Anda di halaman 1dari 22

Remaja

Adolescence atau 'remaja' itu berasal daripada perkataan Latin iaitu "adolescere" yang
bermaksud "membesar" atau "membesar menjadi matang" (Rogers, 1981). Dari sini
menunjukkan zaman remaja itu merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa.
Proses yang dimaksudkan di sini ialah proses mencapai atau memperolehi sikap dan
kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. Zaman
remaja ini dilihat sebagai satu zaman yang dimulai dengan akil baligh dan berakhir apabila
memasuki alam dewasa. Ia merupakan satu zaman peralihan atau transisi antara zaman
kanak-kanak dengan zaman dewasa.

Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya
mendefinisikan remaja sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak,
satu fenomena sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap hidup. Batasan usia
remaja menurut WHO (badan PBB untuk kesihatan dunia) adalah 12 sampai 24 tahun.
Manakala menurut Kamus Dewan ( Edisi Tiga ) remaja merupakan mulai dewasa, sudah akhil
baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui proses inginkan 'cinta'. Namun
jika pada usia remaja seseorang sudah berkahwin, maka ia tergolong dalam dewasa atau
bukan lagi remaja. Sebaliknya, jika usia sudah bukan lagi remaja tetapi masih tergantung pada
orang tua (tidak mandiri), maka dimasukkan ke dalam kelompok remaja.

Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan
utama bagi remaja. Persoalan "Siapakah saya?", "Apakah bidang kerjaya yang sesuai dengan
saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan seseorang itu
berbeza dengan orang lain.

PERKEMBANGAN FIZIKAL

Zaman remaja adalah tempoh yang mana seorang individu dikelilingi oleh isu-isu seksual, iaitu
keupayaan mengalami ataupun melahirkan perasaan seks. Perubahan kematangan seks dan
perubahan hormon yang terlibat adalah asas bagi kematangan seks seorang remaja. Zaman
remaja adalah masa mempelajari seks dengan tujuan mencari suatu identiti seks peribadi. Pada
peringkat usia ini remaja mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi mengenai misteri alam
seks. Pada peringkat ini remaja memikirkan sama ada mereka mempunyai daya tarikan seks,
adakah perkembangan mereka berterusan, adakah mereka akan dicintai oleh seseorang dan
adakah normal apabila mereka melakukan hubungan seks. Kebanyakan remaja akhirnya
menunjukkan perkembangan seksual yang matang tetapi terdapat jangka masa yang mana
hadirnya perasaan kekeliruan dan perasaan mudah dilukai sepanjang kehidupan seksual
mereka.

Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904) zaman remaja ialah jangka masa
seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan ( storm and stress ). Ini bermaksud
remaja yang mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan
dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat.

Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu memahami tentang sesetengah
remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan mereka dan apakah kesan-kesan
disebaliknya.

Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan mengalami
perubahan dari segi bentuk tubuh badan dan emosi. Perubahan-perubahan ini berlaku akibat
tindakan hormon dalam bentuk badan. Kadar pembesaran dan perubahan zaman remaja
adalah berbeza di antara remaja lelaki dan perempuan. Malah kadar pembesaran adalah
berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain.

KEMATANGAN BIOLOGI

Pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan
yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin bertambah. Ini sudah
pasti memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia beginilah dia terlalu
prihatin dengan keadaan tubuhnya. Dia sering membezakan dirinya dengan rakan sebaya yang
lain. Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan aEpabila dibandingkan
dengan yang lambat matang. Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat
remaja sementara mereka yang lambat matang perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial
bagi mendapat tempat yang istimewa dalam kelompok remaja.

TINGKAHLAKU HETEROSEKSUAL

Remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek seksual
berbanding dengan remaja zaman sekarang, terutamanya remaja perempuan. Sebuah kajian
ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun
1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat; dan
kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat dibandingkan
dengan pelajar lelaki. Remaja perempuan belajar mengaitkan seks dengan cinta. Beberapa
buah kajian di Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan
melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di
kalangan pelajar wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain adalah seperti
desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang tidak berkaitan dengan
cinta.

AKIL BALIGH

Di akhir zaman kanak-kanak, satu siri perubahan biologi dan psikologi akan berlaku yang
membawa mereka ke alam remaja. Alam remaja akan membawa mereka ke dalam kematangan
sama ada dari segi fizikal, dan pemikiran mereka turut berubah serta turut berperanan dalam
masyarakat.

Baligh adalah merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan remaja. Ianya
bermula apabila tahap hormon yang memasuki saluran darah meningkat ekoran respon kepada
isyarat daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon
bertambah dalam badan, lonjakan pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku.
Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata tentang permulaan akhil baligh. Apabila ini berlaku
perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan perkembangan permatangan
seksual iaitu kebolehan pembiakan.

Bagi remaja lelaki perubhan yang akan berlaku ialah suara menjadi garau, misai dan janggut
mula tumbuh, bahu dan dada menjadi bidang, jerawat mula tumbuh, mengalami mimpi yang
menghairahkan sehingga mengeluarkan air mani serta zakar dan buah zakar mula membesar.
Pengalaman inilah menunjukkan remaja lelaki telah akil baligh.

Bagi remaja perempuan pula perubahan yang akan dialami seperti buah dada (payudara) mula
membesar, bulu tumbuh di celah ketiak dan bahagian ari-ari, Punggung melebar menunjukkan
ciri-ciri kewanitaan, jerawat mula tumbuh, mula didatangi haid, suara mungkin berubah dari
suara keanak-anakan kepada suara yang lebih matang.

TEORI DAN KONSEP

Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh bermula pada usia 15 tahun atau
mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat
kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul dari dalam, "Perubahan
angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak dapat mengawal". Mula
berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina,
mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu
sama lain. Remaja juga mengalami perkembangan kognitif. Mereka sudah mampu menghadapi
konsep yang lebih abstrak dan mula berminat dalam perkara-perkara yang melibatkan teori
dalam pelajaran sains dan moral.

Manakala Sigmund dan Anna Freud, awal remaja adalah peringkat yang paling bermasalah
disebabkan perubahan dramatik psikologi yang berlaku pada masa ini. Dorongan seksual dan
agresif, yang bukan semasa peringkat latensi, sekarang mengganggu ego dan daya tahannya.
Zon genital, khasnya didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda
fantasi oedipal. Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa apabila berada di kalangan
ibu bapanya.

Stanley Hall (1904) berpendapat perkembangan seseorang individu ditentukan oleh naluri iaitu
tenaga-tenaga biologi dan faktor genetik dan bukannya persekitaran. Beliau mengatakan
zaman remaja sebagai zaman 'storm and stress' yang bersifat biologikal yang terhasil daripada
perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh yang tidak dapat dielakkan. Mencapai akil
baligh merupakan satu masa apabila emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Hall percaya
bahawa hasil daripada tekanan-tekanan dan perubahan tersebut, remaja akhirnya akan menjadi
individu yang matang dan bermoral.

PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL

Zaman remaja bukan sahaja suatu jangka masa yang dapat menggugat diri remaja tetapi juga
keluarganya. Proses pembesaran dan usaha ke arah kematangan bukanlah suatu perjalanan
yang mudah. Dalam usaha menyatupadukan tuntutan biologi dan sosial (yang mungkin
bertentangan), kekeliruan boleh terjana dalam kehidupan seorang remaja. Umpamanya
dorongan syahwatnya wajib dikekang menurut ajaran agama serta norma-norma sosial.

PERKEMBANGAN IDENTITI

Setiap individu mempunyai identiti.. Akan tetapi bukanlah mudah untuk memberi pengertian
yang tepat tentang identity. Ini disebabkan setiap identity seseorang itu amatlah rumit dan ia
melibatkan pelbagai kualiti dan dimensi. Selain itu erti identiti juga bergantung atas pengalaman
subjektif. Dari situ boleh juga secara ringkasnya identity bererti satu set ciri personaliti yang
lebih kurang stabil.
Individuasi merupakan proses di mana remaja mula mempunyai satu identitii yang berbeza
antara dengan yang lain. Proses ini melibatkan empat fasa iaitu perbezaan, amalan dan
eksperimen, membaharui perhubungan dan konsolidasi.

Fasa perbezaan yang berlaku pada awal remaja, di mana dia akan tahu bahawa wujud
perbezaan antaranya dengan ibu bapa dari segi psikologi. Ini akan menjadikan remaja menyoal
dan membincang nilai dan nasihat ibu bapa walaupun ianya adalah betul. Mereka tidak akan
melakukan perkara yang dicadangkan , ini semakin mendalam apabila remaja itu sedar bahawa
ibu bapanya bukanlah begitu sempurna seperti yang dianggapnya semasa kanak-kanak.

Semasa amalan dan eksperimen pula, remaja berpendapat dia tahu segalanya dan tidak akan
melakukan kesilapan. Remaja pada masa ini tidak akan menerima nasihat dan mencabar
kewibawaan ibu bapa dalam keadaan tertentu. Remaja meningkatkan komitmen terhadap rakan
sebaya yang memberinya sokongan dan persetujuan yang dicari-carinya.
Membaharui perhubungan merupakan fasa yang berlaku pada pertengahan zaman remaja
apabila dia telah dapat mengasingkan dirinya daripada ibu bapa. Kesedaran yang menimbulkan
sedikit rasa gundah dan ketakutan akibat pengasingan ini membawanya kembali ke pangkuan
ibu bapa dan menerima semula autoriti ibu bapa tetapi dengan syarat. Selalunya remaja akan
mencabar dan pada masa yang lain akan bekerjasama dan berdamai. Pada fasa ini, didapati
remaja sering cuba sedaya upaya menerima tanggungjawab di rumah tetapi akan merasa
marah dan geram apabila ibu bapa berkeras untuk memastikan masa untuk balik ke rumah dan
harus diberitahu ke mana remaja itu pergi.

Konsolidasi pula merupakan fasa keempat yang akan berlarutan sehingga akhir remaja. Pada
masa ini remaja akan membina identity personaliti dan ini menjadi asas memahami dirinya dan
orang lain serta mengekalkan autonomi, kebebasan dan individulitinya. Sebagai contoh remaja
pada fasa ini berumur lingkungan 18 dan 19 tahun boleh menentukan kerjayanya dan berusaha
terhadap pencapaian cita-citanya dan boleh membayangkan cara bagaimana untuk menyara
dirinya pada masa hadapan. Proses individuasi ini berlanjutan masa zaman remaja dan
selalunya sehingga dewasa.

PERKEMBANGAN KONSEP KENDIRI

Konsep kendiri merupakan satu aspek yang penting kepada kewujudan dan tingkah laku
seseorang individu. Persepsi terhadap kendiri ternyata akan menentukan apa yang seseorang
itu alami dan bagaimana ia mengalaminya. Konsep kendiri juga membenarkan seseorang
individu menghubungkan diri dengan persekitaran dengan cara yang tidak akan menggugat
keutuhan peribadi.

Konsep kendiri amat penting kepada remja kerana pelbagai sebab. Oleh kerana mengalami
peningkatan kekuatan fizikal dan tahap autonomi semasa ini, remaja mula mempunyai darjah
kebebasan yang tertentu. Jika semasa ini remaja mempunyai konsep kendiri yang tidak betul,
maka sudah tentulah ia amat membahayakan kepada diri mereka dan orang lain. Mereka
mungkin akan menjadi devian, tiada keyakinan diri, tersisih dan sebagainya.

Konsep kendiri remaja juga berkaitan dengan cara remaja itu mempersepsikan dirinya secara
fizikal. Ekoran itulah remaja terlalu prihatin dengan bentuk tubuh badannya, fesyen rambut dan
baju menjadi symbol diri dan remaja mula gemar merayau-rayau di kompleks membeli-belah.

