Seorang Wanita, karya S.Othman Kelantan Novel Wajah Seorang Wanita mengisahkan tentang seorang wanita yang berasal dari golongan keluarga yang baik-baik. Watak utama dalam cerita ini ialah Siti Musalmah. Beliau merupakan seorang wanita yang sedari kecil memiliki pekerti yang mulia dan tidak pernah mendekati kemungkaran. Penceritaannya adalah bermula dari zaman remaja Siti Musalmah sehingga beliau mempunyai cucu. Dalam tempoh tersebut, beliau melalui pelbagai ujian yang getir seperti kehilangan ayah tersayang, kehilangan suami dan anak. Namun, beliau tetap cekal dalam menghadapi kehidupan. Kecekalan beliau berterusan apabila tiba Zaman Pendudukan Jepun di negara kita.Sememangnya beliau tidak dapat dinafikan memiliki kecekalan dan semangat yang tinggi. Menerusi nilai yang ada dalam diri Siti Musalmah ini, penulis dapat memupuk nilai yang baik seterusnya membangunkan pencapaian diri seseorang. Hal ini demikian kerana, lazimnya kekuatan tulisan adalah lebih tajam berbanding mata pedang. Jadi, daripada perumpamaan tersebut, tulisan akan lebih mempengaruhi seseorang berbanding dengan penggunaan medium lain. Justeru itu, novel ini boleh dilihat sebagai satu novel yang dapat meningkatkan dan membangunkan modal insan dalam diri seseorang. Sesungguhnya, modal insan boleh dipupuk sekiranya menggunakan cara yang betul dan mengikut saluran yang betul. Terdapat beberapa ciri-ciri yang dapat membangunkan modal insan dalam novel Wajah Seorang Wanita ini. 3.1 Ketaatan terhadap orang yang lebih tua

Dalam novel Wajah Seorang Wanita karya S.Othman Kelantan, watak utama adalah Siti Musalmah. Beliau merupakan seorang wanita Kelantan yang sangat tinggi pekertinya. Beliau merupakan anak kepada Haji Nik Abdullah dan Sufiah. Ciri modal insan yang

4 dipaparkan dalam diri Siti Musalmah adalah ketaatannya terhadap orang yang lebih tua. Ketaatan kepada orang yang tua dilihat sebagai ciri modal insan kerana dengan ketaatan kepada orang yang lebih tua, kita akan lebih menghormati orang lain dan akan hadir perasaan tolak ansur dalam diri. Ciri positif ini akan dapat membentuk individu menjadi lebih bertanggungjawab kepada masyarakatnya. Ketaatan kepada orang tua ditonjolkan begitu jelas oleh Siti Musalmah dalam petikan di bawah; Dengan tiba-tiba Siti Musalmah berasa dia sudah diikat dengan tali yang kukuh dan dia tidak dapat bergerak sedikit pun. Dia tidak mungkin bersuara dalam segala apa masalah pun. Dia tidak boleh menolak penerimaan ayahnya terhadap sepupunya itu. Selama ini pun, dia tidak pernah mengatakan tidak mahu kepada Omar. Tetapi dia pun tidak pernah pula mengatakan mahu kepada Omar (Muka surat 70-71)

Melalui petikan tersebut, Siti Musalmah tidak membantah apatah lagi memberontak apabila ayahnya memutuskan untuk menikahkannya dengan Omar. Walaupun Omar merupakan sepupu Siti Musalmah dan mereka saling mengenali sejak dari kecil, namun beliau menerima pinangan Omar. Hal ini demikian kerana, beliau amat mempercayai kedua ibu bapanya kerana baginya keputusan yang dibuat oleh ibu bapa merupakan keputusan yang terbaik. Selain daripada contoh itu, Siti Musalmah juga dikatakan sebagai seorang anak yang taat adalah kerana beliau tidak langsung membangkang apabila ayahnya mengajak mereka sekeluarga berpindah ke tempat

