Anda di halaman 1dari 21

Kerjaya Guru Diiktiraf Sebagai Kerjaya yang Profesional

Sembiring (2009) mendefinisikan guru sebagai pendidik profesional. Profesion


perguruan merupakan antara profesion yang tertua. Profesion perguruan pada masa
kini amat berbeza dengan zaman dahulu. Pada zaman sekarang guru bukan lagi
berfungsi sebagai penyampai ilmu tetapi sebagai pemudah cara pengetahuan dan
pembelajaran. Dalam Kamus Dewan (2005), profesion didefinisikan sebagai
pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas.
Ornstein, Levine, Gutek dan Vocke (2015) pula mendefinisikan profesion sebagai
pekerjaan yang berprestij tinggi dan memerlukan pendidikan formal yang
menyeluruh dan penguasaan ilmu pengetahuan yang melebihi pengetahuan orang
awam.

Profesional merujuk kepada golongan yang menjawat profesion tertentu


dan ciri-ciri yang terdapat dalam golongan tersebut (Noriati A. Rashid, Boon &
Wong, 2010b). Sesetengah orang memandang golongan profesional sebagai
golongan yang mendapatkan kelulusan akademik untuk mendapatkan pekerjaan,
tugasan yang diingini dan seterusnya kenaikan pangkat (Bagchi, 2011). Akan tetapi,
Bagchi (2011) berpendapat bahawa kebolehan melaksanakan sesuatu tugas sahaja
tidak melayakkan seseorang digelar seorang profesional. Seorang profesional mesti
menerima tanggungjawab ke atas pekerjaan dan tindakan mereka dan memahami
bagaimana pekerjaan dan tindakan mereka dapat memberikan manfaat kepada
orang lain. Evans (2008) dalam jurnal Professionalism, Professionality and the
Development of Education Professionals menyatakan bahawa Boyt, Lusch dan
Naylor (2001) menekankan profesionalisme sebagai sikap dan tingkah laku
seseorang terhadap profesionnya.

Kerjaya guru diiktiraf sebagai kerjaya yang profesional. Berdasarkan kajian


dan laporan antarabangsa, status keseluruhan profesion perguruan dianggap kurang
berprestij oleh orang ramai (Monteiro, 2014). Tanggapan sebegini adalah tidak tepat
kerana guru memikul tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak bangsa demi

1
kemajuan negara. Kerjaya lain yang dianggap sebagai profesional seperti doktor
pakar, jurutera dan peguam juga mendapat pendidikan awal melalui insan yang
bergelar guru. Antara ciri seorang profesional yang dikemukakan oleh Ornstein et al.
(2015) ialah penguasaan ilmu pengetahuan yang mendalam. Di Malaysia, bakal
guru dilatih selama satu tahun dalam kursus Persediaan Program Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan (PPISMP) dan empat tahun bagi Program Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Secara
keseluruhannya, seseorang akan melalui pendidikan selama 5 tahun sebelum
bergelar seorang guru. Dalam tempoh pengajian lima tahun ini, guru pelatih
dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran
opsyennya dari segi kandungan pedagogi, teori-teori serta teknik pengajaran dan
pembelajaran. Guru pelatih diberi latihan dari segi pengurusan bilik darjah dan lain-
lain perkara yang berkaitan dengan cara menangani cabaran pendidikan pada
zaman sekarang. Tambahan pula, guru pelatih juga melalui beberapa fasa latihan
lapangan iaitu praktikum dan internship untuk memastikan mereka dapat menangani
cabaran dan tanggungjawab yang datang bersama profesion perguruan. Ini telah
memenuhi kriteria seorang profesional yang telah dikemukakan oleh Ornstein et al.
(2015) iaitu a lengthy period of specialized training, yang bermaksud latihan khusus
dalam suatu tempoh masa yang panjang.

Sebagai bukti lagi, sebuah kajian telah dijalankan pada tahun 2013 untuk
mengenal pasti pendapat pelajar universiti terhadap tahap pelaksanaan prinsip-
prinsip pedagogi berkesan dalam pengajaran pensyarah tiada kelayakan ikhtisas
pendidikan dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di sebuah
universiti. Kajian tersebut telah menunjukkan bahawa tahap pengajaran pensyarah
kejuruteraan mekanikal yang tiada ikhtisas pendidikan berada pada tahap
sederhana dan telah dirumuskan bahawa mereka kurang kemahiran dalam prinsip-
prinsip pedagogi dan kurang memberi penekanan terhadap objektif pengajaran
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (Izyan Mumtaz, 2013).

Seorang yang profesional perlu mempunyai komitmen untuk memenuhi


keperluan klien (Talbert & McLaughlin, 1994). Laman web The Alberta Teachers'

2
Association menerangkan pengajaran sebagai aplikasi khusus pengetahuan dan
kemahiran untuk menyediakan satu perkhidmatan yang unik untuk memenuhi
keperluan seseorang individu atau masyarakat ("Nature of Teaching and Teaching
as a Profession", 2012). Mengikut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCRC), salah satu hak asasi kanak-kanak
ialah pendidikan sama ada formal atau tidak formal yang membolehkan kanak-kanak
memperkembangkan potensinya ("UN Convention on the Rights of the Child", 2015).
Kanak-kanak perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
menghadapi zaman globalisasi ini. Kanak-kanak secara umum memulakan
pendidikan dari tahap pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah
ke peringkat universiti. Di institusi-institusi pendidikan inilah kanak-kanak
mendapatkan pendidikan formal. Kebelakangan ini Kementerian Pelajaran Malaysia
menawarkan pelbagai program Pensiswazahan Guru bagi membekalkan para guru
yang berkemahiran tinggi alam pelbagai bidang dan dapat memenuhi keperluan
kanak-kanak terhadap pendidikan yang berkualiti.

Talbert dan McLaughlin (1994) juga menyatakan bahawa seorang profesional


perlu mempunyai autonomi profesional. Pada masa kini, guru mempunyai peluang
untuk membuat keputusan berkaitan aspek-aspek penting dalam kerjaya mereka.
Dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran seharian, guru perlu membuat
keputusan dalam mengenal pasti keperluan akademik murid-murid, menetapkan dan
melaksanakan pengajaran serta menilai perkembangan murid dalam pelajarannya
("Nature of Teaching and Teaching as a Profession", 2012). Guru akan menetapkan
strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang sesuai untuk murid-muridnya
berdasarkan keperluan dan kebolehan mereka dari semua aspek. Contohnya, guru
akan menggunakan pendekatan pembelajaran melalui bermain untuk kanak-kanak
yang kurang berminat terhadap pelajaran.

Kod etika yang menjamin komitmen seseorang terhadap kebajikan klien juga
merupakan salah satu ciri kerjaya profesional (Ornstein et al., 2015). Seperti mana
yang kita tahu, guru merupakan rol model kepada murid-murid. Oleh itu, guru perlu
menunjukkan sikap yang sesuai dengan profesionnya. Guru-guru di Malaysia terikat

3
dengan kod etika yang berfungsi sebagai panduan tingkah laku sepanjang
perkhidmatan mereka dalam profesion ini (Langford, 1978). Kod etika merupakan
satu set peraturan untuk memastikan para guru yang profesional tidak melakukan
sesuatu yang tidak diingini dan membantu mereka menjaga imej baik profesionnya.

Secara keseluruhannya, profesion perguruan di Malaysia boleh dikatakan


profesional kerana memenuhi kriteria-kriteria yang disebut di atas. Walau
bagaimanapun, kebanyakan masyarakat masih tidak melihat kerjaya perguruan
sebagai kerjaya yang profesional. Oleh itu, para guru haruslah berusaha untuk
meningkatkan profesionalismenya dengan melengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan baru yang selaras dengan perkembangan pesat dunia pendidikan.

4
Isu-isu Keguruan dan Cara Mengatasinya

Profesion perguruan merupakan satu profesion yang mulia, dihormati dan disanjung.
Walau bagaimanapun, profesion perguruan tidak terlepas daripada isu-isu hangat
yang diperkatakan seperti isu penyalahgunaan dadah, salah laku seks, rasuah,
salah guna kuasa, mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu yang diperkatakan
semakin bertambah hari demi hari dan menampakkan keburukan yang mencalarkan
imej profesion perguruan.

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata,


malahan mereka juga memikul tanggungjawab untuk menjadi rol model kepada
generasi muda. Tingkah laku guru sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat.
Kebelakangan ini, isu-isu dalam bidang keguruan semakin banyak mendapat liputan
akhbar dan menjadi topik perbincangan hangat dalam media sosial. Isu yang paling
kerap dibincangkan pada hari ini ialah isu guru memukul murid sehingga
menyebabkan kecederaan pada murid. Dalam akhbar The Star yang bertarikh 30
Julai 2016, satu kes ustaz yang merotan murid sekolah sehingga cedera telah
dilaporkan. Menurut artikel akhbar tersebut, ustaz tersebut telah merotan tiga orang
pelajar yang cuba melarikan diri dari sekolah dan seterusnya ditahan oleh pihak
polis. Menurut artikel tersebut juga, ustaz itu merupakan seorang guru ganti di
sekolah tersebut. Guru ganti yang bertugas di sekolah tersebut mungkin tidak
menerima latihan dan pendidikan seperti mana yang diterima oleh guru tetap.
Sekolah tersebut sepatutnya menyemak kelulusan guru sebelum menerimanya
sebagai seorang guru ganti. Ini adalah kerana guru yang terlatih dan profesional
telah menerima pendidikan yang secukupnya dalam cara-cara menangani murid-
murid yang bermasalah disiplin berat serta etika keguruan yang telah digariskan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran perlu melatih lebih ramai guru yang boleh


membimbing murid bermasalah, dengan hukuman rotan hanya sebagai pilihan
terakhir, kata Naib Pengerusi Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF), Tan

5
Sri Lee Lam Thye (Chuah, 2016). Salah satu cara yang paling baik dapat dilakukan
oleh guru untuk menangani maslah disiplin murid ialah memberikan nasihat kepada
murid tersebut atau mendapatkan bantuan unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
Sebagai langkah pertama, guru bolehlah berbincang secara individu dengan murid
untuk mengenal pasti sebab sebenar mereka melarikan diri dari sekolah. Setelah
situasi disiasat sepenuhnya, barulah pihak sekolah boleh menetapkan hukuman
yang setimpal untuk kesalahan disiplin yang dilakukan oleh murid. Contohnya,
memaklumkan masalah disiplin murid kepada ibu bapa dan denda mengutip sampah
atau membersihkan kelas.

Isu guru memukul murid sehingga cedera mungkin berpunca dari guru yang
tidak dapat mengawal emosi marah. Tekanan atau stres akan menyebabkan
kemarahan yang tidak terkawal dalam sesetengah individu (Rosenau, 2003). Oleh
itu, sekolah haruslah mewujudkan khidmat bimbingan dan kaunseling yang
dikhaskan untuk guru bagi menangani isu ini. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini
bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat daripada
pakar kaunseling jika mereka terlibat atau mengalami masalah gangguan emosi
yang boleh mengakibatkan mereka bertindak di luar kawalan. Selain itu, sekolah
juga boleh menganjurkan program pengurusan stres dan kemarahan (anger
management) untuk membantu guru-guru yang menghadapi masalah ini.

