Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN

YANG DIPERTUA PIBG

FORUM KEIBUBAPAAN
“IBU BAPA CAKNA, ANAK CENDEKIA”

OLEH :
HAJI AZMAN BIN IDRIS

PADA :

8 OGOS 2009
Assalamualaikum wbt

Bismillahirrahmanirrahim.

Terima kasih puan pengerusi majlis,

Yang berusaha,

Puan Sofia Nor Binti Molhit (Penolong Kanan SMK Cheras Jaya)

Puan Anita Mazlina Bt Azman Arash (PK Kokurikulum)

Ahli-ahli jawatankuasa PIBG

Barisan Ketua-ketua Bidang,

Guru-guru

Seterusnya ibu-ibu dan bapa-bapa yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu, saya mewakili PIBG ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan

dan terima kasih terutama sekali kepada para ibu bapa yang sudi meluangkan masa

untuk program Forum Keibubapaan ini. Dalam keadaan semasa yang kurang

mengizinkan untuk kita berkumpul, masih ada kalangan ibu bapa yang bersikap

cakna terhadap perkembangan akademik anak-anak masing-masing. Terima kasih

juga kepada ahli-ahli jawatankuasa pelaksana majlis forum ini, terutama dari

kalangan guru-guru yang bertungkus-lumus mengatur persiapan untuk menjayakan

majlis yang serba sederhana ini. Semoga Allah melindungi kita semua daripada

sebarang mala petaka, kerana niat kita ikhlas untuk menambahkan ilmu

pengetahuan kita tentang pendidikan anak-anak, khususnya anak-anak yang bakal

menduduki peperiksaan awam tidak lama lagi.


“Ibu bapa cakna, anak cendekia” demikianlah tajuk forum kita pada hari ini. Cakna

bermaksud prihatin atau sikap mengambil berat, manakala cendekia bermakna bijak

pandai dan kaya ilmu pengetahuan. Antara cakna dan cendekia saling berkait rapat.

Tidak ada anak-anak yang cendekia, jika ibu bapanya tidak cakna, Tidak ada ibu

bapa yang tidak mahu anak-anaknya cendekia. Oleh itu, melalui forum yang akan

dimulakan sebentar lagi, kita akan mendengar pandangan yang akan dikemukakan

oleh dua orang ahli panel yang amat berwibawa.

Antara objektif forum ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan

kemahiran keibubapaan. Hal ini demikian kerana kadang-kadang, perkara yang kita

lakukan di rumah mungkin kurang bersesuaian dengan jiwa anak-anak remaja.

Selain itu, forum ini juga diharap dapat mengatasi masalah perbezaan jurang antara

ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak pada zaman ini berbeza dengan zaman kita

seusia mereka. Sebagai ibu bapa sokongan kita amat diperlukan ke arah

meningkatkan keyakinan anak-anak, nescaya hasrat untuk melahirkan anak-anak

yang cendekia akan dapat dicapai.

Bagi pihak PIBG juga, forum ini merupakan satu pendekatan terbaik untuk

merapatkan jurang antara guru-guru dan ibu bapa. Mungkin pada kali ini, kehadiran

ibu bapa didapati kurang menggalakkan oleh sebab banyak faktor yang

menghalang, namun tidak mematahkan semangat kita untuk berhadapan dengan

cabaran dalam mendidik anak-anak. Saya juga memohon maaf bagi pihak rakan-

rakan ahli jawatankuasa PIBG yang tidak dapat hadir kerana terikat dengan urusan

kerja. Pertemuan yang seumpama ini sebenarnya amat ditunggu-tunggu,

khususnya bagi ibu bapa yang sentiasa ingin memperbaharui kaedah pendidikan

anak-anak.
Saya tidak bermaksud untuk berucap panjang kerana ada agenda yang lebih

penting untuk kita hayati bersama. Semoga majlis ini berjalan dengan lancar dan

kepulangan kita nanti penuh dengan ilmu-ilmu baharu yang dapat dipelajari dan

diamalkan nanti.

Sekian, yang baik semuanya dari Allah, sementara yang tidak baik itu adalah

daripada kekhilafan saya sendiri.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai