Anda di halaman 1dari 3

Drama Komsas T3 : Tenang-tenang Air di Tasik

Drama : Tenang-tenang Air di Tasik


(Norhashimah Hashim)
Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar memberitahu
ibunya tentang kesanggupannya melatih sekumpulan peserta
cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum
mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik
Permai. Ibunya tidak bersetuju kerana bimbang akan
keselamatan anak tunggalnya itu. Ibu Muzafar bimbang
tindakan anaknya itu akan menambahkan beban dan
menyusahkannya kelak.
Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih
peserta- peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat
peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk
menjaga keselamatan diri sepanjang empat hari tiga malam
dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa
hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang
melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan
sedangkan ibu Muzafar sebenarnya merupakan seorang wanita
yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul,
berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi
memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya
sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak
sedemikian.
Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan
kumpulan peserta cacat penglihatan itu dengan baik dan
mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam
orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para
peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan,
memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut
tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara
memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak
terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan
seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.
Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di
beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan
rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan
Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman
berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa
terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah
dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan
upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur
ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya
berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur
dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu
bersedia menerima kehadiran mereka.
Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa
ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah
ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih
kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk
ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut.
Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee
Keong yang turut membantu untuk memudahkan ekspedisi
berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga
memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap
Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah
kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-
rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu
berkayak dengan begitu baik.
Dalam perbualan dengan Haris, dan Nurul, Muzafar dapat
mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah
keluarga ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan
kepada keluarga angkat di Johor ketika berusia tiga bulan
disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar
membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat
persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa
Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi
wajah dan perawakan.
Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi
berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam
bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar
bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan
selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton
rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-
sama para peserta cacat penglihatan tersebut. Sewaktu
tayangan video itu, Ibu Muzafar tergamam apabila melihat
persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir.
Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu
meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi
berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan
status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi
ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia selepas
mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar bercerita
kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu
Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan
air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum
Muzamir berangkat pulang.

Anda mungkin juga menyukai