Anda di halaman 1dari 6

21 Persiapan Dan Persediaan Awal Mental Dan Spiritual Sebelum Pergi Umrah Ke Tanah Suci

Banyak yang perlu disedia dan dilakukan sebelum berangkat menunaikan ibadah Umrah. Persiapan
awal mental dan rohani terutamanya mesti dititikberatkan supaya pemergian ke tanah suci benar-
benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah.

Dalam usaha meraih Umrah Maqbul, jemaah diharapkan dapat melakukan pematangan sikap, ikhlas,
sabar, saling membantu dan amalan beragama. Hendaklah difahami betul-betul segala perkara yang
berkaitan dengan pelaksanaan ibadah umrah mahupun persiapan rohani dan jasmani (spiritual dan
fizikal).

Persiapan Awal Mental Dan Spiritual

Membersihkan dan mensucikan diri secara rohani atau spiritual boleh dilakukan dengan cara seperti
bertaubat dan memohon ampun kepada Allah memperbaiki kekhusyukan solat, mengeluarkan zakat
dan mohon kemaafan orang lain. Iaitu memperbaiki hubungan dengan Allah dan antara sesama
manusia sebagaimana huraian ringkas di bawah ini:

1. Syahadah

Perbetulkan iktikad dalam memaknakan syahadah. Biar setiap urat dan saraf kita benar-benar
merasai getarannya apabila melafazkan kalimah ‘lailahaillallah muhammadur rasulullah’ kerana
Syahadah itu janji hati kepada Allah

Allah Azza wa Jalla berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu
dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya, merekalah orang-orang yang benar.” (Surah Al-
Hujuraat: Ayat 15)

2. Ikhlas Niat

Dalam menunaikan tuntutan Allah untuk mengerjakan Haji dan Umrah yang diwajibkan ke atas diri
seseorang muslim, perlulah dibersihkan hati dari segala cacat cela dengan berniat ikhlas kerana
Allah. Jadi niat ini semestinya diselidiki selalu dan diperbetulkan supaya jangan terpesong.

Niat sebenarnya pergi menunaikan ibadah Umrah hanya melaksanakan perintah Allah dan
mengharapkan keredhaanNya semata-mata. Dengan itu haruslah ditanamkan semangat dengan
perasaaan tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari segala tekanan duniawi yang akan
memberatkan fikiran sepanjang perlaksanaan haji.

Dari Amirul mu’minin Umar bin Al-Khotthob rodiallahu’anhu, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah ‫ﷺ‬
bersabda, “Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap
orang apa yang ia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya
adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana untuk menggapai dunia atau
wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi.”(Hadis Riwayat Al-
Bukhari r.a.)

3. Tingkatkan Amalan

Jika sebelum ini amat jarang atau belum pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir,
membaca Al-Quran, qiamullai, bertafakkur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan sebagainya.
Maka perlulah dipertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan dapat melakukannya dengan
mudah di tanah suci kelak. Jika ketika di Makkah dan di Madinah baru hendak lakukan, maka akan
menjadi suatu bebanan dan keterpaksaan yang akhirnya memaksa diri melakukannya juga.

Amalan yang dilakukan kerana terpaksa, apabila balik ke tanah air, sukar untuk diteruskan. Maka
tiadalah penambahbaikan yang berlaku. Oleh yang demikian latihlah diri sebelum berangkat ke tanah
suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang panjang.
4. Muhasabah Diri

Dekatkan diri kita kepada Allah seperti perbanyakkan istighfar dan sentiasa melakukan Qiamullai
seperti melakukan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Tahajud, Taubat dan Hajat untuk membantu
kita bermunajat kepada Allah.

Mengetahui sikap negatif dan pupuklah diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan berusaha membuang
sifat-sifat yang buruk dan tercela.

5. Taubat Nasuha

Bertaubat atas kesemua dosa dan kelalaian kita terhadap suruhan Allah serta meninggalkan segala
yang makruh dan perbuatan-perbuatan mungkar. Bersihkan diri dari segala dosa dan perbuatan
lampau yang telah banyak kita lakukan dengan melakukan Solat Taubat dan memohon keampunan
kepada Allah

Jika seseorang itu bertaubat daripada dosa kepada Allah maka hendaklah memenuhi syarat-syarat
Taubat Nasuha :

Menyesal atas segala perbuatan dosa.


Segera meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
Berazam tidak akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
Jika berdosa kepada sesama insan, maka hendaklah memohon maaf dari orang tersebut dan jika dia
mengambil hak seseorang, maka hendaklah dia memulangkan hak mereka itu.

6. Perbaiki Kualiti Solat

Jika tahap solat kita masih sama seperti ketika belajar di sekolah dahulu, kita perlulah memperbaiki
dan meningkatkan kualiti solat terutama mutu bacaan dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul.

Rasulullah ‫ ﷺ‬bersabda: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”

Memperbanyakkan solat sunat adalah antara langkah memperbaiki kualiti dan menambah
kekhusyukan solat fardhu kita. Dalam solat juga terdapat zikir dan doa yang kita pohonkan, maka
berdoalah dengan khusyuk dan yakin, bukan dengan sambil lewa.

7. Banyakan Berpuasa

Puasa dapat menundukkan nafsu dan menjadi perisai nafsu manusia, maka perbaikilah kualiti puasa
fardhu kita dan banyakkanlah berlatih dan melakukan puasa sunat. Sekiranya ada puasa yang belum
diqadha atau dikeluarkan fidyahnya, tunaikanlah semampu mungkin. Begitu juga dengan puasa nazar
yang belum ditunai, maka laksanakanlah secepat mungkin.

8. Belajar Bersabar

Sifat sabar amat diperlukan dalam melaksanakan ibadah umrah, Sikap ini bahkan mulai diuji sebaik
seseorang memutuskan untuk berangkat ke tanah suci. Semua urusan memerlukan kesabaran.Di
tanah suci sendiri, ketika berkumpulnya jutaan jemaah dengan pelbagai ragam, tabiat dan kebiasaan
yang berbeza dan akan ada saja perilaku yang boleh menimbulkan kemarahan jemaah. Bersabarlah
demi ketaatan kita kepada Allah

9. Kawal Perasaan

Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan suami atau isteri atau anak atau sahabat kita
sendiri. Ada kalanya pertengkaran antara suami atau isteri dan sebagainya akan sering berlaku
apabila tidak dikawal dengan rasa sabar dan syukur.

Adakalanya di tanah suci, hati kita terdetik berkenaan sesuatu, ia akan berlaku tanpa disedari, maka
belajarlah sejak di tanah air lagi agar mengawal perasaan, sentiasa berfikiran positif dan bersifat
husnuzon.
Jauhilah sikap suka mengkritik segala perkara atau sering merungut akan sesuatu yang berlaku.
Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah yang mahu melihat akan tahap amarah dan kesabaran kita.

10. Jihad Kasih Sayang

Bagi seorang wanita menunaikan umrah menuntut pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang
dianugerahi sifat pengasih dan sensitif dengan jarak perpisahan terutama terhadap anak dan
keluarga. Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah
haji dan umrah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.).

Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk melakukan
ibadah.

11. Tolong-Menolong

Kerap berlaku suatu keadaan kita diminta untuk memberikan pertolongan kepada orang lain yang
memang perlu dibantu khususnya bagi mereka yang selalu uzur. Lakukan bantuan dengan segera.
Jangan ragu-ragu kerana dengan pertolongan yang diberikan, maka nescaya Allah akan
membalasnya dengan membantu anda. Percayalah bahawa orang-orang yang banyak membantu
orang lain dengan ikhlas, segala urusannya akan menjadi mudah dan lancar, dan ajaibnya dia akan
terhindar dari pelbagai kesukaran. Yang penting niat menolong dengan ikhlas, tanpa mengharapkan
balasan kecuali redha Allah semata-mata.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang
paling baik budi pekertinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari r.a.).

