Anda di halaman 1dari 8

Kesedaran Pengurusan Kewangan Yang Baik Dalam

Kalangan Pelajar Politeknik Hulu Terengganu

Nor Ayu binti Awang Siman


Jabatan Perdagangan,Politeknik Hulu Terengganu
E-mail: norayu@pht.edu.my

Abstrak
Kewangan sememangnya merupakan salah satu daripada aspek penting dalam
kehidupan individu bagi memastikan segala keperluan dan kehendak individu tersebut
boleh dipenuhi dan kehidupan menjadi lebih selesa. Justeru itu, ilmu dan pengetahuan
berkaitan aspek pengurusan kewangan sangat perlu diterapkan dan dititik beratkan
kepada semua golongan dan sepatutnya dididik sejak dari kecil lagi. Realitinya pada
hari ini, ramai individu yang terlibat dalam masalah kewangan yang serius seperti
keberhutangan yang tinggi, hilang punca pendapatan, muflis dan sebagainya yang
boleh dikatakan berpunca daripada pengurusan kewangan yang lemah dan sikap
pengurusan yang sambil lewa. Oleh itu, sewajarnya, pengurusan kewangan ini perlu
diajar dan diketahui oleh setiap golongan masyarakat. Rentetan daripada ini, satu
kajian telah dijalankan untuk mengenalpasti tahap kesedaran pelajar-pelajar Politeknik
Hulu Terengganu terhadap pengurusan kewangan yang baik. Kajian ini dibuat kepada
pelajar-pelajar Diploma Akauntansi bagi sesi Disember 2017. Elemen yang dikaji di
dalam kajian ini adalah berkaitan corak perbelanjaan pelajar, amalan pengurusan
kewangan pelajar dan kesan daripada masalah kewangan. Jenis persampelan yang
digunakan adalah persampelan primer di mana seramai 60 orang pelajar dipilih sebagai
responden bagi mengisi soalan soal selidik. Dapatan kajian dianalisis menggunakan
SPSS (Statistical Package for Social Sciences) dan hasil kajian menunjukkan pelajar
mengutamakan mengutamakan perbelanjaan kepada barang-barang keperluan
seharian berbanding dengan barangan kehendak pada setiap semester. Tahap
kesedaran kesan masalah kewangan adalah tinggi dengan min purata 3.50 berbanding
kesedaran amalan pengurusan kewangan yang baik dengan min purata sebanyak 3.22.
Oleh itu, susulan daripada dapatan kajian ini, pengkaji mencadangkan beberapa
program kesedaran dan kebajikan yang boleh dijalankan untuk membantu meningkat
kemahiran pengurusan pelajar dan sekaligus meringan beban masalah kewangan yang
ditanggung pelajar.

Kata kunci: pengurusan kewangan, corak perbelanjaan, kesan masalah


kewangan

1.0 PENGENALAN

Golongan pelajar atau mahasiswa merupakan satu golongan anak muda


yang menjadi harapan negara untuk meneruskan kemajuan dan
pembangunan negara pada masa hadapan. Kecemerlangan mereka
dalam bidang akademik di institusi pengajian tinggi adalah menjadi
harapan setiap mahasiswa, keluarga dan negara bagi membolehkan
mereka merealisasikan kemajuan negara.

1
Mahasiswa pada masa kini perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dan
dugaan yang semakin mencabar serta menguji ketahanan fizikal dan
mental mereka. Antara cabaran yang paling kuat terpaksa dihadapi oleh
mereka adalah cabaran dari segi kewangan. Menurut Alecia Puyu dan
Anuar (2017), golongan mahasiswa kini memerlukan wang bagi
menampung kos pengajian dan sara hidup mereka yang semakin
meningkat akibat inflasi yang berlaku di dalam negara.
Hal ini juga disokong oleh Aisyah dan Wajeeha (2016) yang menyatakan
kos perbelanjaan yang semakin hari semakin meningkat sungguh
membebankan mahasiswa yang sememangnya mempunyai kekangan
kewangan disebabkan belum bekerja. Dalam pada itu juga, selain
membelanjakan wang untuk membeli bahan pembelajaran seperti alat
tulis, buku teks dan sebagainya, secara tidak langsung mereka juga
terkesan dengan kenaikan harga barang-barang terutamanya apabila
kerajaan mula mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada
April 2015.

2.0 PENYATAAN MASALAH

Laporan daripada Berita Sinar Harian (3 Febuari 2016), menyatakan


terdapat seorang pelajar Sarjana Muda Psikologi Universiti Awam
terpaksa menahan lapar sehingga menyebabkan ususnya tercedera dek
kerana keadaan kewangan yang terlalu mendesak dan perlu berjimat.
Selain itu, timbul juga isu mahasiswi yang pengsan kerana sanggup
berlapar untuk mengurangkan perbelanjaan.
Hal ini menunjukkan, kemahiran pengurusan kewangan yang betul
adalah satu kemahiran yang sangat penting dan baik untuk diketahui
dan dipelajari oleh semua orang, terutamanya golongan mahasiswa
berikutan pelbagai masalah kewangan yang dialami oleh mereka seperti
terpaksa berlapar dan melakukan pelbagai kerja sambilan.
Menurut Alecia Puyu dan Anuar (2017), pengurusan kewangan dan
corak perbelanjaan adalah amat penting bagi memastikan wang
dibelanjakan dengan bijak supaya kita tidak menghadapi masalah
kesempitan wang berikutan hal inilah yang sering dihadapi oleh
golongan mahasiswa, tidak kiralah mahasiswa dari Institut Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tambahan lagi, menurut Nor Afizah (2008), terdapat segelintir


mahasiswa gagal untuk menguruskan kewangan mereka secara bijak
kerana kurang pengetahuan terhadap pengurusan kewangan. Oleh itu,
tuntutan mengurus kewangan mestilah lebih bijak dan berhemah ketika
berbelanja untuk mengelakkan daripada melakukan pembaziran wang.
Jika perancangan dan pengurusan dibuat secara sistematik dan efisien,
kedudukan kewangan akan mencukupi malah mungkin akan
mempunyai lebihan dan boleh dijadikan sebagai tabungan.
Pengurusan kewangan yang lemah boleh membawa kepada pelbagai
kesan negatif pada emosi dan psikologi pelajar. Menurut kajian Suhaila,
Rabi’atul Adawiyah, Nuzul Akhtar dan Siti Syuhada (2016), faktor

2
masalah kewangan menjadi salah satu faktor utama pelajar bekerja
sambilan kerana kerja sambilan boleh memberikan kepuasan kewangan
yang begitu tinggi kepada mahasiswa, tetapi, walaubagaimanapun,
kesan daripada masalah kewangan ini turut menjejaskan tumpuan
kepada pelajaran kerana terpaksa membahagikan masa belajar juga
masa untuk bekerja sambilan.
Sehubungan dengan itu, kajian mengenai kesedaran tentang
pengurusan kewangan yang baik dan kesan perbelanjaan yang tidak
berhemah dalam kalangan pelajar-pelajar Politeknik Hulu Terengganu
adalah perlu dijalankan sebagai satu langkah awal untuk meningkatkan
pengetahuan pelajar. Hal ini bersesuaian dengan kajian Rubayah Yakob,
Hawati Janor dan Nur Ain Khamis (2015) yang menyatakan salah satu
faktor penting yang dikenalpasti mampu mempengaruhi pembuatan
keputusan kewangan seseorang individu ialah pengetahuan atau literasi
kewangan atau celik wang. Maka, kajian ini adalah bertujuan untuk
melihat corak perbelanjaan dan tahap kewangan supaya tidak
mendatangkan kesan yang buruk kepada pelajar, keluarga, institusi dan
negara.

3.0 KAEDAH PENYELIDIKAN

Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik yang


diedarkan kepada pelajar-pelajar Diploma Akauntansi, Jabatan
Perdagangan di Politeknik Hulu Terengganu. Pengkaji menggunakan
instrumen borang soal selidik ini sebagai satu langkah pengumpulan
maklumat dalam kajian ini. Respondan yang dipilih adalah seramai 60
orang pelajar daripada populasi 96 orang pelajar. Borang soal selidik ini
terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian A (demografi respondan)
dan B (aspek pengurusan kewangan pelajar) yang menggunakan 5 skala
likert.
Bagi kaedah analisis data, pengkaji menggunakan SPSS (Statistical
package for Social Sciences) untuk mendapatkan hasil kajian dengan
lebih cepat dan tepat. Dapatan analisis dipaparkan dalam bentuk jadual
yang menunjukkan peratusan dan min. Nilai skor min dikelaskan
kepada tiga tahap iaitu:

