Anda di halaman 1dari 12

ABSTRAK

Penulisan kesusasteraan membantu membangkitkan semangat nasionalisme pada zaman


penjajahan. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih untuk mengkaji semangat nasionalisme
di negara Filipina yang telah timbul melalui penulisan Jose Rizal. Pengkaji memilih negara
Filipina kerana semangat nasionalisme yang ditonjolkan timbul lebih awal dari negara-negara
asia tenggara yang lain. Jose Rizal merupakan wira bangsa Filipina yang merupakan seorang
doktor, penulis drama dan pengarang novel. Novel-novel yang dihasilkan oleh beliau
mengandungi unsur-unsur semangat nasionalisme dan patriotisme. Bukan sahaja novel, tetapi
beliau juga menerapkan unsur-unsur tersebut dalam penulisan artikel, esei dan juga sajak malah
penulisan beliau dimasukkan dalam akhbar. Jose Rizal menggunakan penulisan sebagai wadah
untuk menyemarakkan semangat nasionalisme rakyat Filipina agar tidak terus dijajah
Sepanyol. Penulisan ini merupakan perjuangan pasif yang diketuai oleh Jose Rizal sendiri.
Beliau percaya kesedaran nasionalisme itu hadir melalui penulisan bukannya melalui
kekerasan kerana penulisan akan lebih masuk ke dalam hati masyarakat Filipina dan penjajah
Sepanyol itu sendiri. Hampir semua penulisan Jose Rizal mengandungi nilai-nilai patriotisme
dan semangat nasionalisme. Antara karya yang dipilih untuk kajian ini ialah esei ‘La Indolencia
de Los Filipinos’, artikel ‘Love of country’, ‘The Philippines A Century Hence’,esei ‘La
Indolencia de los Filipinos’, sajak ‘A la Juventud Filipino’, novel “Noli Me Tangere” dan “El
Filibusterismo” serta buku“Sucesos De Las Islas Filipinas”. Kajian ini dijalankan secara
kualitatif, iaitu melibatkan pembacaan teks secara mendalam dan menganalisis bahan-bahan
bertulis. Kajian ini menunjukkan bahawa Jose Rizal menerapkan unsur nasionalisme dan
dalam beberapa karyanya juga ditulis tentang penderitaan masyarakat Filipina.
1.0 PENGENALAN

Kesusasteraan dianggap bidang yang tidak pernah hilang dan pupus setiap kali zaman
berganti zaman , malah ia tetap mekar bagi umat-umat yang hidup melata bagi mengisi
kekosongan . Dari segi etimologi, dalam Bahasa Sanskrit bermaksud kata-kata dan Bahasa latin
iaitu littera (letter) bermaksud kata bertulis atau bercetak. Menurut Haji Muhammad Salleh,
karya berupaya cereka dicipta dengan perantaraan Bahasa dan alatan-alatan yang datang
bersama dan bukan berbentuk laporan. Dalam Bahasa Sanskrit pula, sastera disebut disebut
sebagai castra (Syastra) iaitu kitab suci , karya atau karangan, huruf dan buku. Perkataan ‘su’
pula bermaksud indah, lebih befaedah dan baik manakala sastera ditakrifkan sebagai seni
sastera atau seni bahasa . Menurut Hasim Awang, sastera adalah ciptaan atau karya seni yang
yang disampaikan melalui bahasa. Hasil seni atau pun disebut sebagai karya tulisan dalam
bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri – ciri keistimewaan yang tertentu berdasarkan
pada zaman peradaban dan martabat sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui karya tradisional
atau klasik yang dimiliki .

