Anda di halaman 1dari 5

CERPEN MELLISA

Set 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan
yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur
baur dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke
arahnya yang sedang berdiri di samping Farid. Farid memang banyak
mempunyai kawan kenalan di sana.

Berhenti di tiap-tiap meja. Menyapa dan bersalaman. “Ini Syahid,” kata Farid
memperkenalkan lelaki itu kepadanya. “Rasanya kita sudah pernah berjumpa,”
kata Syahid agak tidak malu apabila dia menghulurkan tangan sebaik sahaja
mereka diperkenalkan. Perasaannya tergugah sedikit. Darah tersimbur naik ke
mukanya. Seluruh kulit mukanya menjadi merah. Dia pun tiba-tiba menjadi
gugup. Di mana? Mahu sahaja dia percaya pada waktu itu bahawa Syahid ini
benar-benar penjelmaan daripada Hisyam. Aku tidak pernah bertemu dengan
orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik. Namanya, ya pernah aku
dengar sebab selalu disebut-sebut oleh Farid apabila sahaja makalahnya tersiar
dalam surat khabar itu. Syahid yang menolong menyiarkannya. Nama Syahid
yang selalu muncul dalam akhbar itu kerana rencana yang ditulisnya di
halaman rencana pengarang atau ada berita by line. Hanya dari situ sahajalah
dia mengetahui nama lelaki itu, tetapi berjumpa belum.
“Yakah?” Hanya itu yang keluar daripada mulutnya.

Dia ditinggalkan di bilik Syahid, sebuah ruangan yang berbentuk kotak.


Duduk di kerusi menghadap kepadanya. Syahid mulai membuka cerita.
Berbagai-bagai ceritanya. Tetapi anehnya dia tidak mengulangi lagi
ucapannya tadi tentang pernah berjumpa dengannya dahulu. Barangkali juga
itu hanya suatu helahnya sahaja, suatu gimik mahu memancing kemesraan.
Demi Tuhan, kalau ada pancingannya pun, dia sendiri sudah mulai jatuh hati
dengan anak muda ini. Keberaniannya telah mengusik hatinya. Kumisnya yang
kecil bak satu garis hitam di atas bibirnya itu kelihatan agak lucu, bergerak-
gerak apabila dia bercakap, tetapi menimbulkan daya pesona.

Adakah ini cinta pandang pertama? Wajahnya itu benar-benar mirip


Hisyam. Kalau Hisyam ada di situ tentulah mereka berdua akan dikatakan
saudara kembar. Hanya kumisnya itu yang membezakan mereka. Tetapi bentuk
tubuh boleh berubah apabila kita semakin dewasa. Hisyam pun kalau ada
sekarang ini, mungkin juga kurus seperti Syahid. Tubuhnya dahulu agak berisi
tetapi dia mempunyai tanda-tanda akan tinggi seperti bapanya. Dia mulai
suka dengan anak muda ini. Sifatnya yang terbuka itu menyenangkan hatinya.
Dia suka mendengar bicaranya. Suka melihat mimik mukanya. Suka melihat
senyumannya. Dia seperti Hisyam. Barangkali juga Syahid telah jatuh cinta
kepadanya dengan pertemuan pertama itu. Melihat gerakgerinya yang agak
kaku itu dia rasa yakin tentang anggapannya.

(Dipetik daripada “Mellisa” dalam Antologi Harga Remaja, DBP, 2009)

(i) Apakah perubahan emosi yang berlaku kepada Mellisa sebaik-baik sahaja
dia diperkenalkan kepada Syahid? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan
untuk mengekalkan hubungan persahabatan? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang harus menyesuaikan diri


ketika berada dalam sesuatu majlis? (3 markah)

