Anda di halaman 1dari 6

Pengenalan

Pada awal kurun ke-20 semangat kebangsaan dibangkitkan oleh golongan pelajar berpendidikan di
Universiti al-Azhar, Mesir.

Terdapat 80 orang pelajar dari Tanah Melayu di universiti ini pada tahun 1925.

Mereka terpengaruh dengan idea pemulihan Islam oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh
Muhammad Abduh. Mereka memulakan Gerakan Islah di Tanah Melayu dan dikenali sebagai Kaum Muda
Idea pembaharuan Kaum Muda disebarkan melalui majalah Al-Imam (pemimpin) yang diterbitkan
di Singapura pada tahun 1906. Majalah ini memberi kesan besar dalam perkembangan pemikiran orang
Melayu. Orang Melayu mulai sedar akan kepentingan pendidikan dan ekonomi mereka. Golongan
intelektual Melayu ini telah berjaya membangkitkan dan menyemarakkan semangat nasional kepada
penduduk di Tanah Melayu.
Latarbelakang Pendidikan Golongan Intelektual di Tanah Melayu
a) Golongan Intelektual Berpendidikan Melayu
Golongan intelektual berpendidikan Melayu terdiri daripada lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI). Mereka berganding bahu bersama golongan cerdik pandai agama dalam menyumbangkan tenaga
dan fikiran untuk memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan petadbiran. Antara tokoh nasionalis
yang berpendidikan Melayu ialah Harun Aminurrashid, Ibrahim Haji Yaakob dan Ahmad Boestamam. MPSI
disifatkan sebagai The Cradle of Malay Nationalisme oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
(1971-1976) semasa merasmikan Jubli Emas MPSI pada tahun 1973.

i) Harun Aminurrashid
Beliau adalah seorang tokoh pejuang kebangsaan lepasan MPSI dan merupakan seorang guru yang
bersemangat kebangsaan. Beliau juga adalah seorang penulis yang aktif mempelopori penulisan puisi
bertemakan semangat kebangsaan.

ii) Abdul Hadi Hassan


Tokoh ini adalah seorang pensyarah MPSI dan sentiasa menanamkan semangat cinta akan bangsa dan
negara kepada para pelajarnya.

iii) Ibrahim Haji Yaakub


Ibrahim Haji Yaakob menubuhkan Belia Malaya pada tahun 1930 bagi meningkatkan taraf hidup
orang Melayu dan menentang penjajahan British.

b) Golongan Intelektual Berpendidikan Inggeris


Golongan intelektual berpendidikan Inggeris merupakan perjuangan yang muncul apabila orang
Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh bangsa asing. Golongan ini juga merupakan golongan yang
bersikap sederhana dan sanggup bekerjasama dengan pihak penjajah.

Antara golongan intelektual

berpendidikan Inggeris ialah Raja Chulan, Dato Abdullah bin Haji Dahlan, Dato Onn bin Jaafar, dan

Mohammad Eunos bin Abdullah. Kesatuan Melayu Singapura yang ditubuhkan oleh Mohammad Eunos bin
Abdullah bertujuan untuk memajukan orang Melayu dalam sistem pendidikan dan bidang politik

i) Raja Chulan
Berpendidikan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1924, dilantik menjadi Ahli Majlis
Perundangan Persekutuan. Menggesa British meningkatkan taraf ekonomi Orang Melayu. Menggesa juga
British menambah peluang orang Melayu menceburkan diri dalam perkhidmatan kerajaan.
ii) Mohammad Eunos Abdullah
Berpendidikan di Raffles Instituition, Singapura. Merupakan orang Melayu Pertama dilantik sebagai
Ahli Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat. Pernah bertugas sebagai Pengarang Akhbar Utusan Melayu
dan Lembaga Melayu. Menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura pada tahun 1926.
iii) Dato' Onn Jaafar
Berpendidikan Inggeris di England dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pernah menjadi pengarang
akhbar Warta Malaya, Lembaga Malaya dan Warta Ahad. Dilantik sebagai ahli tidak rasmi dalam Majlis
Mesyuarat Negeri Johor pada tahun 1936.
Cara Perjuangan Golongan Intelektual di Tanah Melayu
a) Perjuangan Melalui Akhbar Melayu
Akhbar dan majalah merupakan media yang rapat dengan rakyat. Perkembangan media massa
memainkan peranan yang penting dalam gerakan kesedaran di Tanah Melayu. Idea nasionalisme lahir
melalui surat khabar, majalah, novel dan rencana. Surat khabar digunakan sebagai medan untuk
menyedarkan masyarakat melayu terhadap keadaan mereka di tanah air mereka sendiri. Melalui media idea
tentang perjuangan kebangsaan dapat disalurkan untuk bacaan semua lapisan masyarakat
Satu daripada bahan bacaan terawal ialah'pengetahuan bahasa', hasil karya Raja Ali Haji yang
disusun pada tahun 1858. Karya ini membicarakan budaya melayu yang kian berubah akibat pengaruh
British dan imigran Cina. Disamping itu karya ini juga memperlihatkan peri pentingnya bahasa melayu
dalam budaya masyarakat melayu sebagai alat menyatukan kaum melayu melalui satu identiti bahasa.
Sebagai contoh, pada 23 Julai 1906, akhbar al-Imam telah diterbitkan di Singapura. Akhbar ini diterbitkan
oleh golongan kaum muda yang dipimpin oleh Syed Syeikh al-Hadi,Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh
Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass Mohammad Taha. Seruannya diteruskan oleh akhbar lain
seperti Neracha,Tunas Melayu, al-Islam, al-Ikhwan dan Pengasoh.
Selain itu, pada tahun 1939, akhbar Utusan Melayu telah diterbitkan. Pengarang yang pertama ialah
Rahim Kajai dan pengarang yang terkemuka pula ialah Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako.
Akhbar ini menjadi lambang perpaduan dan kegigihan orang Melayu. Bangsa Melayu diminta berusaha
dengan gigih untuk kemajuan. Penerbitan Utusan Melayu turut menerbitkan Utusan Zaman dan Mastika.
Selain akhbar yang disebut di atas, terdapat juga akhbar Warta Malaya (1930), Majlis (1935), Fajar Sarawak
dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, muncul golongan wartawan yang komited dan sedar akan nasib
bangsanya. Golongan wartawan telah membangkitkan isu-isu kemunduran masyarakat Melayu dalam
semua aspek seperti sosial,pendidikan, ekonomi dan politik.
b) Perjuangan Melalui Penulisan Kreatif
Semangat kebangsaan dibangkitkan melalui karya kreatif seperti puisi, novel dan cerpen. Karyakarya kreatif ini menjadi saluran untuk menyuarakan perjuangan orang Melayu oleh golongan guru, penulis
dan wartawan.
(i) Penulisan Puisi
Sebelum Perang Dunia ke 2, terdapat banyak puisi yang bertemakan semangat kebangsaan dan disiarkan
dalam akhbar dan majalah. Ianya bertujuan untuk menyuburkan perasaan cinta akan bangsa dan negara
serta menyeru rakyat merebut peluang ekonomi dan mempertahan maruah bangsa.
Antara puisi-puisi tersebut adalah puisi oleh Harun Aminurrashid seperti Tenaga Kaumku,
Mempertahankan Hak Kita dan Perwira Melayu.
Abdul Samad Ahmad pula menulis puisi Serunai Pujangga, Kapal Tiada Nakhoda dan Hari
Kejatuhan Kita.
Muhammad Yusuf Harun menulis puisi Dunia Yang Fana dan Di Lautan Seberang. Puisi-puisi lain
lagi adalah seperti Bangkitlah oleh Omar Mustaffa, Seruan Kebangsaan oleh Melati Pahang, Sedarlah oleh
Mahmud Ahmadi dan Di Tengah Segara oleh Muhammad Yasin Maamor
(ii) Penulisan Novel dan Cerpen
Melalui novel dan cerpen, kesedaran kebangsaan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih
berkesan. Karya-karya sastera ini bertemakan semangat perjuangan, nasib bangsa dan semangat cintakan
tanah air. Tema ini menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu. Antara penulis cerpen yang terkenal
ialah Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shamsuddin Salleh.
Cerpen yang terkenal adalah seperti Cerita Awang Putat oleh Abdul Rahim Kajai, Rumah Besar
Tiang Sebatang oleh Ishak Haji Muhammad, Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang dan Siasat Yang Tiada
Diminta oleh Shamsuddin Salleh
Manakala novel pula seperti Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al-Hadi, Iakah Salmah? oleh
Ahmad Rashid Talu, Melor Kuala Lumpur oleh Harun Aminnurrashid, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat
Lela Gila oleh Ishak Haji Muhammad, Mari Kita Berjuang oleh Abdullah Sidek dan Melati Kota Bahru oleh
Abdul Kadir Adabi.
Kesan Perjuangan Golongan Intelektual kepada rakyat Malaysia masa kini
a) Membentuk Semangat Kebangsaan Dalam Diri
i) Semangat Kebangsaan merujuk kepada sikap cinta yang mendalam terhadap negara yang tercinta.
Mempunyai perasaan bangga dan melahirkan sikap rela berkorban untuk mempertahankan kedaulatan dan
kemerdekaan negara. Contohnya, pasukan komando VAT69 telah berjuang bersungguh-sungguh untuk
mempertahankan kedaulatan negara semasa Lahad Datu diceroboh hingga berkorban nyawa.

ii) Memartabatkan Bahasa Melayu


Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala jenis urusan pentadbiran
dan acara rasmi di dalam negara. Contohnya, bahasaMelayu digunakan dalam sistem pendidikan negara,
urusan surat-menyurat,mesyuarat dan pentadbiran di dalam negara. Jika kita lihat sekeliling kita, dalam
mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan, seminarseminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan dimahkamah, mesti diutamakan penggunaan bahasa
Melayu.
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara ialah bahasa yang
digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab Malaysia
mempunyai masyarakat berbilang kaum, dasar pendidikan negara berusaha menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, sama ada di sekolah mahupun pusat-pusat
pengajian tinggi. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita akan dapat
melahirkan bangsa yang menolak perkauman dan ketidakadilan dalam sistempendidikan.

iii) Kestabilan Negara


Kestabilan negara telah membolehkan kerajaan, sejak dari pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun
Abdul Razak, Hussein Onn, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, , Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Tun
Razak membina ekonomi negara melalui rancangan - rancangan pembangunannya di pelbagai bidang
dalam keadaan dan suasana yang begitu baik.
Contohnya, selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku
mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam(PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf
Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM
sehingga setahun sebelum kematiannya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925. Beliau yang cukup dikenali dengan
"Dr. M" merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Beliau berjaya membawa pembangunan
melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara luar sehingga
mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia
Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara 'Harimau Ekonomi Asia'.
Antara projek-projek berprofil tinggi (juga digelar 'projek mega') yang dibangunkan pada zaman
pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar
Antarabangsa Sepang

Rumusan
Gerakan Islah pencetus kpd kesedaran membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan
golongan intelektual. Golongan intelektual melayu membangkitkan semangat nasional kpd penduduk di
Tanah Melayu melalui pelbagai cara dan kaedah. Semangat nasional melahirkan pejuang-pejuang yang
bersemangat patriotik bagi memperbaiki nasib bangsa dan negara. Ilmu pengetahuan yang ada
dimanafaatkan sepenuhnya untuk memajukan bangsa dan negara. Selepas Perang Dunia Kedua, gerakan
kebangsaan menjadi lebih mantap apabila semua kaum bersatupadu menuntut kemerdekaan Tanah Melayu
daripada British.

Kini, kita semakin bangga menjulang nama Malaysia di persada dunia berbekalkan kemajmukan dan
keamanan negara serta kestabilan politik dan juga perkembangan ekonomi yang membanggakan. Kita
sudah berani mengatur langkah bersama negara-negara lain dalam usaha mengisi ruang dalam negara
dengan aspek teknologi terkini, isu semasa dan juga bersama-sama menyusuri arus kemodenan dan
globalisasi. Kita juga tidak gentar dalam melaungkan prinsip, pendirian dan juga pandangan kita terhadap
apa yang kita perjuangkan di sini. Malahan suara kita menyelar tindak tanduk negara-negara besar dalam
isu-isu tertentu seperti kekejaman peperangan, isu keagamaan, hak asasi dan sebagainya, turut kedengaran
di mana-mana.
Dengan budaya yang tersendiri, kita mampu mengekalkan kemerdekaan sampai bila-bila. Hargai
kemerdekaan dengan memperkaya negara melalui kejayaan dalam pelbagai bidang, keikhlasan dalam
berbakti serta ketulusan dalam mempertahankan agama dan budaya. Berpada-pada dalam mengaplikasi
budaya luar ke dalam budaya kita. Dengan itu, kemerdekaan akan sentiasa manis dan penuh kebanggaan
untuk dikenang.

Sumber Rujukan:
http://cikgurazak.blogspot.my/2010/02/nota-sej-ting-2-bab-8.html
http://classof-2hormat-sejarah.blogspot.my/2010/11/84-intelektual-mematangkan-perjuangan.html
http://euw233titas.blogspot.my/2012/03/sumbangan-pencapaian-bertaraf-dunia.html
https://prezi.com/gyqx-jh6qez2/84-intelektual-mematangkan-perjuangan/
http://sumbanganpemimpin.blogspot.my/2013/05/tundr-mahathir-bin-mohamad-pada-10.html
http://www.slideshare.net/AinulAlli/golongan-intelektual-sejarah-malaysia
http://www.slideshare.net/smkmnpk/bab-8-9770119
Maisarah binti Mispari, Johara binti Abdul Wahab & Ridzuan bin Hasan, 2012. Sejarah Tingkatan 2. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Anda mungkin juga menyukai