Anda di halaman 1dari 21

FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN

SEMESTER 2 SESI 2015/2016


LMCR3343 KRITIKAN SENI TAMPAK
TOPIK
ANALISIS DAN TAFSIRAN WAU
PENSYARAH
DR. HAMDZUN BIN HARON
DISEDIAKAN OLEH KUMPULAN ASTERSEIS
FARAH BINTE MOHAMED KASSIM

A147211

PUTRI NURFARAHIN BINTI SA'IDON

A150160

SITI MAISAROH BINTI ABDULLAH

A151264

FASHELLA VUN YIT FUI

A151341

NABILAH ASYRANI BINTI JAMALIN

A150038

NUR ATHIRAH BINTI ASLIARI

A150198

BAHAGIAN ANALISIS WAU

1.0 ASAL-USUL WAU


Mengikut satu catatan, wau telah dihasilkan sejak tahun 711 Masihi lagi oleh Sang Jaya.
Pada awalnya wau dicipta sebagai lambang kebesaran sesuatu negara. Apabila sesebuah
Negara berjaya dalam peperangan, mereka akan meraikan dengan cara menerbangkan
wau di angkasa. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa wau berasal dari China
sejak 3000 tahun yang lalu. Penduduk China menggunakan wau untuk menghantar
makanan kepada penduduk yang terperangkap di bukit atau gunung semasa banjir. Wau
juga dikaitkan dengan semangat padi. Wujud mitos yang mengatakan bahawa pada zaman
dahulu terdapat sepasang suami isteri yang bertani dan tidak mempunyai anak. Suatu hari
mereka telah menjumpai seorang bayi perempuan dan dengan rasa gembira mereka telah
menjaga bayi tersebut. Apabila dewasa bayi tersebut menjadi seorang gadis yang sangat
cantik. Suaminya amat menyayangi anak gadis tersebut dan kerap membawa makanan ke
tempat permainannya. Lama-kelamaan isterinya menjadi cemburu dan dia telah menyeksa
dan memukul serta menghalau anak gadis tersebut. Selepas kejadian tersebut, hasil
tanaman mereka tidak menjadi. Setelah ditilik oleh ahli nujum, ahli nujum mencadangkan
agar mereka menerbangkan wau berbentuk bulan untuk mengembalikan semangat padi
yang hilang. Wau juga dipercayai mempunyai kaitan dengan semangat angin dan langit.
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, wau ini didefinisikan sebagai layang-layang yang
diperbuat daripada kertas dan buluh. Kini, wau masih lagi digemari dan dimainkan oleh
rakyat Malaysia tidak kira negeri mana pun. Wau bukan sahaja dimainkan tetapi
diperbandingkan yang dititiberatkan ialah kecantikan rupa dan sebagainya. Sejarah wau

di Malaysia ini masih lagi tidak dapat kepastian dan kesahihan tarikh serta asal usul.
Walaubagaimanapun, menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal
dari Negara China. Hal ini disebabkan reka bentuk yang dihasilkan ini mempunyai
persamaan dengan layang-layang tradisonal dari Negara China.
2.0 DEFINISI WAU
Pada abad ke-15, permainan wau tradisional telah dimainkan oleh orang Melayu,
khususnya rakyat biasa dan golongan istana. Permainan wau atau layang-layang
mempunyai hubungan kepercayaan dengan semangat padi. Dipercayai telah dilakukan
sebagai satu cara untuk memohon maaf kepada semangat padi yang telah menjelma
menjadi seorang anak gadis. Perkataan wau ini berasal daripada Thailand. Negeri
seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah turut menggunakan perkataan wau
memandangkan kaum yang mempopularkan permainan wau ialah kaum melayu dan siam
yang ramai tinggal di negeri tersebut. Perkataan layang-layang pula digunakan di negeri
Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka, Johor, dan
Negeri Sembilan. Perkara ini dibuktikan melalui catatan Tun Sri Lanang yang
menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta
kerabat DiRaja dan tidak pula disebut bermain wau. Selain itu, kemunculan nama wau
juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila
dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut telah menghasilakn
bunyi wau wau wau wau secara berirama. Bahan utama untuk menghasilkan wau
ialah buluh, benang, kertas, warna, gam dan pisau raut. Wau mempunyai empat bahagian
utama yang terdiri daripada kepala, sayap, pinggang dan ekor. Pembuatan wau mestilah
mempunyai kemahiran yang unik, ketekunan dan kesabaran yang tinggi kerana ia
merupakan suatu kerja yang amat merumitkan. Kecantikan wau diukur dari segi
keindahan reka bentuk, corak, warna dan sebagainya. Keindahan yang dimaksudkan ini

bukan sekadar kehalusan ragam, tetapi mengikut hiasan pada penciptaan suatu motif yang
terselindung mengikut daya imaginasi jiwa pencipta itu sendiri. Masyarakat Melayu amat
menyukai permainan wau dan mereka bermain wau untuk memenuhi masa lapang dan
untuk melegakan tekanan selepas penat bekerja.
3.0 PERBEZAAN WAU DAN LAYANG-LAYANG
Wau dan layang-layang adalah dua jenis permainan yang hampir sama. Namun, jika
diperhalusi masih terdapat banyak perbezaan. Dari segi bentuk mempunyai perbezaan
yang amat ketara. Wau biasanya mempunyai bentuk yang menarik jika dibandingkan
dengan layang-layang. Wau boleh dibahagikan kepada pelbagai bentuk yang diminati
seperti bulan, burung dan sebagainya. Selain itu, terdapat pelbagai bentuk terutama
apabila upacara pertandingan di peringkat negara diadakan. Ini amat berbeza dengan
layang-layang yang mempunyai bentuk yang hampir sama iaitu bersegi. Penghasilannya
pula adalah mudah tetapi tidak menarik. Oleh sebab itu, tidak ramai orang meminatinya.
Saiz wau juga adalah besar jika dibandingkan dengan layang-layang. Pelbagai jenis saiz
yang besar sehingga mempunyai saiz yang bermeter-meter lebar dan panjang. Wau juga
mempunyai saiz ekor yang cukup panjang dan apabila wau berbentuk ular, naga atau
sebagainya. Saiz layang-layang adalah kecil. Panjang layang-layang adalah sekitar satu
meter dan lebar setengah meter. Ekor layang-layang yang diperbuat daripada kertas
mempunyai saiz yang kurang daripada dua meter. Selain itu, wau mempunyai berat
melebihi tiga kilogram. Ini disebabkan wau mempunyai saiz yang besar di samping
pelbagai aksesori yang lain. Layang-layang pula hanya mempunyai berat kurang daripada
sekilogram.
4.0 JENIS-JENIS WAU
Permainan wau atau layang-layang dijadikan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat
umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan bagi sesebuah negeri bagi

mengeratkan hubungan silaturrahim. Jenis-jenis wau yang terdapat di Malaysia adalah


seperti berikut :

Wau Bulan :

Menurut lagenda Wau Bulan dikatakan telah bermula pada zaman kerajaan
srivijaya , ia mula digunakan oleh seorang putera bernama Dewa Muda. Corak
bunga dan daun pada wau Dewa Muda dikatakan merupakan peta daerah yang
telah dikuasainya
Bentuk wau bulan ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa
bulatan pada bahagian ekornya.malah, wau bulan ini kelihatan seperti bulan yang
terbit di angkasa apabila diterbangkan.

Dari segi saiznya pula, wau bulan

dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain. Bidang biasa yang
digunakan adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter. Ini untuk
memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan menyerlah.
Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan
corak yang lebih besar menjadi pilihan.

Bentuk

wau

bulan

ini

menjadi

lambang

syarikat

kepada

syarikat

penerbangan(MAS). Walau bagaimanapun, sesetengah pihak mendakwa logo ini


sebenarnya diilhamkan oleh wau kucing, bukan wau bulan. Wau bulan
mterupakan wau yang paling popular jika dibandingkan dengan wau lain. Wau ini
mempunyai bentuk seperti bulan sabit di bahagian hadapan dan separa bulatan di
bahagian ekor. Oleh itu wau tersebut seolah-olah kelihatan seperti bulan yang
terbit di angkasa apabila diterbangkan.

Wau Daun :

Wau daun atau juga dikenali sebagai wau barat merupakan sejenis jenis layanglayang yang popular. Wau daun merupakan wau tradisional yang telah dimainkan
secara turun-temurun di Malaysia. Wau daun ini menyerupai bentuk wau bulan
tetapi lebih lebar dan ringan. Wau daun turut memiliki corak-corak yang menarik,

tetapi corak-corak tersebut adalah dilukis dan tidak menggunakan teknik sobek
iaitu potong dan tampal, sebagaimana wau-wau yang lain.
Wau daun ini satu-satunya wau tradisional yang tidak memiliki pedengung.
Disebabkan corak-corak tersebut hanya dilukis pada badan wau, dan bukannya
ditampal, ia mampu terbang tinggi walaupun semasa pada waktu angin bertiup
dengan perlahan, contohnya ketika pada waktu pagi. Oleh itu, ia juga dikenali
sebagai wau pagi. Selain itu, lukisan pada badan wau sering kali menggunakan
teknik batik

malah ia sering kali dilukis oleh pelukis batik, dan bukannya

pembuat wau.
Selain itu, bentuk dan rupa wau daun adalah lebih dinamik dan cepat berubah,
sering kali ia memaparkan reka bentuk asli dan unik yang mulai diterima pakai
dalam pertandingan-pertandingan. Antara puncanya adalah corak-corak tersebut
dilukis oleh ahli seni dalam bidang lain dan disebabkan ianya dilukis akan lebih
mudah lagi mencipta corak-corak baru berbanding teknik sobek potong dan
tampal.

Wau Merak :

Wau Merak merupakan sejenis layang-layang yang popular dikalangan keturunan Bugis di
Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Layang-Layang

Kipas dan dipercayai berasal dari

Sulawesi, Indonesia. Ia memiliki reka bentuk yang bercirikan burung Merak dan tidak terikat

kepada saiz yang tertentu. Wau merak biasanya mempunyai ekor yang panjang yang
membezakannya dengan wau helang.
Pada kebiasaannya, wau Merak akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian
atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Merak dikatakan
akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti Merak.
Keistimewaan Wau Merak ialah pada busurnya yang boleh memainkan tujuh jenis irama atau
bunyi bunyian. Pada asalnya, ia dimainkan pada waktu malam kerana ia dapat menghasilkan
bunyi yang baik. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada Wau Merak pula
adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

Wau Jala Budi :

Wau Jala Budi merupakan sejenis layang-layang yang popular di negeri Kedah. Wau jala budi
merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Wau Jala
Budi dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai daun budi manakala
perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi.

Pada kebiasaannya, wau jala budi akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian
atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Wau Jala Budi dikatakan
akan mengeluarkan bunyi berdengung yang agak sederhana garau yang terbit dari busur yang
terdapat di bahagian kepala. Wau Jala Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan
layang-layang Chula yang berasal dari negara Thailand.

Wau Kucing :

Wau Kucing merupakan sejenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional
yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Wau Kucing dikatakan mendapat
nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut
belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada
kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.

Pemasangannya bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Kucing dikatakan
akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti kucing. Ia dipercayai berfungsi untuk
menakutkan roh jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran
sobek yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara
hiasannya adalah sama seperti wau bulan.

Wau Dodo Helang :

Wau Dodo Helang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Terengganu, Ia
tergolong dalam kategori wau burung. Wau dodo helang ini mempunyai rupa yang sama
dengan wau helang kecuali hiasan pada dada layang-layangnya yang berbeza. Kebiasaannya,
wau dodo helang ini akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini

bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur
yang direntang. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau dodo helang
adalah motif bunga dan kelarai yang menggunakan teknik sobek.

