Anda di halaman 1dari 6

PROFESION KEGURUAN : SATU PILIHAN TERAKHIR? MENITI REALITI DAN HAKIKATNYA.

Pengenalan Pendidikan yang juga dipanggil pembelajaran, pengajaran atau persekolahan dalam erti kata umum adalah apa-apa perbuatan atau pengalaman yang mempunyai kesan ke atas pembentukan minda, pada sifat atau keupayaan fizikal individu atau secara teknikalnya pendidikan boleh dikatakan sebagai suatu proses di mana ahli masyarakat menyampaikan sebarang jenis pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai dari satu generasi kepada satu generasi yang lain (Wikipedia, 2011).

Hakikatnya, dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira samada dari segi pendidiknya, kaedah yang digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkat serta isu-isu semasa yang tidak pernah sunyi dari membabitkan diri pendidik tersebut. Bidang perguruan sering dianggap sebagai profesion kelas pertengahan yang jauh ditinggalkan oleh bidang-bidang profesional yang lain seperti bidang kedoktoran, kejuruteraan mahupun bidang perakaunan. Masyarakat menganggap bidang ini adalah pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya profesional lain yang sesuai atau tidak mendapat kerja. Masyarakat menganggap untuk menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang sukar. Hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar disamping membuat sedikit kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi borang.

Bidang keguruan sering dianggap sebagai satu kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah orang. Ada di antara graduan yang ditanya mengenai pemilihan kerjaya mereka, ramai yang memberikan jawapan yang hampir senada iaitu bidang keguruan adalah pilihan terakhir mereka. Apakah benar bidang perguruan ini merupakan pilihan terakhir dan adakah menjadi seorang guru itu merupakan satu kerja yang begitu mudah sebagaimana yang disangka?

Realiti dan Hakikat Profesion Keguruan Perkataan keguruan diambil dari perkataan dasarnya iaitu guru. Mengikut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh manakala perkataan keguruan pula berkaitan dengan guru, berkaitan dengan peranan, tugas dan kelayakan sebagai guru. Pada asasnya tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar menjadi insan yang syumul selain daripada memberikan ilmu sebagaimana yang dihasratkan dalam Pendidikan Kebangsaan. Falsafah

Sebenarnya tanggungjawab mendidik anak bangsa bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Apabila kita menandatangani perjanjian untuk menjadi seorang pendidik, jatuh bangun sesuatu bangsa terletak di atas bahu kita. Persoalan sama ada profesion ini menjadi pilihan utama atau terakhir tidaklah menjadi suatu pemasalahan yang besar. Ini adalah kerana dalam arena pendidikan Malaysia pada hari ini, kebanyakan daripada para pendidik tidak kiralah di sektor pendidikan rendah mahupun menengah, sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh para guru keluaran KPLI dan DPM. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa para guru keluaran KPLI dan DPM ini sebenarnya telah mempunyai kelayakan bidang profesional lain seperti kejuruteraan, kedoktoran, keguaman dan sebagainya sebelum mereka terjun ke bidang perguruan. Punca

sebenar golongan ini memilih kerjaya guru selepas sekian lama mendalami profesion kerjaya yang lain ini adalah pelbagai. Walau apapun puncanya, satu hakikat yang perlu kita terima ialah mereka kini adalah sebahagian daripada nadi pendidikan tanah air. Kenyataannya adalah walau sesukar mana untuk diterima, seluruh warga Malaysia sepatutnya akur biarpun ada yang mengatakan golongan yang memilih profesion perguruan ini sebagai pilihan terakhir tidak dapat melaksanakan tugas dalam bidang perguruan dengan baik dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bahawa golongan ini melaksanakan tugas seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Justeru, dalam menangani apajua masalah yang timbul kesan daripada hakikat ini, semua pihak sama ada pihak kerajaan yang terdiri daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, sekolah dan individu guru itu sendiri perlu memikirkan cara yang paling bijak dalam menguruskan sumber tenaga kerja di bidang perguruan ini agar akhirnya golongan generasi pewaris negara dapat dididik dan menjadi satu bangsa yang gah bergaya cemerlang dan terbilang modal insannya.

Saya suka melihat dan memandang isu ini dalam suatu aspek yang luas dan umum kerana pada pandangan saya walau apapun masalah yang timbul melibatkan ruang lingkup pekerjaan sebagai seorang guru, ianya tetap tidak boleh lari daripada aspek betapa perlunya latihan-latihan dari masa ke semasa bagi seseorang guru tidak kiralah guru yang telah meletakkan profesion perguruan ini sebagai pilihan utama semenjak dari mula mahupun kepada guru yang meletakkan kerjaya perguruan ini sebagai pilihan terakhir dalam hidup mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa pihak kerajaan telah pun berusaha dan melaksanakan pelbagai tindakan dalam melahirkan guru yang benar-benar berkualiti agar apa yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaanakan terus berjaya contohnya seperti penetapan piawai yang tinggi dalam kriteria

pemilihan calon guru seperti pelaksanaan Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTesT) serta temuduga individu dan berkumpulan, penyediaan tenaga pengajar yang berkualiti dalam melatih bakal guru, peningkatan taraf institusi pendidikan, pemantapan kurikulum, penambahbaikan terhadap kebajikan guru, pengenalan kepada kod etika perguruan, penambahbaikan dalam sistem kenaikan pangkat dan sebagainya. Namun, tanpa latihan-latihan dalam perkhidmatan yang benarbenar berkualiti, taraf profesion perguruan ini tetap tidak akan dapat dimartabatkan dengan jayanya biarpun pelbagai program yang kedengaran cukup hebat dan sempurna telah dijalankan dipelbagai peringkat dalam hirarki struktur pendidikan negara.

Untuk meningkatkan profesionalisme guru, aspek latihan merupakan satu perkara yang sangat perlu dititiberatkan. Latihan-latihan dalam perkhidmatan ini seolah-olah menjadi satu peranti konsep pembelajaran sepanjang hayat serta menjadi semakin penting kerana perubahan yang berlaku dengan begitu pantas dalam dunia pendidikan negara. Para calon yang ingin menjadi guru dan yang sedang menjadi guru tidak kiralah sama ada mereka ini terdiri daripada kumpulan yang benar-benar ingin menjadi seorang guru mahupun kumpulan yang akhirnya memilih kerjaya perguruan setelah puas mencuba pelbagai profesion lain bukan sahaja perlu diberi latihan praperkhidmatan yang relevan dan mencukupi untuk menghadapi gelombang perubahan yang berlaku di sekolah, malah mereka juga perlu mengemaskinikan ilmu teras dan ilmu pedagogi menerusi sistem pemajuan profesional yang meluas dan mantap. Maka usaha yang lebih serius perlu dilakukan untuk memastikan kritikan terhadap profesion perguruan tidak lagi berlanjutan dan secara tidak langsung dapat menaikkan taraf profesionalisme dikalangan para guru.

Selain daripada usaha dan tindakan daripada pihak kerajaan, diri individu guru itu sendiri juga perlulah mempunyai tahap kualiti yang tinggi kerana guru merupakan seorang pendidik bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga di luar kelas dan diluar sekolah. Guru yang berkualiti ialah guru yang berdedikasi, bertanggungjawab serta sanggup berkorban, mempunyai

akauntabiliti yang cemerlang, pakar dalam ilmu pengetahuan, profesional, mahir dalam semua hal perguruan, tentang teori dan amalannya, pengajaran dan pembelajaran, peka terhadap perkembangan pendidikan, mengikuti perkembangan ilmu dan patuh kepada tatasusila profesion perguruan kerana pendidikan yang berkesan kepada seseorang murid hanya akan dapat diperolehi daripada seorang guru yang mampu mendidik dengan berkesan. Manakala, untuk memiliki segala kriteria kecemerlangan ini, seseorang guru itu terutamanya mereka yang memilih kerjaya ini sebagai pilihan terakhir perlulah menanam minat untuk menyayangi profesion ini dengan sepenuh hati dan mereka juga perlu menjadi seorang individu yang peka terhadap apajua aspek, perkara, isu mahupun permasalahan yang timbul dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pendidik kerana di atas usaha apapun, jika seorang pendidik itu tidak cakna terhadap profesionnya, segalanya akan menjadi sia-sia dan sepi.

Akhirnya, walau apapun pandangan dan tanggapan masyarakat terhadap profesion keguruan ini, seharusnya tidak mampu untuk melunturkan semangat para pendidik kerana profesion keguruan sebenarnya merupakan satu profesion yang sangat mulia. Golongan masyarakat seharusnya sedar akan cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah terhadap golongan ini. Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profesion ini perlulah dipandang tinggi serta disokong di pelbagai lapisan masyarakat kerana tanpa guru siapalah kita hari ini.

Rujukan : Wikipedia. (2011). Electronic dictionary. http://www.wikipedia.org Mohd Nasaruddin Parzi & Muhd Amirul Faiz Ahmad (2011). Polis lebih stres berbanding guru. Dicapai pada 27 September 2011. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Polislebihstresberbandingguru/Article/index_ html

Anda mungkin juga menyukai