Cara mengukuhkan konsep kendiri antaranya adalah:-

• Pengukuhan melalui kesempurnaan kendiri

Cara ini merupakan kaedah yang paling asas untuk kukuhkan konsep kendiri atau dengan kata
lain satu proses menjadikan yang terbaik dan diri yang sebenar. Kesempurnaan kendiri
menekankan soal perkembangan potensi kendiri yang membina dan bukannya tumpuan pada
halangan-halangan hidup atau penyesuaian seperti takut, bimbang, kecewa dan sedih.
Kesempurnaan kendiri ini tidak semua remaja dapat mencapainya. Walaubagaimanapun
remaja perlu dibimbing untuk berusaha bergerak untuk mencapainya.

• Pengukuhan melalui identifikasi

Identifikasi bermaksud kemuncak nilai dan tujuan hidup kendiri. Remaja tidak boleh membuat
identifikasi dengan orang lain dengan cara keterlaluan kerana dibimbangi mereka tiada identiti
kendiri, sukar menyatukan nilai-nilai orang lain dan akan hidup di bawah bayang-bayang orang
lain. Ini sering berlaku kerana remaja sering membuat identifikasi dengan pelakon kesayangan
atau penyanyi pujaan mereka yang sebenarnya tidak dikenali. Hakikatnya, remaja perlu sedar
tentang kewujudan diri yang unik. Tidak salah membuat identifikasi dengan orang yang terkenal
dengan syarat tidak keterlaluan dan jika orang itu membuat remaja berazam untuk berjaya.

• Pengukuhan melalui kecemerlangan dan pencapaian

Salah satu aspek yang dapat menyumbang kepada pengukuhan kendiri remaja ialah
kecemerlangan dan pencapaian. Kedua-dua ini merupakan satu desakan untuk bersaing
sesama sendiri yang kemudiannya akan menentukan arah kendiri, membuatkan remaja lebih
bebas untuk membuat keputusan sendiri, lebih bersedia dengan cabaran dan tuntutan
persekitaran dan lebih mempunyai keupayaan daya tindak.

• Pengukuhan melalui identiti

Identiti tidak sama dengan konsep kendiri. Identiti merujuk kepada perasaan yang seseorang itu
berbeza dengan orang lain. Jika seseorang remaja memperolehi identity maka ia jadi individu
yang jujur dan unggul yang wujud bukan di bawah bayang-bayang orang lain. Ia kan jadi
individu yang bebas dan berkeyakinan. Krisis identiti pula bermaksud satu tempoh masa
bergelut atau satu tempoh masa secara aktif remaja mempersoalkan diri dan hidupnya demi
memperolehi satu keputusan kerjaya, kepercayaan dan nilai.

Perkembangan Kognitif dan Moral Remaja

Zaman remaja boleh dikatakan pemikiran mereka mualai berubah dengan cepat dan kadang-
kadang susah bagi ibu bapa memahaminya. Boleh dikatakan masa ini remaja banyak
menyelesaikan masalah melalui cara yang berbentuk logic dan bukan berdasarkan fakta
sahaja. Ini selaras dengan pendapat Jean Piaget di mana kanak-kanak yang berumur 12 tahun
ke atas pemikiran mereka lebih mirip ke arah olahan formal. Pemikiran atau kognisi mengalami
banyak peubahan semasa zaman remaja. Bukan sahaja pemikiran remaja berubah dari segi
daya penaakulan, tetapi juga pemikiran jadi abstrak serta wuud kognisi sosial.

Perkembangan Kognisi Remaja

Apabila remaja mula mentaakul secara abstrak, mereka sering menjadi amat bangga dengan
kemahiran ini kerana berfikir bahawa mereka boleh menyelesaikan segala masalah. Sikap ini
menjadikan remaja terlalu idealistic dan kurang menghargai batasan logic (Piaget 1967).
Contohnya remaja hairan mengapa ibu bapa tidak sedar beberapa kesilapan yang mereka
lakukan semasa membesarkan anak-anak.

Perkembangan pemikiran formal juga membawa kepada kekeliruan, iaitu antara pemikirang
mereka sendiri dengan pemikiran orang lain. Kekeliruan pandangan merupakan satu bentuk
egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran abstrak. Remaja yang egosentrik ini
akan mengandaikan yang orang lain akan terus memikirkan tentang prestasinya secara
terperinci seperti apa dia sedang lakukan. Sebenarnya remaja tidak ada bukti tentang wujudnya
situasi itu.

PERKEMBANGAN MORAL

Semasa remaja, peraturan sosial mula dipersoalkan kerana remaja mula sedar tentang piawai
moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu tertentu boleh berubah dan boleh
ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan sosial, sama ada daripada ibu bapa atau
masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi.

Para remaja akhirnya sedar bahawa peraturan sosial itu perlu demi mengawal tingkah laku
manusia. Ia mungkin bersifat sementara dan berubah, tetapi kita harus mematuhinya kerana
kita semua diharapkan mematuhinya dan bertingkah laku dengan betul atau selaras dengan
tuntutan masyarakat. Lama kelamaan remaja juga sedar bahawa peraturan sosial berperanan
dalam menyelaraskan interaksi dengan orang lain.
Apabila remaja dapat mengatasi egosentrisme dalam perhubungan dengan orang lain, mereka
menunjukkan kemajuan secara signifikan dalam penilaian moral, atau pemahaman tentang
tindakan yang meningkatkan kebajikan manusia dalam pelbagai situasi. Akan tetapi
pengetahuan ini tidak semestinya diterjemahkan kepada tingkah laku sebenar. Walaupun
begitu, sekurang-kurangnya keadaan akan memperlihatkan ciri itu( Hoffman 1980)

Aspek lain dalam perkembangan moral ialah ‘rasa bersalah’ yang berubah daripada perasaan
bersalah kanak-kanak dari segi cirri dan focus. Remaja akan berasa bersalah jikalau tidak
melakukan sesuatu atau apabila melakukan sesuatu yang salah. Perubahan berlaku sama ada
remaja menilai apa yang dipaparkan dari perbuatan salah atau memperlihatkan situasi dalam
hidupnya sendiri. Contohnya tidak menjemput rakan ke rumah boleh melukakan hati rakan
kerana kesannya serupa dengan apabila mengkritik rakan secara terbuka. Pandangan ini
memerlukan pemikiran formal: iaitu mengenal pasti tentang sesuatu yang mungkin berlaku dan
bukan sahaja tentang apa yang dilakukan sebenar.

