Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan amalan menabung

“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Apabila mendengar sahaja peribahasa di atas,


pasti tergambar dalam fikiran kita bahawa peribahasa itu amat sinonim dengan perbuatan menabung.
Cuba kita berfikir sejenak, apakah itu menabung? Menabung merupakan perbuatan yang mulia dan
dapat ditakrifkan sebagai mengasingkan sejumlah wang demi menjamin masa depan seseorang.
Namun begitu, dalam era pascaglobalisasi ini kesedaran untuk menabung semakin menyusut dalam
kalangan masyarakat kita khususnya bagi golongan remaja. Para cendekiawan memfasiqkan bahawa
wang bukan segala-galanya, tetapi tidak dinafikan dengan wang kita dapat melakukan segala-galanya.
Peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata amat tepat untuk menyokong
pendapat tersebut. Kini, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menabung. Kita boleh
menabung di bank-bank tempatan yang banyak terdapat di negara kita atau melabur dalam saham-
saham yang dijamin oleh kerajaan. Sememangnya, amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa
sejak setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, amalan menabung ini
mendatangkan banyak faedah bukan sahaja kepada individu yang melakukannya tetapi juga terhadap
masyarakat dan negara.

Pada hemat saya, kepentingan primanya ialah para pelajar dapat menyambung
pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini demikian kerana kos
pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran
sesi pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampng
perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan
yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan
daripada ibu bapa. Di sampng itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan
dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja
pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Natijahnya, kita tidak perlu
bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun
biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar
cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN.
Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah kaca terhempas ke batu. Melalui
amalan menabung, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-
anak yang mahal sekali. Orang tua-tua pernah berkata bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Ringkasnya, kehidupan masa
hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya
sekiranya ada tabungan yang mencukupi.

Faedah kedua sekiranya seseorang itu melakukan tabungan ialah wang tabungan
itu dapat digunakan pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutamanya buat
individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan biasanya merupakan satu dana yang disimpan
untuk membiayai perbelanjaan di luar jangkaan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang
tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, wang yang
ditabung dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah sebagai sumber kewangan.
Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa bencana alam dan tragedi kemalangan jalan raya.
Sudah pasti wang tabungan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Sebagai impaknya, wang
tersebut juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti
kata yang lain, wang tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas
dinyatakan dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan dan beringat sebelum kena, berjimat
sebelum habis. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-
saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh akal sama sekali.

Selain digunakan untuk waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya
ialah dapat melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita
bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu,
kita juga amat susah untuk menyimpan wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir
bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu, sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti
dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga wajarlah mengelakkan sikap suka
berhutang dalam kalangan masyarakat. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis”
dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi
duri dalam daging dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu
perbelanjaan untuk megenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai kesannya, kita dapat
mengelakkan diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara
itu, sikap boros juga tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat
dipertingkatkan dengan amalan menabung.

Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini
berpunca daripada masalah kesihatan pada hari tua tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu,
kita perlu menyimpan wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Victor
Hugo ada berkata bahawa orang yang menabung itu bagaikan bintang di langit. Seseorang yang
menabung lebih awal maka wang simpanannya akan menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari
tua akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan kerana kita mendapat rawatan yang
baik dan sempurna. Wang yang ditabung ini amat penting digunakan untuk kos perubatan dan sara
hidup kerana sudah tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin kestabilan hidup
kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan
menabung. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
yang mengatakan kemaslahatan menabung. Kata aforisme bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian haruslah menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan
kita untuk hari tua akan lebih terjamin apabila menabung.

Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia


sekiranya diurus secara bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah
berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin hidup seluruh masyarakat
Malaysia. Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, yang pipih tidak datang melayang, yang
bulat tidak datang bergolek dan tidak ada gunung tinggi yang tidak dapat didaki, tidak ada luruh
dalam yang tidak dapat dituruni. Sikap bersungguh-sungguh yang berpegang kepada peribahasa
Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya perlu ada dalam diri untuk merealisasikan
amalan menabung sebagai budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Kesabaran dan
ketekunan dapat mendaki gunung-ganang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan
hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak setahun jagung lagi supaya dapat
merealisasikan impian diri sendiri malahan negara. Kita juga perlu merenungi faedah-faedah amalan
menabung dan menjadikan amalan tersebut sebagai agenda utama dalam kamus hidup kita.

Anda mungkin juga menyukai