BAHAGIAN TAFSIRAN WAU

5.0 CARA PEMBUATAN WAU


5.1 BAHAGIAN UTAMA WAU
Bahan mentah, kemahiran kraftangan dan pengetahuan di dalam bidang aerodinamik
penting dalam penghasilan wau. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai
kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti dan lebih
mendalam lagi. Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah
buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu, gunting, tali, pensel dan lain-lain keperluan
yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.Selain itu, kepakaran dan kemahiran
juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti
kepakaran dalam pemilihan bahan
Oleh itu,terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin
menebang dan menyimpan buluh tersebut. Petua dan pantang larang pemilihan mencari
dan menebang buluh. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, iaitu
bukan di dalam semak atau dusun .
Seterusnya haruslah buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
Kemudian, buluh yang mempunyai pucuk muda tidak seharusnya ditebang untuk

dijadikan wau kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang
serangga perosak. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana
mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua. Malah, Keadaan
cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu
tengahari.. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih
bayangnya.

5.2 MERAUT BULUH


Dalam proses meraut buluh iaitu buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian
yang tidak diperlukan lagi seperti ruas dan kulit. Selain itu, tujuannya adalah untuk memberi
keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk
meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan
dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.

Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti bahagian tulang belakang diraut
sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras. Kedua,bahagian bilah
sayap di kedua-dua bahagian pula diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung
bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa. Ketiga , bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian
juga perlu diraut sehingga 0.5sentimeter

5.3 PROSES MEMASANG WAU


Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil tanah akan dipasang pada wau.
Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal

dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah iaitu ukur kertas
dengan saiz bingkai. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua
sentimeter dari rangka bingkai tersebut. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong
dalam bentuk Vdan lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.

5.4 MENGUKUR, MELUKIS, DAN MENYOBEK CORAK


Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut
unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat ialah lipat empat kertas warna untuk
bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor pula. Mulakan melukis dari bahagian dada
sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak
kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di
bahagian sayap.
Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi
wau. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada
bahagian tepinya sahaja. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam
menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau
untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula
dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap
air.
Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya
mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai
sehingga lapan warna. Proses membuat dan memasang jambul atau rambu jambul atau rambu
dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Diperbuat daripada kertas

crepe yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu jenis
Koleksi Wau Tradisional.
5.5 CARA BERMAIN WAU
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau
dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali
akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah
wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang
dihias berwarna-warni.
Bagi wau jenis terbang, kepuasan boleh dirasai apabila wau tersebut mampu melakukan
penerbangan setinggi mungkin. Sebelum diterbangkan adalah perlu dipastikan wau tersebut
diimbangkan dengan baik dan tidak berat sebelah. Ini adalah untuk menentukan sama ada
wau dapat terbang dengan baik atau tidak. Sekiranya tidak seimbang wau tidak dinaikkan
dengan baik. Setelah keseimbangan dipastikan tugas selanjutnya ialah menaikkan wau.
Seseorang akan memegang tali wau yang digelar juru anjung dan seorang lagi akan
membawa wau kira-kira 15 hingga 25 meter dari juru anjung dan digelar juru main tali.
Sebaik sahaja terdapat angin yang sesuai, wau akan dilepaskan dan juru anjung akan
menariknya sambil berlari anak. Ketika itu wau akan naik kemuncak kira-kira 20 meter ke
udara. Juru anjung akan terus menghulurkan tali supaya wau dapat dinaikkan lebih tinggi.
Lazimnya wau boleh naik sehingga 500-600 meter ke udara. Setelah melihat wau naik
dengan baik, juru anjung akan menambat tali wau pada pangkal pokok dan terus memegang.
Juru anjung akan meninggalkan tempat tersebut dan menikmati alunan bunyi busur yang
dibawa oleh angin.
Pada masa kini, walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi
layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan

juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang
yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua
utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di
Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

TAFSIRAN WAU DARI SEGI RUPA BENTUK

Seni rupa Melayu adalah berasaskan kepada intisari hasil daya cipta melalui bentuk kepada
dimensi yang menjadi terasnya dan terjalin pada keadaan karya-karya tersebut. Seni menjadi
titian di antara realiti yang zahir dan yang batin. Karya-karya mempunyai peranan sebagai
bahan antara jiwa pencipta dan penghayat( Syed Ahmad Jamal,1979).
Kraf atau permainan tradisional Wau merupakan salah satu permainan tradisional yang
masih mendapat sambutan yang menggalakkan pada masa kini. Bukan sahaja dari rakyat
tempatan,malahan dari masyarakat luar negara juga. Terselit banyak keistimewaan pada
permainan tradisional ini yang boleh kita pelajari dan dalaminya.
Untuk pengetahuan umum,permainan tradisional terdapat kepentingan yang kuat dari
segi pembinaan rohani dan pembelaan jiwa peminatnya. Oleh itu,kajian dan analisa mengenai
permainan wau atau kraf perlu dilakukan dari segi reka bentuknya. Hal ini kerana perkara
tersebut tidak ramai orang mengetahuinya dan perlu diberi perhatian bagi memberi suatu
gambaran kefahaman yang lebih mendalam mengenainya.
Dalam perbincangan ini, perkara yang diketengahkan adalah aspek simbolik dalam kraf
wau yang jarang diperkatakan orang ramai. Kebiasaannya tokoh-tokoh hanya membicarakan

mengenai kehalusan seni dan kelembutan rasa dalam proses pembuatan dan menghias wau
tersebut.
Di Negara-negara Asia pada suatu masa dahulu, pengaruh untuk menghasilkan wau yang
cantik adalah bersangkut-paut dengan kepercayaan terhadap dewa-dewa di kayangan yang
kononnya mesti didamaikan semangatnya, diberi layanan istimewa dan menggembirakannya.
Bersesuaian dengan kisah-kisah dongeng Melayu seperti Dewa Muda dan Hikayat Puteri.
Pengertian wau pada masyarakat zaman dahulu sebagai memberi gambaran mengenai
perangai manusia. Wau dalam hikayat tersebut diriwayatkan sebagai:
i.

Wau bermas bersayap sandang

ii.

Tinggi tujuh gah

iii.

Besar tujuh ledang

iv.

Tali hitam pemocok

v.

Bertatahkan batu intan permata

(Wan Musa Jusoh,1981)

Perkataan bermas menggambarkan keindahan yang berkilauan. Sayap yang bersandang pula
memberi makna telah diperteguhkan,manakala hitam pemocok pula dikatakan urat-urat
rambut di atas kepala. Dalam erti kata sebenar, wau melambangkan kehidupan manusia yang
mengikut ajaran ilmu ketuhanan dan budaya orang-orang Melayu.

Dari segi hiasan pula,asas kehebatan sesebuah wau ialah kemampuannya mendaki
udara dan kelembutannya meliuk lentok semasa melawan tiupan angin untuk berada di
apungan udara sana. Tambahan lagi, pesona wau jelas terlihat dan menarik minat peminatnya
berdasarkan kesungguhan tukang-tukang yang pandai menghias wau sehingga berlapis-lapis
kertas ditampal. Pemilihan warna pula adalah berdasarkan warna alam. Pemilihan warna
tersebut disebabkan orang-orang Melayu begitu peka terhadap warna-warna persekitaran
mereka yang mana warna merupakan kesan cahaya semulajadi dari alam itu sendiri (Siti
Zainon,1986).
Menurut Abdullah bin Muhammad atau Nakula(1975), bunga awan larat pada
sesebuah wau bulan pada waktu dahulu menggambarkan penyebaran syiar Islam di
Nusantara. Penyebaran tersebut kita lihat kepada besarnya bunga pada satu titik di atas
kedudukan bulan dan menjalar memenuhi ruang wau tersebut. Bahagian tengah sayap kiri
dan kanan wau sengaja ditinggalkan kosong tanpa dihias apa-apa corak yang berterabur.
Tukang-tukang wau dahulu wajib mewujudkan ruang kosong ini kerana jika tiada ruang
tersebut ,maka tidak dinamakan wau bulan walaupun bentuk rangkanya menyerupai wau
bulan. Ruang kosong ini dikenali sebagai kijang emas kencana yang melambangkan barang
yang sangat berharga dan dihajati namun sebenarnya adalah palsu. Makna bagi dua ruang itu
pula adalah dua kawasan di mana kedudukan dan kekuasaan Islam tidak dapat kekal lama
kerana kesetiaan rakyat yang tidak jitu. Negara yang diperkatakan ialah bahagian tengah
Myanmar dan Champa (Abdullah Muhammad Nakula,1980).
Dari segi bentuk rangka pula,Abdullah Muhammad atau Nakula(1980) menyatakan
bentuk wau bulan sebagai lambang nasional. Bentuk ini sebenarnya dicipta oleh Saynjaya
iaitu cucu kepada Raja Ahmad, pembangun Seri Vijaya yang pertama. Saynjaya telah
mencipta bentuk wau bulan ini berdasarkan konsep bunga teratai datuknya yang mempunyai

falsafah yang tinggi. Saynjaya telah mencipta bentuk wau bulan mengikut tubuh badan
manusia sebagai lambangnya. Bentuk wau ini dibahagikan seperti berikut:

a)

Dada(Nusarantang) : merangkumi kawasan Semenanjung Indo-China,Thailand dan

Myanmar sehingga ke masa kini.


b)

Pinggang(Nusa Kancana): meliputi kawasan Semenanjung Tanah Melayu atau

Malaysia Barat sekarang.


c)

Tangan

dan

kaki(Nusantara):

merangkumi

seluruh

kepulauan

Indonesia,Sabah,Sarawak dan Filipina.

Menurut pembahagian tersebut, jelas menunjukkan bahawa Saynjaya melambangkan wau


sebagai negara-negara di seluruh kawasan Asia Tenggara. Melalui ilmu simbolik yang baru
kita ketahui ini, kita hendaklah terus memberi nafas baru kepada permainan tradisional agar
sentiasa berkembang dan kita boleh melihat serta menghayati falsafah yang terkandung
dalam kraf tradisional ini.

RUJUKAN
Abdullah Muhammad (Nakula). (1975). Bentuk Alam Yang Mengkagumkan.Pustaka Aman
Press. Kota Bharu.

Mubin Sheppard. (1980). Mekarnya Seni Pertukangan Malaysia. Eastern Universiti Press.
Kuala Lumpur.
Siti Zainon Ismail. (1986). Rekabentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi. DBP. Kuala Lumpur.
Syed Ahmad Jamal. (1992). Rupa dan Jiwa. DBP. Kuala Lumpur.
Tan Sri Dato Sulaiman. (1994). The Craft of Malaysia. Singapore: Edition Didier Millet

Artikel :
Arts The Islamic World Journal. (1988). The Arts In Malaysia.
Beberapa Konsep dan Pengertian Wau Dalam Masyarakat Melayu. (Mac,1981). Majalah
Dewan Budaya, DBP : Kuala Lumpur.
Budaya Kita Budaya Bermain. (Jun,1988). Majalah Dewan Budaya, DBP: Kuala Lumpur
Industri Kraftangan. (Jun,1979). Majalah Dewan Budaya, DBP : Kuala Lumpur
Seni Rupa Melayu : Estetika Mengatasi Kegunaan. (Disember,1979). Majalah Dewan
Budaya, DBP: Kuala Lumpur.
Wau Antara Seni dan Komersial. (Julai,1988). Majalah Dewan Budaya, DBP: Kuala Lumpur

Internet :
http://documents.tips/documents/apresiasi-seni-2010-55a82494d4cba.html

http://warisankebanggaanku.weebly.com/jenis-jenis-wau.html
http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1047/1/Permainan%20Tradisional
%20%5BWau%5D_.pdf

ISI KANDUNGAN
BAHAGIAN ANALISIS WAU
1.0 ASAL-USUL WAU
2.0 DEFINISI WAU
3.0 PERBEZAAN WAU DAN LAYANG-LAYANG
4.0 JENIS-JENIS WAU
BAHAGIAN TAFSIRAN WAU
5.0 CARA PEMBUATAN WAU
5.1 BAHAGIAN UTAMA WAU
5.2 MERAUT BULUH
5.3 PROSES MEMASANG WAU
5.4 MENGUKUR,MELUKIS DAN MENYOBEK CORAK
5.5 CARA BERMAIN
6.0 TAFSIRAN WAU DARI SEGI RUPA BENTUK

Anda mungkin juga menyukai