5 yang lebih jauh iaitu di desa sedangkan mereka sudah lama tinggal di Bandar. Hal ini dapat dibuktikan dengan teks di bawah; Mah nak ikut ayah. Ke mana ayah pergi, Mah tidak kisah. Adikadik juga hendak ikut ayah. Kalau tumpang duduk rumah Mak Nik Mah pun, Mah tak kisah. Kalau ayah suka. Kalau ayah suka adikadik pun suka. Bila ayah nak pindah?... (Muka surat 46-47)

Ciri taat yang ada pada diri Siti Musalmah mampu mendidik adik-adiknya supaya turut taat kepada orang yang lebih tua. Hal ini demikian kerana Siti Musalmah merupakan anak yang sulung dan apabila adik-adiknya melihat sikap taatnya itu, mereka secara tidak langsung akan mengikut jejak langkah kakak mereka dan ini menunjukkan bahawa ciri taat yang ada pada diri Siti Musalmah mampu

membangunkan sikap yang positif terhadap orang sekeliling. Ternyata, sikap taat merupakan salah satu ciri modal insan yang perlu ada pada setiap individu.

3.1.1

Kepentingan Ketaatan dalam membangunkan Modal Insan masyarakat dan organisasi

Ketaatan merupakan satu elemen yang cukup penting dalam sesebuah masyarakat atau sesebuah organisasi itu. Hal ini demikian kerana, sekiranya sikap taat ini wujud dalam diri setiap individu, sesebuah masyarakat atau organisasi itu akan dapat melaksanakan segala perancangan tanpa sebarang kerumitan. Sebagai contoh, seorang majikan akan memberikan arahan kepada orang bawahannya untuk menjalankan sesuatu projek atau

6 kerja. Sebagai pekerja yang taat, sudah semestinya pekerja itu akan melakukan pekerjaan yang disuruh oleh majikannya tanpa banyak kerenah dan melakukannya dengan penuh dedikasi. Namun, sekiranya sikap taat kepada ketua atau orang yang lebih tua ini tiada, maka ini akan merumitkan keadaan kerana segala kerja tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Ternyata sikap taat kepada orang atasan akan menjadikan seseorang itu lebih berdedikasi dan disayangi ketua atau majikannya.

3.2

Berpegang kepada ajaran agama

Agama merupakan panduan dalam hidup setiap individu. Agama menjadikan kita mempunyai pegangan kita dan menghalang kita daripada melanggar norma kehidupan. Berpegang kepada ajaran agama merupakan ciri yang ada dalam membentuk insan. Dengan bermodalkan pegangan agama, seseorang itu akan dapat mengelakkan dirinya daripada melakukan perbuatan yang salah dan mendorong seseorang untuk selalu membuat kebaikan dan kebajikan. Dalam novel Wajah Seorang Wanita, Siti Musalmah merupakan seorang wanita yang sangat berpegang teguh kepada ajaran agama. Hal ini demikian kerana, beliau merupakan anak kepada Nik Abdullah, seorang mufti. Keluarga beliau amat menitik beratkan pengetahuan agama dan penghayatan yang kuat terhadap agama dalam hidup. Oleh kerana beliau sudah terdidik dengan ajaran agama yang kuat sejak dari kecil, maka beliau amat menjaga kelakuan dan sentiasa mengamalkan segala yang dituntut oleh agama. Sebagai contoh, beliau sering bersembahyang berjemaah bersama keluarganya dan akan membaca Al-Quran, usai sembahyang. Hal ini menunjukkan bahawa penulis cuba untuk mendidik pembaca agar lebih mendalami agama dan tidak berpaling kepada ajaran agama yang sebenar.

7 Dengan menerapkan ciri modal insan iaitu berpegang teguh kepada agama, maka penulis dapat mendidik pembaca secara halus. Walaupun dengan hanya menggunakan watak seorang perempuan, namun hasil karangannya dapat

melembutkan hati pembaca dan seterusnya menghayatinya. Ciri berpegang teguh kepada agama ini adalah merupakan modal insan kerana dengan pegangan yang teguh terhadap agama, seseorang itu akan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang kejahatan dan masyarakat akan menjadi harmoni kerana masing-masing memiliki pengetahuan yang tinggi terhadap agama.