Jadual 3.1

Nilai Skor Min Tahap


3.67 hingga 5.00 Tinggi
2.34 hingga 3.66 Sederhana
1.00 hingga 2.33 Rendah
Sumber: (Richard I. Levin dan David S. Rubin, 2000)

4.0 PERBINCANGAN KAJIAN

3
Dapatan kajian dari analisis borang soal selidik yang diedarkan
diterangkan menggunakan Jadual 1 sehingga Jadual 4 seperti di bawah.

Jadual 1: Demografi Responden

DEMOGRAFI PEMBOLEHUBAH PERATUS %


Jantina Lelaki 13.3%
Perempuan 86.7%
Umur 18-20 tahun 70%
21-23 tahun 30%
24-26 tahun -
>26 tahun -
Sumber pendapatan Pinjaman PTPTN 65%
Biasiswa 1.7%
Ibu bapa 31.7%
Lain-lain 1.7%

Jadual 1 menunjukkan responden kajian ini majoritinya terdiri daripada


pelajar perempuan iaitu 86.7% dan pelajar lelaki hanya 13.3%. Bagi
analisis umur, 70% responden adalah terdiri daripada pelajar yang
berumur 18-20 tahun dan 30% daripada 21-23 tahun. Seterusnya,
analisis bagi sumber pendapatan pelajar, 65% sumber pelajar adalah
dari pinjaman PTPTN, 31.7% daripada bantuan ibu bapa, 1.7% bagi
biasiswa dan lain-lain.

Jadual 2: Keutamaan perbelanjaan bagi pelajar

JENIS PERBELANJAAN BILANGAN PERATUS %


Makan 60 100%
Penginapan 53 88.3%
Pengangkutan 37 61.7%
Pakaian 21 35%
Gajet dan bil telefon 42 70%
Nota dan buku pelajaran 57 95%
Rekreasi 8 13.3%
Membeli belah 11 18.3%

Jadual 2 menunjukkan jenis perbelanjaan yang menjadi keutamaan


pelajar pada setiap semester. Pelajar memilih 5 perbelanjaan utama yang
didahulukan dalam pengurusan kewangan mereka. Dapatan
menunjukkan 100% pelajar memperuntukkan pendapatannya untuk
perbelanjaan makan bagi satu semester. Perbelanjaan yang sederhana
dibelanjakan adalah pada pengangkutan iaitu sebanyak 61.7%

4
manakala perbelanjaan yang paling rendah diperuntukkan adalah pada
rekreasi iaitu hanya 13.3%.
Dapatan ini disokong oleh Alecia Puyu dan Anuar (2017) yang
menyatakan bahawa mahasiswa perlu jelas tentang perbezaan di antara
barangan keperluan dan kehendak. Tambahan mereka lagi, setiap orang
mempunyai keperluan yang berbeza mengikut situasi, tempat mereka
berada dan mahasiswa adalah individu yang sedang menuntut ilmu
maka wajarlah nota, barangan keperluan untuk pembelajaran menjadi
salah satu keperluan mereka di samping makanan,tempat tinggal
dan pengangkutan yang digunakan untuk ke kampus. Manakala,
membeli-belah barangan seperti pakaian berjenama dan perbelanjaan
untuk aktiviti rekreasi seperti permainan video dan menonton
wayang adalah kehendak kerana ia tidak kena mengena dengan fungsi
utama mereka dalam masyarakat sebagai seorang pelajar. Ia adalah
kehendak yang harus dipenuhi setelah mencapai kepuasan dalam
keperluan asas. Sehubungan itu, pengetahuan berkaitan pengurusan
kewangan yang baik boleh membantu seseorang pelajar untuk
menentukan keutamaan dalam perbelanjaan mereka supaya tidak
menganggu fungsi dan kehidupan mereka sebagai pelajar.

