Anda di halaman 1dari 4

Kepentingan GST kepada ekonomi negara

Fakta Cukai di Malaysia


Kita sering kali mendengar rungutan dan keluh kesah Rakyat serta komuniti perniagaan
mengenai kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia yang
tinggi berbanding dengan negara jiran, Singapura. Perbandingan tersebut dibuat bagi
menunjukkan seolah-olah Kerajaan sedang menekan Rakyat dengan mengenakan cukai yang
tinggi dan menjadikan Malaysia kurang kompetatif dalam mengekalkan bakat untuk merangsang
pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur asing berbanding Singapura. Untuk rekod,
Singapura telah melaksanakan GST sejak tahun 1994.

Sebenarnya, kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia boleh
dirasionalisasikan secara berperingkat sekiranya Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan
terhadap Kerajaan untuk melaksanakan GST, sama seperti yang dilakukan oleh negara jiran,
Singapura. Ini kerana, GST berupaya menjana sumber hasil negara yang lebih kukuh dan stabil
bagi menggantikan kebergantungan sumber hasil daripada kedua-dua cukai pendapatan individu
dan syarikat.

GST pada hakikatnya merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus,
efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik serta
meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global di samping kurang terdedah kepada
risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang mempunyai
jangka hayat yang terhad.

Rakyat perlu memahami bahawa, GST sememangnya dirumus untuk mengurangkan bebanan
cukai terhadap Rakyat pada masa sekarang yang disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang
terdapat di dalam sistem cukai sedia ada. Objektif utama GST adalah untuk menyeimbangkan
skop asas cukai kepada segenap golongan masyarakat mengikut paten penggunaan mereka.
Secara prinsipnya, lebih banyak penggunaan, maka lebih banyak pembayaran. Sebaliknya,
semakin efektif sesuatu pekerjaan, semakin banyak hasil yang dijana dan mereka patut
menikmati cukai yang lebih rendah.

Bagi komuniti perniagaan, GST tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang dijual. Ini
bermakna, sebarang caj GST yang terdapat di dalam inbois jualan (GST Ouput) atau belian (GST
Input) bukanlah perlu ditanggung oleh para peniaga. Layanan perakaunan ini tidak sama seperti
sistem SST di mana SST adalah kos kepada perniagaan. Justeru itu, dengan pemansuhan SST,
kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat dijimatkan. Ini seterusnya akan memberi nilai kepada
pasaran, jika perniagaan tersebut menyalurkan kembali penjimatannya kepada Rakyat.

Bagi menjamin kepentingan serta kebajikan segenap lapisan Rakyat, Kerajaan bakal menetapkan
bahawa mana-mana entiti perniagaan dengan nilai ambang atau jualan terkumpul (Treshold) di
bawah paras RM500,000 setahun tidak akan diwajibkan untuk berdaftar sebagai syarikat
berdaftar GST (GST Registrant). Penetapan ini akan mengecualikan perusahaan-perusahaan
kecil dan sederhana seperti kedai-kedai runcit diluar bandar daripada memungut GST daripada
pelanggannya, namun mereka dibenarkan menyerap caj GST Input (sekiranya ada) ke dalam
harga sebagai kos. Tindakan ini adalah bagi mengurangkan impak perubahan harga terhadap
Rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah. Secara relatifnya, walaupun caj GST Input
diserap sebagai kos, harga barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan tidak
berdaftar GST akan lebih lebih rendah berbanding era SST kerana perbezaan kadar cukai
daripada 10% kepada 4%.

Di dalam model GST Malaysia juga, terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi
menggalakkan industri pelancongan negara. Ianya dinamakan sebagai Skim Bayar Balik
Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) yang berupa insentif pemulangan GST kepada
pelancong yang berbelanja di Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa pulang bersama
mereka (mengikut terma-terma yang ditetapkan). Skim TRS ini berpotensi untuk menarik minat
pelancong asing yang mempunyai keupayaan berbelanja yang tinggi dan sekaligus melipat
gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang terlibat secara langsung dengan industri
pelancongan apabila GST dilaksanakan kelak.

