Anda di halaman 1dari 5

Orang Cina

1. Pengenalan

Sejak abad ke-15, orang Cina telah datang ke Tanah Melayu. Pembukaan Melaka dan hubungan
perdagangan di antara Melaka dengan negara China menggalakkan kedatangan orang Cina.
Penghijrahan orang Cina semakin bertambah menjelang awal abad ke-19. Orang Cina telah
berhijrah ke Negeri-negeri Selat akibat perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan
Singapura serta dasar pemerintahan British di Pulau Pinang dan Singapura yang longgar
memudahkan lagi kemasukan imigran Cina. Orang Cina berhijrah ke Johor pada masa
pemerintahan Temenggung Ibrahim (1825-1862) untuk membuka lading gambir dan lada hitam.
Penghijrahan masuk orang Cina meningkat lagi pada pertengahan abad ke-19. Mereka berhijrah
secara beramai-ramai untuk bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah dan ladang lada hitam.

2. Sebab kedatangan

a. Faktor penolak

i. Sebab sosial dan ekonomi

Bencana alam seperti yang berlaku di China seperti kemarau, banjir dan sebagainya
menyebabkan penderitaan yang teruk ke atas penduduknya. Pertanian yang menjadi nadi
ekonomi China ketika itu tidak dapat dijalankan akibat bencana alam dan ini akhirnya berlaku
kebuluran yang teruk akibat bekalan makanan yang tidak mencukupi. Pertambahan penduduk
yang tidak seimbang dengan pembukaan tanah pertanian turut menyebabkan hasil pertanian tidak
mencukupi. Sebagai contoh, penduduk Cina berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah bertambah
menjadi 432 juta pada tahun 1851. Serentak dengan itu, Kerajaan Manchu mengenakan cukai
yang tinggi untuk menanggung perbelanjaan pentadbirannya. Ramai petani tidak dapat
membayar cukai dan terpaksa menjual tanahnya. Akibatnya, 60-90% daripada petani kehilangan
tanah.

ii. Kekacauan dan korupsi politik di negara China

Keadaan politik di China yang tidak stabil telah menggalakkan kedatangan orang-orang Cina ke
Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China pada tahun 1644 mengamalkan dasar
diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak puas hati sering
melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Salah satu pemberontakan
yang terkenal ialah Pemberontakan Taiping (1850-1864). Pemberontakan ini dipimpin oleh
Hung Hsiu-Chuan tetapi gagal menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak
lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontakan.
Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman
Kerajaan Manchu.
b. Faktor penarik

i. Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu

Peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke
Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah adalah salah
satu faktor di samping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan Bandar
terutamanya. Peluang untuk mengerjakan pertanian di bawah sistem Kangcu (Johor)
menggalakkan lagi kedatangan orang-orang Cina. Di bawah sistem ini, mereka diberi tanah
untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.

ii. Kestabilan politik

Kestabilan politik hasil daripada dasar pemerintahan British yang liberal menjadi salah satu
faktor penarik. British juga menggalakkan kedatangan orang-orang Cina dengan menyediakan
pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya memandangkan keperluan tenaga
buruh yang murah dan banyak. Pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896
telah menjamin lagi kestabilan politik. Hal ini telah menjadi tarikan bagi kemasukan modal
Eropah dalam sektor perlombongan bijih timah dan pertanian ladang. Keadaan ini mewujudkan
banyak peluang pekerjaan dan menarik minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu.
Orang India

1. Pengenalan

Orang India datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka dipercayai datang
sebagai pedagang. Pedagang-pedagang India ini menggelarkan Tanah Melayu sebagai
Suvarnabumi atau Tanah Emas. Orang India hanya berhijrah secara beramai-ramai pada
penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 akibat perkembangan perusahaan getah yang telah
meningkatkan keperluan tenaga buruh yang murah dan ramai. Pada awal abad ke-19, bilangan
orang India yang berhijrah akibat pembukaan Pulau Pinang (1786) dan Singapura (1819).
Selepas penubuhan Negeri-negeri Selat (1826), pihak British membawa masuk buruh-buruh dan
banduan-banduan India untuk membina bangunan awam dan jalan raya di Negeri-negeri Selat.
Keperluan buruh India meningkat berikutan perkembangan perusahaan getah. Hampir semua
orang yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu berasal dari India Selatan terutamanya dari
wilayah Madras (Tamil Nadu) dan India Utara dari Punjab.

2. Sebab kedatangan

a. Faktor penolak – keadaan sosioekonomi di India

Bencana alam yang berterusan di India telah menimbulkan penderitaan yang teruk pada
penduduk akibat hasil pertanian yang tidak mencukupi. Sebagai contoh, Dataran Tinggi Deccan
dan India Selatan mengalami bencana alam seperti kemarau yang merosakkan tanaman. Hal ini
mengakibatkan kira-kira 30 peristiwa kebuluran pada pertengahan abad ke-19. Penindasan oleh
tuan tanah juga menyebabkan orang India semakin menderita. Walaupun India sebuah negara
yang luas, namun bukan semua rakyatnya mempunyai tanah. Jika dibandingkan dengan petani-
petani di Tanah Melayu, walaupun miskin, mereka masih mempunyai tanah sendiri untuk
diusahakan. Kebanyakan petani di India terpaksa mengusahakan tanah yang dipunyai oleh tuan-
tuan tanah yang mengenakan cukai yang tinggi. Sebagai contoh, terdapat tuan tanah yang
mengalami 80% daripada hasil tanaman sebagai bayaran sewa. Pertambahan penduduk yang
tinggi menyebabkan taraf hidup orang India semakin teruk, contohnya pada tahun 1845,
penduduk India berjumlah 131 juta dan meningkat kepada 390 juta pada tahun 1941. Penindasan
kasta yang teruk di India juga mendorong orang India datang ke Tanah Melayu. Mengikut
Arasaratnam dalam bukunya Indians in Malaysia and Singapore, lebih 1/3 daripada jumlah orang
India yang berhijrah dari India Selatan ke Tanah Melayu pada tahun 1931 adalah dari kasta-kasta
rendah. Kasta tertinggi ialah Brahmin, kedua Kastranya, ketiga Vaisya dan akhir sekali Sundra.

b. Faktor penarik

i. Perkembangan perusahaan getah

Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam sektor pertanian telah menggalakkan
kedatangan orang-orang India ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh dalam sektor pertanian
di Tanah Melayu seperti getah, tebu, kopi dan sebagainya adalah faktor utama kemasukan orang
India.
ii. Galakan daripada Kerajaan British

Dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan buruh India ialah Jabatan
Keretapi dan Jabatan Kerja Raya. Di samping itu, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di
Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India seperti kerani, guru, doktor dan lain-lain. Orang
India seperti kerani, guru, doktor dan lain-lain. Pada tahun 1920-an kestabilan politik di Tanah
Melayu telah mendorong kedatangan orang-orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di
antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi
kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang lebih awal datang ke
Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India.
Orang Indonesia

1. Pengenalan

Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka
adalah orang Minangkabau, orang Bugis dan orang Jawa. Orang Minangkabau dari Sumatera
Barat telah berhijrah secara beramai-ramai ke Negeri Sembilan pada abad ke-14. Orang Bugis
dari Sulawesi Selatan telah datang ke Tanah Melayu dan menetap di Selangor, Perak dan Johor.
Orang Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk bekerja sebagai buruh di
lading kopi, lading getah dan juga di lombong-lombong bijih timah. Pada penghujung abad ke-
19, penghijrahan masuk orang Indonesia semakin meningkat. Hal ini disebabkan keperluan
buruh dalam sektor penanaman padi dan kopi diikuti oleh perkembangan perusahaan bijih timah
dan getah.

2. Sebab kedatangan

a. Faktor politik

Tekanan politik oleh pihak penjajah (Belanda) telah mendorong kemasukan orang-orang
Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, orang Jawa telah dikenakan Sistem Kultur (1830-
1870) atau Sistem Tanaman Paksa. Sistem ini telah menyebabkan rasa kurang senang orang-
orang Jawa terhadap pemerintahan Belanda. Pertambahan penduduk Indonesia yang tinggi juga
menyebabkan tanah pertanian di Jawa tidak cukup.

b. Faktor sosial

Penduduk di Indonesia terutamanya dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan
pesat. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pertambahan keluasan tanah
pertanian ataupun pengeluaran tanaman makanan telah menyebabkan kemiskinan dan
kemerosotan taraf hidup para petani.

c. Faktor ekonomi

Peluang ekonomi seperti sektor pertanian iaitu getah, padi, kelapa dan lain-lain adalah pendorong
utama kepada kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Kestabilan politik di Tanah
Melayu adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Indonesia juga merupakan faktor pendorong
bagi kemasukan orang Indonesia. Galakan pembesar-pembesar tempatan untuk mengerjakan
kawasan pertanian juga telah mendorong kepada lebih ramai kemasukan orang Indonesia ke
Tanah Melayu. Sebagai contoh, Orang Kaya Bakar (Muar) telah menggunakan tenaga orang
Indonesia untuk mengerjakan dusun buah-buahannya. Persamaan dengan orang-orang Melayu di
Tanah Melayu dari segi bahasa, agama, adat resam dan sebagainya telah menyebabkan mereka
dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Tanah Melayu.

http://cikgurazak.blogspot.com/2010/12/imigran-di-tanah-melayu.html

Anda mungkin juga menyukai