Anda di halaman 1dari 5

Cabaran Pengurusan Etika

Kod etika guru diwujudkan antaranya bertujuan untuk memastikan kualiti guru
terjamin. Namun begitu, guru sebagai manusia biasa tidak lari dari membuat kesilapan.
Menurut Anna Malai (2018), etika seseorang adalah berbeza kerana pembentukan etika
individu dipengaruhi oleh faktor pengaruh keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup,
nilai peribadi dan pronsip moral dan faktor keadaan. Tingkah laku dan etika boleh berubah
apabila faktor-faktor ini mempengaruhi tindakan seseorang.

Selain itu, Muhamad Ruslan (2001) menyatakan beberapa faktor yang menyebabkan
manusia akan melakukan perkara-perkara yang akan menyimpang daripada etika
profesionalisme ialah :
a. apabila ada peluang untuk melakukannya.
b. ingin hidup lebih mewah, cepat kaya dan hidup secara materialistic.
c. kurangnya penghayatan nilai etika serta agama.
d. kurangnya penyeliaan pegawai atasan.
e. kelemahan sistem pentadbiran, peraturan dan pelaksanaan kerja.

Berdasarkan kajian oleh Megat Ayop dan Abd Halim ( 2016), faktor
ketirisan integriti masih terus berlaku kerana faktor individu dan faktor
organisasi. Faktor individu adalah dalam diri peribadi individu itu sendiri
seperti perlakuan egoistik dan individualistik. Roslan Mahmood dan Nik
Rosnah Wan Abdullah (2008) juga menyatakan terdapat faktor
persekitaran organisasi yang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas tahap moral dan
tingkahlaku individu. Antara faktor tersebut adalah faktor kepimpinan dan pengurusan
organisasi, penyelia, rakan sekerja, rangka kerja peraturan dan perundangan, rangka kerja
nilai atau normatif, latihan dan Pendidikan mengenai etika, moral dan integriti, sistem
komunikasi mengenai etika, moral dan integriti dan proses pembangunan moral individu
dan sebagainya

Manakala, Calabrese dan Roberts (2001) menyenaraikan beberapa faktor dalarnan


sesebuah organisasi tersebut yang boleh menyumbang kepada perlakuan yang tidak beretika
iaitu:
i. Stuktur organisasi - struktur yang kompleks dan banyak hiraki akan menyebabkan pekerja
akan cepat merasa bosan kerana terlalu banyak peraturan yang harus dipatuhi.
ii. Bentuk komunikasi - bentuk komunikasi tertutup dan corak pentadbiran yang lebih
mementingkan rakan akan menyebabkan guru lain merasa bosan dengan sikap pengurusan
serta sikap pihak pengurusan tidak mengambil kira "human factor" atau perasaan
kakitangan.
iii. Dominasi politik - dominasi dan penguasaan politik yang keterlaluan oleh pihak pengurusan
dan kumpulannya akan menyebabkan rasa hormat pihak kakitangan kepada pihak
pengurusan akan berkurangan dan pihak pengurusan menganggap mereka mempunyai
kuasa untuk memerintah dan bukan untuk berkhidmat.
iv. Pengabaian kepada kebajikan - kurangnya penghargaan dan kebajikan menyebabkan guru
kurang hormat kepada pemimpin pendidikan dan sering melakukan kesalahan.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa faktor yang mepengaruhi etika seseorang boleh
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman
adalah faktor kendiri seseorang manakala faktor luaran adalah seperti faktor persekitaran
atau faktor organisasi.

Rentetan itu, terdapat juga cabaran-cabaran yang harus ditempuhi pihak guru dan pihak
pengurusan dalam menerapkan nilai etika dan disiplin dalam organisasi. Menurut Alis Puteh
(2016) , tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana perubahan yang
berlaku dalam dunia pendidikan. Perubahan dalam pendidikan ini juga memberi pelbagai
cabaran dan implikasi yang timbul dan ini memerlukan keprihatinan semua warga pendidik.
Perubahan ini juga menyebabkan guru menghadapi bebanan kerja yang tinggi dan juga
membawa kepada stress. Keadaan ini boleh membawa kepada faktor menyebabkan masalah
disiplin dan tingkahlaku guru.

Selain itu, menurut Roslan Mahmood dan Nik Rosnah Wan Abdullah (2008) yang
menjalankan kajian terhadap organisasi awam di Malaysia, terdapat lima masalah yang
dikenal pasti berkaitan dengan pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti. Masalah
tersebut adalah :
i. Ketiadaan garis panduan yang jelas tentang pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti
untuk dijadikan rujukan kepada pihak pengurusan terutamanya berkaitan pendekatan dan
strategi untuk mempengaruhi sikap dan pemikiran staf di bawahnya.
ii. Rangka kerja peraturan dan perundangan dan rangka kerja normatif tidak disalurkan kepada
semua pengurus organisasi sebagai panduan dan rujukan.
iii. Pihak pengurusan mempunyai pengetahuan yang rendah tentang pengurusan pendidikan
etika, moral dan integriti. Maka, mereka tidak dapat menggubal rangka kerja, pelan operasi
serta tidak dapat mengaplikasikan teknik pendidikan etika terhadap staf.
iv. Persaingan dengan kursus-kursus lain seperti kursus berbentuk teras dan , teknikal dan
fungsional menyebabkan kursus mengenai etika kurang diberi perhatian.
v. Program atau aktiviti pendidikan etika,moral dan integriti kurang mendapat sambutan.

