Anda di halaman 1dari 8

Memperkasakan Gerakan Mahasiswa Islam

Oleh: Ahmad Tarmizi Mohd Din (Presiden GAMIS)

MUQADDIMAH

Tahun 2006 telah mencatatkan sejarah kepada gerakan mahasiswa Islam (GMI) seluruh negara.
Demokrasi kampus dewasa ini merakamkan sejarah paling mundur bagi kemerdekaan negara
yang berusia hampir 50 tahun. Universiti tidak lagi mampu melahirkan mahasiswa yang berjiwa
kritis dan ‘independent’. Tetapi, apa yang ada sekarang adalah universiti yang tidak lebih
daripada tempat belajar untuk menjadi hamba sahaya, pak turut dan boneka.

Situasi ini lebih merumitkan lagi apabila GMI semakin lesu dan malap akibat daripada
perancangan sistematik yang telah disusun atur oleh pihak yang mencemburuinya. Justeru,
persoalan yang perlu dilontarkan adalah apakah GMI hari ini telah membuat persiapan untuk
merangkul semula kegemilangan dan keunggulan atau lebih selesa dengan status quo yang ada.

SOROTAN SEJARAH; MAHASISWA DAN PERKEMBANGAN ISLAM

Menyelusuri lipatan sejarah perjuangan Islam di dunia, kita tidak dapat menafikan penglibatan
gerakan mahasiswa Islam (GMI) yang turut memberi sumbangan yang efektif. Bahkan,
mahasiswa juga pernah berada di ‘front line’ dalam menangani sesuatu isu berkaitan agama
Islam dan keadilan. Tuntasnya, aktivisme GMI sebenarnya berdiri atas pertimbangan keadilan
mengikut prinsip Islam. Dasar yang jelas ini meletakkan GMI merentasi perjuangan hak etnik,
pemeliharaan sosial, pembangunan ekonomi, kepentingan politik dan sebagainya.

Pak Hamka pernah menyebut;

“Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan merasai bahawa kita turut hidup
dengan mereka. Sebab rasa hati hati dan suka duka kita sekarang adalah rasa hati dan suka
duka yang mereka tinggalkan buat kita”.

Sekiranya kita mengkaji perjuangan Islam seluruh dunia, kita akan menyaksikan GMI turut
terlibat dalam mendaulatkan Islam di negara masing-masing. Di Afhganistan, Ahmad Niazi telah
memimpin Juanan Muslim (kemudian dikenali sebagai Jamiyyah al-Islamiyyah)pada tahun 1972.
Di Iran, Mahmood Ahmadinejad, mahasiswa Islam University Sains Dan Teknologi Iran (IUST)
adalah antara pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang terkenal sebagai ‘nadi utama’ Pasukan
Keselamatan Revolusi Iran (Sepah-e Pandaran-e Enghelab-e Islami) pada tahun 1976. Di India,
Mohammad Ahmadullah Siddiqi telah menubuhkan Student Islamic Movement of India (SIMI)
pada April 1977 demi menangani liberasime dalam masyarakat India dan mendirikan Dar al-
Islam. Di Mesir, beberapa mahasiswa Melayu-Islam seperti Tuan Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tn.
Hj Muhammad Fadhullah Suhaimi (tokoh Ulama’ Melayu Nusantara), Sheikh Salleh Masri, Idris
Marbawi, Muhammad Nasir (tokoh MASYUMI) dan sebagainya adalah antara tokoh GMI pada
pringkat awal sehingga tertubuhnya Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa pada tahun 1918,
kemudiannya Pertubuhan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun1930 (kini
dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir – PMRAM, 1972).

Di Malaysia, GMI wujud sejak sebelum merdeka lagi. Madrasah Gunung Semanggol dan
Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris – UPSI) merupakan antara
pentas awal aktivisme GMI. Penulis melihat penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) pada
tahun 1956 lebih dianggap antara titik perkembangan wujud GMI di Malaysia. PMI menjadi
salah satu pertubuhan yang cuba memberi kesedaran Islam (faham Islam) kepada masyarakat
kampus dan luar kampus[1].

Antara isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh GMI adalah seperti berikut;

1- Membantah sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel- demonstrasi menghalau
pasukan kriket Israel (1997).

2- Mendesak kerajaan untuk menangani isu murtad secara lebih tegas dan berkesan.

3- Menggesa kerajaan membina masjid berdekatan Universiti Malaya (1960).

4- Menganjurkan perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur demi
membantah campurtangan Amerika dalam Perang Arab-Israel (1973).

5- Mengangadakan demonstrasi untuk membela nasib masyarakat di Baling (1974).


6- Membantah kemasukan artis dan maksiat ke dalam kampus. Contohnya tindakan membantah
konsert Sudirman (1985)dan konsert Headwind (1987).

Tahap perkembangan kesedaran di kalangan mahasiswa Islam ini menyebabkan mereka ini
dikenali sebagai kelompok Islamis (Islamic group) yang sangat aktif dan bertanggungjawab
dalam pelbagai perkara. Realiti ini meletakkan GMI di Malaysia juga bukan lagi sebuah wadah
pinggiran dalam melestarikan kepentingan agama di kampus semata-mata, malah GMI sudah
menjadi salah satu entiti perjuangan rakyat Malaysia.

CABARAN GMI DALAM LANDSKAP PERJUANGAN ISLAM MASAKINI

Dalam senario politik dan sosio-ekonomi yang kian berubah, wujud satu keperluan bagi GMI
untuk membuat Islah dan Tajdid dalam pendekatan mereka. Proses mentajdidkan orientasi
gerakan ini sangat diperlukan bagi memastikan GMI terus relevan untuk menghadapi era yang
mencabar ini tanpa mengabaikan keyakinan terhadap prinsip ‘omnipresence’ Islam (kesesuaian/
kehadiran Islam sepanjang masa) dan ‘truism’ Islam (dimensi kebenaran Islam di mana-mana).

GMI sebelum itu perlulah mencermati cabaran semasa yang wujud supaya gerakan membantu
perkembangan Islam yang dibawa tidak bersifat jumud dan statik.

Antara cabaran-cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh GMI masakini adalah:

1- Serangan agenda globalisasi yang datang bersama pakej ‘new world orde’ dan segala
ancaman yang ada terhadap mahasiswa Islam.

Cabaran pertama yang terpaksa dihadapi oleh GMI pada masa kini adalah persoalan bagaimana
menyedarkan masyarakat Islam kampus yang sedang diulit oleh budaya hiburan melampau.
‘Trend-trend’ yang negatif seperti budaya memakai salib, seks bebas, ‘clubbing’, mat rempit dan
menonton filem lucah semakin aktif berlegar di kalangan mahasiswa Islam itu sendiri. Fenomena
ini akhirnya menyebabkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri tanpa mengendahkan
suasana di luar.
Situasi ini menjadi lebih meruncing lagi apabila pihak universiti sendiri memasukkan budaya ini
dari luar kampus. Kehadiran artis-artis pujaan sewaktu majlis konvokesyen disambut meriah oleh
mahasiswa melebihi kehadiran menteri dan para cendekiawan negara. Artis-artis ini seterusnya
dianggap sebagai idola bagi mereka. Setiap perlakuan dan gaya artis tersebut ditiru dan
diperbincangkan secara hangat di kalangan mereka.

Penglibatan mahasiswa dan pelajar sekolah dengan kegiatan jenayah juga semakin
membimbangkan. Menurut satu laporan, sejak tahun 2001 hingga 2004, seramai 10 926 pelajar
telah ditangkap membabitkan 6 109 kes jenayah juvana. Seramai 671 pelajar pula telah diberkas
dan dikenal pasti sebagai perogol pada penghujung tahun 2003.

Beberapa gejala yang disebutkan ini terhasil disebabkan kurangnya pengawalan terhadap unsur-
unsur luar dari menerjah masuk ke minda mahasiswa Islam itu sendiri. Akhirnya, mahasiswa
semakin jauh dari Islam dan ajarannya. Benarlah apa yang disebutkan oleh Allahyarham Syeikh
Abu Hassan Ali An-Nadawi, “Krisis iman dan akhlak yang berleluasa di kalangan umat Islam
telah menyebabkan wujudnya jurang yang semakin jauh antara sikap dan tingkah laku umat
Islam berbanding ajaran Islam yang suci dan mulia”.

2- Penjenamaan Islam dengan pelbagai konsep mengikut pemikiran kelompok-kelompok


tertentu.

Kemunculan pelbagai jenis konsep Islam di era pemerintahan negara masakini turut memberikan
kesan kepada masyarakat kampus. Konsep-konsep ini menambahkan kekeliruan kepada mereka
untuk mengenalpasti Islam yang sebenar. Memetik kenyataan Hisyamudin Rais di dalam satu
forum bersama siswa-siswi Malaysia di Amerika, “ Di Malaysia kini terdapat dua kumpulan
besar yang berlumba-lumba untuk membukti siapa lebih Islam”. Doktrin-doktrin seperti
‘equality of gender’, ‘morality cannot be legislated’ yang terhasil dari konsep pluralisme,
liberalisme dan pelbagai lagi berlegar-legar di kalangan masyarakat khususnya mahasiswa.

Berbekalkan kecetekan ilmu pengetahuan agama dari sistem pendidikan negara yang ada,
mereka tidak dapat melawan arus serangan ideologi dan pemikiran yang menerjah masuk.
Tambahan pula, unsur-unsur yang mengelirukan ini bebas tersebar di dada-dada media
‘mainstream’ dan picisan seolah-olah mendapat ‘green light’ melalui tangan mereka yang
berkuasa.

3- Keterbatasan suara dan tindakan akibat belenggu AUKU 1971 dan akta-akta drakonian
yang lain.

GMI juga terpaksa berhadapan dengan akta-akta yang membataskan kehendak mereka untuk
bersuara. Berlaku pencabulan yang serius terhadap hak asasi mahasiswa sepanjang tahun 2004
khususnya yang menyentuh soal hak berkumpul, hak menyatakan pendirian dan pandangan, hak
berpersatuan, hak menyertai sebarang program dan hak berpolitik.

Secara keseluruhannya seramai 50 orang mahasiswa telah dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib


universiti disebabkan kesalahan di bawah AUKU sepanjang 2004, sedangkan para mahasiswa
yang terlibat hanya menterjemahkan hak mereka sebagaimana yang diperakui oleh Perlembagaan
Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1951. Selain itu kes sebelum ini yang
melibatkan 7 mahasiswa (ISA 7) masih berlarutan hampir mencecah 6 tahun. Hak untuk
mendapat pendidikan ke atas ketujuh-tujuh mangsa dinafikan sepanjang tempoh berkenaan
walaupun mahkamah masih belum memutuskan apa-apa keputusan ke atas mereka. Mereka telah
menjadi mangsa hukuman zalim dengan digantung pengajian walaupun mahkamah masih belum
mensabitkan mereka dengan sebarang kesalahan.

Seperkara lagi yang mendukacitakan, biarpun banyak tindakan yang telah dibuat samada dengan
Kementerian Pengajian Tinggi, pihak pentadbiran universiti mahupun pihak SUHAKAM, tiada
sebarang kemajuan yang benar-benar konkrit dicapai bagi membela hak asasi mahasiswa. Pada
masa yang sama terdapat beberapa pihak khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar terus angkuh
mengugut mahasiswa dengan AUKU sekiranya mereka meneruskan beberapa tindakan untuk
hak mahasiswa sendiri.

Apa yang berlaku jelas bertentangan dengan salah satu cabaran Wawasan 2020 dan ciri asas
Islam Hadhari yang ingin melahirkan masyarakat yang berjiwa bebas dan pengamalan demokrasi
yang matang.

4- Fenomena ‘compleasant’ dan ‘culture of fear’ di kalangan mahasiswa Islam.


Mahasiswa Islam masakini dilihat masih belum keluar dari ‘comfort zone’ yang membelenggu.
Suasana di sekeliling yang membolehkan mereka melaksanakan ibadah harian dianggap sudah
mencukupi walhal betapa banyak lagi syariat Allah SWT yang belum dikuatkuasakan. Sikap
‘ketidakpedulian’ terhadap suasana di luar menyebabkan mereka tidak mengendahkan
bagaimana status Islam pada kaca mata rakan-rakan yang lain.

Di samping itu, ketakutan terhadap ancaman tindakan dari pihak universiti turut menghantui diri
mahasiswa sehingga mereka mengambil sikap ‘membisu dan memekakkan telinga’. Mahasiswa
tanpa disedari menjadi golongan yang bersikap ‘YES BOSS’, pasif, dan ‘dependent’.

PERANAN GMI DALAM MENGUPAYAKAN KEMAJUAN ISLAM

Beberapa cabaran utama di atas haruslah diambil kira sebagai pertimbangan sebelum GMI
melaksanakan agenda memartabatkan Islam di Malaysia. Justeru, setiap modus operandi yang
diambil haruslah bertitik tolak dari kefahaman tepat yang terhasil dari ‘qiraatul zuruf’. Antara
peranan penting yang mesti dimainkan oleh GMI dalam kondisi semasa adalah;

1- Menjadi agen dakwah kepada massa secara ‘independent’.

2-Melibatkan diri melalui sumbangan fikiran dan tenaga kerja terhadap sebarang aktiviti yang
boleh memberikan kesan positif terhadap Islam dan umatnya membabitkan sebarang pertubuhan
samada parti politik, badan bukan kerajaan, persatuan, kelab dan sebagainya.

3-Memimpin ‘front-front’ mahasiswa yang lain sama ada Islam atau bukan Islam.

4-Menjadi ‘pemberat’ kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pertubuhan Islam.

5-Menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat di peringkat ‘grassroot’.

AGENDA PEMERKASAAN GMI

Untuk membawa peranan yang sangat besar ini, penulis ingin menggagaskan 4 paksi utama ke
arah memperkasakan GMI.
1- Memperkasa aqidah dan fikrah.
Setiap anggota GMI perlulah mempunyai kekukuhan aqidah yang menjadi paksi utama kepada
perjuangan Islam. Keutuhan tunjang aqidah ini sangat berkait rapat dengan kejelasan fikrah
perjuangan. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi di samping kepercayaan kepada qiadi sangat
diperlukan demi menjamin kelancaran gerak kerja mengikut hala tuju gerakan yang dibawa.
Agenda pentarbiahan mesti dijadikan tumpuan utama secara besar-besaran untuk memulihkan
semula kekuatan aqidah dan fikrah yang kian longgar kebelakangan ini.

2- Memperkasa ilmu dan kepakaran.

Anggota GMI hari ini bukan sahaja perlu mendalami ilmu fardhu ain yang menjadi kewajipan,
tetapi pada masa yang sama perlu menekankan ilmu fardhu kifayah dalam bidang ekonomi,
teknologi, perundangan dan seumpamanya untuk memantapkan lagi jentera perjuangan
mahasiswa Islam. Perlu dititik beratkan di sini bahawa anggota GMI perlu menguasai kepakaran
dalam bidang masing-masing. Di samping itu, anggota GMI perlu mempunyai kompetensi (skill-
sets) iaitu kepakaran dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi, dakwah dan
teknikal organisasi.

Anggota GMI pada masa yang sama perlu mempelajari ‘soft skills’ seperti ‘public speaking’,
‘problem solving’, ‘critical thinking’, ‘decision making’ dan sebagainya. Mereka juga perlu
berusaha mempelajari ‘triple langguages’ (B. Melayu, B. Inggeris dan B. Arab).

3- Memperkasa sikap, minda dan pemikiran.

Keupayaan minda sangat penting kerana ia boleh memandu orientasi gerakan GMI. Justeru,
persiapan minda yang menyeluruh perlu dibuat berdasarkan 6 Fiqh yang telah digagaskan oleh
Dr. Yusuf Al- Qaradhawi:

Sandaran fiqh ini sangat penting di samping memiliki ‘qiraatul zuruf’ yang tajam, keupayaan
menguasai isu-isu semasa , kemampuan berijtihad, bertindak mengikut rentak ‘mu’asir’ tetapi
mempunyai kesan yang ‘istiqbaliy’. Anggota GMI tidak seharusnya dipandang sebagai ‘jaguh
kampung’ tetapi membuktikan mereka boleh menjadi juara di gelanggang musuh.
4-Memperkasa strategi dan methodologi.

Anggota GMI perlu memahami realiti masyarakat Malaysia dalam agenda mempromosi Islam.
Penampilan yang meyakinkan disusuli dengan imej ‘moderate’ anggota GMI sebagai pendakwah
mampu menarik masyarakat kampus mendekati Islam. Mereka harus memahami kelompok
sasaran agar metodologi dakwah tidak menjarakkan kita dengan mad’u.

Front-front GMI juga perlu sentiasa berbincang khususnya dalam isu yang berkaitan dengan
‘survivor’ Islam dan penganutnya. Kesepaduan ini sangat diperlukan untuk mewujudkan suara
yang lebih besar seterusnya memberikan impak yang lebih berkesan.

PENUTUP

Adalah menjadi perkara yang malang bagi GMI sekiranya masih lagi leka dengan pendekatan
‘stereotype’ warisan daripada generasi yang lalu. Kita harus berada pada zaman kita berdiri agar
setiap pendekatan yang dibawa terus relevan mengharungi perubahan masa. Semoga kertas kerja
ringkas ini sedikit sebanyak boleh memberi lontaran dan muhasabah kepada seluruh anggota
GMI dalam membawa amanah mendaulatka Islam di muka bumi Allah SWT ini

Anda mungkin juga menyukai