Anda di halaman 1dari 4

KEBANGKITAN CHINA SEBAGAI KUASA BARU MARITIM DUNIA

Nazery Khalid

Fokus dagangan antarabangsa kini bertumpu ke negara China yang sedang mengalami
pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat. China semakin bangkit sebagai kuasa baru
ekonomi dunia yang menjana dagangan global dan secara langsung menyemarakkan
pertumbuhan ekonomi rakan-rakan dagangannya.

Semenjak peralihan ekonominya dari sistem kawalan pusat kepada ekonomi


berorientasikan pasaran, fenomena kebangkitan ekonomi dan sektor maritim China amat
mengkagumkan para penganalisa ekonomi dan pemerhati industri maritim. Diukur dari
segi purchasing power parity, negara Tembok Besar ini telah muncul sebagai ekonomi
kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, dengan Keluaran Negara Kasar (KNK)
yang dianggarkan berjumlah US$2 trilion atau 13% dari KNK dunia pada tahun 2005.

Perkembangan ini telah dan akan terus mencorakkan lanskap pertumbuhan sektor
maritim China yang menyediakan kaedah pengangkutan penting bagi dagangannya.
Jumlah kargo yang dikendalikan oleh pelabuhan-pelabuhan kontena utamanya telah
menunjukkan peningkatan mendadak di tahun-tahun kebelakangan ini. Ini telah
mendatangkan impak yang besar kepada pertumbuhan sektor yang telah muncul sebagai
salah satu sektor strategiknya.

Menurut UNCTAD, agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang memantau dagangan dunia,


China kini telah muncul sebagai negara maritim keempat terbesar di dunia jika diukur
dari segi saiz fleet dagangannya yang menyumbang 6.77% dari jumlah kapasiti (tan)
kapal dagangan dunia pada tahun 2004. Ia juga menyumbang 6.2% dari jumlah
dagangan dunia dari segi nilai pada tahun yang sama. Tujuh dari 20 pelabuhan-
pelabuhan kontena terbesar dunia terletak di China, mencerminkan peralihan pusat graviti
kuasa maritim dunia dari barat ke timur. China juga merupakan antara tiga kuasa dunia
di dalam pembinaan kapal, satu aktiviti penting dalam industri maritim.

Para perancang ekonomi China ghairah mengatur perancangan untuk terus meningkatkan
kapasiti pelabuhannya untuk menoyokong pertumbuhan dagangan dan trafik kontenanya.
Ini telah menjadi satu matlamat berkepentingan nasional memandangkan tahun-tahun
mendatang bakal menyaksikan dagangan China bertumbuh dengan pesatnya. Ini
diunjurkan akan menggandakan jumlah kargonya, terutamanya dalam sektor pembuatan,
dan bakal menuntut kapasiti pelabuhan yang lebih tinggi dan perkhidmatan perkapalan
yang lebih berdayasaing kelak.

Kerajaan China jelas memberikan perhatian yang khusus kepada pembangunan sektor
maritimnya seperti yang dibentangkan di dalam Rancangan 11 Tahun Kelima negara
tersebut yang diumumkan hujung tahun lalu. Di dalamnya, fokus ditumpukan kepada
pelaburan dan pembangunan pelabuhan-pelabuhannya bagi menyokong perkembangan
mengkagumkan dagangan dan ekonominya. Rancangan ini menggariskan strategi
bersistematik untuk mengembangkan kapasiti sektor maritim China ke arah
menjadikannya kuasa dunia dalam bidang tersebut.

Pelabuhan-pelabuhan kontena utama China telah berkembang dengan pesatnya untuk


tersenarai di antara pelabuhan-pelabuhan utama dunia. Pertumbuhan mereka telah
mengatasi pelabuhan-pelabuhan Asia lain yang ternama seperti Kobe dan Yokohama di
Jepun. Tiga di antara pelabuhannya iaitu Hong Kong, Shanghai dan Shenzen kini telah
muncul di kalangan lima pelabuhan yang tersibuk di dunia.

Mendahului ledakan pertumbuhan pelabuhan di China ini ialah pelabuhan di Ningbo


yang mencatatkan kadar pertumbuhan kargo yang tertinggi di antara pelabuhan-
pelabuhan dunia iaitu 44% pada tahun 2004. Ia mengendalikan 4 juta TEU pada tahun
tersebut berbanding 2.77 juta TEU* pada tahun 2003. Manakala pelabuhan Shanghai
dijangka bakal menjadi pelabuhan hub yang terbesar di Asia dan akan menjadi pusat
agihan dan perkhidmatan logistik China untuk dagangan antarabangsanya. Tumpuan
kargo dan pelaburan asing telah menyaksikan Shanghai, bandaraya terbesar di China
dengan 17.9 juta penduduk, bertumbuh dengan lebih pesat berbanding dengan kawasan
pertumbuhan lain di negara tersebut. Pelabuhannya dijangka akan mengendalikan
kapasiti berjumlah 25 juta TEU menjelang 2010, dua kali ganda dari kapasiti yang
dikelolakannya pada tahun 2004. Pembinaan pelabuhan baru di Yangshan tidak jauh dari
Shanghai yang bakal mempunyai empat terminal dan mampu mengendalikan 30 juta
TEU bila siap seluruh fasa pembangunannya kelak menggariskan komitmen China untuk
menjadi negara unggul dalam dagangan maritim.

