Anda di halaman 1dari 6

BAB I

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Rupa bentuk sungai yang bersifat dinamik memberi pengaruh yang besar dalam persekitaran fizikal dan manusia melalui fungsinya. Dari segi fizikal, sungai berpotensi memberi pengaruh melalui sifat semula jadinya yang cenderung untuk berubah atau dinamik. Hal ini seterusnya mendorong untuk berlakunya perubahan bentuk muka bumi di kawasan sungai itu sendiri melalui aktiviti semula jadinya seperti hakisan, pengangkutan dan pemendapan. Sungai turut memberi impak kepada manusia kerana ianya merupakan antara sumber air terpenting yang membolehkan manusia meneruskan dan menjalankan kehidupan seharian. Isu negatif berkaitan dengan sungai yang kian meruncing dikhuatiri akan menganggu kemapaman sumber air pada masa akan datang.

Antara parameter yang boleh diukur dari sesebuah sungai terdiri daripada ciri luahan dan kualiti air sungai itu sendiri. Ciri luahan sungai boleh dilihat mengikut perbezaan masa iaitu melibatkan musim bacaan jatuhan hujan yang berlainan. Perekodan ciri luahan sungai ini adalah penting kerana ianya melihat bagaimana pergerakan dan volume air sungai tersebut dan seterusnya dapat dikaitkan dengan kualiti air sungai itu sendiri. Hal ini kerana peningkatan kadar luahan sungai biasanya berkadar langsung dengan jumlah hujan dan segala bentuk rejim pergerakan air sungai tersebut akan menentukan kualiti air.

Justeru, pengiraan luahan sungai adalah penting dalam usaha untuk memantau kualiti air sesebuah sungai. Hal ini kerana ianya menekankan pengaruh faktor fizikal seperti kekerapan dan jumlah hujan yang akan membentuk volum luahan sungai serta sifat semula jadi batuan yang membentuk pinggiran sungai yang akan dihakis oleh pengangkutan luahan sungai dan seterusnya menentukan tahap kualiti air sungai itu sendiri. Pemantauan hidupan

sungai juga penting kerana ia akan menentukan ciri kualiti air yang terdapat di sesebuah kawasan tersebut.

Analisis luahan sungai berdasarkan faktor masa ini penting terutamanya dalam meramal kebarangkalian kejadian banjir dan magnitud banjir yang akan berlaku. Penentuan kebarangkalian kejadian banjir dan magnitud banjir melalui analisis siri masa luahan sungai juga dapat membantu pengenalpasitian model dataran banjir. Pemodelan dataran banjir melibatkan dua aspek, iaitu hidrologi dan hidraulik. Analisis hidrologi akan menentukan aliran banjir puncak, manakala analisis hidraulik pula memberi maklumat tentang aras permukaan air. Jadi, kedalaman banjir boleh ditentukan melalui penggabungan maklumat air larian permukaan dari model hidrologi dan maklumat keratan rentas saluran dalam model hidraulik (Nor Rohaizah et. al, 2012: Chow et. al, 1988).

1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

Pemahaman tentang ciri klimat dan perkaitannya dengan ciri atau tren luahan dan kualiti air sungai adalah komponen penting dalam membolehkan analisis siri masa luahan sungai Langat dapat dilakukan. Hal ini kerana wujud hubungan yang kukuh antara ciri klimat dengan tren luahan dan kualiti air di stesen kajian. Dengan kata lain, kajian ini cuba melihat analisis dari segi aspek temporal (masa) di kawasan kajian. Analisis aspek masa melibatkan pengaruh cuaca terutamanya taburan, tempoh dan keamatan hujan secaran min, max dan purata yang akan mencorakkan ciri luahan.

Penyukatan luahan, perekodan aras air dan kualiti air sungai merupakan antara datadata penting berkenaan dengan aliran sesebuah sungai. Menurut Nor Rohaizah et.al (2012), kebanyakan sungai biasanya mempunyai satu hubungan yang unik antara aras air sungai dan pengaliran sungai pada lokasi tertentu. Hubungan tersebut dinamakan sebagai lengkung kadaran luahan (discharge rating curve). Justeru, untuk mendapatkan tren luahan yang berlaku di sesebuah sungai, adalah penting untuk mengetahui rekod aras air yang dicatatkan.

Isu dalam kajian ini cuba mengetengahkan bagaimana pengaruh klimat terutamanya intensiti hujan mampu menghasilkan volum luahan yang berbeza mengikut musim dan seterusnya memberi kesan kepada kualiti air. Kajian ini melihat adakah peningkatan volum luahan sungai akan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai itu sendiri. Hal ini berlaku kerana kemungkinan tenaga yang dibawa oleh sejumlah volum luahan sungai yang meningkat kerana faktor hujan berupaya untuk menghakis dan mengangkut segala bentuk bahan ampaian yang akan menentukan tahap kualiti air sungai tersebut. Pengaruh klimat seperti musim kering juga akan membentuk tren luahan sungai tersendiri dan turut memberi impak kepada tahap kualiti air sungai.

Selain itu, isu dalam kajian juga cuba melihat bagaimana analisis dari segi siri masa luahan sungai Langat menggunakan kaedah Min Kepekatan Kejadian (EMC). Dengan menggunakan kaedah Min Kepekatan Kejadian (EMC) ini, konsentrasi beban bahan

pencemar dalam sesuatu volum luahan dalam satu siri masa dapat ditentukan. Apabila tahap konsentrasi pencemaran air ditentukan dalam aliran sungai yang dipengaruhi oleh faktor cuaca, pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mengelakkan pencemaran air terus berlaku.

Justeru, apabila tren luahan sungai berjaya direkodkan, maka pembuktian tentang perkaitan kualiti air di kawasan kajian sebagai pemboleh ubah yang bersandar kepada volum air sungai juga dapat dilakukan. Dengan kata lain, perubahan tahap kualiti air sungai bergantung kepada ciri-ciri luahan sungai ditunjukkan oleh pengaruh klimat yang berbeza dalam sesuatu tempoh siri masa. Secara ringkasnya, ciri luahan dan kualiti air masing-masing bergantung atau bersandar kepada pemboleh ubah yang tersendiri. Contohnya, ciri luahan sungai bergantung kepada faktor klimat. Manakala kualiti air sungai pula bersandar kepada ciri luahan atau volum luahan air sungai itu sendiri.

1.3 OBJEKTIF KAJIAN Dalam melakukan analisis siri masa luahan sungai Langat, Selangor, terdapat beberapa objektif yang ingin dicapai. Objektif adalah penting sebagai garis panduan yang akan dipegang oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini kelak supaya bersesuaian dengan kajian

yang melihat peranan cuaca dalam mempengaruhi ciri luahan sungai dan kualiti air dalam skala mikro. Antara objektif yang ingin dicapai oleh pengkaji dalam melakukan kajian ini ialah:

i) ii) iii)

Mengenalpasti ciri atau tren luahan sungai di stesen kajian. Meramal nilai kapasiti luahan yang mampu ditampung oleh stesen kajian. Melihat perkaitan antara ciri luahan dengan kualiti air dalam satu tempoh siri masa menggunakan kaedan Min Kepekatan Kejadian (EMC).

1.4 SKOP KAJIAN Dalam melakukan kajian di stesen Sungai Langat, Selangor, skop yang ditekankan oleh pengkaji adalah untuk melihat bagaimana ciri klimat tempatan pada skala mikro mampu mempengaruhi tren luahan dan kualiti air sungai. Analisis dilakukan di stesen kajian yang berkedudukan pada garis lintang 0256'07"U dan 10146'53"T. Pengukuran dan persampelan air di stesen kajian dijalankan dalam dua musim yang berbeza iaitu musim basah (OktoberDisember) dan musim kering (Januari-Julai).

Perhubungan tren luahan dan kualiti air dalam kajian ini dilakukan menggunakan kaedah Min Kepekatan Kejadian (EMC). Kaedah ini akan memberikan petunjuk bagi konsentrasi beban bahan pencemar keseluruhan yang dibawa air sungai dalam sesuatu tempoh siri masa (Chow et.al, 2011) . Dengan kata lain, kaedah ini sesuai untuk membekalkan maklumat lengkap berkaitan dengan tren luahan dan kualiti air dari aspek siri masa. Rumus yang digunakan bagi kaedah Min Kepekatan Kejadian (EMC) ini ialah: EMC = = M = Q(t)C(t)dt V Di mana: M V = jumlah jisim bahan pencemar semasa dalam luahan keseluruhan (kg) = jumlah isipadu luahan (m3) Q(t)dt ....................[1]

Q(t) = tempoh perubahan luahan (L/s) C(t) = tempoh perubahan kepekatan bahan pencemar (mg/L) Dt = tempoh luahan (s)

1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Tren luahan sungai dan kualiti air merupakan komponen penting yang saling bersangkut paut dalam sesebuah sistem sungai. Masing-masing merupakan parameter yang bersandar kepada parameter yang lain. Contohnya, luahan sungai merupakan parameter yang bersandar kepada faktor cuaca. Taburan hujan yang turun dengan intensiti kelebatan yang tinggi dan tempoh yang panjang misalnya mampu membekalkan sejumlah volum air yang besar kepada aliran sungai. Hal ini seterusnya akan mencirikan tren luahan yang tersendiri bagi sesebuah sungai tersebut. Perkara yang sama turut berlaku pada musim kering di mana ianya akan membentuk tren luahan yang berbeza kerana kekurangan bekalan air untuk dialirkan dalam sistem sungai.

Bagi kualiti air pula, ianya merupakan parameter yang bersandar kepada tren luahan sungai. Persoalannya ialah bagaimana tren luahan jika dilihat dari segi volum air yang mengalir berupaya untuk mempengaruhi kualiti air yang ada di sungai dalam sesuatu tempoh. Justeru, dengan adanya kajian dalam siri masa ini, tren luahan dan kualiti air yang saling bersangkut paut ini dapat dilihat dengan adanya satu faktor pengaruh yang paling utama iaitu cuaca.

1.6

STRUKTUR PENULISAN

Secara keseluruhannya terdapat lima bab dalam penulisan tesis ini iaitu: Bab 2: Konsep dan Kajian Lepas

Bahagian ini merangkumi perbincangan mengenai ulasan literatur atau kajian lepas serta kajian konseptual berkenaan luahan, kualiti air, sungai dan sebagainya yang berkaitan dengan bidang kajian. Bab 3: Kawasan dan Metodologi Kajian Bab ini berkaitan dengan kawasan kajian dari segi latar belakang, geologi, aspek guna tanah semasa dan lokasi persampelan. Dalam bab ini juga menjelaskan mengenai metodologi kajian yang dilakukan yang melibatkan pengumpulan data dan kaedah menganalisis data. Bab 4: Hasil Kajian dan Perbincangan Merupakan bahagian penting dalam penghasilan kajian. Bahagian ini akan membincangkan hasil kajian yang diperolehi dengan terperinci melalui kaedah analisis tertentu untuk menepati objektif yang ditetapkan. Bab 5: Kesimpulan Bahagian penutup ini akan membincangkan secara keseluruhan bab dan rumusan hasil kajian yang diperolehi di samping mengutarakan kelemahan dan kekuatan kajian yang dijalankan.

1.7 KESIMPULAN

Berdasarkan kepada isu yang cuba diketengahkan di dalam permasalahan kajian, tren luahan sungai dan kualiti air adalah parameter yang akan memberi identiti kepada sesebuah sungai itu. Disamping itu, melalui pemahaman tentang bagaimana cuaca mampu mempengaruhi tren luahan dan kualiti air, kajian ini dapat memberikan maklumat berkenaan dengan taburan hujan yang berlaku sepanjang proses pengutipan data dilakukan.

Bab kedua pula akan membincangkan tentang konsep dan ulasan literatur. Beberapa konsep berkaitan kajian akan dijelaskan terperinci supaya mudah difahami. Ulasan literatur pula ialah berkenaan kajian lepas meliputi kajian dalam dan luar negara yang akan dijadikan sebagai rujukan yang bersesuaian dengan kajian ini.

Anda mungkin juga menyukai