Anda di halaman 1dari 6

BERITA HARIAN 04.02.

2012

Kerja atau bina istana mana lebih utama?

LEBIH empat tahun Razali dan Sofea menyulam cinta, ketika sama-sama menuntut di
universiti. Usai pengajian, masing-masing riang menggenggam segulung ijazah. Bagaimanapun
Razali jadi buntu bila dua persoalan bermain dalam fikirannya.
Terus berkahwin sebab semua rakan sekuliah nak mewujudkan kembali trend berkeluarga
muda? Atau kerja dulu sebelum kahwin? Kalau lambat masuk meminang Sofea dikebas orang
pulak? Aduh melepas pula nanti. Macam mana ye?, gerutu Razali dalam hati.

Razali tidak bersendirian menghadapi situasi ini. Ramai lagi orang muda di luar sana,
berhadapan persoalan sama. Antara berkahwin terus selepas tamat pengajian atau bekerja dulu.
Masing-masing punyai alasan tersendiri sama ada terus berkahwin selepas tamat pengajian atau
memilih untuk bekerja dulu sebelum membina keluarga bahagian impian hati. Bagaimana
dengan anda?

PAKAR Motivasi, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara bekerja dan
berkeluarga, kedua-dua perkara itu amat mustahak dalam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, sekiranya berbicara aspek sosiologi dan senario hari ini, individu tidak boleh
menafikan asas utama kepada keharmonian rumah tangga dan pasangan hari ini ialah tidak lagi
boleh berpegang secara total terhadap perasaan cinta dan kasih sayang yang menentukan
kebahagiaan rumah tangga.
Senario semasa mahu setiap individu mantap dari segi ekonomi terutama memiliki pekerjaan.
Kerja tetap kurang risiko diberhentikan berbanding tiada kerja tetap. Mantap ekonomi bukan
bererti ada berpuluh ribu dalam akaun, sebaliknya bergantung kepada siapa, di mana dan bila,
katanya.
Siapa - ia bergantung kepada latar belakang individu. Sekiranya memiliki pendidikan rendah
dan gaji rendah, pilihan sewajarnya haruslah daripada kelompok yang sama juga. Kalau
pasangan dipilih daripada anak orang berada, ia boleh menjadi satu bebanan kerana selalunya
akan timbul konflik.

Di mana - membabitkan lokasi anda tinggal? Kalau di ibu kota, secara automatik perbelanjaan
menjadi tinggi. Sekiranya gaji sekadar cukup makan untuk seorang, lebih baik ditangguhkan
dulu hasrat berkahwin kerana ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.

Bila - pada tahun 1980-an, amat terhad kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT)
termasuk telefon dan pelbagai gajet. Namun, era ini, ia bagaikan satu keperluan dan kemestian.
Mahu atau tidak sesebuah keluarga itu mesti memilikinya.

Justeru, Dr Mohammad Shatar yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra
Malaysia (UPM), berkata kombinasi tiga perkara itu menjawab persoalan kemantapan
ekonomi individu untuk sama ada terus bergelar suami, isteri atau mencari pekerjaan selepas
tamat pengajian.

Diri sendiri saja yang tahu jawapannya dan arif mengenai kemampuan diri. Kalau berkahwin
atas desakan orang lain atau mengikut trend atau takut kawan mengusik, maka ia hanya
mengundang kepayahan diri sendiri, katanya.

Menyentuh aspek sosiologi, Dr Mohammad Shatar menjelaskan tali pengukur kesesuaian usia
berkahwin kepada lelaki dan wanita, masing-masing ialah 25 dan 23 tahun kerana pada usia
berkenaan, kedua-dua golongan itu sudah mencapai tahap matang.

Rasional angka itu, mengikut ahli psikologi, mendapati lelaki bawah usia 25 tahun lebih emosi
dan tertarik kepada wanita atas faktor tarikan seksual, selain kurang bertanggungjawab atau
memberi komitmen lebih serius.

Jika perkahwinan terlalu awal, khususnya kepada lelaki, apabila berlaku masalah dalam rumah
tangga suami akan merasa bosan. Bila matlamat berkahwin itu pun sudah tersasar, mulalah
timbul pelbagai alasan termasuk bermain kayu tiga, katanya.

Psikologi membuktikan tarikan antara lelaki dan wanita berlaku sejak individu masih muda.
Ketika di sekolah rendah tarikan terhadap seseorang atas dasar rupa paras. Pada peringkat
sekolah menengah pula tarikan kepada berlainan jantina menjurus kepada terikut dengan
aliran.

Pada usia 25 tahun ke atas, barulah lelaki muda lebih mempunyai fokus, lantaran angka usia
tidak boleh diketepikan dalam hal membabitkan perkahwinan.

Beliau menyarankan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga awal
seharusnya membuat persediaan mental dan fizikal selain mesti ada pekerjaan.

Selepas sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja, barulah terfikir kahwin. Ini kerana
dunia pekerjaan akan mendedahkan kepada pelbagai perkara termasuk pengurusan kewangan
yang kelak boleh dipraktikkan dalam alam rumah tangga, katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa golongan muda membuat simpanan sekurang-
kurangnya RM5,000 pada setiap masa sebagai persediaan waktu kecemasan.

Malah, cuba elakkan membuat pinjaman semata-mata untuk berkahwin, tetapi jika jalan buntu
mungkin boleh namun jangan terlalu banyak.

Kalau buat pinjaman hingga mengambil tempoh 20 tahun untuk dilangsaikan, bukankah ia
beban? Lebih baik buat majlis ikut kemampuan, katanya.

Membina rumah tangga seharusnya disertai dengan sikap tanggungjawab. Tanya pada diri
mengapa saya perlu berkahwin? dalam usia muda.

Dr Mohammad Shatar menegaskan jika remaja sudah bersedia segala-galanya pasti semuanya
perancangan dalam kehidupan berumahtangga berjalan lancar tanpa sebarang kekalutan atau
masalah.
Kahwin pada usia muda bukan perkara
pelik
BERITA HARIAN 10.05.2012- 08:22:37 AM
Cepat dirikan rumah tangga bagi pasangan berkasih sayang hindari zina, maksiat

RASULULLAH SAW memberi fokus kepada golongan muda kerana mereka permata yang
berharga hinggakan seorang sarjana Islam pernah menyatakan, jika ingin melihat masa depan
sesebuah negara lihatlah masa depan remaja atau anak mudanya.
Namun, fenomena kita alami kini anak muda dikhayalkan dengan percintaan terlarang yang
menyebabkan mereka lalai, lalu hanyut di arus noda dan maksiat. Kemudian timbullah
perbuatan haram seperti zina, membuang bayi dan membunuh diri.

Percintaan terlarang yang mereka bina telah mengakibatkan zaman muda mereka hancur begitu
saja. Islam telah menggariskan cara hidup cukup sempurna buat manusia sejagat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya
zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk. (Surah al-Israa, ayat 32)

Banyak kesan akibat daripada perbuatan zina antaranya merosakkan nasab keturunan,
mewujudkan gejala pembuangan bayi dan mencemarkan kehormatan.

Bagi mengelak gejala zina berleluasa, Islam telah menunjukkan alternatif yang berkesan iaitu
berkahwin. Golongan muda yang terjerat dalam masalah percintaan sebelum berkahwin
perlulah segera memperbetul gaya hidup mereka dengan mengesahkan hubungan melalui akad
nikah.
Secara realitinya, sememangnya golongan muda amat teruja untuk berkahwin kerana secara
fitrah gelora jiwa muda sememangnya bergejolak menyebabkan fikiran mereka tidak keruan
dan hanya memikirkan pasangannya. Mereka ingin menyayangi dan disayangi.

Hal ini telah dinyatakan dalam firman yang bermaksud: Dijadikan terasa indah pada
(pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu: wanita, anak, harta yang banyak
dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan
hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga). (Surah ali-Imran, ayat 14)

Namun, terdapat beberapa kekangan yang menghalang golongan muda meneruskan hasrat
murni mereka kerana dua faktor utama iaitu ibu bapa dan sumber kewangan. Hal ini
menyebabkan ramai golongan muda menjerumuskan diri mereka dalam percintaan yang jauh
daripada reda Ilahi.
Pada zaman generasi yang terdedah dengan sistem maklumat di hujung jari, ibu bapa kini
harus sedar, masyarakat sedang diserang dengan budaya hedonisme, masyarakat dikelilingi
hiburan yang melampau dan dipagari dengan kemaksiatan.

Oleh itu, jalan penyelesaian terbaik bagi menjaga pandangan lelaki yang beriman adalah dengan
berkahwin. Hal ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: Wahai sekalian
pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka
berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa
yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan berpuasalah ia dapat memelihara daripada
kejahatan. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa jangan memberi alasan bahawa anak perlu menamatkan pengajian di institusi
pengajian sebelum berkahwin. Sememangnya itu satu kesilapan yang kebanyakan ibu bapa
lakukan kerana syaitan dan hawa nafsu tidak mengira usia untuk disesatkan.

Golongan muda yang terdedah dengan persekitaran membangkitkan hawa nafsu wajar
dinikahkan kerana dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan suasana persekitaran itu dan
melepaskan syahwat pada jalan yang dilarang agama.

Faktor kedua yang menjadi pencetus kepada permasalahan ini ialah sumber kewangan. Dalam
hal ini, golongan remaja perlu sedar untuk menjejakkan kaki ke jenjang pelamin sebenarnya
bukanlah satu perkara yang sukar.

Masalahnya, masyarakat lebih suka menyusahkan diri kerana terlalu mengikutkan adat.
Contohnya, sewaktu melangsungkan kenduri perkahwinan kebanyakannya mengidamkan baju
mahal, pelamin mewah, juru solek dan makanan lazat untuk tetamu.

Jika mengikut hukum yang ditetapkan Islam segala-galanya akan menjadi mudah. Majlis
kenduri ada dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Adakanlah kenduri kahwin
walaupun hanya dengan seekor kambing.

Oleh itu, tidak menjadi permasalahan jika kita mengikut segala yang disarankan Islam, segala-
galanya akan menjadi mudah dan senang kerana Islam adalah agama yang mudah dan
praktikal.

Memberatkan perkara yang mudah sehingga melampaui batas kemampuan manusia hendaklah
dijauhi. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia menyusahkan diri mereka.

Perkahwinan di usia remaja suatu perkara yang sangat baik kerana dalam usaha pembinaan jati
diri mukmin, perkahwinan perlu diberi penekanan supaya segala aspek ibadah menjadi tenang
dan aman untuk dilaksanakan.

Hal ini ada dinyatakan Ibnu Abbas yang bermaksud: Tidak sempurna ibadah seseorang
sehingga dia bernikah.

Janganlah memandang kahwin muda sebagai suatu perkara yang pelik sebaliknya lihatlah
kemungkaran dan pergaulan bebas pada hari ini sebagai suatu yang sangat pelik, jijik dan kotor
supaya suasana persekitaran masyarakat bersih daripada segala penyakit sosial.

Anda mungkin juga menyukai