Selain dari pelabuhan kontena, pelabuhan-pelabuhan lain juga sedang dibangunkan untuk
menampung permintaan tinggi China terhadap sumber tenaga seperti minyak dan gas
serta komoditi pukal seperti bijih besi dan bijirin. Terminal terbesar di China bagi
menerima kapal pengangkut minyak mentah terbesar (VLCC) sedang dibina di Dalian
yang bakal menampung enam loji penapisan yang mempunyai kapasiti berjumlah 46 juta
tan.

Pembentukan beberapa gugusan wilayah-wilayah ekonomi juga telah menyumbang


kepada perkembangan pelabuhan di China. Kawasan sepertinya termasuk Delta Sungai
Yangtze, Delta Pearl River, kawasan Beijing-Yianjin-Hebei, wilayah barat China,
wilayah tengah China dan wilayah perindustrian utara negara itu. Delta Pearl River
terutamanya, yang merangkumi Hong Kong dan Macau, telah muncul sebagai salah satu
kawasan pertumbuhan terpesat di China dan menyediakan pasaran ekonomi yang sangat
menarik. Kawasan ini telah bertumbuh pada kadar 11% sepanjang 14 tahun
kebelakangan ini. Menggariskan kemakmuran kawasan ini, Delta Pearl River akan
menjadi di antara 11 ekonomi terbesar di dunia sekiranya ia sebuah negara. Ia kini
dikenali sebagai pusat pengeluaran barangan ringan utama di dunia yang mendahului
dalam pelbagai kategori barangan. Di samping itu, kerajaan China juga akan
membangunkan sebuah projek pelabuhan utama di Xiamen di pesisiran selatan-timurnya
berdekatan dengan Taiwan bagi meningkatkan dagangan bebas di antara kedua-duanya.

Dengan meningkatnya kegiatan industri pengeluaran di wilayah timur dan utara China,
pembangunan infrastruktur kawasan-kawasan ini juga meningkat dengan pesatnya untuk
menyokong aktiviti tersebut. Keperluan China untuk memperbaiki jalinan pengangkutan
di antara wilayah tengahnya dengan pelabuhan-pelabuhan pesisiran pantainya menjadi
semakin kritikal dengan peningkatan tumpuan sektor pengeluaran di koridor Sungai
Yangtze, sungai terpanjang negara itu. Dengan pembukaan Empangan Three Gorges,
empangan terbesar di dunia hari ini, pergerakan kontena dijangka akan meningkat di
sekitar kawasannya. Pengangkutan sungai dan pembangunan pelabuhan sepanjang
sungai juga diberikan perhatian di dalam membangunkan prasarana pengangkutan
kontena di China bagi menyokong perkembangan dagangannya.

Pelabuhan-pelabuhan China juga telah meningkatkan jalinan strategik dengan syarikat-


syarikat pengendali pelabuhan ternama di dunia. Sebagai contoh, pelabuhan Dalian,
pelabuhan petroliam terbesar di China, telah menjalin hubungan strategik dengan APM
Terminals, Cosco Pacific dan Ports of Singapore Authority (PSA) untuk membangunkan
pelabuhan tersebut untuk menyediakan perkhidmatan kepada wilayah timur-utara China.
PSA juga melabur di dalam pelabuhan Guangzhou, manakala China dan Singapura telah
menandatangani persetujuan untuk meningkatkan kerjasama di dalam bidang maritim,
merangkumi pengurusan dan pembangunan pelabuhan, latihan dan perkapalan.

Kesan kemunculan China sebagai kuasa baru maritim dunia dapat dirasakan oleh sektor
maritim banyak negara termasuk Malaysia sendiri. Semakin banyak pelabuhan-
pelabuhan di negara-negara yang berdagang dengan China, termasuk pelabuhan-
pelabuhan kontena utama kita iaitu Pelabuhan Kelang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas,
telah meningkatkan kapasiti mereka bagi menampung jumlah dagangan yang semakin
meningkat dengan China.

Di sebalik perkembangan infrastruktur seperti tambahan kawasan berlabuh atau berths


dan peralatan seperti kren, pelabuhan-pelabuhan ini juga telah mengembangkan skop
aktiviti serta fungsi mereka. Banyak yang telah menambah serta memperbaiki
perkhidmatan logistik dan sokongan tambahan-nilai mereka untuk meningkatkan tahap
kompetitif mereka bagi menarik kargo dari China dan mengendalikan ekspot ke negara
tersebut. Malah beberapa negara telah membina pelabuhan baru hasil kesan peningkatan
dagangan antarabangsa mereka dengan China Pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas
sendiri secara tidak langsung dilandaskan di atas peningkatan jumlah dagangan di antara
Malaysia dengan China dan untuk mengambil peluang menjadi transshipment hub bagi
mengendalikan kontena keluar-masuk negara serta rantau ini dengan China.
Kebangkitan sektor maritim China membawa bersamanya pelbagai cabaran untuk
pelabuhan-pelabuhan rakan dagangannya. Mereka harus meningkatkan kapasiti dan
tahap persaingan mereka untuk mengendalikan jumlah kargo yang meningkat di antara
mereka. Pelabuhan-pelabuhan tersebut harus terus meningkatkan infrastruktur, tahap
perkhidmatan, produktiviti serta kecekapan operasi dan pengurusan mereka untuk
menampung dagangan dengan China yang diunjurkan akan terus meningkat dengan
pesatnya di tahuntahun mendatang.

Nazery Khalid ialah Fellow Penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA)


nazery@mima.gov.my / www.mima.gov.my

2 Ogos 2006

*
TEU - twenty-foot equivalent unit atau kontena sepanjang 20 kaki - ialah ukuran piawai kapasiti kargo
yang diangkut menggunakan kontena yang digunapakai di dalam industri perkapalan.

Anda mungkin juga menyukai