Anda di halaman 1dari 13

SENARAI ISI KANDUNGAN

PENGHARGAAN ...................................................................................................................... 2

MAKSUD MORAL DAN ALIRAN PEMIKIRAN MORAL ........................................................... 3

BANDING BEZA JENIS-JENIS NILAI DAN CIRI-CIRI PEMBENTUKAN INDIVIDU ................. 6

KAITAN ANTARA JENIS-JENIS NILAI DENGAN CIRI-CIRI PEMBENTUKAN INDIVIDU ....... 9

KESIMPULAN ..........................................................................................................................11

RUJUKAN ................................................................................................................................12
PENGHARGAAN

Saya bersyukur kepada tuhan kerana dengan limpahan rahmat serta nikmat masa, nyawa tenaga
yang dianugerahkan kepada saya dapat juga saya menyiapkan tugasan bagi kursus Pengenalan
kepada Pendidikan Moral (MPU3102) dengan jayanya.

Pertamanya, saya ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada pensyarah


tercinta saya, Dr. Roslina binti Suratnu kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya
membuka ruang untuk saya menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa saya
yang memberi saya pemudahcara untuk menyiapkan kerja kursus ini. Mereka telah memberikan
saya segala kemudahan dan sokongan moral yang hingga saya berjaya mennyiapkan tugasan
ini.

Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang banyak memberi
peringatan terhadap setiap perkara yang saya telah alpa. Mereka membantu saya dengan
menjawab setiap pertanyaan yang saya utarakan kepada mereka.

Akhir madah, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara
lansung atau sebaliknya dalam proses menyiapkan kerja kursus ini.Terima kasih.
MAKSUD MORAL DAN ALIRAN PEMIKIRAN MORAL

Perkataan moral adalah sesuatu yang klise dan sering kita dengar dalam perbualan sehari-hari.
Antara ungkapan yang sering kita dengar ialah, “Perbuatan kamu ini sungguh tidak bermoral!”
atau “Cubalah menjadi orang yang lebih bermoral.” Apakah sebenarnya yang dimaksudkan
dengan istilah moral itu? Bak kata pepatah, tak kenal makan tak cinta. Justeru itu, saya akan
cuba menjelaskan makna moral dengan lebih terperinci. Istilah moral sebenarnya berasal dari
perkataan Latin “Mores” yang bermaksud cara (Vishalache, 2008:2). Dalam Kamus Pelajar Edisi
Kedua, moral didefinisikan sebagai ajaran atau pegangan berkaitan baik atau buruk sesuatu
perbuatan (Kamus Pelajar Edisi Kedua, 2008). Hurlock (Dian, 2009) pula menyatakan bahawa
perilaku moral adalah perilaku yang sesuai dengan kode moral kelompok sosial. Ringkasnya,
moral merupakan perbuatan atau tingkah laku berdasarkan kepada standard atau prinsip yang
diterima dalam masyarakat. Selaras dengan pendapat itu, Frankena (1973) mendifinisikan moral
sebagai pertimbangan berdasarkan aturan, prinsip, idealisasi yang menyatakan tindakan sebagai
benar, salah, baik, buruk yang memiliki pengaruh pada perasaan, minat, idealisasi terhadap
orang lain atau pengalaman tertentu. Maksudnya, moral merupakan satu cara untuk
mempersoalkan isu berkaitan dengan sesuatu tingkah laku iaitu untuk menentukan sesuatu
tingkah laku yang baik, buruk, benar atau salah.

Tambahan lagi, pertimbangan-pertimbangan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada


prinsip dan aturan yang telah ditetapkan dalam sesuatu masyarakat. Sebaliknya, Killen dan Hart
(1995: 372) pula mendifinisikan moral dalam konteks yang lebih luas, iaitu;

“In our view, morality refers to voluntary actions (at least potentially), have
social or interpersonal implications and that are governed by some intrapyshic
mechanism (cognitive/emotive).”

