Anda di halaman 1dari 2

Membaca jambatan ilmu. Namun budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

Kajian
menunjukkan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Negara kita
yang sedang pesat membangun memerlukan rakyat yang berpengetahuan tinggi untuk maju setanding dengan
negara maju di dunia ibarat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia
sedar akan pelbagai faedah yang bakal diperoleh apabila mereka membaca? Sebenarnya sudah terang lagi
bersuluh bahawa terdapat pelbagai manfaat apabila seseorang mempraktikkan budaya membaca.

Ilmu penyuluh kehidupan dan membaca buku dapat menambahkan pengetahuan. Hal ini demikian
kerana melalui pembacaan seseorang dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada yang berlaku di dalam negara
atau di luar negara. Oleh hal yang demikian mereka tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung.
Selain itu, melalui pembacaan, pembaca berpeluang mempelajari sejarah dan budaya masyarakat dunia.
Umpamanya mereka dapat mempelajari tamadun Mesopotamia, Indus, Hwang Ho, Mesir Purba dan lain-
lain. Pembaca juga dapat mengetahui budaya masyarakat dunia yang sangat unik dan berbeza di negara yang
berlainan. Oleh itu, untuk memupuk budaya membaca ini, kita perlulah menggalakkan anak-anak ke
perpustakaan dan membeli bahan bacaan yang bersesuaian untuk mereka kerana banyak membaca luas
pengetahuan dan membaca ialah jendela ilmu.

Amalan membaca juga dapat menambah perbendaharaan kata dalam kalangan pelajar. Dasawarsa,
ramai pelajar lemah dalam kertas Bahasa Melayu kerana mereka kurang menguasai kosa kata. Pelajar juga
kurang cekap berbahasa Inggeris kerana kekurangan kosa kata bahasa tersebut. Hal ini menghalang kejayaan
pelaksanaan program MBMMBI iaitu usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh
bahasa Inggeris ke arah menguasai pelbagai ilmu pengetahuan pada peringkat globalisasi. Tabiat ini juga boleh
menyumbang kepada penemuan perkataan-perkataan dan istilah baharu terutamanya dalam bidang sains dan
teknologi. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, begitulah keadaannya apabila membaca, kosa
kata seseorang itu sentiasa bertambah dan khazanah bahasa seperti peribahasa dan ungkapan menarik serta
bunga-bunga bahasa semakin dikuasainya.

Seterusnya, tabiat membaca boleh membantu pelajar lulus cemerlang dalam akademik. Tabiat
membaca boleh membantu pelajar memahami sesuatu mata pelajaran dengan cepat dan mudah. Peribahasa
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai kepada pelajar yang rajin membaca kerana tabiat membaca
juga dapat meningkatkan mutu akademik pelajar.

Tabiat membaca merupakan aktiviti masa senggang yang sangat berfaedah. Masa itu emas, oleh itu
seseorang seharusnya mengisi masa lapang dengan berfaedah seperti mengamalkan hobi membaca
buku. Negara kita memerlukan rakyat yang berpengetahuan untuk membangunkan negara. Sebagai contoh,
masyarakat di negara Jepun yang maju menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup mereka. Di negara
matahari terbit itu, kita dapat menemukan masyarakat Jepun yang membaca buku ketika di dalam kereta api,
di stesen bas, di taman-taman, atau di mana-mana sahaja. Sebaliknya, di negara kita, rakyat kita suka berbual-
bual kosong di kedai kopi, bermain dam di atas wakaf, atau melepak di pusat-pusat beli belah. Kesimpulannya,
jelaslah bahawa rakyat yang banyak membaca berupaya menjamin kemajuan negara.

Tabiat membaca juga adalah pemangkin kemajuan negara. Hal ini demikian kerana kemajuan
sesebuah negara tidak dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga diukur pada kemajuan
intelektual rakyatnya. Rakyat berilmu mencerminkan kemajuan sesebuah negara. Sekiranya negara kita dapat
mengurangkan kadar buta huruf secara tidak langsung, taraf pendidikan di negara kita turut meningkat dalam
usaha melahirkan rakyat bertamadun tinggi. Sejarah telah membuktikan bahawa pembangunan tamadun
keintelektualan manusia bermula daripada buku. Sebagai misalannya, kemajuan Kota Baghdad telah muncul
sebagai pusat penyebaran ilmu yang unggul di dunia suatu ketika dahulu disebabkan ledakan ilmu menerusi
penulisan dan penterjemahan pelbagai buku dari seantero dunia. Tuntasnya, melalui tabiat membaca, kita
dapat melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Natijahnya, berdasarkan faedah-faedah yang telah dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa
tabiat membaca amat signifikan untuk membangunkan intelektual rakyat negara ini. Tegasnya, tabiat
membaca berupaya menjayakan hasrat negara menjadi negara maju dalam Wawasan 2020. Tabiat membaca
harus dipupuk ibarat sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit ke arah meningkatkan purata pembacaan
rakyat negara ini. Sesungguhnya semua pihak harus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk meningkat
budaya membaca dalam kalangan masyarakat kerana tamadun kebendaan tidak pernah kekal tetapi tamadun
ilmu boleh merentas zaman.

Anda mungkin juga menyukai