Anda di halaman 1dari 9

Sidang Akademik 2017/2018

PERANCANGAN AKADEMIK
JKA 320

PARADIGMA DAN TEORI SOSIAL

WEBEX TARIKH CATATAN


JKA 320

PARADIGMA DAN TEORI SOSIAL

Pengenalan

Bagi anda yang mengkhusus dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, saya percaya
kursus ini bukanlah sesuatu yang baharu dan asing. Anda akan memulakan
"perjalanan" ke arah ruang lingkup ilmu yang akan menimbulkan lebih persoalan dari
jawapan. Ini agak berbeza dengan bidang pengajian sains tulen kerana "bahan",
"benda" atau perkara yang akan anda teliti dan kaji, iaitu masyarakat adalah suatu
entiti yang kompleks. Dalam satu segi, masyarakat adalah satu fenomena atau
"kejadian" yang abstrak tetapi nyata. Ia sesuatu yang boleh kita rasai dan alami
kerana kita juga menjadi ahli dalamnya tetapi dalam masa yang sama, ia juga bebas
daripada tindakan kita. Kita juga "rasai" sebagai satu yang "hidup" tetapi tidak pula
kita pasti di mana "punca" dan di mana “nadinya”, dan yang penting sekali persoalan
kenapa dan bagaimana ia berbeza dan pelbagai dari segi masa dan tempat.
Berlainan daripada ‘benda’ atau ‘bahan’ yang lain, masyarakat adalah suatu
“fenomena”; abstrak tapi nyata, cair tapi padat, berstruktur tetapi berubah, bersepadu
tetapi bertelingkah. Pendek kata, "masyarakat manusia" adalah suatu yang
kompleks. Ia merupakan suatu "kejadian", suatu fenomena, suatu abstraksi yang
semua manusia alami.

Kesemua hal ini merupakan persoalan-persoalann yang akan anda temui dalam
kajian Antropologi dan Sosiologi. Persoalan tersebut bukan suatu yang baharu. Ia
telah cuba dijawab oleh ahli-ahli falsafah, teologi (agama) dan juga para pengkaji
sosial. Justeru, jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut yang menjadi asas
pada pembentukan teori-teori sosial.

Apa yang ingin disampaikan dalam kursus ini

Modul kursus ini mengandungi dua tema utama:

i) Tema pertama: Paradigma dan Teori dalam Sejarah

Kursus ini akan singgah di beberapa lokasi ilmiah yang menerokai pengetahuan
tentang masyarakat. Bermula dengan penilitian para ahli falsafah Yunani ini
sehinggalah ke zaman “pencerahan” (enlightenment) dan Rennaisanse dan
seterusnya ke zaman Pasca Revolusi Perancis hingga ke zaman Eropah Moden,
anda akan dibawa singgah untuk melihat aliran pemikiran tentang masyarakat.
Dalam pengertian yang longgar, teori ialah "pendirian" atau "penerangan" tentang
kejadian sosial (masyarakat).

"Teori" agung yang mampu menerangkan "kejadian" ini belum ada. Yang ada
sekarang merupakan hasil daripada perdebatan, perbincangan, dialog dan
penyelidikan. Ia merupakan suatu "pendapat" pendekatan yang "cuba" sedaya-upaya
menerangkan sesuatu kejadian atau fenomena sosial.

Dalam kursus ini, anda akan mempelajari paradigma dan teori-teori sosial yang
menerangkan tentang keadaan, suasana serta dinamika (perubahan) dan proses
perubahan masyarakat serta kesan utama dan sampingan akibat proses tersebut.
Anda akan mempelajari teori ini melalui “pendekatan" atau "paradigma". Anda tentu
akan bertanya, ’ sekiranya semua "teori" ini adalah sekadar pendapat atau
pendekatan, buat apa kita perlu belajar, kerana bukan saja teori ini tidak
berkemampuan memberi "kebenaran", ianya juga akan berubah kerana masyarakat
adalah suatu kejadian yang berubah (dinamik)”.

Jawapan kepada persoalan ini ialah "perkembangan" teori sosial ini sebenarnya
bukan penambahan ilmu baru. Perbincangan dan penerangan tentang corak, aturan
dan perubahan masyarakat bukanlah semata-mata wacana cendekiawan Barat. Ilmu
dan falsafah mengenai masyarakat hakikatnya juga telah berkembang di tempat-
tempat lain. Misalnya Ibn-Khaldun, cendekiawan Tunis yang terkenal dengan kitab
”Mukadimah” telahpun menyarankan “teori” atau penerangan tentang perubahan dan
perkembangan tamadun masyarakat beratus-ratus tahun sebelum munculnya teori
sosial barat.

Perkembangan teori-teori sosial untuk menerangkan perubahan sosial juga


mengikuti transformasi yang berlaku berikutan revolusi industri di Eropah pada
sekitar awal kurun ke-18.

Dalam kursus ini, pelajar akan diperkenalkan dengan cendikia penteorian dalam
Sosiologi dan Antropologi bermula dengan para ahli falsafah sosial barat.
Seterusnya, pelajar akan menerokai pandangan tiga cendekiawan yang terkenal iaitu
Marx, Weber dan Durkheim. Mereka yang meletakkan asas "aliran" atau
"pendekatan" atau paradigma untuk meneliti, menerang dan memahami apa
sebenarnya masyarakat dengan berpedomankan kaedah yang dikenali sebagai
kaedah “saintifik”, “positif” dan “empirik”. Untuk menyenangkan pelajar yang baru
mula memahami perkembangan paradigma dan teori sosial moden, segala tulisan,
perdebatan dan perbincangan yang akan dibentangkan mengikut aliran sejarah
perkembangan pengetahuan sains.

Justeru, sebagai pembuka tirai kepada ’paradigma’ moden, perbincangan akan


bersandarkan saranan pengasas paradigma sosial iaitu Marx, Weber dan Durkheim.
Modul ini juga akan menjelaskan secara ringkas tentang "paradigma moden". Secara
umumnya ’paradigma moden’ bermaksud pengolahan semula (berdasarkan andaian
yang terperinci) paradigma klasik dan pengenalan pada beberapa "teori" sosial yang
berkaitan. Antara perkara yang akan ditumpukan ialah latar belakang falsafah teori
sosial, yang menjadi pedoman pada pembentukan teori dalam sosiologi dan
antropologi sosial/budaya.

Di samping itu, bahagian ini juga memperkenalkan anda pada jenis "teori" sosial
yang menumpukan kepada perkara yang lebih mikro seperti teori kognisi, interaksi
dan tindakan sosial (social action).

ii) Tema Kedua: Wacana dan aliran pemikiran sosial dalam


suasana sosial kontemporari

Antropologi dan sosiologi, sebagai disiplin sains sosial yang bertujuan memahami
dan menerangkan kehidupan dan kegiatan manusia, tidak terlepas daripada
perlonjakan pasca-moden ini. Teori-teori yang ada tidak lagi mampu untuk
menerangkan perubahan dan pertumbuhan situasi baru, malah situasi “baru” yang
berlaku berikutan “order baru” ini tidak serata dan universal. Kesan daripada proses
globalisasi, revolusi teknologi maklumat serta komunikasi, tekanan serta corak
permasyarakatan dan “struktur” yang tumbuh di dunia tidak lagi sama. Kepelbagaian
corak ini menidakkan kemampuan teori-teori yang ada dalam usaha menerangkan
kegiatan, suasana dan corak perjalanan masyarakat.

Bagi antropologi khususnya, keadaan ini adalah suatu cabaran, terutamanya sebagai
satu disiplin yang berasaskan penyelidikan dan pemerhatian untuk menerangkan
kepelbagaian, tingkah laku, budaya masyarakat manusia dan segala yang menjadi
penyebab kepada kepelbagaian ini. Salah satu fenomena sosial yang menonjol
yang menjadi tumpuan ahli-ahli antropologi kebelakangan ini ialah permasalahan
sosial berkaitan dengan kelompok sosial yang dulunya “terpinggir” tetapi sekarang
sudah menjadi tema penting: kedudukan wanita, kumpulan minoriti (ethnis),
kumpulan pendesak (misalnya environmentalis) dan kumpulan sub-budaya yang
dulunya dianggap sebagai devian tetapi sudah bersuara seperti homoseksual dan
kumpulan “agama” yang menjanjikan kehidupan “baru” dengan berbalik kepada yang
asal.

Pemikiran sosial (social thought), seperti fesyen dan muzik, berulang dan berbalik
dalam satu litaran kepada akar umbi yang “lama” untuk mendapatkan “darah” baru
bagi menilai fenomena sosial baru. Tidak seperti sains tulen, penelitian tentang
manusia (human sciences) atau sains sosial telah beberapa kali berbalik kepada
tulisan-tulisan serta pemikiran dan “teori” silam untuk merombak corak analisis dan
tafsiran tentang gejala sosial yang lebih semakin kompleks.
Bahagian ini membincang teori serta pendekatan yang timbul dan dipertahankan
teori-teori yang biasanya digelar “moden” yang cuba menerangkan situasi
masyarakat dunia sekarang dan segala yang terjadi sebelum ini.

Teori-teori Marx yang menjadi asas pembentukan paradigma konflik telah menjadi
jumud dan ketat dengan analisa kelas dan terperangkap dengan penerangan
economic determinism sehingga tidak berdaya menentang atau mentafsir perubahan
dan keruntuhan masyarakat komunisme. Begitu juga dengan paradigma
fungsionalisme, yang berpedomankan falsafah positivisme dan prinsip universal yang
melihat aktiviti manusia bermasyarakat berdasar kehendak mencapai keseimbangan,
berstruktur dan bersinambungan secara timbal balik, telah terbukti bercanggahan
dengan realiti sosial.

Isu utama modul ini ialah bagaimana teori-teori “moden” ini yang bercambah di
dalam kelompok intelek barat selepas perang dunia kedua dan kegunaannya,
terutamanya untuk menerang dan mentafsir suasana sosial barat pada tahun-tahun
tujuh puluhan dan lapan puluhan. Jika kita lihat kembali sejarah perkembangan teori
sosial, akan dapat kita lihat bahawa kritik dan debat tentang kelemahan teori-teori
moden (konflik Marx), struktural-fungsional (Parson) dan semua variasi daripada
kedua-dua ini daripada aliran bawaan Max Weber telah bermula pada tahun 70-an
lagi.

Tema penting dalam bahagian ini bersabit dengan perubahan masyarakat dan
sistem yang berkaitan: ekonomi, politik, budaya. Berakhirnya perang dingin,
keruntuhan sistem komunisme, revolusi maklumat dan pertumbuhan “order baru”
adalah antara perubahan struktur masyarakat manusia dan mengubah cara manusia
berhubung, berinteraksi dan bertindak. Sama ada suka atau tidak, kita sekarang
sudah menjejaki suasana “baru’ yang berbeza, dari segi bentuk dan corak, dari
“zaman” lalu. Mungkin di Malaysia suasana “baru” ini belum kita rasai sepenuhnya,
tetapi kita tidak akan terlepas darinya kerana masyarakat kita, negara kita
sememangnya terikat dan tersabit dengan segala yang berlaku di barat. Dalam istilah
sains sosial, suasana baru ini disebut sebagai post-modern atau “pasca-moden”.

Pedoman Penyediaan Untuk Sidang Video

Persediaan awal pelajar perlu dalam melancarkan kefahaman mengenai Paradigma


dan Teori Sosial ini. Pelajar digalakan membaca modul dan berusaha untuk menulis
nota pembelajaran masing-masing. Paradigma dan Teori Sosial bukan suatu yang
sukar tetapi boleh menjadi rumit sekiranya pelajar tidak meluangkan masa membaca
modul dan membuat catatan sendiri. Penulisan tugasan merupakan suatu kaedah
dalam membantu memahami konsep konsep penting dalam Paradigma dan Teori
Sosial.
Sebelum anda datang untuk kursus intensif, saya syorkan supaya bersedia dengan
pengetahuan tentang paradigma-paradigma utama yang boleh anda perolehi
daripada modul dan juga melalui perbincangan dalam webex. Sepanjang kursus ini,
kita akan bertemu sepuluh kali iaitu 5 kali sebelum Kursus Intensif dan 5 kali
selepasnya melalui sistem pembelajaran webex atau sidang video. Agenda
pertemuan adalah seperti berikut:

PERBINCANGAN

1 Pengenalan: Sejarah Pembentukan paradigma teori antropologi


/sosiologi
2 Sumber dan sumbangan disiplin dalam pembentukan teori
3 Pengertian umum tentang 'teori" sosial -pernyataan umum,
hipotesis,paradigm, rangka konsepsi
4 Tokoh penteori sosial Ibn Khaldun
5 Teori & Paradigma Fungsional & Konflik
6 Tokoh Penteori antropologi/sosiologi
7 Teori Moden - Falsafah positivisme dan sosiologi/ antropologi moden
8 Aliran Pasca moden
9 Kritikan terhadap teori
10 Rumusan - paradigma dan teori sosial dalam isu semasa

PENILAIAN :

Kerja Kursus : 40 %

i) Peperiksaan berterusan (20%)


ii) Tugasan (20%)

Peperiksaan Akhir : 60 %

TUGASAN

Tugasan bagi kursus ini adalah secara berkumpulan. Setiap kumpulan tidak
melebihi 4 pelajar sahaja.

Soalan Tugasan: Pilih salah satu tajuk di bawah


1. Revolusi Industri (1750-1900) di Eropah telah membawa perubahan dalam
masyarakat. Revolusi yang berlaku merupakan satu faktor penting dalam
sejarah pembangunan sosiologi. Bincangkan.

2. Karl Marx (1818- 1883) merupakan seorang tokoh penting dalam Sosiologi.
Bincangkan pandangan beliau mengenai masyarakat.

3. Sekularisme merupakan satu paradigma yang telah menular dalam


masyarakat. Pelajar dikehendaki membincangkan mengenai makna
sekularisme dan bagaimana sekularisme berkembang dan mempengaruhi
masyarakat hari ini.

Arahan penyedian tugasan:

i. Panjang tugasan - Tidak melebihi 15 muka surat.

ii. Setiap ahli kumpulan perlu memainkan peranan masing-masing.


Pelajar perlu menyatakan peranan ahli kumpulan. Contoh A
sebagai ketua kumpulan membuat sorotan karya. Setiap ahli
kumpulan perlu menyatakan perkara yang dipelajari dan
membuat rumusan secara individu di akhir tugasan.

iii. Penulisan tugasan mesti memperlihatkan penulisan akademik


yang serius dari segi pembentangan, perbincangan dan
penulisan penggunaan bahan rujukan dan petikan dengan cara
American Psychological Association (APA Style). Contoh:

 Mengikut Ibn Khaldun, dunia sosial adalah dunia metaforia


(2007)
 Konsep Dunia adalah metaforikal (Rustam 2007)
 “Dunia adalah bayangan yang diberi bentuk melalui metafora
keluarga”(Rustam 2007:12). [12 ialah halaman buku atau
makalah dimana petikan dirujuk] .
 Jika perlu, gunakan nota hujung (endnotes), iaitu nota akhir
bersiri, dihujung tugasan sebelum bibliografi.
 Senaraikan rujukan dalam bibliografi bagi bahan yang di
rujuk SAHAJA.

iv. Anda boleh gunakan rujukan dari laman web/internet. Rujukan


web yang telah digunakan disenaraikan dalam format penulisan
bibliografi: nama penulis atau nama laman, dan URL/http.
v. Rujukan tidak kurang daripada 8 bahan rujukan

vi. Anda BOLEH menulis tugasan dalam Bahasa Inggeris.

v. Gunakan halaman hadapan rasmi PPPJJ yang disertakan untuk


dimuatkan dengan maklumat pelajar dan kursus.

vi. Tarikh muktamad penghantaran tugasan ialah pada


10 Januari 2018.

Bahan Tambahan

Giddens, A. 1979. Central Problems In Social Theory. London: McMillan.


Barret, R. 1984. The Rebirth of Anthropology Theory. Toronto: University of Toronto
Press.
Gamide, A. 1981. An Introduction to Modern and Political Thoughts. Cambridge:
McMillan.
Roxborough, I. 1983. Teori-teori Kemunduran. Kuala Lumpur: DBP.
Ritzer,G. 1996. Modern Sociological Theory. New York: McGraw International
Edition.

Selamat Belajar!

Pengurus Kursus : Dr. Zurina Mohd Radzi

Alamat: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh


USM, 11800 Pulau Pinang
Telefon: 04-6532304
e-mel: zurina_radzi@usm.my

Anda mungkin juga menyukai