Anda di halaman 1dari 3

Akibat Tidak Mendengar

Terima kasih Pengerusi Majlis. Barisan hakim yang bijaksana, Penjaga masa yang
setia, Guru-guru yang dihormati dan Seterusnya hadirin yang disayangi sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahhi wabarokatuh Saya akan menceritakan sebuah
cerita yang bertajuk “Akibat tidak mendengar kata”.

Di tepi sebatang sungai, tinggal seekor ibu itik. Itik itu mempunyai 2 ekor
anak iaitu Midi dan Miki. Midi dan Miki sangat nakal. Mereka selalu tidak
mendengar kata ibu itik. Nasihat yang diberikan oleh ibu mereka bagaikan
mencurahkan air ke daun keladi. Setiap kali ibu itik memberikan nasihat, Midi dan
Miki selalu mengingkarinya. Ibu itik sering melarang Midi dan Miki supaya jangan
bermain terlalu jauh. Tetapi, anak-anak itik itu tidak mengendahkan larangan ibu
mereka. Mereka sering menentangnya. Midi dan Miki kepala batu.

Pada suatu hari, ketika musim hujan, ibu itik telah menasihati Midi dan Miki
supaya jangan bermain di luar tempat tinggal mereka. Tetapi, mereka
tidak mengendahkannya. Mereka pun berlarian keluar menuju ke kawasan banjir.
Setibanya di sana, anak-anak itik dapat melihat banjir yang sedang melanda
kawasankampung. Air banjir itu telah menenggelami beberapa buah rumah.

“Wah, banyak sungguh air di kawasan itu !” kata Midi.


Mereka pun berdiri di tempat yang agak jauh sedikit. Hujan semakin lebat.
Tanpa mereka sedari, tempat mereka berdiri itu telah digenangi air bah. Midi
dan Miki terkejut. Mereka segera berusaha untuk beredar dari situ. Tetapi
sayang, Midi dihanyutkan air. Mereka saling menjerit meminta tolong.

“Tolong, tolong !” jerit Midi.


Miki cuba untuk menyelamatkan Midi tetapi air bah terlalu deras. Mujurlah ibu
itik segera mendengar suara Midi meminta pertolongan. Ibu itik segera datang.
Ibu itik segera menangkap Midi. Ibu itik menarik Midi ke darat. Midi dan
Miki menangis kerana terlalu terkejut. Kemudian, ibu itik membawa Midi dan Miki
pulang. Sampai sahaja di tempat mereka, ibu itik berkata.

“Ha, bukankah banyak kali ibu sudah katakan !Jangan keluar bermain di luar
rumah. Sekarang musim hujan, banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja”.

Midi dan Miki hanya tunduk apabila dimarahi oleh ibu mereka. Mereka sedar
bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan menyusahkan hati ibu mereka.
Namun demikian, mereka tidak serik. Pada keesokan harinya, ibu itik melarang
anak-anak itik keluar dari rumah. Ibu itik ada mendengar khabar angin bahawa
ada sesekor ular besar telah keluar dari hutan.
“Kamu berdua janganlah keluar dari rumah. Ibu ada mendengar cerita bahawa
seekor ular besar telah keluar dari hutan. Ular besar itu akan memakan kamu
jika kamu melanggar arahan ibu”.
Namun begitu, Midi dan Miki tidak juga mengendahkan nasihat ibu mereka.
“Marilah kita keluar Miki. Saya ingin melihat ular besar itu.
Betulkah ular itu sangat jahat dan besar?” tanya Midi.

“Betul Midi. Saya pun teringin melihat ular besar itu. Ibu mesti sengaja mereka
-reka cerita mengenai ular itu untuk menakutkan kita”, jawab Miki.
Midi pun mengangguk kepala mengiakan kata-kata Miki. Ibu itik keluar untuk
mencari makanan untuk Midi dan Miki. Mereka keluar dari rumah secara senyap-
senyap. Kemudian, mereka berjalan menyusuri kebun dan sungai. Tiba-tiba, Midi
dan Miki terlihat ada sesuatu bergerak di bawah semak. Tidak lama kemudian,
kelihatan kepala yang sangat menakutkan. Ternyata itulah kepala ular.

“Wah, besar nya ular itu”, jerit Miki.


Midi dan Miki terpegun melihat ular itu. Sejurus kemudian, ular itu mula
mengalihkan pandangannya ke arah mereka. Rupa-rupanya, ular itu telah
mendengar suara Miki. Ular yang besar itu pun cuba mendekati mereka. Midi dan
Miki mula melangkah dan berlari dengan pantas. Ular itu mula mengejar mereka
dari arah belakang. Mereka ketakutan. Mereka menoleh ke belakang. Midi dapat
melihat ular itu masih mengejar mereka.
“Cepat lari! Saya takut ular itu akan menelan kita” teriak Miki.

“Saya juga takut”, jerit Midi.


Rupa-rupanya, ular itu lebih pantas dibandingkan dengan Midi dan Miki. Ular itu
berjaya menangkap Midi. Ular itu membelit badan Midi. Midi menjerit-jerit
meminta pertolongan.
“Tolong, tolong ! “jerit Midi.
Malangnya, Midi telah ditelan oleh ular besar itu. Miki tidak mampu untuk
menolong Midi. Ular itu terlalu besar untuk dilawan. Miki mengintai kelibat ular
itu menelan Midi. Miki menangis mengenangkan Midi. Miki menangis ketakutan.
Miki menangis sepanjang jalan pulang ke rumah. Miki segera mencari ibu itik. Miki
menceritakan kisah Midi ditelan oleh ular besar itu kepada ibunya. Sebaik sahaja
ibu itik mendengar cerita itu, ibu itik pengsan lalu jatuh sakit. Ibu itik selalu
sahaja teringatkan Midi yang telah mati ditelan ular. Ibu itik tidak berselera
untuk makan. Tubuhnya menjadi kurus. Badannya menjadi semakin lemah.
“Ibu, maafkan saya. Kami berdosa kerana tidak mendengar nasihat ibu”, Kata
Miki.
Miki menangis teresak-esak meminta maaf daripada ibunya. Tetapi tangisan Miki
sudah tidak bererti lagi. Ibu itik semakin lemah. Beberapa hari kemudian, ibu itik
pun mati. Midi menguburkan ibunya di tepi sungai. Sejak itu, tinggallah
Miki bersendirian. Miki sering menangis mengenangkan Midi dan ibunya.
“Saya amat menyesal kerana mengingkari nasihat ibu. Saya berjanji akan
menjadiseekor itik yang baik,” katanya sambil menangis di tepi kubur ibunya.
Setelah itu, Miki pun meninggalkan tempat itu dengan membawa hatinya yang
pilu. Pengajaran cerita ini ialah kita janganlah menderhaka kepada ibu kita. Kita
perlu sentiasa mendengar nasihat yang diberikan oleh ibu kita. Ibu kita
mengharapkan agar kita hidup dengan bahagia dan selamat. Jika kita tidak
mendengar nasihat ibu kita, nescaya kita akan menyesal. Terang bulan di malam
sepi, Cahaya memancar ke pangkal kelapa, Hidup di dunia buatlah bakti, Kepada ibu
dan juga bapa.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai