Anda di halaman 1dari 2

UCAPAN TUAN GURU BESAR

MAJLIS GRADUASI TAHUN 6/2016

Terima kasih kepada Puan Pengerusi Majlis.

Yang Berbahagia Dato Shakaruddin Bin Che Mood,


Pengarah MSCM Intergrated Resourses, Mantan Ketua Polis Daerah Kajang.

Yang Berbahagia Tuan Haji Mahadi Bin Jahis, Yang Dipertua PIBG SK Sungai
Kantan

Yang Berusaha, barisan guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru SK Sungai Kantan,


Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG, Ibu bapa, para pelajar yang diraikan serta hadirin
hadirat yang dikasihi Allah sekalian.

Assalamualaikum Wrt. Wbt. dan Salam 1 Malaysia, Salam Sehati dan Sejiwa.

Alhamdulillah, syukur atas keizinan yang diberikan oleh Allah SWT serta rahmat dan
kasih sayang-Nya. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan
terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata
dalam Majlis Hari Graduasi Tahun 6/ 2016, Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan,
Kajang, Selangor. Saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah
SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dan berkumpul pada hari
yang penuh bermakna ini.
Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato
Shakaruddin Bin Che Mood, yang sudi hadir dan seterusnya merasmikan Majlis
Graduasi Tahun 6 2016.

Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana majlis ini yang
tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar dan
teratur. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh
warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan Majlis
Graduasi Tahun Enam ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan
untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa
depan negara.
Sebagaimana tahun-tahun yang lalu, Majlis Graduasi Tahun Enam merupakan
acara tahunan sekolah. Program seumpama ini diadakan bagi memberikan
pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar tahun enam yang telah berjaya
menamatkan pengajian pada peringkat sekolah rendah dan telah menunjukkan
pencapaian yang cemerlang dalam bidang Akademik, Sahsiah, dan Ko Kurikulum
sekali gus mengharumkan nama sekolah sama ada di peringkat Daerah mahupun di
peringkat Negeri.

Yang Berbahagia Datuk, tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekalian,

Selaku Guru Besar, saya turut berasa bangga dengan pencapaian anak-anak Tuan-
Puan. Oleh itu, teruskanlah kecemerlangan yang dicita-citakan kerana kejayaan dan
kecemerlangan bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan dan kembara yang
tidak ada batas sempadannya. Saya berharap agar kecemerlangan hendaklah
menjadi budaya dan darah daging dalam setiap aspek kehidupan dan tidak terhenti
setelah kita menamatkan zaman persekolahan sahaja. Pada tahun ini seramai 103
orang calon telah menduduki UPSR di SK Sungai Kantan. Semoga usaha dan jerih
perih semua guru dan pelajar Tahun 6 berbaloi setanding dengan keputusan yang
bakal keluar nanti. Untuk makluman para hadirin, SK Sungai Kantan telah
mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah selama tiga tahun berturut-turut iaitu
2.22 (2012), 2.13(2013) dan 2.03 (2014). . Begitu juga dengan bilangan pelajar yang
Berjaya mendapat 5A, seramai 4 orang pada tahun (2012), 8 orang (2013) dan 8
orang(2014). Dan InsyaAllah, tahun ini kita mensasarkan seramai 16 orang pelajar
mendapat 5A dan GPS di bawah 2.0. SK Rinching Hilir juga Berjaya melonjak hampir
1000 tangga dalam kedudukan sekolah sekolah di Malaysia iaitu dari kedudukan
2600 ke 1700. Kita akan terus mengorak langkah agar suatu hari nanti SK Rinching
Hilir juga akan tergolong dalam Sekolah Kluster Kecemerlangan dan seterusnya
Sekolah Berprestasi Tinggi, InshaAllah.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlulah ada kesepakatan dan


kerjasama daripada pelbagai pihak. Di peringkat sekolah, kita telah melakukan yang
terbaik selaras dengan etika dan Piagam Pelanggan Perkhidmatan Pendidikan.
Justeru, gandingan mantap daripada Ibu Bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling
amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi bagi
mengisi wawasan negara akan tercapai.
Akhirnya, sekalung penghargaan turut diucapkan kepada warga PIBG SK Rinching
Hilir, semua guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah kerana tidak jemu-jemu
membantu dari segi material dan sokongan moral hingga kita berjaya menganjurkan
majlis seumpama ini. Segala jasa dan budi baik Tuan Puan hanya Allah SWT sahaja
yang dapat membalasnya.Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada
Yang Berhormat Datuk Haji Johan bin Abdul Aziz atas kesudian Yang Berhormat
Datuk untuk hadir bersama-sama kita. Ucapan terima kasih juga kerana Yang
Berhormat Datuk tidak jemu-jemu membantu pihak sekolah dalam pelbagai aspek
terutamanya dari segi kewangan.
Sekian. Saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarokatuh.
Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai