Anda di halaman 1dari 2

Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil.

Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan
tersebut.

Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata tempat. Di
Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi
dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi berkenaan mati kelemasan. Di
Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat benda berwarna kuning disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai.
Di China pula seorang bapa membuang anaknya yang berusia setahun ke dalam sungai kerana menyangka
anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja
perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang
kotor.

Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun 1999,
sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes
ini memerlukan langkah-langkah penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.

Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?

Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki
najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti
gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada
sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran
tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan
menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan
rumah orang yang berpengaruh.

Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan
kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental
dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.

Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada
satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut
daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti
Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap
kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah memberi pendedahan betapa punca sebenar
terletak pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan
personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar
remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang
sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-
anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.

Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang wujud
sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang
mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering kali diperkatakan.
Namun, jarang kita membuat analisis terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada
proses sosialisasi.

Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk
bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan
kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan
dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang boleh
dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau salah.

Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah
mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu sistem nilai, perpaduan dan
kesejahteraan masyarakat.

Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat
tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat
moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-bandar sebaliknya digantikan
dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya
dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah
elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai
yang tidak menyumbang kepada kemajuan.

Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan
seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara.
Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan Babys Craddle untuk mereka yang tidak tahu ke mana
hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan
dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik
supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Babys
Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh
lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.

Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-
tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau
orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih
oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh
ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.

Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan
diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang
sangat menyedihkan. Melalui undang-undang Safe Haven yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk
meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat
untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap
undang-undang Safe Haven ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi
bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah www.robynsnest.com/.

Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang
ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna
pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu
melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?

Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian
hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama
dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli
masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana
keberkesanan hukuman sedia ada ini?

Anda mungkin juga menyukai