Isu guru terpaksa memikul beban tugas di luar bidang kerjanya juga
sering mendapat liputan dalam akhbar tempatan dan media sosial. Dalam artikel
Berita Hairan Online yang bertarikh 12 Mac 2016, Timbalan Perdana Menteri
Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, guru-guru di negara ini tidak
seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha
ke arah akademik dan kerohanian (Usah Beban Guru, 2016). Antara punca beban
tugas guru yang berlebihan ialah kekurangan kakitangan sokongan yang
menyebabkan kerja-kerja perkeranian seperti mengisi borang, menyediakan sistem
fail, memungut yuran dan kerja-kerja pentadbiran lain yang bukan di dalam bidang
tugas pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilakukan oleh guru (Hooper, 2013).
Tugas-tugas pentadbiran dan perkeranian seperti mengisi borang dan markah

6
peperiksaan secara online seharusnya diserahkan kepada pihak pentadbiran atau
kerani khas untuk melaksanakannya. Kerja-kerja makmal atau bilik khas juga
seharusnya diserahkan kepada pembantu makmal khas. Pertambahan kakitangan
sokongan boleh mengurangkan beban tugas guru dan seterusnya mengurangkan
tahap tekanan kerja dalam kalangan guru. Contohnya, sekolah membekalkan
pembantu makmal bagi membantu guru-guru menguruskan kerja-kerja stok dan
inventori bengkel, membantu mengendalikan ujian amali pelajar serta menjaga
kebersihan dan kekemasan bilik-bilik khas di sekolah seperti makmal sains dan bilik
kemahiran hidup.

Selain itu, pihak kementerian pelajaran juga seharusnya mengambil tindakan


untuk membekalkan pembantu guru khas untuk meringankan beban guru. Inisiatif
Penjajaran Tugas Utama Guru yang bertujuan untuk menempatkan pembantu guru
untuk meringankan beban guru telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran
tetapi masih berada pada peringkat perintis di Melaka dan Kedah. Di bawah inisiatif
ini, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Pentadbiran/Operasi),
Juruteknik Komputer dan Guru Tugas Khas iaitu Guru Data (GD), Guru
Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB) telah
ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban tugas operasi, pentadbiran dan
teknikal ICT (Program Penempatan Pembantu Guru Bakal Diperluas, 2015).
Inisiatif ini telah lama bermula tetapi masih belum dilaksanakan di semua sekolah.
Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya memberikan lebih perhatian terhadap
masalah beban guru dan memperluaskan inisiatif ini kepada semua sekolah di
Malaysia.

Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti merupakan satu artikel yang
diterbitkan oleh Utusan Online pada 2 Jun 2010. Menurut artikel tersebut, segelintir
guru di Kota Belud, Sabah 'ponteng' sekolah untuk pulang ke kampung masing-
masing sebelum cuti sekolah bermula. Segelintir guru ini mungkin terdiri daripada
guru yang ditempatkan di sekolah yang berjauhan dengan kampung masing-masing.
Menurut Cascio dan Aguinis (2014), ketidakhadiran bermaksud kegagalan
seseorang pekerja melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut

7
masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Sekiranya seseorang pekerja
tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai
ponteng kerja (Coventry, Cornish, Cooke & Vinall, 1984). Ponteng boleh
dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan
ponteng tugasan. Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke
sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang tidak munasabah. Antara alasan-
alasan yang sering diguna oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru
juga ponteng sekolah dengan pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika
musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang
kurang logik. Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas
atau lewat masuk ke dalam kelas secara sengaja atau keluar lebih awal sebelum
masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa alasan yang munasabah. Guru-
guru ini sering dilihat melepak di kantin sekolah, berbual atau bersembang kosong di
bilik guru, melayari media sosial dan sebagainya. Ponteng tugasan ialah tidak
melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya, guru
tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah, tidak menghadiri aktiviti ko-kurikulum, tidak menyertai program di sekolah
tanpa alasan yang munasabah, dan tidak menyiapkan kerja. Ponteng jenis ini
menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah
terbantut.

Isu guru sengaja lewat masuk ke kelas boleh dikaitkan dengan masalah
ponteng ini. Seperti yang telah disebut di atas, isu ini boleh dikategorikan sebagai
ponteng kelas. Guru lewat masuk ke kelas, biasanya memberikan pelbagai alasan
seperti terlupa jadual, terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan atau kononnya
dipanggil Guru Besar. Pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku apabila
guru tidak ada di dalam kelas. Yang paling ketara ialah suasana kelas yang menjadi
bising kerana murid-murid mengambil kesempatan untuk bersembang dan bermain-
main dalam kelas. Ada juga murid yang akan merayau-rayau di luar kelas. Ini akan
membawa kepada masalah disiplin lain seperti buli, vandalisme dan ponteng kelas.
Masalah in akan mencemarkan imej sekolah sekiranya secara kebetulan sekolah
dikunjungi oleh pelawat luar pada ketika itu. Selain itu, murid juga mungkin bergaduh
dalam kelas dan menyebabkan kecederaan kepada murid lain. Terdapat satu kes
8
murid bergaduh ketika ketiadaan guru dalam kelas yang telah dilaporkan oleh
akhbar New Straits Times pada 1 May 2016. Menurut artikel yang bertajuk Form
Two Boy Fractures Right Elbow in Classroom Bullying Incident itu, kejadian itu
berlaku apabila murid sedang menunggu ketibaan guru ke dalam kelas selepas
waktu rehat (Muhamading, 2016). Guru sepatutnya berada dalam bilik darjah sebaik
sahaja waktu rehat murid berakhir. Apabila berlaku kes sebegini, guru akan
bertanggungjawab dan dipersalahkan. Ini akan mendatangkan banyak masalah
kepada guru tersebut dan juga sekolah.