12. Berinfak Dan Bersadaqah

Lakukan infak dan sedekah dengan hati yang ikhlas. Bersedekah bukan terhad kepada harta dan
wang ringgit sahaja, anggota badan, tenaga empat kerat, lisan dan senyuman turut boleh
disumbangkan dalam kehidupan seharian. Bersedekahlah membantu orang-orang miskin dan
mereka yang memerlukan yang ditemui ketika dalam pejalanan atau jiran-jiran kita bagi melatih diri
menjadi pemurah dan melembutkan hati.

Allah juga berfirman:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan
kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka
berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat
dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas
dengan sebaik-baiknya).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 215)

Hadis riwayat Asma binti Abu Bakar ra., ia berkata: Rasulullah ‫ ﷺ‬bersabda kepadaku: “Berinfaklah
atau memberilah dan jangan menghitung-hitung, kerana Allah akan memperhitungkannya untukmu.”
(Hadis Riwayat Muslim r.a.)

13. Hindari Riak

Elakkan diri dari perasaan riak, ingin dipuji, takbur, sombong merasa hebat, ingin bergelar dan
dipanggil haji atau hajah. Berserahlah sepenuhnya kepada Allah dan lakukan semuanya itu dengan
taqwa.

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang
yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula
tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang
ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak
bertanah lagi).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 264)

14. Memahami Sifat-Sifat Mahmudah Dan Mazmumah

Mengetahui dan memahami sifat-sifat yang terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah diri dengan
sifat-sifat yang terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang tercela.

Jaga tiga perkara; Mulut, Telinga dan Mata selalu ingat amalan kerana Allah ‫وتعال سبحانه‬, Bukan untuk
riak, ujub dan sombong, jujur dalam perbuatan dan kata-kata.

Dan dari Wabishah bin Ma’bad rodhiallohu ‘anhu dia berkata: “Aku datang kepada Rasulullah ‫ﷺ‬,
Baginda bersabda, “Apakah kamu datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata, “Ya.”
Baginda bersabda “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa
dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam
hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.” (Hadits hasan yang kami riwayatkan dari
Musnad Imam Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan).

15. Meminta Maaf

Mohon maaf kepada orang ibu bapa, suami isteri, anak-anak, saudara-mara, keluarga dan kaum
kerabat. Bermaaf-maafan sesama kaum muslimin tidak kira saudara, sahabat atau jiran tetangga
samada ada berbuat salah atau tidak dan minta maaf daripada semua orang yang pernah kita
lakukan kesalahan terhadap mereka.

Begitu juga, jika kita ada menzalimi orang, terambil harta orang, hendaklah dipulangkan harta
tersebut, atau kita minta supaya dihalalkan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah
diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat
bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak
mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat
Bukhari r.a.).

16. Keredhaan Ibu Bapa & Suami

Berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibu bapa dan suami. Rasulullah bersabda: “Keredhaan
Allah terletak pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
(Hadits Riwayat At-Tirmidzi r.a.).

17. Teman Perjalanan

Bagi kaum wanita pula ditambahkan syarat iaitu mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti
ditemani mahram. Harus mendapatkan mahram atau teman yang soleh yang dapat menasihati dan
membantu kita ketika dalam kesusahan atau melakukan kesilapan.

Mencari teman dan rakan yang baik dalam perjalanan. Sebab kadang-kadang ada teman ketika di
sini baik, tetapi di Makkah berbalah. Ada juga insiden suami isteri berbalah atau bermasam muka.
Kadang-kadang perkara tersebut tidak masuk akal tetapi berlaku.

18. Bersangka Baik Kepada Allah

Baik sangka, menurut Abu Muhammad al-Mahdawi, adalah membuang prasangka buruk (qath’ul
wahm). Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata : Rasulullah bersabda : “Allah berfirman : “Aku menurut
sangkaan hambaKu kepadaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).

Dari Jabir bin Abdillah ra bahwa ia mendengar Rasulullah berkata tiga hari sebelum wafatnya :
“Jangan seorang di antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah.” (Hadis Riwayat
Muslim r.a.)

Orang yang beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada baik
atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah. Jika kita bermohon kepada Allah maka hendaklah
bersangka baik jika apa yang diharapkan tidak terlaksana. Mungkin Allah mahu beri yang lebih baik
lagi.

Firman Allah

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak
mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

19. Istiqamah

Perjalanan suci yang di redhai Allah tidak terlepas daripada berbagai cabaran yang hanya akan dapat
di atasi oleh semangat yang tinggi, bersabar, tidak berputus asa dan beristiqamah.

Rasulullah telah bersabda: “Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang sentiasa dilakukan
walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Istiqamah sangat penting dalam semua hal. Rasulullah menyuruh kita istiqamah dalam membuat
kebaikan, juga dalam melihat kecacatan dan membaikinya. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu
perkara amar makruf nahi mungkar haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan niat itu
hendaklah ikhlas kerana Allah.

20. Bekalan Taqwa

Segala persediaan dari kelengkapan “material” seperti wang ringgit, tempat penginapan, makan-
minum jika tidak disertai dengan bekalan taqwa, maka dibimbangi ibadah umrahnya itu akan hilang
dari matlamat asalnya iaitu kerana Allah.

Pastikan para jemaah membawa bersama-sama bekalan taqwa sebagaimana firman Allah

Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.”
(Surah Al-Baqarah 2 : Ayat -197)

Abdullah bin Umar r.a. apabila melihat rombongan haji sedang melalui satu jalan, beliau berkata:
“Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara
semakin bertambah ramai.”

Maksud beliau adalah, kekasih Allah ‫ وتعال سبحانه‬yang sebenar semakin berkurangan sementara
mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan ramainya. Beliau menyeru ke arah sederhana dan
menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.

Setiap jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda keghairahan mencintai Allah ‫ وتعال سبحانه‬dan
bukannya tanda cinta kepada kecantikan yang dihiaskan. Rasulullah ‫ ﷺ‬bersabda:

“Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana naik haji umat aku kerana 4 perkara:

Orang kaya naik haji kerana melancong.

Orang pertengahan naik haji kerana beniaga.

Orang miskin naik haji kerana meminta-minta.

Orang Qari dan Ulama naik haji kerana riya’dan nama.”

(Hadis Riwayat Ad Dailamy)

21. Tawakal

Tawakal adalah penyandaran hati dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah. Amat perlu ditanam
dalam diri dengan sifat bertawakal sebelum berangkat ke tanah suci bagi menghadapi pelbagai
kerisauan, kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan ibadah Umrah, menyerahkan
semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang
memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.
Menurut pendapat Imam Ghazali r.a: “Tawakal membawa erti bahawa kita menyerahkan diri kepada
Allah sewaktu menghadapai kesusahan atau ketika menghadapi waktu yang sukar dan genting dalam
hidup ini. Pada ketika ini, hati perlu di teguhkan seteguh-teguhnya sehingga ia mencapai satu titik
ketenangan dan ketenteraman di dalam jiwa.”

Penutup

Tujuan sebenar kita menunaikan Umrah ialah untuk memperbaiki jiwa. Maka kita perlulah membuat
persediaan awal yang mantap agar kita mendapat suatu kebaikan yang amat besar daripada ibadat
Umrah tersebut.

Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari
semalam dan begitulah seterusnya, iaitu pembaikan yang berterusan. Oleh itu jemaah perlu secara
sedar untuk berniat melakukan persiapan rohani, mental dan spiritual kerana ianya akan
membersihkan diri dari segala cacat dan cela.

Dengan demikian kita dapat berangkat dalam keadaan bersih dan suci. Terlepas dari segala beban
duniawi yang akan membebankan fikiran sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji.

Usahakan agar perjalanan rohani ini boleh berjalan dengan baik dan lancar serta berharap ibadah
umrah ini mendapatkan redha Allah swt.

Wallahu A’lam Bish Shawab

Anda mungkin juga menyukai