Anda di halaman 1dari 5

1.

0 PENGENALAN
Kit pengajaran merupakan salah satu contoh alat bantu mengajar berdasarkan kepada
objektif pembelajaran yang akan dilaksanakan. Keperluan dan fungsi kit ini perlu
berpandukan kepada sukatan pelajaran atau dikenali sebagai Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia. Kepelbagaian fungsi kit ini bergantung kepada kreativiti guru untuk menarik
minat dan membantu murid dalam memahami isi pengajaran dalam bentuk yang lebih
mudah.
Dalam pelaksanaan tugasan bagi kursus Seni dalam Pendidikan ini, saya perlu
menghasilkan kit pembelajaran mata pelajaran Sejarah dengan merujuk kepada tajuk
Jata Negara Tahun 5. Dalam penulisan ulasan kritis ini, kit yang telah digunakan ini
dinilai dari aspek pemikiran, kreativiti persembahan dan pembangunan idea dan sosial

2.0 ASPEK ULASAN KRITIS

2.1 ASPEK PEMIKIRAN

Menurut Noriati A. Rashid, Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009),
konstruktivisme bermaksud pembinaan pengetahuan. Individu sentiasa membina
pengetahuan sendiri berdasarkan premis pengetahuan atau pengalaman sedia ada
kepada pengetahuan dan pengalamana baharu. Pendekatan konstruktivisme sangat
penting dalam proses pembelajaran kerana murid digalakkan membina konsep sendiri
dengan menghubungkaitkan perkara yang dipelajari dengan pengetahuan yang sedia
ada pada mereka. Dalam proses ini, murid dapat meningkatkan pemahaman mereka
tentang sesuatu perkara (Yong, S., L., 2013). Dalam pendidikan konstruktivis, terdapat
beberapa prinsip asas iaitu pengetahuan dibina oleh murid, setiap murid memiliki idea
dan pengetahuan asas, proses pembinaan pengetahuan melibatkan aspek sosial, dan
guru merupakan fasilitator dalam pembinaan pengetahuan murid (Syahida Nadia
Zakaria, 2015).

Kaedah konstruktivisme berkait rapat dengan pengetahuan sedia ada murid.


Guru perlu mengambil kira perkara yang murid tahu dan cuba meningkatkan interaksi
antara murid agar pembelajaran menjadi lebih seronok dan bermakna. Oleh itu,
persekitaran pembelajaran konstruktivisme dapat meningkatkan mutu pengajaran dan
pembelajaran Sejarah dalam kelas melalui pemahaman kendiri akan makna bagi setiap
logo yang terdapat pada Jata Negara. Penggunaan bahan maujud iaitu kad pengenalan
dan lesen memandu pada awal sesi pengajaran adalah untuk mengenal pasti Zon
Perkembangan Proksimal (ZPD) dalam diri murid-murid sama ada mereka berada di zon
bawah atau atas. Melalui aktiviti ini, didapati kesemua murid-murid dapat menyebut
persamaan yang terdapat pada bahan tersebut iaitu Jata Negara dan bermakna mereka
berada pada bawah tahap ZPD kerana mampu untuk menjawab dengan betul tanpa
memerlukan bimbingan daripada guru. Hal ini menunjukkan bahawa murid telah
mengenali lambang Jata Negara dan dapat menyebutnya dengan betul.

Melalui pendekatan konstruktivisme, saya menyediakan contoh dan bahan


sumber yang boleh membantu murid untuk membuat perkaitan dengan isi pelajaran
yang dipelajari. Aktiviti mencantum ‘puzzle’ yang dijalankan dalam kumpulan membantu
murid-murid mengenalpasti lambang-lambang yang terdapat dalam Jata Negara. Hal ini
secara tidak langsung membantu murid-murid dalam mengingat lambang-lambang itu
selepas mendengar penerangan daripada guru. Aktiviti “Kenal dan Padan’ turut
menambahkan lagi daya ingatan dan pengetahuan murid mengenai maksud-maksud
yang terdapat pada lambang-lambang dalam Jata Negara.

2.2 KREATIVITI PERSEMBAHAN

Kreativiti adalah mengolah semula organisasi sedia ada kepada suatu organisasi baharu
iaitu memberi nafas baharu menyusun dan mengolah semula organisasi sedia ada
supaya nampak lebih mantap dan sempurna. Pendedahan dan penglibatan dalam
pelbagai jenis pengalaman sangat penting untuk murid-murid sekolah (Faridah Nazir, et.
al, 2015). Dari segi aturan persembahan kit ini, saya mengambil kira kandungan yang
ingin disampaikan kepada murid terlebih dahulu kemudian mencari aktiviti yang sesuai
untuk memastikan murid sentiasa cergas di dalam kelas.

Untuk menyampaikan kandungan pembelajaran pada pembentangan ini,


pertama sekali saya menaikkan rasa inkuiri dalam diri murid-murid dengan memberikan
mereka kad pengenalan dan lesen pemandu untuk mereka cari persamaannya. Hal ini
dapat menarik perhatian murid-murid dengan bersungguh-sungguh meneroka bahan
maujud yang diberi. Langkah kedua adalah dengan tujuan untuk menghidupkan
suasana kelas yang lebih cergas dan ceria iaitu memainkan video klip lagu Jata Negara
dan menyanyi bersama-sama. Tanpa murid sedari, lirik lagu yang mereka nyanyikan itu
mempunyai input-input penting mengenai lambang Jata Negara beserta maksudnya.

Selepas mendapat pengetahuan awal mengenai Jata Negara dalam lagu yang
dinyanyikan, murid-murid kemudian diperkenalkan secara formal mengenai Jata Negara
dan juga lambang-lambang yang terkandung dalam logo ini. Pada waktu ini, murid-murid
bersikap pasif dan hanya mendengar penerangan daripada guru yang memungkinkan
mereka berasa bosan. Jadi, penerangan ini disertakan dengan ‘slide interaktif’ supaya
murid-murid lebih tertarik untuk memberikan tumpuan kepada penerangan guru.
Selepas mendengar penerangan daripada guru yang mungkin inputnya kurang diserap
oleh murid-murid, dua aktiviti pengukuhan dilaksanakan untuk memantapkan lagi
penguasaan mereka terhadap kandungan pengajaran guru.

Aktiviti pertama dilaksanakan supaya murid-murid mengenal satu persatu


lambang-lambang yang terdapat dalam logo Jata Negara iaitu dengan mencantum
‘puzzle’ gambar Jata Negara. Aktiviti kedua pula merupakan aktiviti peneguhan supaya
murid-murid mengaplikasikan hasil nyanyian lagu Jata Negara dan juga penerangan
daripada guru, mereka dikehendaki untuk memadankan kad perkataan pada simbol atau
makna yang betul. Jadi, saya berpendapat bahawa susunan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran yang saya laksanakan dalam kelas mampu untuk memastikan murid
mendapat sepenuhnya input yang telah saya sampaikan.

2.3 PEMBANGUNAN IDEA DAN SOSIAL

Guru bukan sekadar mengajar mengenai kandungan sesuatu pelajaran mengikut seperti
yang tertulis pada RPH sahaja. Malah, guru perlu membantu murid dalam menerapkan
pemikiran dan idea yang kreatif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku
selain daripada kemahiran bersosial iaitu salah satu elemen yang terkandung dalam
kecerdasan pelbagai, kecerdasan interpersonal.

Murid-murid pada abad ke-21 ini memerlukan satu kaedah untuk melatih mereka
menjana idea sendiri dan berfikiran lebih kreatif. Semua murid mempunyai perbezaan
masing-masing dan salah satu perbezaan individu yang dapat dilihat semasa di dalam
kelas ialah pembangunan idea seseorang murid. Di dalam sesebuah kelas, terdapat
murid yang dapat menjana idea dan menjawab atau menyelesaikan sesuatu dengan
spontan namun terdapat juga murid yang tidak mempunyai kemahiran ini. Dengan
menggunakan kit pembelajaran cebisan ‘puzzle’, sebagai guru saya dapat melihat
bagaimana murid berinteraksi dalam kumpulan masing-masing. Ternyata aktiviti ini
dilihat dapat melatih murid untuk mengeluarkan idea sendiri seperti cantuman ‘puzzle’
perlu bermula daripada bahagian tepi gambar dan sebagainya.

Kecerdasan interpersonal merupakan kemampuan individu dalam


mendiskriminasikan pelbagai kemahiran interpersonal dan kebolehan untuk
berkomunikasi dengan berkesan. Individu ini juga boleh mempengaruhi orang lain
kerana mempunyai kemahiran tertentu. Kit pembelajaran yang saya laksanakan dilihat
mampu untuk menonjolkan bakat pembangunan sosial atau kecerdasan interpersonal ini
melalui aktiviti ‘Kenal dan Padan’ yang memerlukan murid untuk mencari di sekeliling
mereka kad-kad perkataan dan hal ini membuatkan mereka berkomunikasi dan
bekerjasama dengan rakan supaya mendapat kad perkataan seperti rakan yang lain.
Aktiviti ini juga memerlukan murid untuk menyebut dengan kuat simbol atau makna yang
tertulis pada kad perkataan tersebut di hadapan rakan-rakan yang lain. Terdapat murid
yang memadankan kad perkataan pada gambar yang salah, jadi murid ini perlu meminta
bantuan daripada rakan-rakan yang lain.Jelaslah di sin bahawa aktiviti ini akan
memerlukan murid untuk berinteraksi dengan orang-orang di sekelilingnya.

3.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, kit pembelajaran yang berfungsi pada tahap maksima diperlukan oleh
guru-guru dalam menerapkan elemen-elemen sama ada yang tertulis atau tidak tertulis secara
nyata dalam sukatan pelajaran di sekolah. Penggunaan kit di dalam kelas dapat mendatangkan
kesan minat, seronok dan bersemangat termasuk menigkatkan pencapaian murid dalam
prestasi akademik. Peranan kit pembelajaran amat besar jika dibandingkan dengan kaedah
pengajaran tradisional yang hanya menggunakan buku teks untuk mengajar. Kit pembelajaran
mampu membuatkan murid-murid bersikap kreatif dan inovatif untuk menyelesaikan sesuatu
masalah. Kit pembelajaran yang saya hasilkan juga dilihat berkesan untuk murid-murid
mengingat lambang-lambang dan makna yang terdapat pada Jata Negara kita.
RUJUKAN

Faridah Nazir, et. al. (2015). Seni dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Malaysia.

Noriati A. Rashid, Boon, P., Y. & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam
Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Syahida Nadia Zakaria. (2015). Kesan Pendekatan Konstruktivisme dan Pendekatan


Tradisional dalam Pengajaran dan Pembelajaran Komponen Sastera Bahasa Melayu.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Yong, S., L. (2013). Gabungan Pendekatan Konstruktivisme dan Behaviorisme bagi


Meningkatkan Prestasi Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan 3. Seminar Pendidikan
Sejarah dan Geografi 2013 (hlm. 133-156). Sabah: Universiti Malaysia Sabah.

Anda mungkin juga menyukai