Anda di halaman 1dari 5

ULASAN ARTIKEL GAYA KEPIMPINAN GURU BESAR DAN TAHAP EFIKASI

GURU

Artikel ini merupakan hasil kajian oleh Baharuzaini Baharin, Muhammad Hisham Adnan,
Mohd Hanif Mohd Zin, Mohd Norshiyam Kamaludin, dan Azlin Norhaini Mansor dari Fakulti
Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap gaya kepimpinan guru besar dan tahap
efikasi guru. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk mengenal pasti gaya kepimpinan guru besar
dan tahap efikasi guru serta hubungan antara dua aspek ini. Dengan itu, hasil dapatan mereka
mengesahkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara Gaya Kepimpinan Instruksional,
Transformasional dan Demokratik dengan tahap efikasi guru.

Secara keseluruhan, tujuan artikel ini dihasilkan adalah untuk melaporkan hasil kajian para
penulis terhadap gaya kepimpinan guru besar dan tahap efikasi guru sekolah rendah luar bandar di
Gua Musang, Kelantan. Para penulis berpendapat bahawa terdapat perkaitan yang releven antara
gaya kepimpinan guru besar dan tahap efikasi guru. Hal ini demikian kerana guru besar merupakan
watak utama yang memainkan peranan dalam membimbing sekolah ke arah pencapaian pendidikan
yang cemerlang (Ali & Mohamed, 2016). Dengan itu, ciri-ciri pemimpin yang diamalkan oleh guru
besar akan mempengaruhi pencapaian sesebuah sekolah (Azizi, Noordin & Lim, 2010).

Artikel ini dimulakan dengan pengenalan tentang konsep gaya kepimpinan dan tahap
efikasi guru dalam mencapai dasar serta matlamat pendidikan negara. Dalam artikel ini, para
penulis turut mengenal pasti serta membincangkan antara gaya kepimpinan trandisional dan gaya
kepimpinan moden, yang mana telah menjadi pilihan amalan dalam kalangan guru besar.
Seterusnya, artikel ini juga membincangkan dapatan kajian iaitu hubungan antara gaya kepimpinan
guru besar serta tahap efikasi guru. Dengan itu, terdapat beberapa isu yang telah dibangkitkan
dalam artikel ini terutamanya perbincangan tentang hubungan gaya kepimpinan serta tahap efikasi
guru dalam mencapai dasar serta matlamat pendidikan negara.

Berdasarkan kepada artikel ini, isu utama yang dibangkitkan adalah ciri-ciri kepimpinan
guru besar mempengaruhi pembangunan kapasiti guru di sesebuah sekolah. Pembangunan kapasiti
guru yang dimaksudkan oleh para penulis adalah kemampuan dan kebolehan guru dalam
meningkatkan pencapaian murid (Aziah & Abdullah, 2009). Sebagai seorang pemimpin, Shahril
dan Yahya (2007) menjelaskan bahawa guru besar seharusnya berfikiran kreatif dan keterbukaan
dalam segala pengurusan pentadbiran sekolah. Justeru, dalam artikel ini telah menunjukkan
bahawa gaya kepimpinan tradisional seperti autokratik dan laissez-faire tidak lagi releven sebagai
gaya kepimpinan sekolah abad-21. Hal ini demikian kerana persaingan abad-21 amat sengit dan
semua warga sekolah seharusnya mempunyai kebolehan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam konteks ini, guru besar yang memainkan peranan sebagai pemimpin perlu bersifat motivasi
1
dan mengiktiraf semua warga sekolah, iaitu guru dan murid untuk menunjukkan potensi masing-
masing dan bukan mengawal serta menentukan segala urusan (Mat Rahimi & Mohd Yusri, 2015).
Natijahnya, guru besar pada abad-21 yang mendukung gagasan pendidikan negara seharusnya
memiliki ciri-ciri kepimpinan moden yang boleh menjadi pemangkin dalam merangsang
pencapaian sekolah.