Isu guru ponteng dan lewat masuk kelas merupakan satu isu yang berkaitan
integriti guru (Basu, 2005). Integriti guru bermaksud guru perlu melaksanakan
amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum
(Noriati et al., 2010b, m.s. 25-26). Ini bermakna guru perlu meletakkan
tanggungjawabnya sebagai guru untuk mendidik anak bangsa melebihi kepentingan
diri sendiri. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil untuk memastikan integriti dan
imej profesion keguruan dijaga. Langkah mengatasi isu ini haruslah bermula dari
guru sendiri. Guru perlu sedar bahawa mereka merupakan pembentuk generasi
pemimpin negara pada masa hadapan. Justeru, seluruh warga pendidik perlu
memberikan komitmen yang tinggi untuk membentuk murid-murid ini menjadi
warganegara yang berguna, berilmu, berdisiplin dan berketerampilan. Guru-guru
yang terlibat dengan gejala lewat masuk kelas atau ponteng kelas, haruslah sedar
diri. Pihak pentadbir sekolah juga perlu mengambil berat tentang perkembangan
guru dan sekolah dengan menjalankan pemerhatian dan pemantauan yang
berterusan. Guru Besar haruslah sentiasa memantau dari kelas ke kelas untuk
memastikan guru-guru sentiasa amanah dengan tugas yang diberikan. Di samping
itu, pihak pentadbir juga boleh membuat perbincangan individu bersama guru yang
bermasalah untuk mengkaji dan mengetahui sebab sebenar guru tersebut
mengabaikan tugasnya. Mungkin guru tersebut menghadapi gangguan emosi yang
berpunca daripada tekanan kerja.

Dalam artikel dari laman web berita mStar, 117 Guru Di Sabah Diberi Surat
Tunjuk Sebab Langgar Tatatertib yang bertarikh 3 Julai 2010, Dr Muhiddin Yassin

9
berkata bahawa Seramai 267 guru di Sabah didapati melanggar tatatertib ketiga
bertugas dan daripada jumlah itu, 117 orang telah diberi surat tunjuk sebab. Jika
perbincangan telah dijalankan tetapi perkara ini masih berulang, pihak pentadbir
boleh mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran
kepada guru yang ponteng sekolah. Jika langkah tersebut juga tidak berkesan, pihak
pentadbir boleh mengenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan 23
(Ketidakhadiran Tanpa Cuti) yang terkandung dalam Peraturan Kelakuan Dan
Tatatertib 1993 (Pindaan 2002) terhadap guru yang tidak bertanggungjawab. Selain
itu, pihak atasan juga boleh melakukan lawatan mengejut ke sekolah-sekolah dari
semasa ke semasa bagi memastikan guru sentiasa mematuhi peraturan tugas dan
tanggungjawab masing-masing.

Baru-baru ini terdapat kes gangguan seksual oleh guru yang berlaku di
sebuah sekolah di Lembah Klang, Kuala Lumpur. Kes yang dilaporkan oleh Utusan
pada 4 April 2016 tersebut melibatkan seorang guru Pendidikan Jasmani yang
didakwa merogol seorang anak muridnya. Isu ini adalah berkaitan dengan isu
kesantunan guru. Kesantunan dibahagikan kepada tiga iaitu kesantunan berpakaian,
kesantunan tingkah laku dan kesantunan berbahasa (Syed Ismail & Ahmad Subki,
2010). Kes gangguan seksual merupakan isu kesantunan tingkah laku. Menurut
Francis (2001), gangguan seksual dapat didefinisikan sebagai permintaan seksual
yang tidak dikehendaki, permintaan untuk layanan seksual atau lain-lain kelakuan
verbal atau fizikal. Gangguan seksual tidak boleh diterima kerana ia menjejaskan
maruah dan kesejahteraan hidup seseorang. Dalam artikel Gangguan Seksual di
Tempat Kerja: Definisi, Kesan dan Langkah mengatasinya, Zakaria Ismail, Abdul
Malik dan Malani Achro (2001) mendapati bahawa Wilson (1995) telah
membahagikan gangguan seksual kepada 5 kategori iaitu bukan lisan (paparan
gambar di dinding, bersiul, pergerakan berisyarat seksual dan lain-lain), lisan
(penyataan, cadangan dan percakapan yang berunsur seksual yang tidak diterima),
Fizikal (tidak semestinya sentuhan), intimidasi (komen lucah mengenai pakaian,
rupa atau perbuatan) dan peras-ugut seksual. Kes rogol dalam berita di atas boleh
dikategorikan sebagai gangguan seksual fizikal. Menurut kajian oleh Magwa (2014)
dalam International Journal Of Education Learning And Development, beliau
berpendapat bahawa gangguan seksual di sekolah berlaku kerana keadaan kanak-
10
kanak yang masih kurang matang dan mudah dimanipulasikan. Magwa (2014) juga
menyatakan bahawa pada asasnya kanak-kanak dididik supaya menghormati dan
mematuhi arahan orang dewasa. Apabila diminta layanan seksual oleh guru, kanak-
kanak tidak berani menentang permintaan tersebut kerana bimbang akan reaksi
negatif daripada guru. Selain itu, guru juga mengambil kesempatan ke atas sikap
kepatuhan kanak-kanak kepada permintaan orang dewasa untuk melakukan
gangguan seksual (Magwa, 2014).