Killen & Hart (1995)

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh kedua-dua tokoh ini, moral merujuk kepada tingkah laku
yang melibatkan emosi dan kognitif.Maka, moral merupakan tingkah laku yang dipengaruhi bukan
sahaja oleh prinsip dan aturan tetapi juga emosi dan kognitif. Berdasarkan beberapa pendapat di
atas, moral boleh didefinisikan dari dua aspek iaitu moral sebagai tingkah laku yang mengikut
aturan prinsip yang ditetapkan serta boleh diterima oleh emosi dan kognitif secara rasional.
Kedua, moral ialah satu cara untuk menentukan tingkah laku yang baik, buruk, benar atau salah
dalam sesuatu kelompok masyarakat.
Seterusnya, moral dipengaruhi oleh budaya dalam sesuatu masyarakat. Budaya dalam
sesuatu masyarakat memainkan peranan yang penting dalam penghujaan moral. Teori
perkembagan kognitif mendakwa bahawa peraturan moral adalah universal (Shahiza & Faridah
et.al, 2005: 38). Hal ini bermaksud, isu yang sama dianggap sebagai moral yang merentasi
budaya. Dalam istilah yang lebih mudah setiap kelompok masyarakat mempunyai pandangan
yang berbeza tentang perlakuan yang bermoral. Jelasnya, tingkah laku yang baik atau buruk
bergantung kepada budaya atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat. Terdapat empat aliran
pemikiran dalam moral iaitu naturalis, emotivis, intuisionis dan rasionalis. Sebelum mengupas
tentang keempat-empat aliran pemikiran atau falsafah ini, ada baiknya jika dibincangkan serba
sedikit tentang sebab dan asal-usul munculnya falsafah-falsafah yang ada sekarang. Menurut
Yeni Rostikawati (2014), falsafah muncul dari pemikiran kritis manusia melalui cerita, peristiwa
yang dialami, atau alam sekitar, yang mempunyai tunjang pemikiran yang berbeza iaitu “god-
centered”, “earth-centered” dan “man-centered”.

Naturalisme merupakan satu yang pemikiran berasaskan alam. Aliran ini dipelopori oleh
John Jacques Rosseau yang dilahirkan di Geneva, Francis pada 6 Jun 1712. Naturalisme ialah
satu aliran pemikiran yang menganggap bahawa kebahagiaan manusia diperoleh dari fitrah
kejadian manusia. Perbuatan yang baik, iaitu perbuatan yang sesuai dengan fitrah manusia, baik
lahir ataupun batin secara seimbang untuk mencapai tujuan dengan menggunakan akal (Riyanto,
2015). Ahli dalam aliran berpendapat bahawa manusia secara fitrahnya adalah rasional (Zhidi et.
al, 2014: 42). Manusia dianugerahkan akal yang membezakannya dengan haiwan. Justeru itu,
manusia perlu bertindak mengikut akal yang telah dianugerahkan oleh Tuhan kepada mereka
(Mardzelah, 2006: 22). Ahli-ahli dalam aliran ini percaya bahawa “naluri itulah jalan yang lurus”.
Perbuatan yang bermoral menurut aliran ini ialah perbuatan yang selaras dengan fitrah. Individu
yang menganut aliran pemikiran ini cenderung untuk menerima apa sahaja dalam keadaannya
yang sebenar. Sebagai contoh, individu dengan pemikiran “rezeki secupak takkan jadi
segantang” tidak akan berusaha untuk mencari rezeki lebih kerana mereka percaya hanya itu
rezeki yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka.

Seterusnya, emotivisme pula merujuk kepada manusia yang bertindak mengikut emosi
tanpa melihat bukti yang sah (Zhidi et. al, 2014). Selaras dengan hal ini, Stevenson menyatakan
bahawa bahawa emotivism tidak memerlukan Principle of Verification, iaitu tidak melihat kepada
fakta dan bukti yang sah (Mind, 1937). Golongan emotivis berpandangan bahawa pernyataan-
pernyataan moral (moral sentences) tidak menyampaikan sebarang maklumat mengenai dunia,
tetapi hanyalah ungkapan perasaa individu semata-mata yang digambarkan melalui tingkah laku
atau mimik muka, dan pada masa yang sama cuba untuk mempengaruhi orang lain untuk
bersikap seperti yang diinginkan. Stoljar (1992) menyatakan bahawa:

“…our purpose in asserting moral sentences is not to describe the world;


…our purpose in asserting moral sentences is to express emotion, and to
persuade people to act in certain ways…”

(Daniel, S, 1992)

Misalnya, saya berkata kepada seseorang, “Anda bertindak salah dengan mencuri wang
tersebut”, tidak ada bezanya jika saya berkata “Anda mencuri wang tersebut”. Bermakna,
pernyataan “Anda bertindak salah…” tidak membawa apa-apa maklumat melainkan hanya suatu
ekspresi perasaan semata-mata. Justeru itu, menurut aliran ini moral bukanlah sesuatu yang
dapat membenarkan atau menyalahkan. Oleh itu, ahli dalam aliran ini cuba untuk menganalisis
“apa yang salah” dari segi emosi. Individu dalam aliran emotivism cenderung untuk mengikut
perasaan. Contohnya, seorang remaja bunuh diri kerana terlalu kecewa kerana merasakan
bahawa masa depannya telah musnah setelah gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Aliran pemikiran yang seterusnya ialah Intuisionis. Istilah ‘intuisi’ berasal daripada
perkataan Latin ‘intueor’ yang bermaksud ‘saya memandang tepat ke arah sesuatu’ (Zhidi et. al,
2014). Jujun S. Sumantri (1990: 53) menggambarkan intuisi sebagai suatu masalah yang sedang
kita fikirkan kemudian kita tunda karena menemui jalan buntu, tiba-tiba muncul di benak kita yang
lengkap dengan jawabannya. Ringkasnya, intuisi merupakan pengetahuan yang timbul secara
spontan dalam benak tanpa melalui proses pemikiran yang rasional. Selain itu, Immanuel Kant
(1724:1804) menyatakan bahawa akal tidak pernah mampu mencapai pengetahuan langsung
tentang sesuatu perkara. Akal hanya mampu berpikir perkara yang dilihat terus (fenomena) tetapi
hati mampu menatafsir sesuatu tanpa terhalang oleh subjek, objek atau apa-apa perkara lain
sesuai dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, “sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina”.
Ahli dalam aliran ini menganggap bahawa terdapat satu kemampuan tingkat tinggi yang tidak
mampu dicapai oleh akal pada manusia yang disebut intuisi. Misalnya, seorang ibu dapat
merasakan jika sesuatu yang tidak baik terjadi kepada anaknya walaupun anaknya berada jauh.
Selain itu, individu yang lebih banyak pengalaman dalam hidup lebih mudah mengenal
keperibadian seseorang pada perjumpaan kali pertama. Oleh itu, mereka tidak akan mudah ditipu
berbanding remaja yang masih kurang pengalamannya.
Aliran moral yang seterusnya, iaitu rasionalis, berasal daripada perkatan ‘ratio’ yang
bermaksud reason atau sebab. Prinsip bagi aliran ini ialah “sumber pengetahuan sejati adalah
akal budi” (Wilson, Williams & Sugarman, 1967). Jelasnya, dalam aliran ini, akal merupakan
sesuatu yang sangat signifikan dalam membuat pertimbangan dan keputusan. Manusia yang
waras menggunakan akal untuk membuat penaakulan, membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah dengan bijak. Menurut ahli rasionalis, tindakan bermoral adalah berdasarkan kepada
teori Imperatif Kategoris. Imperatif Kategoris juga dikenali sebagai etika kewajiban, merupakan
keharusan mutlak tanpa syarat dengan prinsip kewajipan merupakan dasar kepada tindakan
moral. Teori ini berpandangan bahawa sesuatu yang baik mestilah daripada kehendak yang baik.
Individu yang bermoral ialah menurut teori ini ialah individu yang melakukan sesuatu pekerjaan
atau perbuatan baik tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran melainkan dari hati yang ikhlas.
Maka, penilaian tentang seseorang itu baik, tidak bergantung pada luarannya melainkan
keinginan yang baik untuk memenuhi kewajipan. Immanuel Kant percaya bahawa moral bukanlah
bersifat teori, tetapi praktik iaitu perbuatan untuk memenuhi kewajipannya. Ringkasnya,
perbuatan yang bermoral ialah perbuatan yang berasal dari niat yang baik dan ikhlas.

BANDING BEZA JENIS-JENIS NILAI DAN CIRI-CIRI PEMBENTUKAN INDIVIDU

Terdapat enam jenis nilai utama dalam moral iaitu nilai ekstrinsik atau istrumental, nilai intrinsik,
nilai subjektif, nilai objektif, nilai relatif dan nilai mutlak. Setiap nilai mempunyai fungsinya yang
tersendiri. Secara ringkas, nilai berfungsi sebagai satu kriteria atau piawai yang konsisten agar
individu atau masyarakat bertindak dengan baik, sebagai satu tunjuk arah, rujukan dan panduan
untuk menyelesaikan konflik moral dan sebagai batasan (restriction) terhadap perbuatan dan
kelakuan individu atau masyarakat mengikut kehendak nilai yang dipegang ( Eow B.H., 2001).
Subjektif adalah kualiti yang diterima atau ditolak oleh seseorang individu dengan berdasarkan
kepada pandangannya sendiri terhadap sesuatu benda atau perkara. Dengan kata lain, nilai
subjektif bergantung kepada diri penilai. Sebagai contoh, Ali berpendapat bahawa Aminah
seorang yang cantik. Tetapi Abu pula mempunyai pendapat yang sebaliknya. Bermakna, niali
cantik itu adalah sesuatu yang subjektif kerana berbeza mengikut pandangan setiap orang. Nilai
objektif pula adalah nilai yang bebas daripada pilihan peribadi. Nilai yang diterima atau ditolak
berdasarkan pengalaman dalaman yang dialami atau berpunca dari aspek luar yang dipersetujui
oleh kebanyakkan orang.

Seterusnya ialah nilai ekstrinsik atau nilai instrumental. Nilai ekstrinsik merupakan nilai
yang yang diterima atau ditolak sebagai alat untuk mencapai sesuatu matlamat (Rahman, 1994).
Maksudnya, apabila kita melakukan perkara pertama, sebenarnya kita mempunyai tujuan kedua
yang lebih diutamakan. Perkara pertama yang kita lakukan merupakan alat yang digunakan untuk
mencapai tujuan utama tersebut. Misalnya, mengebom Hiroshima merupakan tindakan yang
dilakukan untuk menghentikan Perang Dunia Kedua. Sementara, nilai intrinsik pula merujuk
kepada kualiti dalaman, iaitu merangkumi permikiran dan perasaan seseorang sebelum
melakukan sesuatu perbuatan. Kesan daripada tidakan ini tidak diambil kira. Secara umumnya,
terdapat tiga kategori pandangan sebelum melakukan sesuatu tindakan iaitu pertama, kualiti yang
diterima semata-mata karena tidakan tersebut dianggap baik. Kedua, kualiti ditolak semata-mata
karena tindakan itu dianggap buruk dan ketiga, seseorang melakukan tindakan tanpa mengambil
kira kesannya kerana dia hanya menjalankan tugas yang diberikan kepadanya. Sebagai contoh,
Halim mengikut peruntukan undang-undang semasa menjatuhkan hukuman kepada pengedar
dadah dan bukan kerana dia sendiri ingin membasmi kegiatan tersebut.

Selain itu, nilai relatif pula merupakan nilai yang dibandingkan antara satu masyarakat
degan masyarakat yang lain. Nilai ini tidak sama antara satu masyarakat dengan masyarakat
yang lain serta mempunyai alasannya yang tersendiri untuk menolak atau menerima sesuatu nilai
(Rahman, 1999). Antara sebabnya ialah adat resam, budaya dan kepercayaan. Perbuatan
berpelukan antara seorang lelaki dan seorang wanita dianggap tidak bermoral dalam masyarakat
kita. Perbuatan ini dianggap bertentangan dengan nilai masyarakat kita tetapi di negara barat,
perbuatan ini adalah norma biasa yang tidak pernah dipertikaikan. Sedangkan, nilai mutlak pula
ialah nilai yang tidak terikat kepada kebiasaan sesuatu masyarakat. Nilai ini juga dipraktikkan
oleh masyarakat yang lain (Rahman, 1999). Lazimnya, nilai baik yang tidak dapat dinafikan
kebenarannya akan juga diterima sebagai baik oleh masyarakat yang lain. Begitu juga dengan
nilai buruk atau perbuatan yang keji akan tetap mendapat cemuhan dan tentangan oleh
masyarakat lain dalam dunia ini. Sebagai contoh, penderaan haiwan diterima sebagai satu nilai
yang tidak baik tidak kira di mana-mana tempat sekalipun.

Pembentukan individu bermoral berkait rapat dengan aliran-aliran pemikiran moral yang
telah dibincangkan. “Individu yang bermoral ialah mempunyai penaakulan moral, emosi moral
dan tingkah laku moral” (Rahman & Lee Hoon, 1994). Berdasarkan pernyataan ini, jelaslah
bahawa insan yang bermoral mestilah mempunyai tiga ciri yang telah dinyatakan iaitu penaakulan
moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Ciri-ciri tersebut perlu saling melengkapi antara satu
sama lain dan hubungan yang rapat kukuh bagai isi dengan kuku, cincin dengan permata. Secara
ringkas, penaakulan moral merupakan pertimbangan atau fikiran secara rasional dan
berautonomi (bebas). Melalui aspek penaakulan moral ini, individu dapat memahami sesuatu isu
moral. Melalui penaakulan, seseorang dapat mengenal pasti alternatif yang ada dan kesannya.
Seterusnya, emosi moral seperti suara hati pula merupakan perasaan yang membawa kepada
perlakuan individu secara moral serta mengawal perlakuan dan menghalang individu daripada
membuat sesuatu yang bersifat antisosial (Rahman, 1999). Emosi moral akan mendorong
seseorang untuk lebih berhati-hati dalam setiap keputusan agar tidak menyakiti hati orang lain.
Sementara, tingkah laku moral merujuk pula kepada segala perlakuan yang dilakukan oleh
individu berdasarkan nilai-nilai dan norma masyarakat. Individu yang mempunyai tingkah laku
moral ialah individu yang bertindak dengan penuh tanggungjwab mengikut kemampuan diri
sendiri terhadap sesuatu keputusan berlandaskan penaakulan dan emosi moral.

Persoalannya, bagaimanakah melahirkan insan yang bermoral ini? Dalam hal ini,
terdapat tiga prinsip utama dalam moral iaitu prinsip keadilan, prinsip altruism dan prinsip
autonomi perlu diamalkan. Nagel & Thomas (1970) menjelaskan perkataan altruisme sebagai
sesuatu sikap atau perbuatan yang menyenangkan, bermanfaat dan prihatin terhadap orang lain
Oleh itu, altruis (altruist) ialah orang yang pemurah, atau dermawan. Beliau juga berpendapat
bahawa orang yang mengamalkan prinsip altruism akan mempuyai sikap empati, bertoleransi
terbuka dan boleh percaya akan menerima orang lain orang lain. Seterusnya, konsep autonomi
melibatkan pertimbangan serta kebebasan dalam memilih untuk melakukan sesuatu perbuatan
atau sebaliknya. Sebenarnya, konsep ini bermaksud, membenarkan seseorang individu tersebut
untuk tidak membuat apa yang diingini atau memberi sebab–sebab tertentu jika seseorang itu
dihalang daripada melakukan apa yang dirasakannya baik. Ia adalah berdasarkan kepada dua
perkara iaitu kemahuan atau paksaan (Hena, 1992). Menurut prinsip ini lagi, pertimbangan atau
tindakan seseorang tidak boleh dianggap sebagai bermoral sekiranya dia melaksanakan sesuatu
perkara yang disebabkan oleh paksaan luaran atau kepatuhan kepada autoriti secara membuta
tuli. Ini disebabkan individu yang berkenaan tidak berupaya untuk bertingkah laku secara rasional
dan adil. Individu itu tidak melaksanakan tanggungjawab moral, tetapi hanya mematuhi perintah
daridapa kuasa luar (Koo, 1990).

Menurut Kamus Dewan “keadilan” bererti sifat yang wajar atau berpatutan, tidak memihak
kepada mana¡–mana (apabila memutuskan sesuatu dan sebagainya). Oleh itu, konsep keadilan
melibatkan sebarang perbuatan dan kelakuan yang adil terhadap diri sendiri dan orang lain, tidak
merugikan diri dan orang lain, serta melayan semua orang dengan cara yang saksama tanpa
mengira siapa orang itu. Contohnya, dalam aspek pemikiran, percakapan, perasaan serta
perlakuan. Keadilan penting Keadilan sangat penting dalam penilaian moral dan prinsip ini amat
berkaitan dengan pemikiran atau penaakulan. Apabila konsep keadilan ini dipegang oleh
seseorang individu, maka individu tersebut akan sentiasa berfikiran secara rasional dalam apa
jua keadaan pun. Maka, individu tersebut akan dapat mengawal dirinya daripada unsur–unsur
yang buruk seperti perasaan tamak haloba, kemarahan dan sebagainya. Kesimpulannya, individu
yang mengamalkan tiga prinsip tersebut akan mempunyai nilai-nilai moral dalam diri.

KAITAN ANTARA JENIS-JENIS NILAI DENGAN CIRI-CIRI PEMBENTUKAN INDIVIDU

Secara umumnya, terdapat satu hubungan antara jenis-jenis nilai dengan ciri-ciri pembentukan
individu bermoral iaitu untuk mengamalkan sesuatu nilai sama ada nilai subjektif, objektif, relatif,
mutlak, ekstrinsik atau intrinsik seseorang perlu mempunyai penaakulan moral, emosi moral dan
tingkah laku moral. Untuk lebih jelas tentang hubungan ini, saya akan memberikan beberapa
situasi yang berlaku di Malaysia dan menghuraikan dengan jelas tentang hubungan antara dua
aspek ini.

Situasi 1

Seorang gadis berusia 19 tahun telah menderma RM60,000.00 kepada Persatuan Perubatan
Malaysia (Mercy) untuk membantu mangsa pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Iraq. Wang
tersebut diperolehi melalui kemenangannya dalam peraduan meneka lagu. Beliau ialah Khatijah
Khalilul Rahman. Khatijah memang unik, seumur hidupnya belum tentu beliau akan menerima
wang yang sebegitu banyak. Beliau mendermakan semua wang kemenangannya tanpa
mengambil walau satu sen, tanpa sebarang tujuan mencari nama atau mempromosi syarikat atau
pertubuhan. Dalam konteks ini, nilai yang diamalkan oleh Khatijah Khalilul Rahman ialah nilai
intrinsik dengan pemikiran bahawa beliau melakukan sesuatu tindakan semata-mata kerana
sesuatu tindakan itu dianggap baik.

Beliau mempunyai kualiti dalaman iaitu perasaan simpati, empati dan belas kasihan yang
tinggi. Buktinya, beliau mendermakan seluruh wang tersebut tanpa mengharapkan sebarang
balasan atau tujuan-tujuan tertentu. Dalam konteks ini, jelas bahawa beliau mempunyai emosi
dan tingkah laku moral yang tinggi. Hal ini kerana, tanpa emosi moral seperti perasaan simpati
dan empati serta sikap perikemanusiaan yang tinggi, sudah tentu dia tidak akan mendermakan
wang tersebut. Justeru itu, dia telah melakukan satu perbuatan atau tingkah laku moral iaitu
berurah hati mendermakan wang tersebut kepada orang-orang yang lebih memerlukannya.
Jelasnya di sini, dengan dorongan emosi moral yang tinggi, dia telah dia telah membuat tingkah
laku moral. Secara holistiknya, beliau telah mengamalkan nilai intrinsik.
Situasi 2

Menjelang hari pilihanraya di Malaysia, persaingan antara parti menjadi semakin sengit. Banyak
parti yang berasaskan kaum cuba untuk memanipulasi fikiran rakyat dengan memburuk-burukkan
satu parti dengan parti yang lain. Lebih membimbangkan, ada sesetengah pihak yang cuba
menimbulkan isu perkauman demi untuk kepentingan sendiri. Jika keadaan seperti ini berterusan,
maka perpaduan Negara yang terbina sejak dahulu lagi akan tergugat.

Berdasarkan situasi di atas, kita sebagai rakyat Malysia perlu mengamalkan nilai subjektif
iaitu kita tidak menerima segala kenyataan atau pandangan negatif yang dinyatakan oleh mana-
mana parti tersebut tetapi perlu membuat penilaian berdasarkan kepada pandangan kita sendiri.
Dalam hal ini, individu perlu membuat penaakulan moral untuk berfikir dan mengambil keputusan
secara rasional dan matang dengan mengambil kira kesan tindakan yang diambil. Kita tidak
sepatutnya mengambil tindakan yang membuta tuli dan saling membenci antara satu sama lain.
Jika demikian, sudah pasti keamanan negara akan tergugat. Justeru itu, kita perlu membuat
keputusan yang tepat untuk mengekalkan keamanan dan perpaduan negara kita.

Situasi 3

Amran dan Badrul merupakan dua orang sahabat karib. Pada suatu hari, Amran ternampak
Badrul mencuri wang rakan sekelas mereka. Dalam situasi ini, Amran perlu mengamalkan nilai
mutlak kerana tindakan mencuri merupakan tindakan salah dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Justeru itu, dia perlu mempunyai tingkah laku moral dengan bersikap jujur dan melaporkan
kejadian itu kepada guru kelasnya. Selain itu, dia juga perlu berfikir secara rasional dan matang
iaitu dia tidak seharusnya merahsiahkan hal itu semata-mata kerana Badrul merupakan rakan
baiknya. Dia tetap perlu melaporkan perkara itu kerana tindakan itu adalah tindakan yang paling
tepat. Seterusnya, perasaan bersalah dan berdosa mendorongnya untuk melakukan tindakan
yang betul.

Berdasarkan tiga situasi di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa untuk mengamalkan
sesuatu nilai seseorang perlu mempunyai penaakulan, tingkah laku dan emosi moral. Kedua-dua
aspek ini perlu saling melengkapi dan mempunyai interaksi yang akrab. Tiga dimensi moral ini
akan memandu seseorang untuk membuat pertimbangan dan keputusan tentang nilai yang perlu
diamalkan dalam setiap situasi.
KESIMPULAN

Secara holistiknya, penaakulan, emosi dan tingkah laku moral dalam diri seseorang akan
mendorong individu untuk sentiasa berada dalam keadaan yang berjaga-jaga supaya sesuatu
yang dilakukan adalah mengikut kehendak normatif masyarakat di sekelilingnya. Oleh hal yang
demikian, sebagai seorang bakal guru yang akan menjejakkan kaki ke alam persekolahan yang
sebenar tidak lama lagi, kita perlu berusaha menjadikan diri kita sebagai seorang individu yang
bermoral iaitu mempunyai emosi moral, penaakulan moral dan tingkah laku moral. Hal ini bagi
memastikan kita dapat membuat pertimbangan dan keputusan dalam menyelesaikan sesuatu isu
dengan matang. Sebagai guru, kita pasti bahawa kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan
situasi yang mencabar dan memerlukan kita untuk membuat keputusan yang bijak kerana guru
perlu berhadapan dengan masyarakat setiap masa, membuat keputusan dalam pengurusan
masa, pengurusan sumber dan sebagainya. Jika guru tersilap langkah, pasti buruk padahnya.
Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah. Tambahan lagi, kita peru menunjukkan
tingkah laku yang baik kerana kita merupakan suri teladan bagi murid-murid di sekolah. Justeru
itu, berusahalah untuk menjadikan diri kita sebagai insan yang bermoral demi melahirkan
masyarakat, bangsa dan negara yang lebih baik.
RUJUKAN

Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan moral teori etika dan amalan moral. Serdang:
Penerbit UPM.
Abdul Rahman Md Aroff. (1986). Makna moral. Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia (68)
Abdul Rahman Md. Aroff, (1984). Matlamat pendidikan moral: suatu penilaian terhadap
matlamat projek pendidikan moral di malaysia. Diambil daripada
http://apjee.usm.my/JPP_06_1984/jilid%2006%20artikel%2006.pdf
Abdul Rahman Md. Aroff & Chang Lee Hoon. (1994). Pendidikan moral. dinamika guru. Siri
Pendidikan Longman. Petaling Jaya: Longman Malaysia
Abdul Rahman Md. Aroff & Chang, L.H. (1994). Pendidikan moral. Petaling Jaya: Longman
Malaysia Sdn.Bhd.
Abdullah Zhidi bin Omar, Mahdi bin Shuid, Mazlan bin Aris, Fu’ad bin Sam & Roslina binti
Suratnu, (2014).Pengantar pendidikan moral. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd: Selangor
Aziah Tajudin, Mohd. Fazli Tajuid, (2008). Kamus pelajar edisi kedua. Dewan Bahasa dan
Pustaka: Kuala Lumpur
Chang Lee Hoon (2002). Perkembangan domain moral dalam pengajaran dan pembelajaran
sains sosial. Kertas yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pengajaran dan
Pembelajaran Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pada 19 Januari
2002.
Dian Ibung, (2009). Mengembangkan nilai moral pada anak. Pt. Elex Media Komputindo:
Jakarta
Eow, B.H. (2000) dalam Chia Yip Lan (2007). Bengkel inovasi pedagogi: alternative method
of teaching moral values: concretization of moral values. Diambil daripada
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2007/bengkel/chiabengkelipsf
p.pdf
Frankena, W.K. (1973). Ethics. Englewood Cliffs, New Jersey: Prentice Hall, Inc
Hena Mukherjee, (1992). Strategi pengajaran pendidikan moral kbsm. Petaling Jaya:
Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Junjun Suriasumantri. (1990). Filsafat ilmu: sebuah pengantar popular. Pustaka Sinar Harapan:
Jakarta
Killen & Hart (1995) dalam Sanders, S. (2015). Unearthing the moral emotive compass:
Exploring the Paths to (Un) Ethical Leadership. Diambil daripada
https://scholar.google.com/scholar?hl=en&as_sdt=0%2C5&q=Unearthing+the+Moral+E
motive+Compass%3A+Exploring+the+Paths+to+%28Un%29Ethical+Leadership&btnG=
#d=gs_cit&p=&u=%2Fscholar%3Fq%3Dinfo%3A7u3HZq_4zWIJ%3Ascholar.google.co
m%2F%26output%3Dcite%26scirp%3D0%26hl%3Den
Mardzelah Makhsin, (2006). Sains pemikiran dan etika. PTS Profesional: Selangor
Koo, K.P. & Tang, C.Y. (1990). Pendidikan moral. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Nagel & Thomas (1970) dalam Mackinnon, P. (1995). Ethics: theory and contemporary issues.
USA: Wadsworth Publishing Company
Tam, Y.K. (1996) dalam Chia Yip Lan (2007). ). Bengkel inovasi pedagogi: alternative method
of teaching moral values: concretization of moral values. Diambil daripada
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2007/bengkel/chiabengkelipsf
p.pdf
Stoljar, D, (1992) dalam Edward N. Zalta (2014). Stanford encyclopedia of philosophy: moral
responsibility. Diambil daripada https://plato.stanford.edu/entries/moral-responsibility/
Vishalache Balakrishnan, (2009). Pendidikan moral untuk universiti dan kolej. Arah Publication:
Selangor.
Wilson, J., Williams, N. & Sugarman, B. (1967). Introduction to moral education. Harmondsworth:
Penguin Books.

Anda mungkin juga menyukai