3.2.1

Kepentingan Berpegang kepada ajaran agama dalam membangunkan Modal Insan sesebuah organisasi

Setiap agama memiliki peraturan-peraturan tertentu yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan mereka. Setiap agama mengajak penganutnya supaya melakukan amalan yang baik. Sebagaimana dalam agama islam, setiap individu mestilah membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Pegangan agama yang kuat boleh menjadikan individu itu lebih menghayati agama yang mereka anuti dan akan berusaha menyempurnakan semua perkara yang dituntut dalam agama. Apabila seseorang itu sudah memiliki pegangan agama yang kuat, seseorang itu akan berusaha melakukan pekerjaan yang diberi oleh majikannya dengan penuh rasa tanggungjawab. Tambahan pula, jika seseorang itu memegang tanggungjawab yang besar, dia akan berusaha untuk menjaga amanah yang diberikan kepadanya. Hal ini dapat menunjukkan ciri modal insan kerana apabila semua pekerja menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi, maka proses perkembangan syarikat akan menjadi lancar dan dapat meningkatkan keuntungan

8 dalam sesebuah orgnaisasi tersebut. Sikap yang baik itu juga akan diteladani oleh semua pekerja lain dan mewujudkan masyarakat yang berdaya saing.

3.3

Mahir dalam menggunakan sumber untuk kesejahteraan hidup

Dalam novel Wajah Seorang Wanita, Siti Musalmah digambarkan sebagai seorang wanita yang pandai menggunakan sumber yang adal di sekelilingnya untuk dijadikan sumber pendapatan. Beliau sekeluarga mengusahakan sebuah Kilang Kayu. Pada awalnya, kilang kayu itu diuruskan oleh suaminya, namun setelah suaminya telah meninggal dunia, beliau yang menjalankan semua tugas yang ditinggalkan oleh arwah suaminya. Mahir dalam menggunakan sumber merupakan sesuatu yang berkaitan dengan modal insan. Hal ini demikian kerana, apabila seseorang itu mahir dalam menggunakan sumber untuk kesejahteraan hidupnya, dia tidak akan melakukan perbuatan mungkar seperti mencuri atau melakukan kesalahan jenayah semata-mata untuk wang. Mahir dalam menggunakan sumber merupakan unsur yang penting dalam membangunkan modal insan. Hal ini demikian kerana, apabila seseorang itu pandai dalam menggunakan sumber yang ada, dia akan menjadikan orang lain akan berasa disaingi, dan mereka akan cuba untuk mempertingkatkan diri mereka. Penulis ternyata memasukkan unsur modal insan dalam karyanya ini. Siti Musalmah merupakan seorang yang benar-benar mahir dalam menggunakan sumber yang ada. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan berikut; dalam perkembangan ini, Siti Musalmah telah menceburkan dirnya dalam kegiatan ekonomi itu. Dia bukan sahaja menguruskan kilang kayu

9 yang ditinggalkan oleh gemulah suaminya, tetapi juga menjalankan kegiatan memasarkan barangan keperluan rumah tangga seperti yang telah dilakukan sebelum kematian suaminya. Bezanya sekarang, untuk ke Terengganu Siti Musalmah tidak sekerap dulu. Dia banyak berurusan di rumah kerana sibuk menguruskan perniagaan kayunya yang memerlukan tumpuan yang sungguh-sungguh.

( Muka surat 184) Petikan tersebut dapat menggambarkan bahawa Siti Musalmah seorang yang pandai menggunakan sumber yang ada di sekelilingnya. Beliau begitu pandai menguruskan perniagaan yang dimiliki keluarganya demi menyara ahli keluarganya. Walaupun tanggungjawab yang dipegangnya itu cukup besar, namun itu tidak menjadikan Siti Musalmah gentar, malah semakin bersemangat untuk menjalankan perniagaan yang ditinggalkan oleh suaminya itu. Melalui unsur modal insan yang terdapat dalam karya ini iaitu mahir menggunakan sumber yang ada, penulis dapat menerapkan kesedaran dalam diri pembaca. Pembaca akan bermotivasi tinggi untuk melakukan hal yang sama dengan watak dalam cerita. Selain itu, oleh kerana Siti Musalmah memiliki unsur modal insan iaitu mahir dalam menggunakan sumber, beliau akan mendorong orang di sekeliling beliau untuk turut berusaha menggunakan sumber yang ada sehingga menghasilkan keuntungan. Mahir menggunakan sumber merupakan satu keistimewaan yang mampu memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana, apabila seseorang itu mahir dalam menggunakan sumber, dia akan dapat menghasilkan

10 produk yang baharu dan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara. Oleh itu, watak Siti Musalmah yang mahir menggunakan sumber begitu baik digarap oleh penulis untuk memberikan manfaat kepada para pembacanya.

3.3.1

Kepentingan Mahir menggunakan Sumber dalam sesebuah Organisasi

Bersesuaian dengan konsep modal insan yang mementingkan pencapaian bagi seseorang, ternyata mahir menggunakan sumber merupakan satu aset yang bernilai bagi seseorang itu. Seseorang yang bijak menggunakan sumber yang ada di sekelilingnya akan beroleh satu kemenangan besar dan memberikan manfaat yang banyak kepada negara.

Dalam

sesebuah

organisasi,

seseorang

itu

perlu

mahir

dalam

menggunakan sumber yang ada di sekelilingnya. Sebagai contoh, seseorang itu memiliki kepakaran dalam bidang multimedia, dan terdapat satu projek yang memerlukan kepakarannya itu. Jadi, dia perlu menggunakan ilmu yang ada padanya bagi memberikan kebaikan kepada seluruh organisasinya. Kelebihan yang dimiliki oleh seseorang itu wajar dikongsi oleh setiap anggota dalam organisasinya dan tidak hanya dimanfaatkan oleh individu itu sahaja.

Sesungguhnya bakat atau kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang apabila dikumpulkan akan memberikan keuntungan dan pencapaian berganda kepada sesebuah organisasi tersebut. Begitu juga halnya dengan guru. Apabila seorang guru itu bijak menggunakan sumber yang ada di sekelilingnya dan itu akan memberikan kebaikan kepada seluruh organisasi sesebuah sekolah itu.

11

3.4

Keberanian menegakkan kebenaran

Dalam novel Wajah Seorang Wanita, Siti Musalmah digambarkan sebagai seorang wanita yang begitu berani menegakkan kebenaran. Pelbagai peristiwa yang dapat membuktikan bahawa beliau merupakan seorang wanita yang sangat berani. Namun, terdapat satu peristiwa yang benar-benar membuktikan keberanian Siti Musalmah. Kejadian ini berlaku apabila Siti Musalmah mengadakan majlis mencukur jambul cucunya yang dihadiri oleh ramai orang. Kehadiran orang yang begitu ramai menyebabkan Jepun mengesyaki bahawa mereka ingin mengadakan perjumpaan untuk menjatuhkan dan menentang pihak Jepun. Namun, dengan keberanian Siti Musalmah dan pertolongan daripada Encik Suzuki, tiada seorang pun yang dicederakan. Keberanian Siti Musalmah dapat dilihat melalui petikan ini; entah dengan kekuatan dan keberanian apa Siti Musalmah segera menampilkan dirinya di pintu yang terbuka luas itu. Siti Musalmah berada di tengah-tengahnya. Seorang askar Jepun cuba untuk menerjah masuk setelah naik ke atas jemuran kecil itu. Tetapi Siti Musalmah menahannya dengan tangannya. Siti Musalmah menghalang di tengah-tengah pintu ( muka surat 272-273) Dengan petikan di atas, ternyata Siti Musalmah begitu berani mempertahankan kebenaran walaupun dirinya hampir dibunuh oleh tentera Jepun. Beliau begitu berani menahan tentera Jepun itu daripada masuk ke dalam rumahnya dan menghalang tentera Jepun itu menggunakan tangannya. Beliau juga tawakal dengan keadaan itu di

12 mana beliau langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya, tetapi beliau lebih memikirkan keselamatan para tetamu dan sanak-saudara yang hadir pada hari cukur cucunya itu. Beliau bersungguh-sungguh cuba menjelaskan kepada tentera Jepun tentang kebenaran yang sebenarnya. Daripada watak Siti Musalmah itu, penulis cuba untuk menyampaikan pengajaran kepada para pembaca supaya sentiasa berani menegakkan kebenaran. Adakalanya orang akan menipu dan tidak berkata benar sekiranya diugut untuk dibunuh atau sebagainya. Namun di sini, keberanian yang dimiliki oleh Siti Musalmah boleh menjadi unsur modal insan. Hal ini demikian kerana, aset keberanian yang dimilikinya dapat menyelamatkan ramai orang. Begitu juga halnya dengan seseorang yang bekerja dalam sesebuah organisasi. Dia akan sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang kadangkala memerlukan keberanian untuk mengatasinya. Dalam sesebuah organisasi kadangkala akan terjadinya kes rasuah. Sekiranya, kita bersikap jujur dan berani menegakkan kebenaran, kita akan berani mengambil risiko mengadukan hal yang sebenarnya kepada Badan Pencegah Rasuah. Cara ini akan membuatkan orang ramai sedar akan keburukan rasuah dan akan cuba mengelakkan diri daripada rasuah. Adakalanya seseorang itu takut untuk berkata benar yang dapat menegakkan kebenaran kerana risau akan dibuang kerja oleh majikannya. Namun, sebagai orang yang memiliki modal insan yang tinggi, kita sewajarnya mengetepikan hal itu dan bersedia untuk menghadapi sebarang risiko. 3.4.1 Kepentingan Berani menegakkan kebenaran dalam sesebuah organisasi

Keberanian merupakan satu unsur modal insan yang dapat membangunkan masyarakat. Hal ini demikian kerana, dengan keberanian yang ada pada individu, akan

13 menjadikan seseorang itu berani mencuba hingga berjaya mendapatkan hasil yang luar biasa. Lazimnya, orang yang takut mengambil risiko akan mendapat kejayaan yang minima berbanding dengan orang yang berani mengambil risiko.

Dalam sesebuah organisasi, setiap orang perlu memiliki keberanian untuk menegakkan kebenaran. Hal ini demikian kerana, dalam sesebuah organisasi akan terjadinya penipuan dan penyalahgunaan kemudahan yang diberikan oleh sesuatu organisasi tersebut. Jadi, sebagai seorang yang memiliki modal insan yang tinggi, seharusnya lebih berani untuk membongkarkan kekhilafan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam organisasi termasuklah orang atasan.

Apabila setiap individu berusaha untuk bersikap berani dalam menjalankan tugas mereka, maka perjalanan dalam sesuatu organisasi itu akan menjadi lebih mudah dan lancar. Hal ini demikian kerana, unsur keberanian ini mampu memberi manfaat kepada orang lain dan seluruh organisasi. Dengan keberanian juga, pelbagai perkara baru daapt diterokai. Oleh itu, unsur berani menegakkan kebenaran juga merupakan salah satu elemen yang dapat membangunkan modal insan.

3.5

Berpandangan Jauh

Dalam novel Wajah Seorang Wanita ini, Siti Musalmah juga digambarkan sebagai seorang wanita yang bijak dan berpandangan jauh. Beliau begitu bijak dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak mengambil keputusan secara terburu-terburu. Beliau akan berfikir baik dan buruk sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Pandangan jauh beliau ini menjadikan beliau seorang yang berjaya dan tidak mudah ditindas. Berpandangan jauh juga merupakan unsur yang dapat membangunkan modal insan. Hal ini demikian

14 kerana, seseorang yang berpandangan jauh akan mudah beroleh kejayaan kerana tidak terburu-buru dalam sesuatu hal. Dalam novel ini, Siti Musalmah berpandangan jauh iaitu apabila beliau terlebih dahulu menyimpan semua wangnya di tempat yang tidak akan ditemui oleh orang. Beliau sudah memikirkan kemungkinan bahawa beliau akan menghadapi kesusahan pada masa depan, dan membuatkan beliau tidak teragak-agak untuk menyimpan dahulu wang itu sebelum sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Petikan di bawah menggambarkan beliau ternyata seorang yang berfikiran jauh; Yang dirasakan lega, dia sudah menyelamatkan sedikit sebanyak wang tunia. Dia telah menyembunyikannya di satu tempat yang tidak mungkin ditemui dan tidak mungkin akan hilang walaupun rumahnya itu terbakar. Dia telah menanamkannya di satu tempat setelah dimasukkannya ke dalam sebuah guni kecil. Sebenarnya wang itu telah lama ditanamkannya sebelum lagi kegemparan serangan Jepun berlaku ( muka surat 250-251) Daripada petikan di atas, dapatlah dikatakan bahawa Siti Musalmah merupakan seorang yang sangat berpandangan jauh. Beliau sudah bersedia lebih awal walaupun beliau tidak tahu Jepun akan datang ke Tanah Melayu. Namun, berkat kelebihan dirinya yang berpandangan jauh itu membuatkan beliau tidak mensia-siakan sahaja duit yang dimiliki malah dapat digunakan oleh seluruh ahli keluarganya. Seseorang yang berpandangan jauh akan sentiasa mendapat kejayaan dalam hidupnya dan tidak akan begitu mudah ditimpa masalah. Berpandangan jauh adalah merupakan unsur modal insan kerana sekiranya seseorang itu memiliki pandangan yang

15 jauh terhadap sesebuah perkara, dia akan berjaya memperoleh sesuatu pencapaian. Selain itu, orang yang berada di sekitarnya akan menghormati orang yang berpandangan jauh itu. Seorang pemimpin yang berpandangan jauh juga mampu menjadikan negara lebih berjaya dan dikenali di mata dunia. Pemimpin yang berpandangan jauh adalah Tun Dr. Mahathir. Beliau merupakan seorang pemimpin yang benar-benar berpandangan jauh kerana semasa kejatuhan ekonomi yang begitu teruk pada tahun 1997 dahulu, beliau berpandangan jauh dengan menolak untuk meminjam daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Hal ini demikian, sekiranya pada ketika itu Tun Dr. Mahathir meminjam wang daripada IMF, mata wang kita akan mengalami kejatuhan yang sangat teruk dan negara kita akan menjadi seperti negara Indonesia, India, dan beberapa lagi negara lain. Ternyata, pandangan yang jauh terhadap sesuatu perkara, dapat mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku. Daripada novel Wajah Seorang Wanita itu, ternyata penulisnya begitu mementingkan unsur-unsur modal insan yang dapat meningkatkan pencapaian bagi setiap individu. Beliau banyak memasukkan elemen modal insan dalam karya beliau ini bagi memberi pendidikan kepada pembacanya dan memberi kesedaran kepada para pembaca. 3.5.1 Kepentingan Berpandangan Jauh dalam sesebuah organisasi

Bagi menjadikan sesebuah organisasi itu boleh berkembang dengan lancar dan tiada masalah, pelbagai aspek perlu dititikberatkan. Antaranya, sikap setiap anggota sesebuah organisasi itu. Hal ini demikian kerana, setiap orang dalam sesebuah organisasi memainkan peranan bagi meningkatkan atau menjatuhkan sesebuah organisasi tersebut. Modal insan perlu diterap ke dalam setiap individu dalam sesebuah organisasi bagi menjadikan kelancaran dalam setiap perkara.

16

Sebagai seorang yang berfungsi sebagai penggerak dalam sesebuah organisasi, seseorang itu perlulah sentiasa berpandangan jauh dalam menjalankan setiap tugasnya. Hal ini demikian kerana, apabila seseorang itu tidak berfikiran pendek dalam membuat sesuatu keputusan, maka keputusan yang dicapai adalah lebih baik berbanding keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

Oleh itu, unsur berpandangan jauh sememangnya dapat meningkatkan keupayaan bagi seseorang itu. Hal ini demikian kerana, dengan pemikiran yang lebih jauh, kita dapat membuat persediaan dari awal sebelum sesuatu yang tidak baik berlaku. Oleh itu, pemikiran yang jauh mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam sesebuah organisasi itu.

3.6

Berbudi Bahasa

Orang Melayu memang terkenal dengan budi bahasanya. Hal ini demikian kerana, orang Melayu sedari kecil sudah diajar untuk berbudi bahasa dan diajar dengan pelbagai adat. Berbudi bahasa merupakan satu unsur modal insan yang dapat

memberikan kebaikan yang amat besar. Seseorang yang berbudi bahasa akan sentiasa disayangi dan akan disanjung oleh orang lain. Seseorang yang santun tutur katanya juga akan menjadikan orang menjadi selesa dengannya dan turut memberi kebaikan kepada negara iaitu apabila kita berbudi bahasa dengan pelancong, mereka akan berasa dihargai dan akan datang lagi berkunjung ke negara kita seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Dalam novel Wajah Seorang Wanita, Siti Musalmah merupakan perempuan Melayu yang cukup menjaga adab dan tutur katanya. Beliau sentiasa berlembut kata

17 dengan setiap orang yang bertutur dengannya. Beliau begitu menjaga perilakunya sebagai wanita islam dan tidak sesekali meninggikan suaranya kepada orang lain. Ciri ini merupakan unsur modal insan kerana mampu menjadikan seseorang itu menjadi lebih baik dan berbudi pekerti seterusnya mewujudkan suasana aman dalam sesebuah negara. Bayangkan sekiranya semua orang menjaga tutur kata dan tiada yang bersikap tidak sopan, tentulah pergaduhan tidak akan berlaku dan akan amanlah negara kita. Namun, apabila nilai berbudi bahasa ini tidak tumbuh di hati setiap insan, maka pergaduhan akan sentiasa terjadi di negara kita. Penulis begitu cermat dalam menggambarkan Siti Musalmah. Siti Musalmah kelihatan begitu sempurna dan tiada cacat celanya. Budi bahasanya yang tinggi menjadikan orang tertarik kepadanya. Sebagai contoh, Encik Suzuki sering memberikan pelbagai hadiah kepada beliau kerana kebaikannya. Siti Musalmah berbuat baik tanpa mengira pangkat dan keturunan. Beliau benar-benar ikhlas dalam menuturkan katakatanya. Kelembutan bahasanya dapat dilihat melalui petikan di bawah;

kalau benar seperti yang Cik Mat fikirkan untuk membela nasib kaum wanita, adalah elok kalau Cik Mat mengahwini adik saya, Siti Aisyah yang juga telah janda lebih awal dariapda saya. Adik saya itu pula bergantung hidup kepada saya. Tentu itu lebih bermakna dan tepat. Kalau benar-benar Cik Mat nak menolong, itulah yang sebenarnya, bukan dengan saya.. (Muka surat 213) Daripada petikan tersebut, kita dapat lihat budi bahasa yang dimiliki oleh Siti Musalmah. Beliau begitu berlembut menolak pinangan Cik Mat itu. Walaupun beliau

18 kurang berkenan dengan Cik Mat, namun beliau tidak menolak mentah-mentah peminangan lelaki itu sebaliknya menolaknya dengan halus. Sesungguhnya bahasa yang digunakan oleh Siti Musalmah itu akhirnya difahami oleh Cik Mat. Sikap berbudi bahasa seharusnya perlu ada dalam setiap diri individu. Hal ini demikian kerana, terdapat pepatah iaitu budi bahasa budaya kita. Melalui pepatah tersebut, seseorang yang menjaga tutur katanya akan sentiasa memberikan cerminan yang baik kepada budaya dan bangsanya. 3.6.1 Kepentingan Berbudi Bahasa dalam sesebuah organisasi

Dalam sesebuah organisasi, tolak-ansur merupakan perkara yang terpenting yang perlu wujud dalam diri setiap individu. Hal ini demikian kerana, sekiranya semua orang bersikap tolak-ansur dan tidak mementingkan diri, maka tidak akan wujud masalah dalam sesebuah organisasi tersebut. Budi bahasa yang baik akan menjadikan setiap orang akan lebih menghormati orang lain dan tidak merendah-rendahkan orang lain. Budi bahasa yang tinggi juga akan menjadikan seseorang itu lebih menghargai

perhubungan yang telah dijalin bersama ahli dalam sesebuah organisasi tersebut.

Berbudi bahasa amat penting dalam mencipta hubungan yang berkesan. Hal ini demikian kerana, orang akan mengenali diri kita melalui perilaku dan tutur kata kita. Sekiranya kita memiliki tutur kata yang baik dan tidak kasar, orang akan lebih menghormati kita. Namun, sekiranya kita bersikap kasar dengan orang lain, orang akan memandang rendah kepada kita seterusnya membenci kita.

Dalam sesebuah organisasi, mesyuarat akan dijalankan sekiranya terdapat sesuatu keputusan yang perlu dibincangkan bersama dan perancangan yang ingin

19 dilakukan. Sekiranya tiada nilai berbudi bahasa dalam diri setiap ahli dalam sesebuah organisasi tersebut, maka kesukaran akan timbul. Sekiranya semua orang ingin memberikan cadangan dan menggunakan kata-kata yang tidak sopan, maka keputusan yang terbaik tidak akan dapat dicapai. Jadi, sikap berbudi bahasa amat penting dan merupakan satu unsur dalam modal insan yang dapat meningkatkan keupayaan diri sseorang. Hal ini demikian kerana, apabila kita berbudi bahasa, orang akan lebih menyayangi kita dan akan menerima dengan baik apa yang kita akan sampaikan. Dengan budi bahasa juga, permuafakatan akan dapat dibina dan akan dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama manusia. Budi bahasa merupakan unsur modal insan yang perlu dimiliki oleh semua orang bagi meningkatkan kualiti diri dan masyarakat.

4.0

Kesimpulan

Tuntasnya, modal insan merupakan satu elemen penting yang perlu dimiliki oleh setiap individu. Seseorang yang memiliki modal insan yang tinggi akan memiliki ilmu yang menyeluruh sama ada dari segi lahiriah dan batiniah. Seharusnya setiap orang berusaha untuk menerapkan nilainilai yang baik agar dapat melahirkan modal insan yang dapat membangunkan negara. Pembinaan modal insan adalah sesuatu yang tidaklah terlalu sukar untuk direalisasikan, tetapi mempunyai cara tertentu bagi menggapainya. Seiring dengan harapan mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu mahukan terlahirnya modal insan kelas pertama dalam masyarakat Malaysia, kita sebagai bakal pendidik perlulah merancang dan menerapkan semua ciri-ciri modal insan ke dalam diri pelajar agar harapan itu berjaya diraih. Dengan memiliki modal insan, negara akan lebih maju dan terhindar daripada segala budaya yang tidak bermoral. Masyarakat juga akan dapat hidup dalam keadaan yang lebih harmoni dan aman. Oleh itu, bersama-samalah kita

20 menyemai nilai modal insan dalam diri setiap individu sama ada melalui penulisan atau lisan. Sesungguhnya sastera menjadi medium untuk mendidik anak bangsa supaya berubah menjadi lebih baik dan berbudi pekerti. Benarlah sastera benar-benar mendidik bangsa.

Anda mungkin juga menyukai