Set 2
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan
yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dia mulai suka dengan anak muda ini. Sifatnya yang terbuka itu
menyenangkan hatinya. Dia suka mendengar bicaranya. Suka melihat mimik
mukanya. Suka melihat senyumannya. Dia seperti Hisyam. Barangkali juga
Syahid telah jatuh cinta kepadanya dengan pertemuan pertama itu. Melihat
gerak-gerinya yang agak kaku itu dia rasa yakin tentang anggapannya. Dia
rasa Syahid sedang berusaha sungguh-sungguh untuk memikat perhatiannya.
Ya, dia sudah terpikat pun dengan lelaki itu. Sebab itu tanpa banyak kerenah
dia menerima ajakannya untuk makan tengah hari pada Sabtu depan. Dia
menolak ajakan makan malam kerana terpaksa balik ke Seremban. Sebab itu
jadual rutinnya pada tiap-tiap hujung minggu. Rumahnya di Seremban. Ibu
bapanya di sana.

Dalam perjalanan pulang dari pejabat surat khabar itu, dia mulai diam.
Perasaannya sedang bersimpang-siur. Dia cuba menilai kembali kisah
pertemuannya dengan Syahid sebentar tadi. Mengapa dia begitu lekas tertarik
kepadanya? Adakah kerana dia serupa dengan Hisyam?

(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain dalam antologi harga
Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i) Apakah sebab-sebab Mellisa menyukai Syahid? ( 2 markah)

ii) Pada pendapat anda, apakah alasan-alasan untuk menolak ajakan


daripada seseorang yang tidak kita kenali? (3 markah)
Set 3
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalansoalan
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dua minggu sebelum peristiwa itu meletus, Hisyam telah menyerbu datang ke
rumahnya dan menumbuk seorang anak lelaki Inggeris berumur tujuh tahun
kerana memegang tangannya. Hisyam berlagak sebagai seorang hero yang
mahu melindungi heroinnya daripada dicerobohi lelaki lain. Anak lelaki Inggeris
itu jatuh terlentang ke tanah. Hisyam lalu menarik tangannya ke belakang.
Agak heboh juga keluarganya dan keluarga anak lelaki Inggeris itu sejurus. Dia
sedikit pun tidak marahkan Hisyam menumbuk kawannya itu, malah terasa
bangga kerana mengetahui Hisyam mempedulikannya. Anak lelaki Inggeris itu
ialah kawannya waktu bapanya menjadi diplomat di London dahulu. Dia
datang ke mari kerana bapanya pula menjadi diplomat di sini. Di London
dahulu mereka tinggal bersebelahan rumah dan selalu bermain bersama-
sama. Apabila bapanya sampai di Kuala lumpur mereka lalu menghubungi
keluarganya. Hisyam tidak tahu.

Dia seronok melihat Hisyam berlagak sebagai seorang lelaki tulen. Itulah Hisyam,
anak minang yang sejak kecil bercita-cita mahu menjadi askar andai kata cita-
citanya mahu menjadi peguam tidak berjaya.

(Dipetik daripada “Mellisa” oleh Abdullah Hussain dalam antologi Harga


Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 161)

i. Apakah jasa Hisyam terhadap Mellisa menyebabkan gadis itu


menganggapnya sebagai seorang hero? (2 markah)

ii. Mellisa teringatkan jasa Hisyam terhadapnya. Pada pendapat anda,


bagaimanakah caranya agar rakan kita sentiasa mengingati kita walaupun
sudah lama tidak berjumpa? (3 markah)

Set 4
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Rasanya kita pernah berjumpa,” kata Syahid agak tidak malu apabila dia
menghulurkan tangan sebaik sahaja mereka diperkenalkan. Perasaannya
tergugah sedikit . Darah tersimbur naik ke mukanya. Seluruh kulitnya menjadi
merah. Dia pun tiba-tiba menjadi gugup. Di mana? Mahu sahaja dia percaya
pada waktu itu bahawa Syahid ini benar-benar penjelmaan daripada Hisyam.
Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini, bawah sedarnya berbisik.
Namanya, ya pernah aku dengar sebab selalu disebut-sebut oleh Farid apabila
sahaja makalahnya tersiar dalam surat khabar itu. Syahid yang menolong
menyiarkannya.

Nama Syahid juga selalu muncul dalam akhbar ini kerana rencana yang
ditulisnya di halaman rencana pengarang atau ada berita by line. Hanya dari
situ sahajalah dia mengetahui nama lelaki itu, tetapi berjumpa belum.

“Yakah?” Hanya itu yang keluar daripada mulutnya. Dia ditinggalkan di bilik
Syahid, sebuah ruangan yang berbentuk kotak. Duduk di kerusi menghadap
kepadanya. Syahid mulai membuka cerita. Berbagai-bagai ceritanya. Tetapi
anehnya dia tidak mengulangi lagi ucapannya tadi tentang pernah berjumpa
dengannya dahulu. Barangkali juga itu hanya helahnya sahaja, suatu gimik
mahu memancing kemesraan. Demi Tuhan, kalau ada pancingannya pun, dia
sendiri mulai jatuh hati dengan anak muda ini. Keberaniannya telah mengusik
hatinya. Kumisnya yang kecik bak satu garis hitam di atas bibirnya itu kelihatan
agak lucu, bergerak-gerak apabila dia bercakap, tetapi menimbulkan daya
pesona. Adakah ini cinta pandang pertama? Wajahnya itu benar-benar mirip
Hisyam. Kalau Hisyam ada di situ tentu mereka berdua akan dikatakan saudara
kembar. Hanya kumisnya itu yang membezakan mereka. Tetapi bentuk tubuh
boleh berubah apabila kita semakin dewasa. Hisyam pun kalau ada sekarang,
mungkin juga kurus seperti Syahid. Tubuhnya dahulu agak berisi tetapi dia
mempunyai tanda-tanda akan tinggi seperti bapanya.

(Antologi Harga Remaja. Mellisa, hal. 153 –155)

i. Apakah maksud rangkai kata Keberaniannya telah mengusik hatinya?


(2 markah)

ii. Adakah anda bersetuju bahawa Syahid dalam petikan di atas ialah
Hisyam? Berikan alasan anda. (4 markah)

Set 5
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan
yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syahid tidak tahu. Biarlah dia lupakan dulu angan-angannya mahu menjadi
kekasih yang baik, isteri yang taat. Lima atau enam tahun lagi, andai kata
mereka akan bertemu semula dank alai ada jodoh. Dia tahu Syahid yang
kacak itu akan mudah diapit oleh orang perempuan yang cantik, satu di
sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan. Dua puluh tahun lagi dia tentu
sudah bercucu. Mungkin telah memandu sebuah motokar mewah yang
diimport dan menjadi pengarah yang terkenal. Mungkin dia tidak kenal lagi
dengan Mellisa yang memandu motokar tua, ekzosnya menyembur keluar asap
kotor.

Dia sayang kepada negara ini, bangsa ini. Walaupun dia lahir di luar negara
tetapi dia warganegaranya. Dia besar dan bersekolah di sini. Baginya, dia tidak
akan dapat hidup di negara lain biar bagaimana mewah dan maju sekalipun.
Dia tidak akan dapat hidup di negeri China, walaupun dia berbangsa Cina,
berkebudayaan Cina dan leluhurnya dahulu berasal dari Guangdong. Iklim di
sana berbeza. Cara berfikiran berbeza.

Sebelum dia mati, dia hanya ingin melihat negara dan rakyat negara ini hidup
dalam aman dan damai. Semua suku kaum hidup dalam harmoni sebagai satu
bangsa yang merdeka dan berjaya. Peristiwa hitam 13 Mei itu tidak berulang
lagi. Dia lalu memeluk dengan erat kekasihnya yang sejati, M16.

(Dipetik daripada cerpen Mellisa’ oleh Abdullah Hussain dalam antologi Harga
Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Nyatakan sebab-sebab Mellisa sayang akan negara Malaysia. (2 markah)

(ii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang sewajarnya anda lakukan
untuk memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat di Malaysia
terpelihara? (3 markah)

Anda mungkin juga menyukai