Lanjutan daripada itu, tahap efikasi guru turut dijadikan sebagai isu dalam usaha mencapai
dasar serta matlamat pendidikan negara. Antara isu yang dibangkitkan adalah usaha guru dalam
mengatasi kelemahan pencapaian akademik murid serta pendekatan pengajaran guru dalam
meningkatkan pencapaian akademik. Tahap efikasi seorang guru dikatakan tinggi sekiranya
seorang guru tersebut menunjukkan usaha yang berkesan dalam mengembangkan potensi murid
dan meningkatkan pencapaian akademik murid (Awanis, Ainunmadiah & Siti Noor, 2016).
Menurut Tschannen-Moran, Hoy & Hoy (2001), seorang guru yang mempunyai tahap efikasi
tinggi akan berusaha melaksanakan tugas pengajaran melalui pelbagai pendekatan dan aktiviti. Hal
ini menjelaskan bahawa tahap efikasi guru bergantung kepada usaha yang disumbangkan dalam
meningkatkan pencapaian murid. Namun demikian, secara tidak sedar, pelaksanaan pengajaran
guru lazimnya dipengaruhi dengan motivasi sekolah (Shafinaz, Chua, Hussein, & Leong, 2016).
Menurut Ummi (2014), sekiranya pihak sekolah atau guru besar tidak memberi sokongan sosial,
maka guru akan kurang bermotivasi untuk memperbaikikan pengajaran sendiri kerana berpendapat
segala usaha tidak akan diberi penghargaan. Oleh yang demikian, hal ini dikait kembali dengan
gaya kepimpinan guru besar di sekolah.

Walau bagaimanapun, penyataan artikel yang mengatakan bahawa terdapat hubungan yang
signifikan antara gaya kepimpinan dan tahap efikasi guru tidak disokong oleh Law & Law (2011).
Menurut kajian Law & Law (2011) mendapati faktor demografi dan gaya kepimpinan guru besar
tidak mempengaruhi komitmen guru dan seterusnya tidak mempengaruhi tahap efikasi guru.
Shahril dan Yahya (2007) juga pernah menjelaskan bahawa berbanding gaya kepimpinan guru
besar, kecerdasan emosi guru besar lebih memainkan peranan dalam mempengaruhi tahap efikasi
guru. Misalnya, Masitah et al. turut mengenal pasti faktor pengetahuan seorang guru juga akan
mempengaruhi tahap efikasi guru di samping faktor persepsi guru terhadap amalan kepimpinan
instruksional guru besar. Tambahan pula, efikasi guru boleh dijelaskan sebagai kepercayaan
seseorang guru itu akan keupayaan diri sendiri untuk menjalankan proses pembelajaran dan
pengajaran yang mampu meningkatkan prestasi murid (Shafinaz, Chua, Hussein, & Leong, 2016).
Dengan itu, kepercayaan adalah satu persepsi, di mana ia amat bergantung kepada pandangan
subjektif seseorang. Secara tidak langsung, hal ini turut menjelaskan bahawa kepercayaan
seseorang itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Oleh yang demikian, pengabaian faktor lain dalam
mempengaruhi tahap efikasi guru akan menimbulkan isu dalam perbincangan.
2
Secara keseluruhannya, artikel ini merupakan satu penulisan yang informatif kerana telah
mendedahkan kepada pembaca pelbagai jenis gaya kepimpinan selain gaya kepimpinan tradisional.
Misalnya gaya kepimpinan transformasi dan instruksional merupakan gaya kepimpinan yang
moden di mana ia adalah lebih releven dengan budaya sekolah abad-21. Sebaliknya, gaya
kepimpinan seperti autokratik, demokratik dan laissez-faire merupakan gaya kepimpinan
trandisonal di mana ciri-ciri gaya kepimpinan mereka bersifat agak umum dan tidak releven lagi
dengan pengurusan pendidikan abad-21. Oleh yang demikian, artikel ini memberikan informasi
yang releven dengan keperluan pendidikan masa kini.

Namun demikian, perbincangan artikel ini hanya berasaskan hasil kajian gaya kepimpinan
dan tahap efikasi guru di sebuah sekolah rendah luar bandar di Gua Musang. Hal ini menunjukkan
bahawa keputusan dan perbincangan ini tidak dapat digeneralisasikan kepada semua situasi
sekolah rendah di Malaysia. Tambahan pula, bilangan sampel guru sebagai responden dalam kajian
ini juga agak kurang. Secara tidak langsung, ini menunjukkan tahap kesahan kajian ini yang rendah
kerana data yang menyokong hasil kajian ini turut menjadi kurang. Lazimnya, perbincangan hasil
kajian ini hanya boleh dijadikan sebagai satu data dan rujukan sahaja tetapi tidak dapat dijadikan
sebagai satu fakta.

Kesimpulannya, dapatan kajian artikel ini mengesahkan bahawa terdapat hubungan yang
signifikan antara Gaya Kepimpinan Instruksional, Transformasional dan Demokratik dengan tahap
efikasi guru di sekolah rendah luar bandar Gua Musang. Justeru, konklusi ini tidak dapat dijadikan
sebagai satu fakta yang boleh diaplikasikan dalam semua situasi sekolah rendah luar bandar kerana
ia merupakan satu kajian yang berdasarkan kepada sebuah sekolah tersebut sahaja. Namun
demikian, hakikat bahawa gaya kepimpinan guru besar merupakan antara faktor yang boleh
mempengaruhi tahap efikasi guru juga tidak boleh dinafikan.

(1047p.p)

3
Senarai Rujukan:

Ali bin Abdu & Mohamed Yusoff Mohd Nor. (2016). Instructional leadership of headmaster and
teachers commitment in rural primary school. Retrieved August 10, 2017, from
https://sted2017.files.wordpress.com/2016/12/3-4-ali-bin-abdu-mohamed-yusoff-mohd-
nor.pdf.

Awanis binti Mohd, Ainunmadiah binti Mohd Nawawi & Siti Noor Binti Ismail. (2006). Tahap
efikasi guru dan hubungannya dengan pencapaian sekolah di sekolah-sekolah menengah
dalam daerah bachok. International Seminar on Generating Knowledge Through Research,
UUM USMIDA. Universiti Utara Malaysia, 25-27 October.

Aziah Ismail & Abdullah bin Saad. (2009). Kepentingan kapasiti kepemimpinan guru dalam
pengurusan sekolah. Pengurusan Pendidikan, 9(2), 49-54.

Azizi Yahaya, Noordin Yahaya & Lim Ting Theng. (2010). Gaya kepimpinan guru besar dan
hubungannya dengan faktor-faktor kepimpinan di sekolah penerima anugerah sekolah
cemerlang di negeri melaka. Retrieved August 10, 2017 from
http://eprints.utm.my/10134/2/ukm.pdf.

Baharuzaini Baharin, Muhammad Hisham Adnan, Mohd Hanif Mohd Zin, Mohd Norhisyam
Kamaludin, & Azlin Norhaini Mansor. (2016). Gaya kepimpinan guru besar dan tahap
efikasi guru. Journal of Personalized Learning, 2(1), 9-17.

Law Kuan Poh & Law Kuan Kheng. (2011). Hubungan antara tahap komitmen guru terhadap
organisasi dengan gaya kepemimpinan guru besar srjk(c). Voice of Academia, 6(2), 161-
180.

Masitah Hj. Mohd. Yusof, et. al. (2013). Faktor-faktor yang mempengaruhi efikasi-kendiri guru
sekolah menengah di malaysia dalam pelaksanaan pendidikan alam sekitar. Asia Pacific
Journal of Educators and Education, 28, 131-153.

Mat Rahimi Yusof & Mohd Yusri Ibrahim. (2015). Sumbangan kepimpinan instruksional maya
terhadap kompetensi pengajaran guru. E-proceeding of the International Conference on
Social Science Research, ICSSR 2015. Meli Hotel Kuala Lumpur, Malaysia, 8 9 June.

Shahril @ Charil Marzuki & Yahya bin Don. (2007). Kecerdasan emosi dan kepimpinan
pendidikan dalam pembentukan sekolah berkesan. Masalah Pendidikan, 30(1), 113-126.

Tschannen-Moran, M., Anita Woolfolk Hoy & Wayne K. Hoy. (1998). Teacher efficacy: its
meaning and measure. Review of Educational Research, 68(2), 202-248.

4
Ummi Kalsom binti Zakaria. (2014). Faktor-faktor yang mempengaruhi tekanan kerja dalam
kalangan guru sekolah menengah daerah hulu terengganu, terengganu darul iman.
Unpublished Degree Thesis. Universiti Utara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai