Anda di halaman 1dari 8

Membina Rancangan Pengajaran Harian Untuk Kelas

Integrasi Masalah Pembelajaran


Diserahkan oleh siteadmin pada Isn, 27/12/2010 - 16:48

Membina Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk Kelas Integrasi Masalah Pembelajaran

Oleh

Prof. Madya Dr. Lee Lay Wah

Dalam buletin jilid yang lepas, saya telah menjelaskan perbezaan di antara Rancangan
Pendidikan Individu (RPI) dengan Rancangan Pendidikan Harian (RPH) (Lee, 2010). Dalam
buletin jilid ini, saya akan berfokus kepada proses penyediaan Rancangan Pengajaran Harian
yang bersesuaian untuk mengajar kelas integrasi masalah pembelajaran dengan merujuk
kepada satu contoh RPH di bawah. Setiap RPH biasanya mengandungi tiga peringkat iaitu
peringkat perancangan sebelum pengajaran, peringkat perlaksanaan pengajaran serta
peringkat penilaian.

Pada peringkat perancangan sebelum mengajar, dua perkara penting yang perlu
dikenalpasti adalah isi kandungan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid serta
penetapan objektif pembelajaran. Dalam merancang isi kandungan, guru perlu memahami
terlebih dahulu konsep-konsep asas yang seharusnya dikuasai untuk membolehkan
seseorang dapat mempelajari sesuatu topik tersebut. Konsep-konsep asas ini boleh
dikenalpasti dengan membuat analisis tugasan mengenai topik tersebut. Analisis tugasan
merupakan proses untuk memecahkan sesuatu topik kepada konsep-konsep asas
(tugasan) yang lebih kecil. Biasanya konsep asas yang lebih kecil ini perlu diajar mengikut
urutan yang tertentu. Sebagai contoh, untuk menulis karangan ayat mudah tentang cara
menaiki bas awam (rujuk contoh RPH), murid perlu mempunyai kefahaman lisan tentang
perkataan/frasa seperti bas, beratur, naik, membayar wang, mengambil tiket, tempat duduk,
loceng, turun terlebih dahulu sebelum dapat menguasai cara menaiki bas awam. Cara
menaiki bas awam pula dipecahkan kepada tugasan yang lebih kecil seperti yang
ditunjukkan di dalam contoh. Kerap kali guru pelatih mempunyai salah tanggapan bahawa
langkah pengajaran adalah analisis tugasan untuk topik tersebut. Sebenarnya tidak, sebab
langkah pengajaran merupakan aktiviti-aktiviti yang kita gunakan untuk membina konsep
asas/tugasan tersebut dalam murid.

Seterusnya, cara mengajar dirancang berpandukan kepada objektif pembelajaran. Kita perlu
memikirkan aktiviti atau langkah pengajaran yang sesuai untuk mencapai objektif yang
ditetapkan. Banyak jenis model pengajaran boleh digunakan. Salah satu model pengajaran
yang didapati berkesan untuk mengajar murid bermasalah pembelajaran adalah model
pengajaran terus (direct instruction). Model Pengajaran Tiga Langkah ePKhas iaitu
ModelBimbimbingCuba (Lee, 2009) merupakan satu strategi pengajaran yang berpandukan
kepada pengajaran terus. Langkah pertama dalam model pengajaran ini adalah untuk
menunjuk/memodel sesuatu konsep/tugasan secara terus dan nyata kepada murid. Secara
kebiasaannya, guru merupakan model di dalam kelas yang akan menunjukkan langkah
tersebut. Selepas guru memodel sesuatu konsep/langkah, guru boleh meneguhkan lagi
kefahaman murid dengan meminta murid aras sederhana dalam kelas untuk memodel sekali
lagi langkah pengajaran tersebut di depan kelas. Langkah memodel ini juga boleh
dilaksanakan dengan menggunakan sokongan teknologi. Dalam contoh RPH di bawah,
langkah memodel dilaksanakan dengan menayangkan sebuah video ringkas (video modeling)
(Lee, 2010b).

Selepas memodel sesuatu konsep, langkah pengajaran seterusnya adalah untuk


membimbing murid melaksanakan tugasan tersebut. Langkah ’bimbing’ adalah untuk
menolong murid mempraktikkan konsep/tugasan yang telah ditunjukkan. Langkah
pengajaran ini dipanggil sebagai ’bimbing’ sebab murid masih memerlukan
bimbingan/sokongan daripada guru untuk mempraktikkan tugasan tersebut. Tujuan
bimbingan digunakan adalah untuk meningkatkan lagi peluang kejayaan murid dalam
melaksanakan aktiviti tersebut. Pelbagai jenis bimbingan boleh digunakan bersesuaian
dengan tahap keupayaan murid. Dalam contoh di bawah, bimbingan yang digunakan dalam
aktiviti untuk murid aras sederhana adalah senarai perkataan yang diberikan kepada mereka
untuk memilih dan mengisikan tempat kosong dengan bantuan guru. Murid aras rendah
perlu lebih banyak bimbingan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Dalam contoh di bawah,
mereka diberikan gambar bersiri serta perkataan tertentu dan mereka hanya perlu
memadankan gambar dengan perkataan tersebut dengan bantuan guru. Kedua-dua aktiviti
bimbingan ini bertujuan untuk melatih murid memahami cara menaiki bas awam, tetapi
murid aras sederhana dan murid aras rendah akan menunjukkan kefahaman mereka dengan
cara yang berlainan, iaitu bersesuaian dengan tahap kemampuan mereka. Ini bermaksud
murid aras rendah yang tidak tahu mengeja ataupun membaca, masih boleh mempelajari
konsep lain. Guru hanya perlu mencari cara lain untuk mendapatkan respon daripada
mereka. Respon yang dikehendaki daripada murid aras rendah dalam contoh RPH ini adalah
untuk menklik pada butang yang disediakan dalam perisian komputer. Semasa langkah
bimbing, banyak jenis aktiviti bimbingan boleh digunakan untuk menolong murid melatih
tubi.

Apabila murid sudah lebih bersedia, bimbingan dipudarkan ataupun dikurangkan supaya
murid dapat melaksanakan aktivti tersebut dengan lebih berdikari. Ini merupakan
langkah ’Cuba’ dalam Model Pengajaran Tiga Langkah. Murid dinilai secara berterusan
semasa mereka mencuba untuk melakukan tugasan tersebut secara berdikari.

Guru boleh merancang supaya murid aras rendah serta murid aras sederhana boleh
melaksanakan aktiviti secara berkolaborasi. Sebagai contoh, di bahagian penutup RPH,
murid aras sederhana akan membaca karangan ringkas mereka dengan bantuan guru
sementara murid aras rendah pula akan mencuba untuk menyusun gambar mengikut
karangan ringkas yang sedang dibaca oleh kawannya.

Satu lagi perkara yang perlu kita memberi perhatian adalah kebanyakan murid bermasalah
pembelajaran perlu sokongan visual untuk mempelajari sesuatu konsep. Dengan hanya
bergantung kepada input secara verbal, besar kemungkinan sesetengah murid tidak boleh
mengikutinya. Pembelajaran yang menggunakan dua saluran deria dapat mengayakan
sesuatu konsep pembelajaran. Walau bagaimanapun, terdapat juga murid bermasalah
pembelajaran yang hanya boleh menerima input secara berurutan dan tidak boleh
memproses maklumat secara serentak. Dalam keadaan ini, sekiranya mereka tidak boleh
memproses maklumat verbal, masih terdapat lagi saluran visual untuk menolong mereka
memproses. Tambahan lagi, sekiranya mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan
menggunakan keupayaan motor mereka, maka mereka akan lebih senang mengingat. Buat
pepatah orang tua ’Saya dengar saya lupa; saya lihat saya tahu; saya buat, saya faham.’
Pendekatan menggunakan pelbagai saluran deria pembelajaran sekarang disebut sebagai
pendekatan multisensori dalam bidang pendidikan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian semasa mengajar murid bermasalah
pembelajaran adalah untuk menolong mereka mengeneralisasikan konsep yang telah
dipelajari. Sebagai contoh, adalah tidak memadai untuk mengajar murid setakat membaca
dan mengeja perkataan sahaja, tetapi guru perlu menunjukkan situasi di mana perkataan
tersebut digunakan dalam keadaan sebenar. Guru perlu beriktiar untuk mengaitkan
kemahiran yang mereka pelajari dalam kelas dengan kemahiran yang mungkin berguna
untuk mereka dalam kehidupan seharian. Dalam contoh RPH ini, mengikut topik sukatan
pelajaran, murid sedang mempelajari cara menulis karangan ringkas. Tetapi, dengan
memilih topik karangan yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka (cara menaiki
bas), maka dua perkara sudahpun boleh dipelajari dalam sesuatu pelajaran.

Seberapa yang boleh, kita perlu berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran murid kita ke
peringkat pembelajaran yang lebih tinggi. Sebagai contoh, adalah tidak memadai untuk
mengajar murid kita untuk melabel sesuatu benda seperti ’Ini baju’. Melabel merupakan
objektif pembelajaran peringkat rendah. Guru boleh mengayakan pengalaman mereka
dengan menambahkan lagi adjektif untuk baju seperti baju merah, baju lengan panjang
dsbnya. Guru juga boleh mengajar murid untuk membezakan antara pelbagai jenis baju
seperti baju tidur, baju untuk bersukan dsbnya.

Setiap hari, guru pendidikan khas akan menghadapi cabaran yang berlainan dalam kelas
sama ada dari segi kognitif ataupun dari segi sosio-emosi dan tingkah laku, maka
seseorang guru pendidikan khas perlu menjadi seorang yang pakar dalam proses
penyelesaian masalah. Akhir kata, kemahiran untuk menyelesaikan masalah yang timbul
merupakan sesuatu kemahiran yang penting bagi seseorang guru pendidikan khas.

CONTOH RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH).

Perancangan Sebelum Mengajar:

Tarikh : 20/10/2010

Kelas/peringkat : Permata (Menengah Rendah)

Masa : 10.00-10.40 am

Aras murid : Sederhana dan rendah

Mata pelajaran/Bidang : Bahasa Melayu

Tajuk : Karangan Cara Menaiki Bas Awam


Objektif Am : 6.10.1. Menulis karangan pendek secara terkawal dan

berpandu.

(* rujuk sukatan pelajaran pendidikan khas)

Objektif Khas : Kumpulan aras sederhana:

Di akhir pelajaran, murid dapat:

(i) mengisi tempat kosong ayat mudah mengenai cara menaiki bas berpandukan kepada
gambar bersiri dengan betul.

(ii) menulis karangan pendek lima ayat mengenai cara menaiki bas berpandukan kepada
ayat mudah serta gambar bersiri yang diberikan.

: Kumpulan aras rendah:

Di akhir pelajaran, murid dapat

(i) memadankan gambar dengan frasa yang menjelaskan tentang cara menaiki bas.

(ii) menyusun ayat-ayat mudah tentang cara menaiki bas dalam urutan yang betul.

Analisis tugasan :

(i) Perkataan berkaitan dengan cara menaiki bas: bas, beratur, naik, membayar wang,
mengambil tiket, tempat duduk, koceng, turun.

(ii) Ayat mudah cara menaiki bas

1.Beratur semasa menaiki bas.

2.Membayar wang dan mengambil tiket.

3.Mencari tempat duduk.

4.Memetik loceng semasa hendak turun bas.


5.Beratur semasa turun dari bas.

Pengetahuan sedia ada murid : Tahu tentang bas awam dan fungsi bas awam

Bahan Bantuan Mengajar : audio bunyi bas berjalan, video menaiki bas, gambar bersiri
menaiki bas, kad perkataan, kad ayat mudah, Powerpoint interaktif, lembaran kerja

Pengurusan tingkah laku : Memberi ganjaran positif seperti pujian/bintang pada kad,
apabila murid menumpu perhatian dalam kelas.

Permulaan Pengajaran (5 minit)

1. Set Induksi:

Murid mendengar rakaman audio dan menjawab soalan mengenai bunyi yang didengar.

2. Perkaitan dengan pelajaran yang lalu:

Guru meminta murid mengimbas kembali isi pelajaran yang lalu berkaitan dengan jenis-
jenis pengangkutan awam.

3. Memperkenalkan pengajaran :

Guru menerangkan bahawa hari ini murid akan dibimbing untuk menulis karangan
mengenai cara menaiki bas awam.

Penyampaian Isi Pelajaran

1. Memodel (10 min)


Murid menonton video cara menaiki bas. Video diulangi dan serentak dengan tayangan
video, murid dibimbing untuk menampal gambar bersiri mengenai cara menaiki bas di atas
papan putih.

2. Membimbing (10 min)

(i) Murid dibimbing untuk memadankan kad frasa perkataan dengan gambar bersiri.
(contohnya: meletakkan kad ’beratur’ di bawah gambar pertama, kad ’membayar wang’ di
bawah gambar kedua dsbnya).

(ii) Membezakan aktiviti mengikut aras kumpulan

Guru menayangkan PowerPoint interaktif yang mengandungi pelbagai aktiviti untuk


kumpulan murid aras sederhana dan rendah.

Kumpulan aras sederhana Kumpulan aras rendah

Murid dibimbing untuk mengisi tempat kosong ayat mudah secara mengeja Murid dibimbing untuk menklik pada gambar untuk memadan
sendiri atau dengan memilih daripada senarai perkataan yang diberikan. dengan frasa mudah.

3. Mencuba (10 min)

Murid dinilai dengan menggunakan lembaran kerja yang disediakan. Guru membimbing
apabila perlu.

Kumpulan aras sederhana Kumpulan aras rendah

Murid diminta untuk menulis karangan pdek berpandukan kepada ayat mudah Murid diminta untuk menyusun semula kad ayat mudah mengi
yang ditunjukkan. yang betul dan menggamkannya dalam lembaran kerja. Murid
kepada gambar bersiri.

Penutup (5 min)

Aktivti berikut dilaksanakan dan diulangi sekiranya ada masa.

Kumpulan aras sederhana Kumpulan aras rendah

Seorang murid diminta untuk membaca karangan pendek yang telah Semasa kawannya sedang membaca, seorang murid aras renda
untuk menampal gambar di atas papan putih mengikut bacaan
ditulisnya. kawannya.

Aktiviti Generalisasi

Guru memilih masa yang sesuai untuk menjalankan simulasi cara menaiki bas awam dengan
menggunakan bas sekolah.

Rujukan:

Lee Lay Wah. (2009). Strategi pengajaran ePKhas-Lee . Dari laman


web: http://epkhas.ses.usm.my/content/strategi-pengajaran-epkhas

Lee Lay Wah. (2010). Rancangan Pendidikan Individu, Rancangan Pengajaran Harian dan
Rancangan Pengajaran Individu. Buletin Pendidikan Khas, 2(1), 9-12. Dari laman
web http://epkhas.ses.usm.my/files/bulletin/Buletin_Pendidikan_Khas_Vol_2_No...

Lee Lay Wah. (2010b). Memodel dengan video. Dari laman


web: http://epkhas.ses.usm.my/content/memodel-dengan-video-video-modeling

Dibaca 23935 kali

http://epkhas.ses.usm.my/content/membina-rancangan-pengajaran-harian

Anda mungkin juga menyukai