Dari sini jelas bahawa remaja berupayaberfikir secara formal, iaitu kebolehan berfikir tentang
idea. Pemikiran formal merupakan kebolehan berfikir tentang kemungkinan, penaakulan saintifk
dan kebolehan kombinasi idea secara logic. Decara amnya dapat dikatakan pemikiran formal
meningkatkan penyelesaian sistematik kepada banyak masalah kognitif.

TUGAS PERKEMBANGAN REMAJA

Asal usul tugas perembangan adalah bertitik tolak daripada perkembangan individu itu dari segi
fizikal dan psikologi yang mewujudkan pelbagai desakan. Selain itu individu itu juga berhadapan
dengan kehendak dan jangkaan masyarakat terhadapnya. Desakan dalaman dan luaran ini
mewujudkan satu situasi yang berkehendakkan individu itu menguasai tugas oerkembangan
jikalau remaja hendak berjaya dalam hidup.

Antara tugas perkembangan remaja adalah:-

• Menguasai peranan jantina

Remaja mesti belajar menerima peranan sosialnya sebagai lelaki atau perempuan mengikut
garisan yang ditetapkan oleh masyarakat. Bagi remaja lelaki tugas ini mudah dicapai kecuali
mereka yang tidak rol model lelaki dan mempunyai minat seperti kaum perempuan. Bagi remaja
perempuan, ramai yang berhati-hati menerima peranannya untuk menjadi isteri dan ibu,
terutama sekali mereka yang ingin melanjutkan pelajaran sebagai persediaan kerjaya. Mereka
perlu menyesuaikan diri dengan rakan sebaya dan bekerjasama serta memahami pandangan
orang lain dalam perbincangan.

• Menerima dan mengguna dirinya dengan berkesan

Remaja perlu bangga dengan dirinya, mengguna dan melindungi dirinya dengan berkesan dan
memuaskan. Masyarakat banyak mengutamakan rupa fizikal dan pertumbuhan sebagai
pengukur sama ada remaja itu cantik, lebih tinggi daripada rakannya atau adik beradiknya untuk
mendapat pujian. Kerana masyarakat mengajar remaja menilai diri berasaskan rupa fizikal,
maka adalah dijangkakan perkara ini menjadi punca kebanggaan, minat, keyakinan, keraguan,
kegelisahan dan perasaan rendah diri di kalangan remaja. Menerima diri seadanya akan
membawa kepada kebanggaan dan kepuasan diri.

• Mencapai perhubungan baru dan matang dengan rakan sebaya

Matlamatnya ialah, remaja belajar untuk menganggap perempuan sebagai wanita dan lelaki
sebagai lelaki. Mereka mesti belajar sebagai orang dewasa apabila bersama orang dewasa dan
belajar bekerjasama dengan orang lain dengan tidak mengambil kira perasaan sendiri.

• Mencapai kebebasan emosi

Remaja harus mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa tetapi membina kasih saying
yang erat serta hormat terhadap mereka dan orang dewasa lain. Remaja yang gagal dalam
tugas ini mempunyai tabiat bergantung kepada ibu bapa, tidak berupaya berfikir sendiri tentang
perkara penting dan tidak tahu berinteraksi dalam persekitaran orang dewasa kerana masih lagi
seperti kanak-kanak dari segi emosi.

• Mencapai kebebasan ekonomi

Tugas ini lebih kepada remaja lelaki berbanding perempuan walaupun pada masa ini ianya juga
penting bagi remaja perempuan bagi menyara diri sendiri.

• Memilih dan bersedia untuk bekerja


Remaja perlu memilih kerjaya yang sesuai dengan kebolehan. Tugas ini anatara perkara
penting dan dianggap sukar bagi remaja untuk membuat keputusan.

• Bersedia untuk berumah tangga

Bersedia menerima matlamat kehidupan untuk membina sikap positif terhadap hidup
berkeluarga dan mempunyai zuriat, megetahui tentang pengurusan rumahtangga serta cara
pemilihan kanak-kanak.

• Membina kemahiran intelektual dan konsep untuk kecekapan sivik

Tugas ini merujuk kepada pembinaan konsep peraturan dan undang-undang, kerajaan,
ekonomi, geografi, manusia dan institusi sosial yang sesuai dalam kehidupan moden. Remaja
perlu membina kemahiran berlkomunikasi dan kebolehan pentaakulan untuk menyelesaikan
masalah dengan berkesan. Minat dan motivasi yang tinggi merupakan asas dalam
meningkatkan kebolehan untuk belajar dan ianya berbeza bagi setiap individu. Remaja juga
boleh melakukan kesilapan apabila dia tidak berkebolehan dan tidak mempunyai matlamat
walaupun dia memiliki perwatakan yang baik.

ISU PSIKOLOGI REMAJA

Kebanyakan remaja berjaya melepasi zamannya, tetapi ada juga sebilangan dari mereka
mengalami pelbagai masalah psikologi dan tingkah laku yang menggugat bukan sahaja hidup
remaja itu sendiri tetapi juga kehidupan orang-orang di sekelilingnya. Masalah-masalah yang
berkaitan seperti penagihan dadah, masalah pemakanan, kemurungan dan masalah tingkah
laku. Zaman remaja merupakan zaman serba boleh dan ingin mencuba segala sesuatu bagi
remaja. Zaman inilah yang akan menentukan berjaya atau tidak seseorang remaja sekiranya
jalan atau cubaan yang dilakukan tepat atau sebaliknya bagi menjamin kesejahteraan hidup
mereka kelak.

Permasalahan ini perlu dilihat dengan cara perspektif yang betul dan juga terlebih dahulu perlu
memahami prinsip-prinsip umum masalah psikososial remaja terlebih dahulu.
Achenbach dan Edelbrock (1987) mengatakan bahawa kebanyakan ahli psikologi klinikal dan
juga ahli-ahli psikologi yang lain membahagikan dua jenis masalah yang dialami oleh remaja:-

1. Kecelaruan dalaman

Masalah-masalah remaja bersifat dalaman dan dimanifestasikan dalam bentuk gejala emosi
dan kognitif seperti kemurungan atau dalam bentuk gangguan-gangguan psikosomatil.

2. Kecelaruan luaran

Masalah-masalah remaja bersifat luaran dan dimanifestasikan dalam bentuk masalah-masalah


tingkah laku. Ianya seperti masalah tingkah laku delinkuen, penyalahgunaan dadah dan alcohol
serta ponteng sekolah.

PENGARUH AKAN SEBAYA

Peringkat remaja merupakan masa hubungan sosial bukan terhad yang bukan sahaja
melibatkan ibu bapa tetapi juga rakan sebaya. Peringkat kanak-kanak, rakan sebaya
mempunyai pengaruh yang terhad, tetapi zaman remaja rakan sebaya mempunyai peranan
yang sangat penting dan perhubungan pada masa ini sangat kritikal. Minat mereka selalunya
adalah lebih mirip kepada minat rakan daripada ibu bapa.

Remaja juga memperolehi kemahiran sosial yang hanya boleh didapati dan dilatih di kalangan
rakan sebaya. Bagi remaja, rakan sebaya menjadi sumber maklumat utama tentang dirinya dan
juga orang lain. Rakan sebaya menjadi asas untuk membuat perbandingan antara tindakannya,
sikapnya, perasaannya dan orang lain.

Pada umumnya remaja lelaki dan perempuan yang popular dianggap sebagai suka kepada
orang lain, bertoleransi, bersimpati dan suka membantu rakan-rakan dengan membuat mereka
rasa diterima dan melibatkan diri dengan merancang dan memulakan aktiviti kumpulan yang
menarik dan menyeronokkan. Remaja seperti ini bersikap ceria, bersemangat, baik hati, boleh
berjenaka, mempunyai daya usaha, dorongan dan idea yang baik.

Remaja yang tidak disanjung dan disingkirkan oleh rakan-rakan mempunyai cirri-ciri yang
bertentangan dengan mereka yang popular. Remaja ini merasa kurang yakin pada diri sendiri,
penakut dan cuba menjauhkan diri dari rakan sebaya. Remaja yang bersikap agresif, sombong
dan terlalu mendesak akan tidak disukai dan kemungkinan ditolak rakan sebaya.

Kumpulan sebaya dikatakan menyumbang terhadap perkembangan sosial remaja terutamanya


dalam pencapaian identity mereka. Paling penting kumpulan remaja dapat memberi sokongan
kepada ahli-ahlinya di samping keluarga mereka. Di sinilah remaja berpeluang mencuba
berbagai peranan identity yang akhirnya akan menyumbang kepada personalitinya apabila
dewasa kelak.

PENGARUH IBU BAPA

Pengaruh ibu bapa dalam tingkah laku dan cir-ciri personaliti remaja boleh dipengaruhi oleh
cara didikan semenjak dari kecil lagi. Walaubagaimanapun seringkali timbul masalah antara ibu
bapa dan remaja. Perbezaan pemahaman dan pengalaman merupakan masalah yang ketara
dan ini dinamakan sebagai jurang generasi. Jurang generasi merupakan salah satu punca
konflik antara remaja dan ibu bapa. Ianya adalah perbezaan yang terdapat dalam nilai, sikap
dan tingkah laku antara generasi tua dengan generasi yang lebih muda iaitu remaja. Ibu bapa
selalu memarahi anak remaja mereka yang dianggap tidak mematuhi kehendak dan peraturan
mereka. Perhubungan antara remaja dan ibu bapa akan baik sekiranya mereka berjauhan
seperti anak remaja melanjutkan pelajaran ataupun bekerja di tempat lain.

Perhubungan ibu bapa dan remaja yang positif akan membantu remaja menjalani kehidupan
yang mencabar dan menyeronokkan. Ini disebabkan remaja akan mempunyai hubungan yang
baik dengan ibu bapa mereka dan sering berkongsi masalah serta nilai-nilai yang baik antara
satu dengan lain.

Hubungan antara tingkah laku dan personaliti remaja adalah dipengaruhi oleh cara didikan ibu
bapa mereka. Baumrind (1968) telah mengenal pasti lima kategori gaya keibu bapaan seperti
berikut:

Ibu bapa autoritarian

Cara didikan kategori ini adalah mengawal dan menilai tingkah laku remaja dengan
menggunakan standard mutlak atau kawalan ketat. Tidak ada tolak ansur tetapi remaja kena
patuh segala arahan mereka. Ibu bapa beranggapan bahawa mereka tahu apa yang baik dan
buruk dan perlu patuh tanpa menyoal. Dari sini remaja akan berpegang teguh kepada nilai-nilai
tradisional dan terus akur dengan kehendak ibu bapa walaupun ada di kalangan remaja yang
marah dan menyimpannya di dalam hati mereka.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini lebih cenderung untuk mematuhi perintah dan akur
kepada pihak berkuasa, mempunyai pemikiran yang konkrit, idea yang konvensional dan
menyimpan rasa marah yang terkawal.

Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak


Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak tidak begitu keras dari segi kawalan dan disiplin anak-
anak serta tidak tekal dalam amalan mereka. Mereka tidak menerangkan kepada anak-anak
mengapa tindakan tersebut dilakukan apabila menghukum atau mendenda dan biasanya ia
lebih mengikut mood dan perasaan mereka. Remaja akan tidak dapat membendung rasa
marah dan melepaskannya dalam bentuk tingkah laku anti-sosial.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan bertindak melanggar undang-undang dan tidak
mematuhi norma masyarakat. Kajian menunjukkan sebilangan besar remaja delinkuen telah
dididik dalam keadaan terabai yang akan bertindak secara agresif dan tidak mempunyai
kawalan diri seperti ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang amat melindungi


Ibu bapa sukar melepaskan anak-anak mereka melakukan sesuatu dengan sendiri dan sedaya
upaya akan menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak dan bila patut buat. Mereka
menggalakkan tingkah laku bergantung dan pasif serta mendisiplinkan mereka dengan cara
tidak memberikan kasih saying sekiranya anak-anak tidak mengikut arahan mereka.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan cenderung untuk menjadi bergantung, pasif,
bersopan dan akur. Remaja juga akan menjadi penakut, malu dan kurang keyakinan diri serta
sukar untuk memjadi pemimpin dan melakukan aktiviti bersama rakan sebaya.

Ibu bapa permisif


Ibu bapa membenarkan remaja menggunakan diri mereka sebagai sumber serta mengikut
kehendak remaja tanpa mendesak mengikut keinginan mereka. Ibu bapa bukan sebagai orang
yang bertanggungjawab dalam membentuk tingkah laku remaja. Remaja yang menerima
didikan seperti ini mempunyai tingkah laku agresif dan tidak bertanggungjawab terutamanya
remaja lelaki akan menunjukkan tingkah laku buli dan mementingkan diri sendiri.

Ibu bapa autoritatif

Ibu bapa mesra dengan anak-anak dan menerima mereka dengan baik serta dalam masa yang
sama memberi kebebasan kepada anak-anak. Mengikut Baumrind (1971), ibu bapa autoritatif
menggunakan budibicara mereka dalam mengawal dan mendisiplin anak-anak supaya dapat
disesuaikan dengan keperluan mereka. Ibu bapa menerangkan sebab atas segala tindakan dan
sentiasa menjelaskan tentang harapan dan permintaan mereka yang perlu difahami oleh kanak-
kanak tetapi boleh bertolak ansur dalam hal demikian itu. Di samping itu ibu bapa juga sentiasa
memberi pertimbangan kepada pendapat atau maklum balas daripada anak-anak.

Ibubapa autoritatif mahu anak-anak mereka hidup bahagia dan mengawal hidup mereka sendiri
dan sebagai ibu bapa mereka membantu dari segi persediaan menjadi dewasa yang
mempunyai kebebasan. Bersedia mendengar dan mendidik anak-anak dengan tegas supaya
anak-anak mereka mempunyai kekuatan ego dan berdisiplin.

Didikan seperti ini akan menjadikan remaja cenderung menjadi egen sosial yang aktif dan
mempunyai daya usaha, boleh berdikari, disiplin yang tinggi, bertanggungjawab, boleh berfikir
untuk diri sendiri dan berpegang teguh kepada nilai dan prinsip hidup.

Pengenalan

Secara amnya, dalam melalui proses kehidupan ini, manusia melalui tiga peringkat
perkembangan yang utama iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa. Tiap – tiap peringkat
mempunyai ciri perkembangan psikologikalnya yang tersendiri. Apabila melangkah di alam
remaja, seseorang individu itu akan mempelajari cara – cara menyesuaikan diri dengan alam
sekelilingnya. Ia bermula dengan proses penyesuaian pada bentuk dan perasaan yang ada
pada tubuh dan kemudian penyesuaian dengan manusia dan situasi yang berlainan. Selepas
itu,barulah mereka akan melangkah ke alam dewasa.
Zaman remaja

Zaman remaja merupakan satu masa peralihan sementara daripada zaman kanak-
kanak kepada zaman dewasa. Ia boleh didefinisikan sebagai satu masa yang bermula apabila
baligh sehingga permulaan zaman dewasa.

Waktu remaja adalah waktu yang amat kompleks. Pelbagai jenis masalah seperti
perubahan pada diri, perubahan mental, percubaan-percubaan dalam hidup dan pelbagai
bentuk lagi berlaku pada waktu ini. Masa remaja dikatakan zaman yang menimbulkan pelbagai
konflik yang menyebabkan tekanan jiwa kepada individu. Hal ini kerana seseorang remaja
gemar mencuba sesuatu yang kadang-kala bertentangan dengan norma sosial masyarakat.
Satu fenomena yang sering kedengaran kini ialah pertelingkahan di antara remaja dan ibu-
bapanya. Perkara ini berlaku akibat tidak ada komunikasi kerana adanya jurang generasi. Hal
ini menyebabkan berlakunya kes-kes remaja lari dari rumah dan ia menjadi satu fenomena
yang menjadi fokus permasalahan remaja masa kini.

Kehidupan remaja hari ini penuh dengan pelbagai permasalahan sosial yang bukan
sahaja merunsingkan ibu bapa tetapi juga pemimpin negara. Banyak cara dan kaedah telah
digunakan untuk menarik mereka ini ke arah kebaikan untuk menjadi insan berguna namun
jalan yang salah dan hitam juga mereka pilih. Kes rogol, ragut, penyalahgunaan dadah,
berpeleseran di pusat-pusat beli belah, dan lumba motor haram yang mana semua ini semakin
berleluasa dari sehari ke sehari. Mereka seolah suka membuat sesuatu yang negatif yang
mendatangkan kemudharatan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Apa punca dan kenapa? Banyak huraian dan penjelasan yang diungkaikan berkaitan
dengan permasalahan remaja hari ini. Mengapa dan kenapa para remaja kita mudah terjebak
dengan perkara-perkara negatif yang bukan sahaja boleh merosakkan diri mereka tetapi juga
agama, bangsa dan negara? Melalui kajian yang dibuat, apa yang berlaku ke atas remaja-
remaja kita hari ini kerana mereka tidak memiliki hala tuju diri atau matlamat hidup. Mereka
tercari-cari identiti yang mana satu hala yang hendak diikuti.Mereka tiada matlamat yang
hendak dicapai. Nilai-nilai pegangan asas iaitu agama sudah tidak lagi sebati dalam hidup
mereka. Mereka sedang mencari sesuatu. Dalam pencarian itu, yang tidak baik itulah yang
menjadi pilihan mereka. Dengan sebab itu kita lihat bermacam-macam perkara yang
merosakkan berlaku. Ada yang terjebak dengan seks bebas, penyalahgunaan dadah, rogol
dan sebagainya.
Perkembangan Dan Masalah Kognitif Remaja

Apabila memasuki lingkungan umur sebelas tahun, piaget menyatakan perkembangan kognitif manusia
masuk tahap yang akhir, iaitu operasi formal. Kanak-kanak yang memasuki tahap ini berupaya berfikir
dengan logik serta memahami konsep-konsep yang abstrak.

Tahap kognitif ini membolehkan para remaja berfikir tentang fikiran itu sendiri, mempelajari tatabahasa
yang kompleks,konsep matematik seperti algebra dan mengendalikan tugas mental dengan
menggunakan konsep serta fikiran yang kompleks.

Satu lagi perubahan kognitif remaja yang agak ketara ialah pemikiran egosentrisme remaja ( adolescence
egocentrism) yang disarankan oleh Elkind,(1967). Remaja sering mengubahsuaikan persepsi tentang
kebenaran alam.

Mereka sering merasai yang perhatian umum sentiasa tertumpu kepada diri,tingkahlaku, perbuatan dan
sifat mereka.

Elkind mengatakan bahawa para remaja sering mengada-adakan bayangan sekelompok manusia yang
akan mengkritik segala tingkah lakunya sedangkan ini hanyalah bayangan pesepsi mereka yang dikuasai
oleh egosentrisme remaja.

PERKEMBANGAN EMOSI SOSIAL

Perhubungan mereka dengan ibu bapa, keluarga, kawan-kawan sebaya dan hubungan percintaan
amatlah rumit kerana pada masa ini, para remaja mengalami satu proses kesedaran kendiri.

Mereka sering memikirkan tentang pandangan dan pendapat orang lain tentang dirinya sendiri dan
mereka sering bertukar pendirian, pendapat, ideologi dan kawan-kawan.

Erikson menyatakan bahawa remaja mengalami konflik sosial diantara pengertian identiti diri dengan
kekeliruan peranan yang ada padanya. Remaja akan bertanyakan ‘siapakah saya’, ‘apakah tujuan hidup
ini’ dan ‘kemanakah arah sendiri’.

Dalam mencari identiti, remaja mempunyai keinginan untuk bebas daripada kongkongan ibu bapa, untuk
berdikari dan untuk membuat apa-apa yang disukainya tetapi dalam masa yang sama memerlukan
bimbingan terutamanya dari segi kewangan dan tempat tinggal.

Apa yang ketara sekali para remaja cenderung untuk berpisah dengan ibu bapa mereka kerana
mengaggap kawan-kawan sebayanya adalah lebih penting. Kawan-kawanlah tempat mereka berkongsi
pandangan serta bertukar-tukar fikiran serta pendapat. Disamping itu hubungan percintaan juga amat
penting bagi remaja.
Segala apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka adalah betul dan apa yang penting di sini ialah
proses identifikasi kepada norma-norma kumpulan kerana identity kumpulan adalah identiti mereka.
Pendekatan Psikologi Bagi Mengatasi Kecelaruan Jiwa Remaja

Zaman remaja yang dikenali sebagai zaman ‘storm and stress’ amat sukar difahami oleh
orang dewasa. Ketidakfahaman inilah sering timbul konflik antara golongan remaja dengan
orang dewasa khususnya ibu bapa dan guru.

Apabila timbul konflik antara ibu bapa, golongan remaja sering bertingkah laku yang
bertentangan dengan kehendak ibu bapa dan orang dewasa kerana mereka menganggap
orang dewasa tidak memahami jiwa mereka. Memahami emosi remaja pada hari ini satu
keperluan kepada orang dewasa ketika mendidik golongan remaja. Begitu juga kepada orang
dewasa yang ingin membimbing golongan ini, mereka terlebih dulu perlu memahami emosi
remaja supaya pendekatan yang dilakukan bersesuaian dengan jiwa golongan ini. Dengan itu,
bimbingan yang diberikan memberi kesan mendalam kepada jiwa mereka.

Emosi adalah sesuatu yang kompleks dalam diri manusia. Ia membabitkan tindak balas
tubuh badan seperti pernafasan, denyutan dan lain-lain. Dalam Kamus Psikologi iaitu Mu’jam
Ilm al-Nafs, mentakrifkan emosi sebagai infi’al iaitu keadaan dalaman yang menunjukkan
pengalaman dan perbuatan dizahirkan dalam suatu peristiwa yang berlaku seperti perasaan
takut, marah, kecewa, gembira, suka dan duka. Dalam Encyclopedia of Social Psychology pula,
mentakrifkan emosi sebagai hasil tindak balas kepada sesuatu kejadian atau peristiwa
termasuk tindak balas psikologikal, tindak balas tingkah laku, tindak balas kognitif dan perasaan
dialami sama ada menggembirakan atau tidak.

Perkembangan emosi remaja pada peringkat awal terutama pada zaman kanak-kanak
banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan. Cara pelaziman berlaku dengan
mudah dan cepat pada masa beberapa tahun permulaan hidup mereka. Kanak-kanak
menggunakan daya imaginasi dalam membayangkan sesuatu mengikut yang telah dilazimkan.
Cara peniruan pula, kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya pada orang
lain dan memberikan gerak balas terhadap perkara berkenaan dengan cara yang tidak dapat
dibuatnya dulu. Oleh kerana itu, emosi remaja pada zaman kanak-kanak berkembang mengikut
proses pelaziman dan peniruan.