Penyelesaian

Perkara yang penting dalam membincangkan isu etika dan disiplin guru adalah
akauntabiliti guru terhadap diri sendiri, pelajar, profesion , sekolah, masyarakat dan negara.
Penghayatan mengenai akauntabiliti akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme
keguruan di samping menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap
kerjayanya (Alis Puteh, 2016). Oleh itu, guru perlu sedar peranan dan tanggungjawab utama
supaya tidak menyimpang dari landasan yang sepatutnya. Ini kerana keberkesanan prinsip
etika terletak pada individu itu sendiri, tanpa disiplin diri dan kekuatan mental yang tinggi
seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang dikehendaki.(Megat Ayop & Abd
Halim, 2016).

Selain itu, kepimpinan merupakan faktor yang memainkan peranan penting dalam
mengawal dan mengawasi etika guru (Alis Puteh 2016 dan Megat Ayop & Abd Halim
2016). Oleh itu, pemimpin sekolah perlu mengamalkan kepimpinan etika dalam usaha untuk
membudayakan etika dan disiplin dengan lebih baik. Tambahan pula, pentadbir sekolah di
anggap sebagai agen moral yang mempunyai tanggungjawab untuk menjadi seorang pelaku
moral yang berhati-hati dalam membuat keputusan, berkebolehan membuat tanggapan yang
betul, berketrampilan dan berkemahiran menangani isu dan konflik berkaitan moral (Abdul
Rahman dan Asmawati , 2003).

Selain itu, komitmen pengurusan atasan diperlukan untuk pendidikan etika guru dan
staf meliputi penciptaan etika organisasi . Komponen kepimpinan adalah aspek penting
kerana pemimpin boleh membuat, mengekalkan atau menukar persekitaran organisasi.
Sehubungan itu, sokongan untuk inisiatif etika mesti bermula daripada pengurusan kanan
(Megat Ayop & Abd Halim 2016).

Disebabkan itu, pemimpin perlu memantapkan asas moral untuk organisasi dengan
menetapkan dan menunjukkan tahap etika yang tinggi. Budaya etika di tempat kerja juga
perlu dimantapkan dengan menubuhkan kod etika yang direka dengan baik. Kod etika ini
perlu direka oleh petugas khas yang terdiri daripada individu-individu yang mewakili
pelbagai fungsi dan dari pelbagai peringkat organisasi untuk membantu dalam penulisan
dan melaksanakan kod. (Megat Ayop & Abd Halim 2016). Maka, kod etika tersebut dapat
diselaraskan dan dikompilasi dengan baik. Apabila kod etika direka dengan baik maka
budaya dan disiplin akan menjadi asas moral yang dinamik dalam sesebuah organisasi. Ini
kerana kod etika adalah satu kaedah penting dalam membudayakan etika dalam
organisasi (Megat Ayop & Abd Halim 2016).

Di samping itu juga, organisasi perlu menganjurkan program latihan secara berkala
bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai etika dan disiplin kepada semua guru
dan staf. Melalui program latihan etika yang komprehensif akan dapat mengekalkan
organisasi yang beretika.(Megat Ayop & Abd Halim 2016). Latihan boleh dijalankan
melalui pelbagai kaedah, contohnya, kuliah, video dan latihan yang disampaikan oleh ketua
secara langsung, melalui latihan komputer seperti permainan, kuiz, kajian kes dan simulasi.
Latihan khusus untuk guru dan staf amat perlu dilakukan dari semasa ke semasa kerana
individu-individu sering berhadapan dengan pelbagai dilema etika dalam pekerjaannya
hampir setiap hari.

Tambahan lagi, latihan juga perlu dijalankan kepada para pemimpin sekolah supaya
mereka dapat mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam mempengaruhi
minda, sikap dan kelakuan orang bawahannya supaya terus menjaga dan menerapkan etika
dan disiplin diri. (Roslan Mahmood & Nik Rosnah Wan Abdullah 2008). Ini kerana
pendidikan etika merupakan satu kaedah ke arah memantapkan profesionalisme dan
akauntabiliti guru dan staf.
Rujukan
Abdul Rahman Md Aroff & Asmawati Suhid. 2003. Etika dalam Pentadbiran Sekolah. Dlm
Zaidatol Akmaliah Lope Pihe & Foo Say Fooi (pnyt). Pengurusan dan Kepimpinan
Pendidikan: Satu langkah ke hadapan. hlm 109 -121. UPM Press.
Alis Puteh. 2016. Etika Kerja Dalam Profesion Perguruan di Malaysia: Cabaran dan
Harapan. UMSIDA UUM
Anna Malai, S. 2018. ETIKA : SEBAGAI PANDUAN HIDUP
Megat Ayop Megat Arifiin & Abd Halim Ahmad. 2016. Kepentingan budaya integriti dan
etika kerja dalam organisasi di Malaysia : Suatu tinjauan umum The importance of
integrity culture and work ethics in Malaysian organizations : A preliminary study.
Malaysian Journal of Society and Space 9(9): 138–149.
Puteh, A. 2016. Model AKRAM : Model Etika Kerja Guru Malaysia.
Roslan Mahmood & Nik Rosnah Wan Abdullah. 2008. Pendidikan etika, moral dan integriti
dalam organisasi sektor awam di malaysia. Jurnal Pengurusan Awam 123–140.

Anda mungkin juga menyukai