Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum wbt..

Tajuk : Memelihara Kesucian Ramadan


Alhamdulillah kita telah pun melangkah masuk Bulan Ramadhan. Apakah perasaan kita
pada masa ini dalam menyambut bulan yang mulia? Berbicara mengenai puasa,
tentunya kita akan dapat merasai perbezaan antara berpuasa sunat dengan puasa
Ramadan. Berpuasa pada bulan Ramadan bukan sahaja menuntut kita untuk menahan
diri daripada lapar dan dahaga, malah kita juga dituntut untuk menjaga kesucian
bulannya agar tidak dicemari dengan perkara-perkara maksiat. Ini adalah kerana, bulan
Ramadan adalah bulan yang paling agung dan istimewa berbanding dengan bulan-bulan
yang lain kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Allah SWT berfirman yang
bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang padanya
diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-
keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan (antara yang benar
dengan yang salah).”
(Surah Al Baqarah ayat 185)

Kawan-kawan,
Bulan Ramadan adalah medan untuk kita berlumba-lumba untuk mengejar pahala
semaksima mungkin kerana setiap kebaikan yang kita kerjakan pasti akan diganjari
dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia berdasarkan hadis Qudsi yang bermaksud:

“Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700
kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas
untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan
makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Walaupun begitu, ganjaran pahala juga boleh terhapus jika kita tidak meninggalkan
amalan-amalan keji seperti mencarut, mengeji, mengumpat, memfitnah serta banyak lagi
perbuatan-perbuatan dosa yang lain. Ingatlah sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala


puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun
meninggalkan makanan dan minumannya”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, , marilah bersama-sama kita melatih diri untuk mengelakkan diri daripada
melakukan perbuatan-perbuatan keji bermula dari sekarang agar kita dapat menjaga dan
memelihara kesucian bulan Ramadan nanti dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Sekian

Assalamualaikum wbt..
Persiapan Ramadhan
Ramadan adalah nikmat kurniaan dari Allah AWT kepada hamba-hambaNya yang
beriman. Bulan ini juga adalah bulan yang amat dinanti-nantikan oleh orang-orang soleh.
Mereka telah mula mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan seawal 6
bulan lagi sebelum tibanya Ramadan. Persiapan dan persediaan tersebut pastinya
membawa kepada erti dan penghayatan yang penuh bermakna di dalam hidup mereka.
Bagaimanakah pula dengan diri kita? Adakah telah terasa debaran Ramadan dalam hati
sanubari kita? Adakah kita merindui Ramadan sepertimana rindunya orang-orang soleh?
Sudah tiba masanya untuk kita melahirkan dan menanamkan rasa cinta kepada
Ramadan supaya kita tidak terlepas untuk mendapat ganjaran dan keampunan daripada
Allah SWT.

Bertitik tolak dari itu, apakah persiapan yang perlu dibuat sebelum melangkah masuk ke
bulan Ramadan nanti? Antara persiapan yang perlu dibuat dalam kita melalui tarbiah
Ramadan ini ialah:

 Perlunya mewujudkan rasa teruja dan rasa gembira dengan kedatangan bulan
Ramadan Al-Mubarak. Maksudnya persiapan hati perlu dibuat agar hati kita
sentiasa berasa gembira untuk bertemu bulan Ramadan yang bakal menjelang
tidak lama lagi.

 Melakukan sujud syukur pada malam 1 Ramadan apabila bertemu Ramadan


lagi. Ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT kerana kita masih
dipanjangkan usia untuk bertemu di bulan Ramadan.

 Perlu melengkapkan diri kita dengan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan


hal-hal berkenaan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang
membatalkan puasa, adab dan lain-lain agar ibadah puasa kita menjadi lebih
bermutu dan sempurna di sisi Allah SWT.

 Menjaga kesihatan dengan baik sebagaimana kita menjaga kesihatan kita ketika
ingin menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Kesihatan yang baik adalah
amat penting untuk kita terus menghidupkan bulan Ramadan dengan solat
terawih, membaca Al-Quran, qiyamullail, iktikaf dan sebagainya.

Oleh itu, marilah bersama-sama kita membuat persiapan yang sebaiknya sama ada dari
sudut mental mahupun fizikal. Rebutlah peluang Ramadan kali ini dengan
mempertingkatkan lagi amal soleh agar kita menjadi insan yang lebih bertakwa
kepadaNya, InsyaAllah.

Sekian
Assalamualaikum wbt
Istimewanya Bulan Ramadhan

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu
neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah
masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh
dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang
perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu.

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki
dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-
pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-
pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan
puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta
perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi
bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Memperbanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan


kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan
hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi
dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani
sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu
peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Bulan puasa itu merupakan bulan latihan
berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk
hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta
menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. Maka oleh itu hendaklah kita
menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan
perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana
Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita
tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja,
menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang
masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan


diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan
bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah
bertentangan dengan hikmat berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa
dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari
dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan
tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas
muslim.

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan
dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada
ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh
samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan
maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat
persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.

Anda mungkin juga menyukai