Impak GST terhadap ekonomi domestik sebenarnya sangat besar. Ianya bukan sahaja mampu
memberikan nilai wang kepada Rakyat atau komuniti perniagaan, malahan GST juga mampu
mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif di samping merangsang kemasukan pelabur
dan pelancong asing ke Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kesan berganda (Multiply
effects) yang positif kepada ekonomi negara dan Rakyat secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, banyak peluang perkerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah pelaburan
yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan syarikat yang rendah.
Seterusnya, Rakyat akan memperoleh manfaat dalam bentuk nilai wang serta peningkatan taraf
hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh
Kerajaan seperti penyediaan infrastruktur kemasyarakatan yang lengkap. Apa yang lebih penting
adalah janji Kerajaan untuk berkongsi Kekayaan negara untuk kebajikan segenap lapisan Rakyat
seperti pemberian bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan dan
perumahan serta lain-lain lagi.

Tugas penting bersama untuk GST

Kerajaan telah menerima pelbagai reaksi dan pandangan umum sejak membuat pengumuman
rasmi mengenai cadangan pelaksanaan GST di Malaysia pada Pembentangan Bejet 2005. Reaksi
dan pandangan umum tersebut jelas mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak
Kerajaan apabila Rang Undang-Undang GST ditarik balik sebelum bacaan kali kedua di
Parlimen pada April 2012 dan masih tidak diteruskan sehingga kini.

Jika diteliti secara menyeluruh, hampir kebanyakkan reaksi dan pandangan umum tersebut
adalah bersifat negatif atau menolak pelaksanaan GST disebabkan salah faham mereka mengenai
GST atau campur tangan politik. Manakala, pihak yang menerima dan menyokong pelaksanaan
GST adalah mereka yang kebanyakkannya terdiri daripada wakil-wakil akademik, permainpemain industri atau ahli-ahli ekonomi yang mempunyai asas pengetahuan yang mencukupi
untuk memahami mekanisma GST.

Jika situasi ekonomi Malaysia tanpa pelaksanaan GST masih berterusan, Kerajaan dijangka akan
menghadapi tempoh masa yang sukar dalam menguruskan ekonomi negara pada masa hadapan.
Antara cabaran terbesar adalah untuk menangani isu perubahan persekitaran ekonomi global
serta kebarangkalian penyusutan sumber-sumber domestik yang terhad seperti minyak dan gas.
Kesan kepada kekangan sumber hasil pada masa hadapan akan mengganggu momentum
pertumbuhan sebuah negara Malaysia yang makmur dan maju. Pihak yang akan menjadi mangsa
keadaan adalah Rakyat sendiri.

Bagi menangani isu penolakkan terhadap GST, Kerajaan perlu melipat gandakan usaha untuk
memberikan kefahaman yang secukupnya mengenai GST kepada Rakyat. Masalah penyampaian
maklumat GST menjadi kelemahan utama di pihak Kerajaan kerana sehingga kini tiada sebarang
hebahan yang efektif untuk menarik penerimaan Rakyat terhadap GST. Sebaliknya, Rakyat
semakin bertambah keliru serta salah sangka mengenai GST.

GST tiada kumpulan sasar tertentu, sebaliknya GST akan melibatkan keseluruhan Rakyat.
Kerajaan tiada pilihan selain daripada memperbetulkan persepsi Rakyat mengenai hakikat
keperluan GST untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang terbilang. Persepsi-persepsi negatif
mengenai ketelusan, akauntabiliti dan sikap amanah di dalam pengurusan perbendaharaan negara
perlu ditangani secara efisyen oleh Kerajaan.

Selain itu, pelaksanaan GST juga memerlukan kerjasama politik yang matang. Parti-parti politik
di Malaysia perlu meminggirkan kepentingan politik masing-masing buat seketika, bagi
membolehkan perkara yang betul mengenai masa hadapan ekonomi negara dapat dilakukan
untuk kebaikan seluruh Rakyat. Kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan kepada ilmu
pengetahuan menyeluruh mengenai GST, bukan hanya berdasarkan ilmu picisan yang dituntut
dikedai-kedai kopi atau dipetik dari cogankata murahan di laman-laman sosial semata-mata.
Jadilah pemimpin yang adil dan beramanah demi masa hadapan negara Malaysia yang tercinta.

Marilah Membangun dan Maju Bersama untuk Malaysia tercinta.