Anda di halaman 1dari 4

Ujian Denggi

Pengenalan
Ujian denggi adalah ujian yang dilakukan bagi mengesahkan seseorang pesakit telah dijangkiti virus
denggi yang menyebabkan demam denggi. Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk
yang menjadi masalah utama kesihatan awam di Malaysia mahupun diseluruh dunia terutamanya
dinegara-negara rantau tropika.

Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa virus denggi boleh dijangkiti denggi. Demam
denggi terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

1. Demam Denggi biasa

2. Demam Denggi Berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi


Bagaimana terjadinya demam denggi?

Vektor (pembawa) demam denggi adalah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Nyamuk


berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 – 12 hari selepas menghisap
darah manusia yang dijangkiti (perumah). Virus ini akan berkembang biak didalam kelenjar air liur
nyamuk dan kemudiannya dipindahkan kedalam tubuh manusia yang sihat semasa proses gigitan
nyamuk. Nyamuk betina yang telah dijangkiti virus denggi juga boleh memindahkan virus tersebut ke
dalam telur  seterusnya menjangkitkan anak nyamuk yang baru menetas.. Apabila berada didalam
tubuh manusia, virus mengambil masa 3-7 hari untuk berkembang sebelum menunjukkan gejala
demam denggi.
Apakah punca demam denggi?           
Penyakit demam denggi berpunca dari virus denggi. Virus denggi adalah dari famili Flaviviridae. Ia
terdiri dari 4 serotype iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Kesemua serotype ini boleh
menyebabkan Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah atau Sindrom Renjatan Denggi
Ujian Pengesanan di Makmal
Ujian-ujian makmal sangat membantu dalam diagnosis penyakit demam denggi. Pemeriksaan darah
digunakan bagi tujuan ini. Ia juga dapat memantau perkembangan pesakit yang dirawat terutamanya
penentuan Demam Denggi Berdarah dan Sindrom Renjatan Denggi.

Di kebanyakkan hospital kerajaan, ujian denggi dijalankan di beberapa makmal di Jabatan Patologi.
Antara makmal yang terlibat iaitu Makmal Hematologi (Kajidarah), Makmal Biokimia dan Makmal
Mikrobiologi.

Makmal Hematologi
Di Makmal Hematologi, spesimen darah diambil  bagi analisa ujian pembekuan darah (Coagulation
test) dan kiraan darah penuh (Full Blood Count). Bagi pesakit Demam Denggi Berdarah, masa
pendarahan dan pembekuan darah adalah tidak normal dan tahap fibrinogen dalam darah juga
menurun. Bagi ujian Full Blood Count kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan
hematokrit yang tinggi (hematoconcentration) menjadi petunjuk kepada Demam Denggi Berdarah dan
Sindrom Renjatan Denggi.
Makmal Biokimia
Bagi pesakit Demam Denggi Berdarah, bacaan serum-aminotransferase dan urea darah akan
meningkat manakala bacaan serum sodium dan albumin pula menurun. Pengukuran elektrolit di
dalam darah membantu dalam pemantauan perawatan penyakit denggi.

Makmal Mikrobiologi
Ujian pengesanan antigen dan antibodi terhadap penyakit denggi dilakukan di Makmal Serologi.
Terdapat 2 kaedah iaitu Ujian Rapid dan Enzyme-linked immunoassay  (ELISA).
Ujian Rapid denggi merupakan kaedah paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis
klinikal demam denggi. Walau bagaimanapun ia perlu disahkan dengan dengan ujian lanjutan ELISA.

Ujian pengesanan antigen NS1 didapati amat penting didalam fasa awal jangkitan denggi iaitu dapat
dikesan seawal hari kedua sehingga hari ketujuh selepas jangkitan.

Ujian mengesan kehadiran antibodi pula mengesan antibodi IgM dan IgG di dalam darah pesakit. 
Ujian denggi antibodi IgM adalah merupakan kaedah terbaik (gold standard) untuk menentukan fasa
jangkitan primer dan membezakan antara jangkitan virus denggi dan flavivirus yang lain. Ujian denggi
IgG pula digunakan dalam menentukan fasa jangkitan denggi sekunder yang lebih bahaya dan
mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi. Antibodi IgM selalunya hadir selepas hari ke 5
bermulanya demam dan mungkin kekal selama 3 bulan. Antibodi IgG pula dapat dikesan lebih lambat
daripada IgM pada JangkitanDenggi tetapi ia mungkin dikesan lebih awal daripada IgM dalam
jangkitan Secondary Dengue.

Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai. Walaubagaimana pun
ujian ini hanya ditawarkan oleh makmal rujukan seperti di Institut Penyelidikan Perubatan.

Maklumat lanjut          


Sila rujuk ke Klinik-klinik Kesihatan dan Hospital berhampiran anda bagi mengetahui lebih lanjut
berkaitan ujian denggi.

Kesimpulan
Oleh kerana penularan wabak demam denggi adalah berkaitan dengan isu alam sekitar, maka
pengetahuan mengenai kaedah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes sebagai pembawa
virus denggi amat penting bagi menghalang wabak ini dari terus berleluasa Bersama kita menjayakan
kempen Kementerian Kesihatan Malaysia “Jom Ganyang Aedes”.

Rujukan
1. Dengue and Dengue Haemorrhagic Fever Fact Sheet, Center for Disease Control and
Prevention, Puerto Rico

2. Cheesebrough.M.,  Medical Laboratory Manual for Tropical Countries, Vol. II:


Microbiology.Second edition.  English Language Book Society 2006.

3. Clinical Practice Guidelines, Management of Dengue Infection in Adults, Ministry of Health


Malaysia and Academy of Medicine of Malaysia.

Semakan Akhir : 13 Januari 2014

Penulis : Nur Azza Wasylla binti Omar

Akreditor : Juraimi bin Raihan


 

Anda mungkin juga menyukai