Anda di halaman 1dari 2

UCAPAN NYDP PIBG

PN HAIRULNIZA BINTI TAMIN


YDP PIBG SMK TROLAK
MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG)
SEK. MEN .KEB. TROLAK
23 FEB 2019

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum w.b.k

Yang Dihormati En Mohd Amran Bin Ibrahim Penyelaras Dun Slim River,

Yang berusaha En Abdul Rahim Bin Abdul Majid Pengetua SMK Trolak,

Yang dihormati barisan Penolong-Penolong Kanan

Guru-Guru Kanan Mata Pelajaran

AJK PIBG, guru-guru, para ibu bapa, hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Marilah kita menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan
rahmatNya maka kita dapat bersama-sama berkumpul di Dewan Terbuka SMK Trolak pada
pagi ini untuk bersama-sama dalam Mesyuarat Agung PIBG SMK Trolak Kali Ke-36 tahun
2019.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan


terima kasih kepada En Mohd Amran Bin Ibrahim yang sudi hadir untuk merasmikan
majlis kita pada pagi ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah
terutama kepada Pengetua SMK Trolak iaitu En Abdul Rahim Bin Abdul Majid yang juga
merupakan penasihat PIBG serta kepada para guru dan AJK PIBG yang telah bertungkus-
lumus dalam menjayakan Mesyuarat Agung PIBG SMK Trolak Kali Ke-36 tahun 2019.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

PIBG merupakan sebuah medium yang berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan
antara pihak sekolah dengan komuniti. Justeru, PIBG sewajarnya bergerak seiring dengan
perkembangan sekolah dan menjadi penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan
sesebuah sekolah. Sejak ditubuhkan pada tahun 1983, PIBG SMK Trolak telah banyak
berkolaborasi dengan pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sekolah seperti
Gotong-royong Perdana, Hari Interaksi, Majlis Solat Hajat, Hari Kecemerlangan dan
sebagainya. Justeru, saya amat berharap agar program dan aktiviti untuk meningkatkan
kecemerlangan para pelajar SMK Trolak dapat diteruskan dari tahun ke tahun agar potensi
para pelajar dapat dicungkil dan diperkasakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Sepanjang tempoh dua tahun saya menerajui PIBG SMK Trolak, saya dan para AJK
PIBG sentiasa menyokong segala usaha sekolah untuk meningkatkan prestasi dan
kecemerlangan pelajar. Saya amatlah berbesar hati sekiranya pihak pihak sekolah dapat
meneruskan segala aktiviti yang dirancang agar anak-anak kita akan berjaya dalam pelajaran
seterusnya menjadi insan yang berguna untuk bangsa dan negara. Saya dan para AJK juga
akan sentiasa membantu dari segi sokongan moral memandangkan terdapat sarana ibu bapa
dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa untuk membantu pihak sekolah yang telah pun
ditubuhkan

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dunia pendidikan yang semakin mencabar amat memerlukan perhatian dan kerjasama
daripada semua pihak terutama daripada para ibu bapa dan guru. Oleh itu, saya ingin
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para guru di SMK Trolak
yang telah banyak berjasa dalam mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada anak saya serta
anak-anak kepada para ibu bapa yang lain. Semoga Allah swt memberikan ganjaran yang
terbaik kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian serta ikatan antara para ibu bapa dan
guru-guru yang sedia terjalin selama ini akan dapat dipererat dan dipertingkat.

Saya tidak berhajat untuk berucap dengan lebih panjang lagi. Saya sekali lagi ingin
merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada En Mohd Amran Bin Ibrahim yang telah
sudi hadir dan semua pihak yang telah menjayakan Mesyuarat Agung PIBG SMK Trolak Kali
Ke-36 Tahun 2019. Semoga segala pengorbanan dan kerjasama yang diberikan akan
diberkati oleh Allah swt seterusnya mendatangkan impak yang positif dalam perkembangan
pendidikan anak-anak kita seterusnya melahirkan generasi yang cemerlang dan dapat
menyumbang kepada kemajuan agama,bangsa dan negara.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah assalamualaikum wbk

Anda mungkin juga menyukai