Ibu bapa adalah orang pertama yang menjadi contoh kepada anak-anak remaja. Jika ibu
bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, emosi dan tingkah
lakunya akan turut menyeleweng kerana sejak kecil jiwa mereka ditanam dengan bibit
kerosakan. Ketika usia remaja pula, emosi berkembang dengan pesat hasil daripada
kematangan dan pembelajaran. Itulah sebabnya bentuk pernyataan emosi pada zaman remaja
banyak bergantung kepada apa yang dipelajarinya daripada masyarakat sekeliling.

Antara ciri emosi remaja ialah romantik, mudah keliru dan mudah marah atau
memberontak. Remaja yang mempunyai ciri-ciri romantik adalah remaja yang mengalami
tarikan heteroseksual (tarikan antara remaja yang berlainan jantina) melalui perdampingan
mereka dengan remaja lain. Pada zaman remaja adalah puncak wujudnya perasaan cinta
romantis. Menurut Dr Rohaty Majzub, perasaan romantis membawa pengertian bahawa mereka
menganggap dan menggambarkan individu yang dicintai itulah yang paling ideal, mempunyai
watak, sahsiah atau ciri-ciri yang memikat hati remaja. Perasaan romantis remaja mempunyai
pengaruh mendalam kepada hidup mereka. Perasaan romantis ini mendorong remaja menulis
dalam diari peribadi. Penulisan diari peribadi adalah ciri yang menunjukkan pengasingan diri
dan keupayaannya untuk menghuraikan mengenai dirinya di samping keinginannya untuk lari
daripada gelisah melanda dirinya. Remaja akan mencatatkan peristiwa harian terutama bagi
menggambarkan perasaannya sama ada perasaan cinta, kecewa dan gembira.

Ketika zaman remaja, perubahan fizikal, emosi dan personaliti berlaku dengan pesat
dan mereka harus memahaminya dengan teliti. Ketika ini juga berlaku perubahan dalam
hubungan mereka dengan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling. Harapan yang
baik dan tanggungjawab mula dikenakan kepada mereka. Dalam keadaan begini kadang-
kadang mereka mudah keliru dengan peranan dan tanggungjawab mereka. Itulah sebabnya
golongan remaja mudah bertukar pendirian, pendapat, ideologi dan kawan-kawan (Mahmood
Nazar Mohamed, 1990).

Selain itu, remaja juga mempunyai emosi yang mudah marah. Zaman remaja yang
dikatakan sebagai ‘storm and stress’ mudah menyebabkan remaja memberontak dan marah
terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Seseorang remaja mempunyai kehendak yang
harus diterima keluarga, rakannya dan masyarakat sekeliling. Remaja mudah menunjukkan
emosi memberontak dan marahnya dengan tindakan agresif seperti menderhaka kepada
keluarga, lari dari rumah dan ingkar dengan peraturan sekolah. Mereka menderhaka kepada
keluarga sebagai percubaan untuk bebas daripada sifat keanak-anakan dan untuk mencapai
kemerdekaan jiwa. Jiwa ingin lari dari rumah pula, apabila mereka rasa tidak selesa dengan
undang-undang dan cuba untuk hidup bebas.
Tindakan ingkar dari peraturan sekolah pula, kerana remaja menganggap pembelajaran
di sekolah mengganggu jiwa remajanya kerana di sekolah terdapat banyak peraturan dan ruang
kritikan seperti guru, kerja sekolah dan disiplin. Kita perlu memahami bahawa remaja yang
dalam proses perkembangan dan perubahan boleh menimbulkan pelbagai masalah emosi
kerana mereka sedang berhadapan dengan proses penyesuaian diri antara zaman kanak-
kanak dengan alam dewasa.

Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya
dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahan itu sekali pun kadang kala pahit
baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuai atau menerima
dengan mudah perubahan itu, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Dr Zakiah
Daradjat, seorang pengkaji masalah remaja berkata, perkara yang menyebabkan masalah
emosi remaja adalah disebabkan oleh perubahan jasmani, terutama perubahan hormon seks,
keadaan masyarakat dan keadaan ekonomi yang melingkungi remaja serta perlakuan orang tua
yang kaku dan bertentangan dengan remaja. Masalah yang berkaitan dengan emosi remaja
disebut juga sebagai masalah personal psikologi (Hassan Langgulung,1977). Masalah personal
psikologi ialah perkara yang berkaitan peribadi dan masalah psikologi remaja itu sendiri seperti
personaliti, perubahan emosi, kebimbangan, kerisauan, keyakinan dan tekanan. Masalah
personaliti seperti mudah hilang sabar, takut membuat kesilapan, sukar membuat keputusan,
sukar melupakan kesilapan lalu dan gagal dalam beberapa perkara dilakukan. Zaman remaja
yang penuh dengan tekanan dan kecelaruan emosi, amat memerlukan pendekatan yang efektif
dalam proses memberi bimbingan kepada golongan ini. Untuk melaksanakan pendekatan
psikologi dakwah, terlebih dulu pendakwah perlu memahami psikologi remaja. Dengan
pemahaman ini, kita dapat menyelami emosi dan jiwa remaja serta dapat menggunakan
pendekatan sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.

Remaja amat memerlukan sokongan dan pemahaman daripada orang dewasa ketika
mereka mengharungi zaman yang penuh dengan cabaran ini. Ketika ini, perubahan dari aspek
emosi agak pesat. Sekiranya mereka tidak mendapat sokongan daripada orang dewasa,
mereka mudah mengalami gangguan emosi dan menimbulkan masalah emosi yang boleh
memberi kesan tidak baik kepada perkembangan psikologi remaja.
Mahmood Nazar Mohamed. 2005. Pengantar Psikologi : Satu Pengenalan Asas Kepada
Jiwa Dan Tingkah Laku Manusia. DBP. Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai