Anda di halaman 1dari 8

ESEI 1

1.0 Pengenalan

Johns (1996) mengatakan bahawa komunikasi merupakan proses pertukaran


maklumat di antara penyampai dan penerima maklumat di kalangan pelbagai pihak.
Komunikasi juga boleh ditakrifkan sebagai proses perpindahan maklumat, perasaan,
idea dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang
lain. Perkataan komunikasi berasal dari perkataan Inggeris iaitu ‘comunication’ yang
berasal dari perkataan Latin iaitu “communicare” yang bermaksud “to make common’
iaitu mewujudkan persamaan.

2.0 Ciri-ciri Komunikasi Berkesan

Komunikasi yang berkesan ialah keupayaan penutur menyampaikan maklumat


kepada penerima dengan jelas. Antara perkara asas yang diperlukan untuk
mewujudkan komunikasi antara dua pihak ialah penggunaan sapaan dan salam.
Bertegur sapa dan memberi salam seperti ucapan “selamat petang” sudah cukup
memadai untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan di mana penerima mesej
turut membalas salam tersebut. Dalam pada masa yang sama, pemberi dan
penerima dapat saling bertukar maklumat dengan bermulanya pemberian salam dan
sapaan antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan sapaan dan salam mampu
mewujudkan komunikasi, malah komunikasi yang berkesan perlu disertkan dengan
senyuman dan mimik air muka. Dalam usaha membentuk komunikasi yang
berkesan, seseorang individu perlu memiliki sikap ikhlas dan jujur. Jika diri kita tidak
bersikap jujur dan ikhlas dalam pertuturan, maka sesuatu komunikasi mungkin tidak
akan terjadi kerana tiada siapa yang akan mempercayai seseorang individu jika tidak
jujur. Keikhlasan dan kejujuran ini penting untuk mewujudkan komunikasi antara
individu bagi mengelakkan konflik kerana tidak sependapat. Selain itu, komunikasi
yang berkesan juga ditentukan oleh ciri berikutnya iaitu mendengar dengan aktif.
Kita seharusnya menjadi seorang pendengar yang baik apabila individu lain
menyampaikan maklumat agar maklumat diterima denga mudah. Komunikasi akan
terhalang jika penerima maklumat tidak mendengar dengan aktif serta tidak memberi
perhatian sementara individu lain sedang menyampaikan maklumat. Hal ini akan
mengakibatkan penerima maklumat mendapat maklumat yang kurang jelas kerana
tidak mendengar dengan aktif dan turut menyebabkan penyalahtafsiran maklumat
berlaku. Seterusnya, pengemukaan soalan yang disukai oleh pihak yang lain juga
menjadi asas komunikasi berkesan supaya halangan komunikasi dapat dihindarkan.
Apabila seseorang individu mengemukakan soalan yang disukai oleh seseorang,
maka sesuatu komunikasi cenderung untuk menjadi lebih menarik. Pertanyaan
soalan akan mewujudkan sebuah perbincangan antara individu bagi mencari
alternatif untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan. Perbincangan tersebut
akan menjadi lebih bermakna kerana kedua-dua pihak memahami maklumat yang
diberi dan diterima ketika berkomunikasi.

3.0 Teks Ucapan Perasmian Minggu Pengurusan Pelajar Baharu

Terima kasih kepada Pengacara Majlis. Yang Berbahagia Encik Jamiran Bin
Salam, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Yang Berusaha
Puan Anis Binti Abdullah, Timbalan Pengarah IPG Kampus Batu Lintang, Ketua-
ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Barisan Kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan
Pelajar IPG Kampus Batu Lintang 2017/2018, para pensyarah, dan mahasiswa
mahasiswi yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu kita melafazkan segala puji dan
syukur kepada Tuhan kerana limpah berkat dan keizinan-Nya kita dapat bersama-
sama dalam Majlis Perasmian Minggu Pengurusan Pelajar Baharu di Institut
Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang pada hari ini.

Hadirin sekalian,

Saya sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, mengucapkan selamat datang
kepada semua guru pelatih baharu ambilan Jun 2017 ini. Saya mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada anda semua yang
merupakan kumpulan individu yang sangat bertuah kerana telah berjaya dalam
mengejar cita-cita, mewarisi tugas mendidik, dan membentuk negara yang tercinta
ini.

Minggu Pengurusan Pelajar merupakan suatu proses transisi yang dialami oleh
pelajar-pelajar baharu di IPG. Sepanjang minggu pengurusan ini, para pelajar akan
diperkenalkan dengan barisan pegawai tertinggi di institusi ini, ketua-ketua jabatan,
para pensyarah serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Selain itu, para pelajar
baharu turut akan diperkenalkan dengan gaya hidup di institusi ini. Disiplin diri
termasuk pemakaian pakaian yang sopan di samping penekanan terhadap
pengurusan masa diterapkan kepada para pelajar yang baharu memulakan
kehidupan siswa pendidik.
Hadirin yang dikasihi sekalian,

Untuk pengetahuan siswa pendidik semua, Institut Pendidikan Guru merupakan


sebuah institusi pendidikan yang melatih bakal-bakal guru yang telah dipilih
berdasarkan beberapa temuduga dan ujian. Seluruh warga IPG ditegaskan untuk
mengamalkan Budaya IPG. Budaya IPG adalah suatu jenama untuk membentuk
dan melahirkan guru yang mengamalkan tujuh dimensi budaya, antaranya ialah
Budaya Ilmu, Budaya Kepimpinan, Budaya Kerja Profesional, Budaya Akhlak dan
Moral, Budaya Penyayang, Budaya Hidup Sihat dan Budaya Estetika.

Struktur kursus pelajar IPG terbahagi kepada tiga iaitu subjek teras, subjek
akademik dan kokurikulum. Terdapat sepuluh subjek teras yang akan dipelajari
semasa Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Bagi subjek
akademik, subjek-subjek yang akan diambil oleh pelajar IPG adalah berbeza
mengikut opsyen atau kursus yang akan diambil semasa di peringkat ijazah. Setiap
subjek akademik akan dijalankan peperiksaan. Salah satu kelainan yang dialami
oleh pelajar IPG jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar di universiti lain ialah para
pelajar IPG mempunyai waktu khusus yang diperuntukkan khas untuk aktiviti
kokurikulum dan dimasukkan dalam jadual pembelajaran seharian.

Dari aspek suasana pembelajaran di IPG pula, para pelajar akan ditempatkan di
dalam satu kelas lebih kurang seramai dua puluh orang mengikut opsyen atau
kursus masing-masing. Kelas tersebut akan selama selama 5 tahun sehingga anda
semua tamat pengajian. Semua pelajar IPG diwajibkan untuk menetap di kolej
kediaman yang disediakan sepanjang tempoh pengajian. Pengecualian diberikan
kepada para pelajar yang menjalani praktikum semasa dalam Semester 5 dan
Semester 7 ketika mengambil kursus Persediaan Ijazah Sarjana
Muda Perguruan(PISMP).

Hadirin sekalian,

Pelajar yang menuntut di IPG bukan sahaja untuk mempersiapkan diri untuk
menjadi seorang guru, malah pelajar dapat menikmati pelbagai kelebihan sebagai
pelajar IPG yang tidak dialami oleh pelajar di universiti lain. Antara kelebihan
menuntut di IPG ialah pelajar akan diberikan elaun pada setiap bulan sepanjang
kursus PPISMP dan PISMP. Pemberian elaun bertujuan untuk mengelakkan pelajar
daripada memikirkan pinjaman yang perlu dijelaskan setelah tamat pengajian serta
membantu untuk menampung kos sara hidup sepanjang pengajian. Sesi
pembelajaran di IPG bermula pada 7.30 pagi sehingga 12.30 tengahari manakala
kelas petang bermula pada 2.15 petang sehingga 4.15 petang. Hal ini adalah kerana
ingin mendidik para pelajar IPG membiasakan diri dengan waktu pekerjaan sebenar
yang akan ditempuhi semasa sudah bergelar guru. Kelebihan utama yang
seterusnya memilih untuk menuntut di IPG ialah pelajar akan mempunyai jaminan
pekerjaan di masa hadapan. Oleh itu, pelajar tidak perlu risau mengenai masalah
pengangguran apabila sudah menamatkan pengajian kerana setiap garduan akan
dapat penempatan di sekolah tetapi cuma cepat atau lambat sahaja. Selain itu,
waktu cuti para pelajar IPG ialah sama dengan waktu cuti para pelajar yang belajar
di sekolah menengah dan rendah. Di samping itu, pelajar yang telah tamat pengajian
di IPG turut diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi di bawah satu program khas.

Hadirin sekalian,

Sekadar ini sahaja ucapan saya, dengan ini saya merasmikan Minggu
Pengurusan Pelajar Baharu di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang.
Warga Jawatan Hal Ehwal Pelajar ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua
pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan
Minggu Pengurusan Pelajar ini.  Semoga Minggu Pengurusan ini memberi kenangan
yang cukup bermakna untuk mengenali kehidupan sebenar sebagai seorang siswa
pendidik di IPG. Dengan kata-kata itu, saya mengucapkan selamat menempuh
pengalaman pembelajaran yang baharu.
ESEI 2

1.0 Atur Cara Majlis

Atur cara majlis adalah salah satu aspek penting dalam pengurusan majlis.
Atur cara majlis merupakan urutan acara dalam sesuatu majlis dari mula hingga
akhir. Perkara yang terdapat dalam atur cara ialah masa, atur cara yang terperinci
serta pegawai yang bertanggungjawab atau penyelaras. Atur cara tersebut adalah
penting sebagai panduan kepada pegawai atau petugas untuk melihat perjalanan
dan perancangan majlis. Antara perkara lain yang dimasukkan ke dalam pengisian
majlis tersebut adalah bacaan doa, ucapan aluan, ucapan iringan, ucapan
perasmian, persembahan multimedia, persembahan pelajar dan penyampaian
anugerah. Di dalam pengurusan hadiah, hadiah disediakan mengikut kesesuaian
majlis. Beberapa penyelaras telah dilantik untuk melaksanakan acara penyerahan
sijil atau hadiah. Pengacara majlis berperanan untuk mengendalikan majlis dari
permulaan sehingga selesai. Selain itu, pengacara majlis diperlukan untuk
menyediakan teks pengacaraan majlis bagi mengendalikan dan mengawal majlis.
Semasa majlis berlangsung, pengacara majlis bertanggungjawab untuk memberi
panduan kepada para tetamu di samping membuat pengumuman. Penyampai
ucapan dalam majlis tersebut dihadkan kepada tiga orang sahaja.

2.0 Laras Bahasa

Menurut Nik Safiah Karim (1989), kemunculan laras bahasa selari dengan
kewujudan situasi penggunaan bahasa yang berubah-berubah mengikut konteks,
bidang dan juga peringkat sosial. Wallace (1981) menyatakan bahawa laras
merupakan satu aspek penggunaan bahasa yang khusus kerana laras mengandungi
bentuk dan sintaksis yang tepat untuk sesuatu situasi. Asmah Hj. Omar (1987)
mentakrifkan laras bahasa itu ditandai oleh ciri-ciri khusus dalam penggunaannya
dan laras itu berbeza mengikut bidang penggunaannya. Menurut beliau, laras
bahasa adalah kelainan atau variasi bahasa yang digunakan mengikut disiplin ilmu
yang berbeza-beza.
Skrip pengacaraan majlis rasmi yang akan saya analisis laras bahasanya
diambil dari Majlis Perasmian UTM International Johor Horse Show 2013 &
Pelancaran Akademi Ekuin UTM. Majlis rasmi tersebut merupakan majlis yang
bersifat rasmi sepenuhnya serta melibatkan dif-dif jemputan yang besar seperti raja-
raja, menteri-menteri dan mempunyai sistem protokol yang lebih ketat dan terperinci.
Hadirin yang hadir dalam majlis ini terdiri daripada dua taraf. Taraf pertama
kebiasaannya dihadiri oleh individu-individu yang sangat penting daripada golongan
kerabat diraja seperti sultan. Sementara itu, golongan taraf kedua melibatkan
individu-individu penting seperti para menteri, orang kenamaan, ketua-ketua jabatan
dan sebagainya. Berdasarkan protokol, hadirin yang terdiri daripada kerabat diraja
harus diutamakan dan diikuti oleh pemimpin masyarakat dan seterusnya masyarakat
umum.

Laras bahasa yang digunakan dalam skrip pengacaraan majlis rasmi tersebut
ialah laras bahasa istana. Skrip tersebut mengandungi unsur pemulukan dan
penindaan untuk menyanjung raja dengan tujuan meletakkan baginda pada satu
taraf yang tinggi dengan menggunakan perendahan diri seperti “Ampun Tuanku”.
Dari segi kosa kata dan ungkapan, rutin bahasa merupakan ungkapan yang tidak
berubah dari segi bentuk dan penggunaannya bagi tujuan memberikan
penghormatan, memulakan sembah atau menyatakan perasaan terima kasih.
Contoh ungkapan yang digunakan dalam majlis tersebut ialah “Ampun Tuanku”,
“menghadap duli yang maha mulia tuanku” dan “menjunjung kasih duli yang maha
mulia”. Penggunaan perbendaharaan kata leksis bermaksud satu kata itu
mempunyai pelbagai makna denotasi dan makna konotasi, misalnya “keberangkatan
tiba”, “menjunjung kasih”, “bertitah” serta “memohon perkenan”. Pengacara majlis
menggunakan kata ganti nama diri seperti “patik”, “tuanku” dan “duli tuanku” apabila
berkomunikasi dengan raja. Dalam bahasa istana, penggerak komunikasi adalah
daripada rakyat kepada raja iaitu ungkapan seperti “ampun tuanku”. Ungkapan
penghargaan seperti “menghadap duli yang maha mulia tuanku” diucapkan oleh
pengacara majlis bertujuan untuk mengekspresikan rasa penghargaan yang
bermaksud terima kasih. Pengacara majlis memperlawa sultan untuk
menyampaikan titah baginda dengan menggunakan ungkapan “dipohonkan titah
perasmian”. Penghormatan protokol digunakan untuk merujuk hadirin yang hadir
mengikut status pangkat tetamu. Antara panggilan yang terdapat dalam skrip
tersebut ialah “Duli Yang Maha Mulia”, “Yang Berhormat” dan “Yang Berbahagia”.

Dalam laras bahasa pengacaraan majlis rasmi dan laras bahasa teks ceramah,
penyampaian maklumat secara lisan dan formal memperuntukkan beberapa cara
dan memerlukan persediaan yang rapi. Antara persediaan yang dilakukan
termasuklah menyediakan teks atau skrip dan berpandukan kepada ingatan.
Penghormatan protokol merupakan kata aluan kepada audiens. Susunan kata aluan
perlulah mengikut status pangkat audiens. Nama, gelaran, pangkat atau jawatan
merupakan perkara yang dititikberatkan dalam menyampaikan kata aluan. Dalam
sesuatu penyampaian maklumat yang berkesan, rujukan kepada audiens seperti
“saudara-saudara sekalian…”, “tuan-tuan dan puan-puan…”, atau “hadirin
sekalian…” amatlah penting. Bahasa memainkan peranan yang sangat penting
ketika berucap di khalayak ramai. Penyampaian maklumat secara lisan seharusnya
memiliki pemilihan kata yang sesuai dan mempunyai sifat yang menggambarkan
kejujuran dan kejelasan serta memberikan idea atau gambaran dengan bertenaga.
Dalam pengucapan yang bersifat kejujuran, pengucap perlu mempunyai
kepercayaan penuh terhadap apa yang dilafazkan. Selain itu, pengucap perlu
menggunakan bahasa yang jelas serta merangkumi tiga perkara iaitu perkataan
yang betul dan susunan ayat yang betul. Gaya bahasa yang digunakan juga perlu
disesuaikan dengan topik, majlis dan audiens. Penggunaan kata ganti nama diri
merupakan satu elemen dalam keformalan. Gelaran atau rujukan hormat perlu
dititikberatkan berdasarkan status pangkat atau jawatan individu yang menerima
maklumat yang disampaikan.

Kesimpulannya, bahasa merupakan medium yang amat penting dalam


komunikasi untuk menyampaikan pelbagai hal, aspek, bidang dan peristiwa. Jumlah
laras sesuatu bahasa mencerminkan keadaan bahasa itu menjadi ukuran maju
mundurnya sesuatu bangsa. Penutur bahasa Melayu bukan sahaja harus mengenali
laras-laras bahasa Melayu, malah perlu tahu membezakan ciri-ciri utama laras-laras
tersebut khususnya laras formal dan laras tidak formal bagi mengelakkan
penggunaan laras yang tidak sesuai dalam situasi tertentu. Laras-laras Bahasa
Melayu haruslah dipelajari sebagai suatu kemahiran supaya masyarakat benar-benar
menguasai bahasa kebangsaan mereka sendiri.
RUJUKAN

Abdullah Hassan, Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Malaysia. Dewan


Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987.

Asmah Hj. Omar, Bahasa Malaysia Saintifik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur. 1987

Goay Teck Chong, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad, Longman Teks PRA-U STPM
Bahasa Melayu Kertas 1, PEARSON LONGMAN, 2007.

Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, Kursus Komprehensif Fajar Bakti,
BAHASA MELAYU STPM (Kertas 1 &2 ), Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 2002.

Anda mungkin juga menyukai