Untuk mengatasi isu gangguan seksual di sekolah, guru haruslah


mengekalkan hubungan profesional dengan murid. Guru tidak sepatutnya berada di
kawasan tertutup bersama seseorang pelajar kerana persekitaran sebegini adalah
kondusif untuk perkara-perkara yang tidak diingini. Bilik darjah atau bilik khas di
sekolah juga sepatutnya mempunyai tingkap supaya orang yang berada di luar bilik
tersebut dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik tersebut.

Selain itu, guru juga harus diberi pendidikan seks. Pendidikan seks adalah
bertujuan untuk memberi maklumat yang sebenar tentang kesalahan seksual yang
dilakukan lebih-lebih lagi dilakukan kepada murid. Di samping itu, pendidikan seks
juga mengetengahkan implikasi dan kesan yang dihadapi oleh pesalah gangguan
seksual jika mereka terus melakukan gangguan seksual kepada murid-murid.
Kerajaan juga boleh menganjurkan ceramah, kursus atau bengkel profesionalisme
keguruan untuk meningkatkan nilai-nilai positif dan kesedaran tentang
tanggungjawab sebagai pendidik dalam kalangan guru. Nilai-nilai kemanusiaan,
kasih sayang, moral, etika, dan tanggungjawab perlu diterapkan ke dalam diri setiap
guru. Nilai hidup yang baik dapat mengelakkan mereka daripada melakukan
gangguan seksual yang bertentangan dengan norma hidup. Penguatkuasaan
undang-undang juga penting untuk menangani isu gangguan seksual di sekolah.
Tindakan tatatertib haruslah dikenakan terhadap guru yang didapati melakukan
gangguan seksual di sekolah. Guru-guru ini perlu dihentikan perkhidmatan serta-
merta dan dihadapkan kepada pihak penguat kuasa undang-undang.

11
Kerja sambilan membawa maksud seseorang yang mempunyai pekerjaan kedua di
mana kebiasaannya dilakukan pada waktu malam secara rahsia sebagai tambahan
daripada pekerjaan utamanya. Seperti yang dinyatakan oleh Noriati et al. (2010b),
Azanza (2000) berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu cara
untuk memperoleh pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap.
Antara sebab guru menjalankan kerja sambilan ialah kerana kos sara hidup yang
tinggi pada masa kini. Guru-guru terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk
menampung perbelanjaan seharian. Dalam artikel Utusan Online yang bertajuk
Guru Kerja Luar Semakin Serius, Kementerian Perlu Kaji Pensyarah Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, antara kerja
luar yang sering dilakukan oleh guru ialah mengajar di kelas tuisyen berbayar,
terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta
pelbagai produk seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan.
Beliau juga berpendapat bahawa kualiti pengajaran guru akan terjejas kerana
komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar (Guru Kerja
Luar Semakin Serius, 2011). Akibatnya guru-guru menjadi letih secara fizikal dan
mental dan tiada masa untuk membuat persediaan pengajaran dengan efektif.

Biasanya, tujuan utama guru mengambil keputusan untuk bekerja sambilan


ialah untuk menambah pendapatan demi menampung kos sara hidup yang semakin
meningkat kebelakangan ini. Guru-guru ini kadang-kala tiada pilihan. Oleh kerana
pendidik adalah tergolong sebagai penjawat awam, mereka tertakluk kepada
peraturan Perintah Am Kerajaan (Noriati et al., 2010a). Untuk mengatasi isu guru
bekerja sambilan sehingga menjejaskan tugasnya di sekolah, mereka perlu
memohon kebenaran daripada pihak pentadbir sekolah iaitu Guru Besar terlebih
dahulu. Kelulusan hanya akan diberikan jika kerja sambilan tersebut tidak
bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam, tidak dilakukan dalam waktu
bekerja rasmi dan tidak menjejaskan kebergunaannya sebagai penjawat awam.

Menurut sebuah artikel dari malaysiakini.com, seorang guru dari Kedah yang
bertugas di sekolah kebangsaan bantuan kerajaan berkata bahawa beliau
menggunakan duit sendiri untuk membeli alat bantuan mengajar. Beliau berkata,

12
Kami menggunakan duit sendiri untuk beli bahan mengajar walaupun sepatutnya
dana itu daripada kerajaan (Muhamad & Kalpana, 2015). Perkara ini juga
merupakan salah satu punca guru bekerja sambilan untuk menambah pendapatan.
Untuk mengatasi isu ini, pihak kerajaan perlu memperuntukkan bajet kepada
sekolah supaya sekolah boleh memperuntukkan wang kepada guru untuk
perbelanjaan yang berkaitan dengan tugas sekolah seperti membeli bahan bantu
mengajar, kos kenderaan mengiringi murid untuk aktiviti luar sekolah dan
peruntukan wang untuk pelbagai aktiviti sekolah.

Cara lain untuk mengatasi isu ini adalah tindakan kerajaan mengkaji semula
gaji guru. Guru yang ditempatkan di kawasan yang kos sara hidupnya tinggi seperti
di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang wajar diberi gaji yang lebih tinggi untuk
memastikan mereka dapat menampung perbelanjaan harian mereka. Jika guru tidak
menghadapi masalah kewangan, sudah tentu isu guru bekerja sambilan dapat
dikurangkan. Sebenarnya, kerjaya sambilan boleh dilakukan oleh guru dengan
kebenaran dan syarat kerjaya sambilan itu tidak menjejaskan tugas guru di sekolah.
Sifat tanggungjawab terhadap kerja sebenar lebih penting berbanding kerja
sampingan. Oleh itu, guru haruslah bertanggungjawab jika hendak bekerja sambilan
dan tidak sama sekali mengabaikan tugas hakiki di sekolah sebagai pendidik.

Kesimpulannya, seorang guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik


supaya dihormati dan boleh dicontohi oleh murid. Guru perlu harus memiliki sifat
profesionalisme dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugasnya sebagai
pendidik. Pendedahan salah laku dan isu keguruan di media massa boleh
mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada pandangan
masyarakat umum. Oleh itu, etika dan tatasusila profesion perguruan yang menjadi
pegangan harus sentiasa difahami, dihayati dan diamalkan oleh warga guru. Dengan
mengamalkan etika keguruan yang telah digariskan, isu-isu keguruan seperti yang
dibincangkan akan dapat dibendung dan diatasi dengan berkesan.

13
Tindakan yang Perlu Guru Lakukan Untuk Meningkatkan Kemahiran dalam
Proses Perkembangan Kerjaya Guru Khususnya Bagi Mencapai Matlamat
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 2025

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025 (PPPM) merupakan satu


dokumen lengkap yang mengandungi strategi untuk menaik taraf sistem pendidikan
supaya selaras dengan sistem pendidikan terbaik di negara maju. Tujuan PPPM
dibangunkan ialah untuk memahami prestasi dan cabaran semasa dalam sistem
pendidikan Malaysia, mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid
dan sistem pendidikan serta menggariskan transformasi sistem pendidikan yang
komprehensif termasuk perubahan penting dalam Kementerian Pendidikan
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).

Antara hasrat PPPM ialah untuk melahirkan murid yang berupaya bersaing
pada peringkat global. Untuk mencapai hasrat ini, murid perlu mempunyai 6 ciri
utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Dalam usaha untuk
mentransformasikan pendidikan negara, guru memainkan peranan paling utama
(Yap, 2015). Mary Yap (2015) selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi juga
berpendapat bahawa komitmen dan usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan
adalah sebahagian tugas utama guru bagi menjamin kualiti murid yang dihasilkan.

Untuk melahirkan generasi murid yang bertaraf global seperti yang


dihasratkan dalam PPPM, guru sendiri perlu melengkapkan dirinya dengan
pengetahuan yang bertaraf global. Isu kualiti guru perlu ditangani sekiranya
matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang meletakkan
sasaran negara berada dalam kelompok satu pertiga teratas sistem pendidikan
terbaik dunia ingin dicapai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (Matlamat PPPM, 2014).
Oleh itu, guru perlu meningkatkan kemahiran profesionalnya dengan mengamalkan
konsep pembelajaran sepanjang hayat. Sharma (2004) menyatakan bahawa
pembelajaran boleh dan perlu berlaku sepanjang hidup seseorang.

14
Dunia pendidikan dan permintaan dunia adalah sentiasa berubah.
Ratnavadivel et al. (2014) dalam kajiannya ke atas program pendidikan guru di
Malaysia menyatakan bahawa murid menghadapi masalah dalam memperoleh
kemahiran-kemahiran abad ke-21 kerana guru sendiri tidak memiliki kemahiran
tersebut. Oleh itu, guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat supaya
dapat melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar yang
seiring dengan perkembangan dunia abad ke-21. Pembelajaran abad ke-21
menekankan komunikasi, pemikiran kritis, kolaborasi dan kreativiti. Kemahiran-
kemahiran yang perlu dikuasai dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-
21 ialah kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan
teknologi, dan kemahiran hidup dan kerjaya. Satu contoh pendekatan pengajaran
yang sesuai ialah pengajaran berpusatkan murid. Hal ini kerana, pembelajaran
berpusatkan murid dapat menggalakkan murid mengamalkan kemahiran berfikiran
aras tinggi (KBAT). Selain itu, murid juga dilatih untuk belajar tanpa bantuan guru
dan mengemukakan idea-idea yang kreatif dalam pembelajaran seharian. Ini adalah
seiring dengan hasrat PPPM yang ingin melahirkan murid yang berpengetahuan dan
berkemahiran berfikir secara kritis.

Guru perlu memperkembangkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan


kemahiran agar dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Matlamat
ini boleh dicapai dengan mewujudkan kolaborasi profesional dalam kalangan guru di
sekolah. Smylie (1989) (seperti disebut dalam Amin Senin, 2008, m.s. 21)
menyatakan bahawa kolaborasi guru dapat memupuk pembelajaran guru.
Kolaborasi guru dapat mewujudkan suasana yang menggalakkan guru-guru bekerja
dan belajar bersama-sama (Amin Senin, 2008). Guru-guru dapat saling berkongsi
pengalaman dan bertukar idea secara terbuka supaya dapat meningkatkan amalan
profesional. Kepakaran dalam pengajaran boleh diperoleh daripada perkongsian
ilmu dari guru-guru pakar dan lebih berpengalaman. Tschannen-Moran (2004) juga
mencadangkan bahawa komuniti pembelajaran profesional diamalkan oleh sekolah
kerana komuniti sebegini dapat mewujudkan kerjasama profesional yang dapat
meningkatkan kemahiran guru dan menggalakkan keberkesanan secara kolektif
yang diperlukan bagi meningkatkan pencapaian pelajar (seperti disebut dalam
Bacote & Humphrey, 2009, m.s. 70).
15
Guru berperanan bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, tetapi juga sebagai
seorang fasilitator dan pembimbing (Croft, Coggshall, Dolan, Powers, & Killion,
2010). Guru sebagai fasilitator berperanan untuk mencetuskan perbincangan,
mengemukakan soalan terbuka untuk menggalakkan pemikiran secara kritis,
membimbing murid dalam tugasannya dan menggalakkan penglibatan aktif murid
dalam aktiviti bilik darjah. Wittmer & Myrick (1974) mengemukakan enam ciri yang
perlu ada pada guru sebagai fasilitator iaitu mendengar secara efektif, ketulenan,
pemahaman, menghormati, berpengetahuan dan kemahiran dalam komunikasi
interpersonal. Fokus akan diberikan kepada pengetahuan guru. Sebagai fasilitator
ilmu, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas tentang
mata pelajaran yang diajar. Guru boleh meningkatkan pengetahuannya melalui
Latihan dalam Perkhidmatan (LDP). LDP dapat menyediakan peluang kepada guru
untuk memperbaharui dan menambah ilmu pengetahuan serta memperbaiki amalan
pengajaran mereka. Melalui LDP, guru juga dilengkapkan dengan kemahiran
mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, pembinaan bahan bantu
belajar yang berkesan, serta merancang pelbagai aktiviti yang dapat merangsang
minda murid-murid. Ini akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid.
Selain itu, LDP juga membekalkan guru dengan maklumat terkini tentang cabaran-
cabaran dan isu-isu dalam bidang pendidikan serta langkah-langkah untuk
mengatasinya (Noriati et al., 2010b).

Amalan reflektif dapat memperkayakan diri dan merangsang amalan


profesional. Refleksi yang dikemukakan oleh Dewey (1933) (seperti yang disebut
dalam Lyons, 2010, m.s. 484) menjadi satu asas dalam mengkaji proses kognitif
guru semasa membuat keputusan tentang pengajaran dan pembelajaran. Refleksi
memberi peluang guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan
kelemahan diri. Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta membaiki
proses pembelajaran mereka dengan efektif. Antara strategi yang boleh dilakukan
oleh guru untuk meningkatkan profesionalisme mereka ialah penulisan
jurnal/reflektif. Dalam penulisan reflektif, Schon (1983) membezakan proses
pemikiran kepada refleksi semasa tindakan di mana seseorang melihat semula dan
memikirkan permasalahan yang wujud untuk memahami situasi manakala refleksi ke
atas tindakan di mana guru merenung kembali proses pemikirannya dan
16
menganalisis situasi sebelum merancang tindakan susulan. Kedua-dua refleksi
semasa tindakan dan refleksi ke atas tindakan dapat membantu guru berkembang
diri dalam bidang profesionalnya.

Guru juga dapat meningkatkan kemahiran ialah melalui E-Learning iaitu


proses pembelajaran yang menggunakan teknologi maklumat. E-Learning boleh
dilakukan pada bila-bila masa sahaja dengan adanya talian internet. Kebanyakan
guru juga mempunyai telefon pintar pada masa kini yang boleh digunakan untuk
melayari internet. Dengan kemajuan teknologi ini, guru dapat mencapai maklumat
yang terkini dengan pantas dan mudah. Contohnya, guru boleh menggunakan enjin
pencari (search engine) seperti Google untuk memperoleh pelbagai maklumat yang
relevan kepada perkembangan kerjayanya.

Kesimpulannya, perkembangan profesional keguruan merupakan satu proses


berterusan dalam garis hayat profesion seseorang guru. Guru haruslah menyedari
kepentingan perkembangan kemahirannya dalam membentuk generasi muda yang
mampu bersaing secara global. Guru juga harus bertanggungjawab atas
peranannya sebagai pemangkin kepada peningkatan mutu pendidikan negara
seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

17
Bibliografi

Amin Senin. (2008). Pembangunan Profesional Guru. Kuala Lumpur: Utusan


Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Bacote, C & Humphrey, P. (2009) Growing Teacher Professionalism Through
Professional Learning Communities and Trust. Journal of Cross-Disciplinary
Perspectives in Education, 2(1), 70-77
Bagchi, S. (2011). The Professional: Defining the New Standard of Excellence at
Work. New York, N.Y.: Portfolio/Penguin.
Basu, K. (2005). Teacher Truancy in India: The Role of Culture, Norms and
Economic Incentives. SSRN Electronic Journal. http://dx.doi.org/10.2139
/ssrn.956057
Cascio, W. & Aguinis, H. (2014). Applied Psychology in Human Resource
Management, (7th ed.). Upper Saddle River, N.J.. Pearson Education.
Chuah, B.K. (2016). Train Teachers to Counsel Students, Not Cane Them. New
Straits Times. Diperoleh daripada http://www.nst.com.my/news/2016/05/146974
/train-teacher-counsel-students-not-cane-them
Coventry, G., Cornish, G., Cooke, R., & Vinall, J. (1984). Skipping School. An
Examination of Truancy in Victorian Secondary Schools. St Kilda Road,
Melbourne: Victorian Institute of Secondary Education.
Croft, A., Coggshall, J., Dolan, M., Powers, E., & Killion, J. (2010). Job-Embedded
Professional Development: What It Is, Who Is Responsible, and How to Get It
Done Well (pp. 8-10). Washington, DC: National Comprehensive Center for
Teacher Quality. Diperoleh daripada https://learningforward.org/docs/pdf/
jobembeddedpdbrief.pdf
Evans, Linda (2008) Professionalism, Professionality and the Development of
Education Professionals. British Journal of Educational Studies, 56 (1). pp. 20- 38.
Francis, L. (2001). Sexual Harassment as an Ethical Issue in Academic Life.
Lanham, Md.: Rowman & Littlefield Publishers.
Guru Kerja Luar Semakin Serius, Kementerian Perlu Kaji. (2011, 2 September).
Utusan Online. Diperoleh daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp
?y=2011&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_18.
htm
Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti. (2010, 2 Jun). Utusan Online. Diperoleh
daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=
Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm#ixzz4HZBBwMO
Hooper, R. (2013). Role Conflict Experienced by Teachers. [Tempat diterbit tidak
dinyatakan]: Lulu Com.

18
Ismail, Zakaria and Habeeb Mohd, Abdul Malik dan Malani Achro (2001) Gangguan
Seksual di Tempat Kerja: Definisi, Kesan dan Langkah Mengatasinya. Jelapang,
2(2). pp. 1-12.
Kamus Dewan (2005), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013 - 2025. Putrajaya. Diperoleh daripada http://www.moe.gov.my
/cms/upload_files/articlefile/2013/articlefile_file_003107.pdf
Langford, G. (1978). Teaching as a Profession. Manchester [England]: Manchester
University Press.
Lyons, N. (2010). Handbook of Reflection and Reflective Inquiry. Dordrecht:
Springer.
Magwa, S. (2014). Managing Sexual Abuse of Students by Teachers. A Case Study
Of Masvingo District Secondary Schools In Zimbabwe. International Journal Of
Education Learning And Development, 2(2), 11-21.
Matlamat PPPM: Tangani Dulu Isu Kualiti Guru. (2014, 13 Mac). Sinar Harian.
Diperoleh daripada http://www.sinarharian.com.my/nasional/matlamat-pppm-
tangani-dulu-isu-kualiti-guru-1.259827
Monteiro, A. (2014). Teaching as a Profession. The Teaching Profession, 61-100.
http://dx.doi.org/10.1007/978-3-319-12130-7_5
Muhamad, A. & Kalpana, M. (2015). Belanjawan 2016: Pendidik Harap dihargai.
Malaysiakini. Diperoleh pada 27 Julai 2016, daripada https://www.malaysiakini
.com/news/312065
Muhamading, M. (2016). Form Two Boy Fractures Right Elbow in Classroom
Bullying Incident. (2016, 1 May). New Straits Times. Diperoleh daripada
http://www.nst.com.my/news/2016/05/142803/form-two-boy-fractures-right-elbow-
classroom-bullying-incident
Nature of Teaching and Teaching as a Profession. (2012). The Alberta Teachers'
Association. Diperoleh pada 25 Julai 2016, daripada https://www.teachers.ab.ca
/About%20the%20ATA/Governance/PolicyandPositionPapers/Position%20P
apers/Pages/Nature%20of%20Teaching%20and%20Teaching%20as%20a%20
Profession.aspx
Noriati A. Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Majid.
(2010a). Guru dan Cabaran Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar.
Noriati A. Rashid., Boon, P., & Wong, K. (2010b). Asas Kepimpinan dan
Perkembangan Profesional Guru. Shah Alam: Oxford Fajar.
Ornstein, A., Levine, D., Gutek, G., & Vocke, D. (2015). Foundations of
Education(13th ed.). Boston, MA: Cengage Learning.
Program Penempatan Pembantu Guru Bakal Diperluas Mahadzir. (2015, 26
Oktober). Berita Harian. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/node
/92019

19
Ratnavadivel, N., Chang, L., Salih, M., Low, J., Karuppiah, N., & Ainon Omar et al.
(2014). Curriculum Framework for Preparing Quality Teachers for the Future:
Developing Guiding Principles. Journal Of Research, Policy & Practice Of
Teachers & Teacher Education, 4(2), 32-42.
Rosenau, P. V. (2003). The Competition Paradigm. Lanham, Md.: Rowman &
Littlefield Publishers.
Schon, D. (1983). The Reflective Practitioner. [New York]: Basic Books.
Sembiring, M. (2009). Menjadi Guru Sejati (2nd ed.). Yogyakarta: Best Publisher.
Sharma, T. (2004). Meaning of Lifelong Learning. New Delhi, India: Sarup & Sons.
Syed Ismail Syed Mustafa & Ahmad Subki Miskon. (2010). Guru dan Cabaran
Semasa. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia.
Talbert, J. & McLaughlin, M. (1994). Teacher Professionalism in Local School
Contexts. American Journal Of Education, 102(2), 123-153. http://dx.doi.org
/10.1086/444062
Tan, G. C. (2016). Ustaz Held to Help Probe - Teacher Allegedly Caned Students
Who Ran Away From School. The Star. Diperoleh daripada http://www.thestar.
com.my/news/nation/2016/07/29/religious-teacher-under-probe-over-severe-
caning-of-pupils/
UN Convention on the Rights of the Child. (2015). Save the Children UK. Diperoleh
pada 20 Julai 2016, daripada http://www.savethechildren.org.uk/about-us/what-
we-do/child-rights/un-convention-on-the-rights-of-the-child
Usah Beban Guru dengan Kerja Pentadbiran TPM. (2016, 12 Mac). Berita Harian.
Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/node/133115
Wittmer, J. & Myrick, R. (1974). Facilitative Teaching: Theory and Practice. Pacific
Palisades, Calif.: Goodyear Pub. Co.
Yap, M. (2015) Guru Berperanan Lahir Pelajar Capai Standard Global. (2015, 13
Ogos). Berita Harian. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/node/74472

20
Lampiran

21

Anda mungkin juga menyukai