Anda di halaman 1dari 3

USAHA-USAHA INDIVIDU MEMUPUK AMALAN MEMBACA

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja
hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti
negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar
melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak
pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang
boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan
menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu,
berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding
bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik
persis mutiara kata “yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat”
untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan
remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan
membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya
perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan
perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya
perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan
yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk
meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan
untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu
ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar
membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar
nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan
Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat
menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang
terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata
pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk
menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan
membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif
menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa
perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan
membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa
saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk
kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami
sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan
dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul
buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya “bed story”
sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu
pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak
lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas
pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan
membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.
Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu
Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar
membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi
buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku
NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula
daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh
mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk
menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar
lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup
mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang
dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini,
saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan
mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini
kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang
dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam
pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan
berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di
pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di
pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya
dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk
membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat
menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau
kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu
membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara
dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku
atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga
bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh
mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau
meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa
membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini
apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu
yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh,
A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault
dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya
menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai
buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi


perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi
yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita
merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga
berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang
minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh
sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti
malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca
dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara,
menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan
juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai
kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan
sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan
silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan.
Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset
negara kerana bertepatan dengan kata-kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya,
penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja
perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat
Membaca, Bangsa Berjaya’ seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri
Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai
wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun
mendatang.

Anda mungkin juga menyukai