Jadual 3: Tahap amalan pengurusan kewangan pelajar


ITE PENYATAAN MIN TAHAP
M
B1 Saya mempunyai sekurang-kurangnya 2 sumber 3.17 Sederhana
pendapatan setiap bulan.
B2 Saya boleh membuat simpanan sekurang-kurangnya 3.80 Tinggi
10% daripada jumlah pendapatan saya.
B3 Saya berbelanja melebihi daripada pendapatan yang saya 3.32 Sederhana
terima dalam satu semester.
B4 Saya membuat kerja separuh masa untuk menambah 2.80 Sederhana
pendapatan saya.
B5 Saya melibatkan diri dalam perniagaan untuk menambah 3.52 Sederhana
pendapatan saya.
B6 Saya terpaksa meminjam wang dengan kawan-kawan 2.45 Sederhana
pada hujung semester untuk menampung perbelanjaan.
B7 Kursus pengajian yang saya ikuti melibatkan kos yang 3.18 Sederhana
tinggi.
B8 Saya terpaksa mengikat perut kerana tidak cukup wang. 3.03 Sederhana
B9 Aktiviti harian saya sentiasa melibatkan saya 3.75 Tinggi
mengeluarkan belanja sendiri.
Min purata 3.22 Sederhana

Jadual 3 menunjukkan amalan pengurusan kewangan pelajar di


Politeknik Hulu Terengganu pada setiap semester. Dapatan
menunjukkan item bagi min tertinggi ialah 3.80 yang menunjukkan
pelajar juga bersetuju dengan saya boleh membuat simpanan sekurang-
kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan saya. Manakala item yang
mempunyai min sederhana iaitu 3.52 ialah pada saya melibatkan diri
dalam perniagaan untuk menambah pendapatan saya. Seterusnya, min

5
item yang paling rendah ialah sebanyak 2.45 iaitu saya terpaksa
meminjam wang dengan kawan-kawan pada hujung semester untuk
menampung perbelanjaan.
Dapatan ini bersesuaian dengan kajian Rubayah Yakob, Hawati Janor
dan Nur Ain Khamis (2015) yang menyatakan mahasiswa kini perlu
mempersiapkan diri dengan literasi kewangan yang baik dan mempunyai
sedikit simpanan untuk berhadapan dengan kemelut kewangan di alam
pekerjaan pekerjaan yang lebih mencabar seiring dengan peningkatan
kos sara hidup yang semakin tinggi selepas bergraduasi. Oleh itu,
pengetahuan yang baik dalam dalam pengurusan kewangan boleh
membantu kepada amalan pengurusan kewangan yang cekap.

Jadual 4: Tahap kesan masalah kewangan

ITE PENYATAAN MIN TAHAP


M
D1 Saya sentiasa berasa runsing dan tertekan jika 4.03 Tinggi
mempunyai masalah kewangan.
D2 Masalah kewangan boleh membawa kepada aktiviti 3.53 Sederhana
jenayah yang tidak baik.
D3 Kesihatan saya boleh terjejas jika mempunyai 3.45 Sederhana
masalah kewangan yang serius.
D4 Saya merasa malu kepada kawan-kawan jika tidak 3.50 Sederhana
mempunyai wang.
D5 Fokus untuk belajar juga akan terganggu kerana 3.83 Tinggi
masalah kewangan.
D6 Pergaulan dengan kawan-kawan juga terjejas kerana 3.37 Sederhana
masalah Kewangan.
D7 Masalah kewangan yang serius juga menyebabkan 3.28 Sederhana
saya tidak boleh berfikir secara rasional.
D8 Keputusan peperiksaan saya juga terjejas kerana 2.98 Sederhana
terpaksa bahagikan masa untuk belajar dan bekerja.
Min purata 3.50 Sederhana