Sementara itu, nasionalisme ialah perjuangan untuk memperoleh kebebasan daripada


penjajahan atas wujudnya semangat cinta dan taat setia kepada tanah air. Nasionalisme juga
ditakrifkan sebagai satu gerakan dan tindak balas rakyat terhadap ketidakadilan pemerintahan
dari segi politik ekonomi dan sosial. Menurut Hans Kahn, nasionalisme merupakan gerakan
untuk menciptakan masyarakat yang lebih terbuka dan untuk mendapatkan kebahagiaan
perseorangan , bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal fikiran .
Dengan kata lain, nasionalisme itu adalah satu semangat. Oleh itu, kebudayaan seperti agama,
bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme dalam diri seseorang. Melalui
elemen-elemen tersebut, ia dapat melahirkan satu identiti yang baru bagi negara yang dijajah .
Semangat nasionalisme dapat melahirkan perasaan bersatu padu antara pemimpin dengan
rakyat yang dijajah. Menurut Hamdan Yahya (2011), nasionalisme ialah keadaan fikiran yang
menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan menyerap masuk ke kalangan
semua anggotanya: dia mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang
unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca
kesejahteraan ekonomi. Menurut R.S Chavan , nasionalisme juga ditafsirkan “sentiment” ,
“loyalty of sympathy” . Nasionalisme merupakan pemikiran dan tindakan yang menunjukkan
cinta kepada bangsa dan negara. Elemen penting yang terkandung dalam nasionalisme ialah
patriotisme iaitu perasaan cinta kepada tanah air. Nasionalisme juga merangkumi gerakan yang
dilancarkan bagi menjamin ataupun mengembalikan kebaikan golongan majoriti iaitu
selalunya rakyat bagi meruntuhkan status quo yang sekian lama seperti gerakan revolusi yang
telah berlaku dalam Revolusi Perancis. Dalam konteks Asia Tenggara, semangat nasionalisme
wujud dengan serius dalam abad ke-20.

Dalam bidang penulisan, Jose Rizal memperlihatkan dirinya sebagai penulis


novel,artikel dan sebagainya , seorang pengkritik selain daripada seorang doktor. Beliau
menggunakan pendekatan penulisan ini sebagai gerakan nasionalisme tidak bersenjata untuk
membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Filipina. Novel beliau ada yang
ditulis dalam bahasa Sepanyol tetapi tidak difahami oleh golongan berpendidikan rendah di
Filipina. Hal ini demikian kerana penulisan novel itu ditujukan khas untuk penjajah Sepanyol
yang telah membuat rakyat Filipina menderita. Sesungguhnya, seseorang pengarang cuba
memperlihatkan bahawa karya-karya yang ditulis merupakan kesedaran kelompok masyarakat
dan juga penulis itu sendiri. Menurut Sahlan (2005), novelis yang memilih untuk mengarang
cereka dengan tujuan untuk mendedahkan sesuatu kepada manusia dan dunia . Selain itu,
dengan harapan untuk menarik manusia keluar daripada gejala kejahilan dan untuk mendidik
manusia supaya mempunyai tanggunggjawab terhadap pelbagai fenomena sosial yang berlaku.
Di sini, kita dapat lihat bahawa Jose Rizal menulis untuk menyemarakkan semangat
nasionalisme dalam kalangan rakyat Filipina dan memupuk kesedaran serta mengkritik dan
mendedahkan kekejaman penjajah Sepanyol kepada dunia. Hasrat dan kesungguhan Jose Rizal
dalam menghasilkan pelbagai karya tulisan dapat dibuktikan melalui semangat nasionalisme
yang dibawa beliau dalam gerakan nasionalisme tahap pertama iaitu perjuangan pasif.

2.0 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya. Menurut Strauss dan Corbin (1998)
kaedah kualitatif merupakan suatu penyelidikan yang menghasilkan dapatan bukan
menggunakan kemudahan prosedur statistic atau kemudahan kuantitatif yang lain. Menurut
Patton (1978) ,penyelidikan kualitatif sebagai ‘verstehen’ atau pemahaman yang simpatetik
dan mendalam. Pendekatan ‘verstehen’ adalah berdasarkan aplikasi kecerdasan kritikal kepada
fenomena tanpa bergantung sepenuhnya kepada abstraksi representasi numerikal. Penyelidikan
kualitatif menghasilkan data deskriptif yang merangkumi tulisan sendiri seseorang atau
perkataan yang diucapkannya. Setiap penyelidikan kualitatif bertujuan untuk mengkaji
fenomena secara mendalam. Oleh itu, penyelidikan kualitatif ialah suatu kajian interpretif
mengenai suatu isu atau masalah yang melibatkan pengkaji menumpukan makna yang dibuat
oleh subjek kajian menurut Banister (1994). Dalam kajian ini, pengkaji akan melakukan
secara kualitatif kerana melibatkan fenomena dalam teks.

Kajian ini bersifat tekstual yang akan mengupas karya-karya terpilih Jose Rizal. Kajian
secara tekstual ini akan melibatkan pembacaan rapi dan kajian kepustakaan. Kajian
kepustakaan pula dengan merujuk bahan-bahan bertulis seperti jurnal, artikel dan juga sumber-
sumber yang berkaitan.

3.0 LATAR BELAKANG JOSE RIZAL

Nama sebenar beliau ialah Jose Protasio Rizal Mercado y Alonso Realonda. Beliau
dilahirkan pada 19 Jun 1861 di Calamba, Filipina dan meninggal dunia pada 30 Disember 1896
di Manila, Filipina. Jose Rizal merupakan seorang wira kebangsaan Filipina. Beliau ialah
seorang yang sangat berintelektual dan berbakat. Selain daripada menjadi seorang doktor,
beliau juga merupakan ahli arkitek, penyair, penulis drama dan pengarang novel. Beliau juga
menguasai lebih daripada 20 bahasa asing seperti bahasa Arab, Jepun, Itali , Portugis, Latin
dan sebagainya. Jose Rizal mula belajar di Laguna. Beliau kemudian pergi ke Manila iaitu
Universiti Ateneo de Manila di mana beliau meraih ijazah dalam bidang pengukuran dan
pemetaan tanah dan pada masa yang sama, belajar di Universiti Santo Tomas dalam bidang
sastera dan falsafah. Apabila beliau menyedari bahawa ibunya akan menjadi buta, beliau telah
bercadang untuk mengambil bidang perubatan dalam optamologi. Beliau menamatkan ijazah
perubatan dengan jayanya dari Universidad Central de Madrid.

Jose Rizal terkenal dengan karya dua novelnya yang popular iaitu “noli me tangere”
(1887) dan “El Filibusterismo (1891). Kedua-dua novel ini merupakan kritikan mengenai
penjajahan Sepanyol ke atas Filipina. Buku- buku in bertanggungjawab dalam membangkitkan
semangat persatuan dan identiti kebangsaan di kalangan rakyat Filipina.

4.0 NASIONALISME DI FILIPINA

Semangat nasionalisme di Filipina wujud lebih awal berbanding kebangkitan nasionalis


negara-negara asia Tenggara lainnya. Hal ini kerana dilatarbelakangi oleh sistem pemerintahan
kolonial yang meletakkan dua model kekuasaan , iaitu pemerintah sivil yang dipimpin oleh
Gabenor Jeneral yang bertanggungjawab langsung kepada Paus di Rom. Peranan pemerintahan
agama sangat membantu rakyat Filipina dalam melahirkan kesedaran sebagai bangsa kerana
sistem pemerintahan itu berfungsi untuk mendidik rakyat sebagai “missionaries” dalam
penyebaran agama katolik di Filipina.
Sebab-sebab timbulnya nasionalisme di Filipina ialah imperialisme Sepanyol yang
bertindak dengan kejam dan kolot. Malahan, tidak ada kebebasan untuk mengeluarkan
pendapat oleh rakyat Filipina . Setiap tuntutan mengenai pembaikan pemerintahan, dianggap
sebagai pengkhianatan terhadap Sepanyol dan dihukum secara kejam. Seterusnya, dari sini
lahirlah kaum intelektual atau golongan terpelajar.

4.1 Gerakan Pasif

Gerakan nasionalisme di Filipina bermula dengan perjuangan secara pasif. Perjuangan


secara pasif di Filipina adalah bertujuan untuk menuntut pembaharuan dari segi persamaan hak,
kebebasan bersuara , asimilasi penduduk dan menjadikan Filipina sebahagian daripada wilayah
Sepanyol. Ini menunjukkan bahawa istilah pasif yang dimaksudkan hanyalah merujuk kepada
cara dan matlamat perjuangannya sedangkan dari segi realitinya mereka sudah mula
menampakkan kematangan memperjuangkan satu ‘motherland’ yang sama. Di mana pejuang-
pejuang nasionalisme pada tahap ini melihat negara Sepanyol sebagai motherland dalam
perjuangan hak-hak orang Filipina dengan cara asimilasi.

Golongan Ilustrado memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasionalisme


secara pasif. Golongan Ilustrado ini merupakan golongan bijak pandai yang mendapat
pendidikan tinggi. Kempen propaganda ini dipelopori oleh golongan ilustrado kerana mereka
yang dapat berfikir dengan tentang kebajikan masyarakat dan perlunya perubahan politik. Di
samping itu, kebanyakan golongan propagandis juga adalah mangsa dari zaman Filibusterismo
yang tidak sabra untuk menuntut keadilan . Kebanyakan mereka juga berada dalam buangan
selepas peristiwa 1872 , terpaksa meneruskan hidup di luar negara khasnya di Eropah .
Golongan kaya dan intelektual Filipina pada zaman ini menjadi golongan reformis untuk
mendapat satu pembaharuan secara keamanan . Mereka membangkitkan nasionalisme melalui
penulisan artikel-artikel dan karya-karya yang bernas . Usaha-usaha yang diambil oleh
golongan ilustrado ini telah membawa kepada kelahiran gerakan propaganda.

Perjuangan secara pasif telah dipelopori oleh Jose Rizal. Beliau tidak mahu suatu
revolusi dan orang Filipina tidak digalakkan melakukan sebarang tindakan agresif . Dengan
kata lain, gerakan propaganda lebih dipentingkan dengan harapan Sepanyol akan menerima
orang Filipina sebagai rakyat Sepanyol. Dalam konteks ini, Sepanyol dilihat sebagai
motherland oleh Rizal dan golongan propagandis. Rizal adalah seorang reformis yang lebih
mengutamakan pemikiran liberal , kebebasan, persamaan hak dan sebagainya. Beberapa
pengalaman yang dialami oleh beliau telah mendorong beliau menjadi reformis. Rizal pernah
mendapat pendidikan peringkat tinggi di Universiti Santo Tomas . Pada 3 Mei 1882, beliau
telah meninggalkan negara untuk meneruskan pelajarannya di Sepanyol dalam bidang
perubatan. Kebolehan beliau dalam menguasai 21 bahasa adalah bukti kebijaksanaan beliau .
Berdasarkan kebolehan beliau inilah Rizal dapat menyedari bangsanya ditindas oleh penjajah
Sepanyol . Kebencian dan ketidakpuasan hati beliau banyak dipengaruhi oleh pengalaman
pahit yang dilalui di Filipina.

Selain itu, peristiwa penahanan dan pembunuhan paderi Gomez, Burgoz dan Zamora
pada tahun 1872 telah meninggalkan kesan mendalam kepada Jose Rizal. Pengalaman yang
dialaminya banyak membantu beliau memahami erti kemerdekaan dan kebebasan. Suasana
liberal di Sepanyol dan beberapa negara yang dilawatinya sebelum kembali ke Filipina pada
tahun 1887 telah membawa perubahan dalam pemikiran Rizal

Di samping itu, idea Rizal diibaratkan mirip seperti ideologi Mahatma Gandhi yang
memegang prinsip-prinsip anti keganasan. Dalam penulisan Mahatma Gandhi yang bertajuk
“Hind Swaraj” (1909) , beliau menekankan bahawa untuk menjadi pejuang pasif negara ,
seseorang itu harus mengamalkan kesucian, menjalani kehidupan miskin, mengikuti jalan
benar dan menyesuaikan rasa tidak takut dalam diri mereka . Semua konsep ini dapat dilihat
dalam diri Jose Rizal. Dalam surat-surat Rizal sendiri, banyak ditulis mengenai keperluan diri
bagi membaiki kehidupan rakyat jelata.

