Anda di halaman 1dari 3

KEPENTINGAN GST

Kepentingan gst

Kita sering kali mendengar rungutan dan keluh kesah Rakyat serta komuniti perniagaan
mengenai kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia yang
tinggi berbanding dengan negara jiran, Singapura. Perbandingan tersebut dibuat bagi
menunjukkan seolah-olah Kerajaan sedang menekan Rakyat dengan mengenakan cukai
yang tinggi dan menjadikan Malaysia kurang kompetatif dalam mengekalkan bakat untuk
merangsang pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur asing berbanding Singapura.
Untuk rekod, Singapura telah melaksanakan GST sejak tahun 1994.

Sebenarnya, kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia
boleh dirasionalisasikan secara berperingkat sekiranya Rakyat memberikan sepenuh
kepercayaan terhadap Kerajaan untuk melaksanakan GST, sama seperti yang dilakukan
oleh negara jiran, Singapura. Ini kerana, GST berupaya menjana sumber hasil negara yang
lebih kukuh dan stabil bagi menggantikan kebergantungan sumber hasil daripada kedua-dua
cukai pendapatan individu dan syarikat.

GST pada hakikatnya merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif,
telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi
domestik serta meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global di samping
kurang terdedah kepada risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber
minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad.

Rakyat perlu memahami bahawa, GST sememangnya dirumus untuk mengurangkan


bebanan cukai terhadap Rakyat pada masa sekarang yang disebabkan oleh kelemahan-
kelemahan yang terdapat di dalam sistem cukai sedia ada. Objektif utama GST adalah
untuk menyeimbangkan skop asas cukai kepada segenap golongan masyarakat mengikut
paten penggunaan mereka. Secara prinsipnya, lebih banyak penggunaan, maka lebih
banyak pembayaran. Sebaliknya, semakin efektif sesuatu pekerjaan, semakin banyak hasil
yang dijana dan mereka patut menikmati cukai yang lebih rendah.
Bagi komuniti perniagaan, GST tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang dijual.
Ini bermakna, sebarang caj GST yang terdapat di dalam inbois jualan (GST Ouput) atau
belian (GST Input) bukanlah perlu ditanggung oleh para peniaga. Layanan perakaunan ini
tidak sama seperti sistem SST di mana SST adalah kos kepada perniagaan. Justeru itu,
dengan pemansuhan SST, kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat dijimatkan. Ini
seterusnya akan memberi nilai kepada pasaran, jika perniagaan tersebut menyalurkan
kembali penjimatannya kepada Rakyat.

Bagi menjamin kepentingan serta kebajikan segenap lapisan Rakyat, Kerajaan bakal
menetapkan bahawa mana-mana entiti perniagaan dengan nilai ambang atau jualan
terkumpul (Treshold) di bawah paras RM500,000 setahun tidak akan diwajibkan untuk
berdaftar sebagai syarikat berdaftar GST (GST Registrant). Penetapan ini akan
mengecualikan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana seperti kedai-kedai runcit
diluar bandar daripada memungut GST daripada pelanggannya, namun mereka dibenarkan
menyerap caj GST Input (sekiranya ada) ke dalam harga sebagai kos. Tindakan ini adalah
bagi mengurangkan impak perubahan harga terhadap Rakyat terutamanya yang
berpendapatan rendah. Secara relatifnya, walaupun caj GST Input diserap sebagai kos,
harga barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan tidak berdaftar GST
akan lebih lebih rendah berbanding era SST kerana perbezaan kadar cukai daripada 10%
kepada 4%.

Di dalam model GST Malaysia juga, terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi
menggalakkan industri pelancongan negara. Ianya dinamakan sebagai Skim Bayar Balik
Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) yang berupa insentif pemulangan GST
kepada pelancong yang berbelanja di Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa
pulang bersama mereka (mengikut terma-terma yang ditetapkan). Skim TRS ini berpotensi
untuk menarik minat pelancong asing yang mempunyai keupayaan berbelanja yang tinggi
dan sekaligus melipat gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang terlibat
secara langsung dengan industri pelancongan apabila GST dilaksanakan kelak.

Impak GST terhadap ekonomi domestik sebenarnya sangat besar. Ianya bukan sahaja
mampu memberikan nilai wang kepada Rakyat atau komuniti perniagaan, malahan GST
juga mampu mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif di samping merangsang
kemasukan pelabur dan pelancong asing ke Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kesan
berganda (Multiply effects) yang positif kepada ekonomi negara dan Rakyat secara
keseluruhannya.

Sebagai contoh, banyak peluang perkerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah
pelaburan yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan
syarikat yang rendah. Seterusnya, Rakyat akan memperoleh manfaat dalam bentuk nilai
wang serta peningkatan taraf hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk
pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penyediaan infrastruktur
kemasyarakatan yang lengkap. Apa yang lebih penting adalah janji Kerajaan untuk
berkongsi Kekayaan negara untuk kebajikan segenap lapisan Rakyat seperti pemberian
bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan dan perumahan serta lain-
lain lagi.

Anda mungkin juga menyukai