Jadual 4 menunjukkan dapatan bagi kesedaran pelajar terhadap kesan-


kesan masalah pengurusan kewangan yang tidak baik kepada mereka.
Dapatan menunjukkan item yang tertinggi ialah pada min 4.03 iaitu
saya sentiasa berasa runsing dan tertekan jika mempunyai masalah
kewangan. Item sederhana adalah pada min 3.50 iaitu saya berasa malu
kepada kawan-kawan jika tidak mempunyai wang. Manakala item yang
terendah adalah pada min 2.98 iaitu keputusan peperiksaan saya juga
terjejas kerana terpaksa bahagikan masa untuk belajar dan bekerja.
Dapatan ini juga disokong oleh Mastura Mahfar, Fadilah Zaini dan Nor
Akmar Nordin (2007), yang menyatakan punca stress di kalangan pelajar
kolej dibahagikan kepada faktor akademik, kewangan, kesihatan dan
masa. Stress atau tekanan ini boleh memberi impak negatif terhadap
tahap kesihatan, personaliti, interaksi sosial dan pencapaian akademik
mereka. Oleh yang demikian, pelajar perlu diberikan ilmu kemahiran
pengurusan kewangan yang baik bagi mengelakkan mereka runsing dan
tertekan dengan masalah kewangan.

6
5.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, dapatan kajian ini dapat memberikan


maklumbalas kepada pelajar dan pengurusan Politeknik Hulu
Terengganu berkaitan dengan kesedaran pelajar terhadap pengurusan
kewangan. Hasil kajian ini menunjukkan pelajar mengutamakan
perbelanjaan kepada barang-barang keperluan seharian berbanding
dengan barangan kehendak pada setiap semester. Selain itu, hasil kajian
juga menunjukkan tahap kesedaran pelajar terhadap kesan masalah
kewangan adalah tinggi dengan min purata 3.50 berbanding kesedaran
pelajar terhadap amalan pengurusan kewangan yang baik dengan min
purata sebanyak 3.22. Dapatan kajian ini boleh digunakan oleh pihak
pengurusan Politeknik Hulu Terengganu khususnya bagi Unit Hal Ehwal
Pelajar untuk menyediakan program-program kebajikan yang sesuai
kepada pelajar. Program kebajikan seperti bantuan zakat, makanan dan
lain-lain ini boleh membantu pelajar untuk meringankan beban dan
emosi pelajar, sekaligus membantu pelajar untuk lebih fokus dalam
pelajaran.

6.0 RUJUKAN

Aisyah Abdul-Rahman dan Wajeeha Zulkifly. (2016). Faktor Penentu


Pengurusan Kewangan: Kes Mahasiswa Universiti Kebangsaan
Malaysia. Dimuat turun pada 12 Mei 2018, dari
http://journalarticle.ukm.my/10895/1/Artikel-9_Dr.-Aisyah-
Abdul-Rahman_FEP.pdf

Alecia Puyu Anak dan Anuar Ahmad. (2017). Pola Perbelanjaan Dalam
Kalangan Mahasiswa: Satu Kajian Perbandingan Antara IPTA Dan
IPTS. Dimuat turut pada 10 Mei 2018, dari
https://www.researchgate.net/publication/321049977_POLA_PER
BELANJAAN_DALAM_KALANGAN_MAHASISWA_SATU_KAJIAN_PE
RBANDINGAN_ANTARA_IPTA_DAN_IPTS

Mastura Mahfar, Fadilah Azmi dan Nor Akmar Nordin. (2007). Analisis
Faktor Penyebab Stres Di Kalangan Pelajar. Dimuat turun pada 12
Mei 2018, dari https://core.ac.uk/download/pdf/11784030.pdf

Nor Afizah binti Bujang. (2007). Pengurusan Kewangan Mahasiswa:


Tinjauan Terhadap Pelajar Tahun 1 dan 2, sarjana muda sains
serta Pendidikan (pengajian islam), fakulti pendidikan, UTM.
Dimuat turun pada

Sinar Harian (3 Februari 2016), Cabaran Baharu Mahasiswa.

7
Suhaila Nadzri, Rabi’atul ‘Adawiyah Seh Nilamuddin, Nuzul Akhtar
Baharudin, Siti Syuhada Abd Rahman. (2016). Faktor Yang
Mendorong Mahasiswa IPT Membuat Kerja Sambilan. Dimuat
turun pada 13 Mei 2018, dari
http://conference.kuis.edu.my/iceb2016/eproceedings/EB028.pdf

Rubayah Yakob, Hawati Janor dan Nur Ain Khamis. (2015). Tahap
Literasi Kewangan dalam Kalangan Pelajar Universiti Awam: Kajian
di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dimuat turun pada 20 April
2018, dari http://journalarticle.ukm.my/10861/1/Rubayah-
Yakob.pdf

Anda mungkin juga menyukai