5.0 DAPATAN KAJIAN

Penulisan dijadikan wadah untuk menyebarkan propaganda dan juga memupuk semangat
nasionalisme dalam kalangan rakyat Filipina. Jose Rizal telah menyatakan luahan, pendapat
serta kritikan tentang apa yang berlaku pada zaman penjajahan. Rizal percaya bahawa senjata
yang paling berkesan untuk mengatasi musuh dan menegakkan hak-hak orang Filipina adalah
melalui penulisan. Penulisan Rizal digunakan sebagai wacana untuk menuntut keadilan bagi
masyarakat Filipina daripada penjajah Sepanyol. Rizal juga menulis dengan tujuan yang jelas
iaitu untuk mendedahkan keadaan dan kehidupan orang Filipina kepada dunia luar. Di samping
mendedahkan penindasan dan kekejaman Sepanyol dan golongan paderi Sepanyol, Rizal juga
menonjolkan kejahilan, sikap buruk dan kepercayaan tahyul masyarakat tempatan. Sebelum
menulis untuk gerakan propaganda , Rizal telah pun menghasilkan karya-karya lebih awal yang
dapat membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan orang Filipina. Semangat
nasionalisme ini dapat dibangkitkan melalui penulisan esei, artikel, sajak dan juga novel.
5.1 ARTIKEL

5.1.1 Artikel “Love of Country”

Artikel pertama yang diterbitkan dalam akhbar Diariong Tagalog di Manila bertajuk
“Love of Country” Artikel ini kemudiannya disiarkan semula dalam akhbar Sepanyol iaitu La
Solidaridad keluaran 31 Oktober 1890. Ia adalah permulaan membangkitkan dan
menyemarakkan semangat cinta kepada ibu negara. Usaha yang diambil untuk mendidik
sentimen nasionalistik ini adalah datang dari manifestasi dalam diri sendiri yang sudah ada
dalam dirinya .

5.1.2 Artikel “The Philippines A Century Hence”

Selain itu, Rizal juga ada menulis artikel yang bertajuk “The Philippines A Century
Hence”. Artikel ini merupakan analisa sejarah sosial Filipina di bawah penjajahan Sepanyol.
Rakyat Filipina dipaksa menerima kebudayaan Sepanyol dan melenyapkan tradisi-tradisi lama.
Melalui artikel ini, Rizal mengutuk kehidupan mereka yang mengikut ala-ala Barat lalu
memandang rendah terhadap bangsanya sendiri . Rizal juga menyentuh mengenai dasar
Sepanyol yang memecahbelahkan rakyat dengan menyemaikan sifat regionalistik dalam diri
mereka . Beliau berpendapat bahawa negara Filipina sepatutnya dijadikan sebahagian dari
Sepanyol supaya orang tempatan dapat menikmati kebebasan dan keadilan melalui perwakilan
dalam Cortes dan kebebasan berakhbar. Penulisan Rizal dalam artikel ini juga telah
menyedarkan rakyat tempatan mengenai tipu helah yang diamalkan oleh rejim Sepanyol di
negara mereka. Di samping itu, mereka turut dimanipulasi oleh golongan paderi. Segala amalan
tradisi mereka dipandang hina. Kehadiran penjajah Sepanyol telah terbukti menambahkan
kemunduran mereka. Orang-orang Filipina yang membaca penulisan Rizal ini sedar akan nasib
malang yang menimpa mereka.

Di sini kita boleh mengatakan bahawa artikel-artikel yang ditulis oleh Jose Rizal
berjaya menyemaikan kesedaran kebangsaan dan sentimen perpaduan dalam kalangan
masyarakat tempatan. Akibatnya, perjalanan gerakan propaganda bertambah aktif dan akhbar
La Solidaridad menjadi nadi penggerak kerana segala artikel bernas mengenai reformasi
terkandung di dalamnya.
5.2 ESEI

5.2.1 Esei “La Indolencia De Los Filipinos

Dalam esei Rizal yang bertajuk “La Indolencia De Los Filipinos yang ditulis pada tahun
1890, Rizal mengeluh tentang ketiadaan kesedaran kebangsaan dalam kalangan penduduk
tempatan dan beliau bersedih dengan keadaan masayarakat pada masa itu seperti “a man in
the Philippines is only an individual , he is not a member of nation” . Dalam esei ini juga Rizal
menyatakan kemalasan rakyat adalah berpunca daripada polisi penjajahan Sepanyol. Buruh-
buruh paksa , polisi-polisi perdagangan yang menghalang barangan tempatan menyaingi
barangan Sepanyol , kekejaman pihak pentadbiran awam dan kongkongan golongan agama
adalah antara puncanya.

5.3 SAJAK

5.3.1 Sajak “A La Juventud Filipino”

Sajak Rizal yang bertajuk “A La Juventud Filipino’ yang bermaksud “to the youth”
pula ditujukan kepada golongan belia. Golongan belia dilihat sebagai harapan negara Filipina
dan mereka perlu bertindak untuk membangunkan bangsa Filipina. Sajak ini memberikan
impak yang besar ke atas belia Filipina. Kesan daripada sajak ini, ramai pelajar Universiti Santo
Tomas telah melibatkan diri dalam propaganda. Inspirasi dari sajak ini telah melahirkan tokoh-
tokoh seperti Andres Bonifacio, Emilio Jacinto yang lebih radikal dalam hal menyuarakan
ketidakpuasan mereka terhadap rejim Sepanyol.

5.4 NOVEL

5.4.1 Novel “Noli Me Tangere”

Novel “Noli Me Tangere” yang bermaksud jangan sentuh aku merupakan sumbangan
Jose Rizal yang paling agung. Novel ini ditulis pada tahun 1887 di Jerman dan digelar sebagai
novel pembaharuan. Rizal menyatakan bahawa novel “Noli Me Tangere” menggambarkan
keadaan sebenar negara Filipina yang ditonjolkan agar kebenaran diketahui umum. Dalam
novel ini , Rizal berjaya mengutarakan keadaan-keadaan yang menyebabkan kepincangan
dalam masyarakat Filipina yang benar-benar berlaku. Pemilihan watak dilakukan dengan
begitu teliti untuk menggambarkan keadaan sebenar. Umpamanya, melalui watak Crisastamo
Ibarra, Rizal menekankan kepentingan pendidikan kepada orang Filipina. Masyarakat Filipina
yang membaca novel ini sedar bahawa hanya melalui pendidikan, mereka dapat memahami
mengenai penindasan, penipuan, kekejaman dan eksploitasi penjajah Sepanyol di Filipina . Jika
masyarakat memahami bahasa Sepanyol, pasti mereka tidak akan diperbodohkan dan
dipermainkan oleh penjajah Sepanyol.

Ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh golongan paderi sememangnya mendapat
perhatian dalam novel Jose Rizal . Masyarakat mula sedar bahawa golongan paderi yang
dianggap mulia selama ini adalah penipu belaka. Orang Filipina dipaksa mematuhi segala
arahan paderi. Jika tidak, mereka akan dibuang daerah atas alasan menuntut hak asasi.
Kekejaman sebenar seperti ini dipaparkan melalui watak paderi Damso dan paderi Salvi.
Memandangkan orang Filipina yang menjadi mangsa penindasan dan ketidakadilan , apabila
membaca bahagian ini , membibitkan lagi benih kebencian terhadap penjajah. Melalui satu
watak lagi, iaitu watak Elias yang digambarkan sebagai orang yang berpendidikan rendah iaitu
rakyat bawahan. Dalam novel ini, ibu Elias dipukul dan diseksa oleh penjajah Sepanyol
sehingga membawa kepada kematian. Akibat pengalaman hidupnya, beliau mula membenci
kehidupan sosial tempat tinggalnya. Keadaan Elias ini mencerminkan nasib malang yang
menimpa rakyat Filipina. Kisah nasib malang ibu Elias dalam novel ini sebenarnya adalah
penyeksaan sebenar yang dilakukan kepada ibu Rizal yang difitnah dan dipenjarakan oleh
pentadbir Sepanyol. Pendedahan kisah sebenar seperti ini menyentuh hati dan sanubari serta
menaikkan lagi perasaan anti penjajahan orang Filipina khususnya dalam kalangan golongan
ilustrado.

5.4.2 Novel El Filibusterismo

Novel ini membincangkan tentang nasionalisme radikal. Melalui El Filibusterismo ,


kita dapat lihat bahawa Rizal sudah mula meramalkan kedatangan revolusi ke negara Filipina
jika penjajah Sepanyol tidak ingin merombak cara pentadbiran mereka yang rigid . Novel ini
melahirkan idea revolusi di kalangan muda Filipina. Rizal tidak menafikan percetusan sebuah
revolusi , namun beliau sedar bahawa orang Filipina belum bersedia untuk melancarkan sebuah
revolusi dari segi mental dan fizikal.

5.5 BUKU

5.5.1 Buku “Sucesos De Las Islas Filipinas”

Buku ini juga telah membangkitkan semangat nasionalisme . Buku ini adalah satu
kajian semula terhadap penulis Antonio de Morga kerana penulisan beliau hanya fokus kepada
unsur-unsur tempatan atau orang Filipina. Dengan sebab itu, Rizal menulis kembali sejarah
orang Filipina. Salah satu sebab utama Rizal melakukan kajian ini adalah untuk
membangkitkan kesedaran penduduk tempatan tentang sejarah mereka yang lampau. Bagi
Rizal, kajian sejarah silam perlu untuk memberikan keyakinan dan kebanggaan kepada mereka.
Jadi, Rizal telah cuba menggunakan sejarah untuk mewujudkan kesedaran nasionalisme dalam
kalangan orang Filipina. Keberanian beliau mengetengahkan bangsa Filipina sebagai suatu
bangsa yang mempunyai sejarah yang gemilang dan bukan seperti apa yang digambarkan oleh
Antonio de Morga, membolehkan rakyat meninjau kembali masa silam nenek moyang mereka
dengan penuh kebanggaan. Sebelum kedatangan Sepanyol, orang Filipina mempunyai
kebudayaan yang tinggi dan memiliki sistem ekonomi dan organisasi sosial yang tersendiri.
Timbul kesedaran untuk meneruskan dan memperjuangkan apa yang sepatutnya menjadi milik
mereka dan menghalang sebarang usaha untuk mengubah tradisi kegemilangan mereka.

Selain itu, Jose Rizal menulis buku ini untuk semua rakyat Filipina. Kumpulan sasaran
Rizal bukanlah golongan lelaki sahaja, malah kaum wanita juga dilibatkan sama. Wanita juga
perlu memiliki sifat patriotisme dan sentimen kenegaraan. Beliau mendesak kaum ibu agar
mendidik dan membentuk anak-anak yang berguna kepada negara. Dengan menonjolkan
wanita sebagai satu kumpulan yang penting, Rizal telah menaikkan semangat serta
memberikan kesedaran serta dorongan kepada kaum wanita Filipina untuk bersama-sama
bangkit dan melibatkan diri secara aktif dalam menentukan hala tuju negara mereka .
Pengiktirafan sebegini sememangnya amat dihargai oleh golongan wanita. Ia adalah lambing
wanita yang cuba dibentuk oleh Rizal untuk menentang kekejaman. Maka dapat dilihat bahawa
wawasan Rizal begitu berpandangan jauh dengan melibatkan kaum wanita dalam aspek politik.
Pada masa itu secara umum penglibatan wanita Asia adalah amat terhad dalam bidang politik
Tidak kira lelaki atau perempuan, mereka adalah warganegara Filipina dan sama- sama
bertanggungjawab terhadap nasib bangsa.
6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, penulisan kesusasteraan ini dapat membangkitkan semangat nasionalisme


di Filipina. Memang kita dapat lihat bahawa sumbangan Jose Rizal melalui penulisan
sememangnya banyak. Perkara-perkara yang disentuh oleh beliau banyak berkisarkan
ketidaksedaran penduduk tempatan dan penindasan pihak penjajah. Namun, tidak semua rakyat
Filipina yang mendapat semangat nasionalisme ini lebih lebih lagi golongan yang tidak
berpendidikan. Kita dapat lihat novel yang ditulis dalam bahasa Sepanyol itu tidak dapat
difahami oleh rakyat Filipina iaitu golongan yang berpendidikan rendah. Dapat dilihat bahawa
Jose Rizal menulis novel-novel tersebut yang ditulis dalam bahasa Sepanyol untuk
menyedarkan golongan terpelajar. Dengan ini, beliau berharap dapat mengumpulkan golongan
ini untuk membantu beliau membela nasib bangsa. Tetapi kita dapat merumuskan di sini
bahawa Jose Rizal menggunakan pena sebagai senjata utama beliau dalam mencetuskan
kesedaran di kalangan rakyat. Penulisan beliau tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja. Tidak
salah jika beliau menggunakan segala akhbar, artikel , surat khabar, novel yang ditulisnya
sebagai medan untuk mengelakkan penjajah. Bagi beliau, segala asas harus dipenuhi sebelum
satu semangat nasionalisme yang jitu dapat diwujudkan. Kesedaran tentang penindasan,
kemajuan dalam pendidikan, emansipasi wanita adalah perkara-perkara yang membangkitkan
semangat nasionalisme.

Namun, gerakan pasif yang dipelopori oleh Jose Rizal ini banyak kelemahannya.
Tulisan-tulisan Jose Rizal hanya menyedarkan satu golongan sahaja iaitu golongan ilustrado
yang merupakan golongan bijak pandai atau golongan terpelajar. Tulisan-tulisan beliau gagal
mempengaruhi semua lapisan masyarakat. Sekiranya tulisan-tulisan beliau ditulis dalam
bahasa Tagalog, sudah tentu ideanya dapat mempengaruhi semua lapisan masyarakat.
Sungguhpun Rizal memperjuangkan nasib semua lapisan masyarakat tetapi hasratnya tidak
kesampaian. Meskipun tidak semua lapisan masyarakat dapat memahaminya, namun Jose
Rizal berjaya mengadakan revolusi mental dalam diri orang Filipina. Beliau tetap membawa
satu perasaan kesedaran dalam kalangan orang Filipina. Dengan penulisan Rizal itulah ,ramai
orang Filipina telah sedar akan penindasan pihak Sepanyol.

Jose Rizal juga sedar bahawa melalui penulisan sahaja tidak memadai untuk mengubah
pemikiran masyarakat. Ini kerana masyarakat tidak boleh diharap untuk mengubah sikap dan
bertindak mengikut apa yang dihasilkan oleh Jose Rizal melalui penulisannya. Cara terbaik
untuk menyatukan rakyat dan seterusnya menyuarakan kepentingan mereka adalah dengan
menubuhkan persatuan dan pertubuhan lain untuk menuntut pembaharuan dari Sepanyol.
Dengan kata lain, pertubuhan-pertubuhan ini akan menjadi satu saluran penyatu yang
seterusnya dapat menyatakan hasrat penduduk secara kolektif dan nyata. Atas kesedaran inilah
Jose Rizal menghadkan usaha reformasinya melalui penulisan sahaja.

Anda mungkin juga menyukai