Anda di halaman 1dari 1

Sekolah anda baru sahaja selesai mengadakan Kejohanan Merentas Desa.

Ceritakan pengalaman anda


semasa menyertai acara tersebut.

Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Poi Lam semestinya ternanti-nanti tarikh
Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah diumumkan sejak awal tahun lagi. Hal ini berlaku demikian
kerana acara tersebut merupakan medan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam acara
larian. Malangnya pada tahun ini kejohanan ini diadakan agak lewat.

Kini, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Sesi latihan yang diadakan oleh guru rumah sukan
sebelum hari pertandingan telah memberikan aku keyakinan untuk memenangi pertandingan pada kali
ini. Terdapat beberapa kategori mengikut umur yang dipertandingkan dalam kejohanan ini. Aku menyertai
pertandingan ini dalam kategori lelaki bawah 15 tahun.

Kami semuanya kemudian telah diarahkan berkumpul di padang sekolah. Kemudiannya kami
telah diberikan sedikit taklimat tentang syarat-syarat pertandingan dan jalan-jalan yang terpaksa kami
lalui. Taklimat ini sangat penting supaya tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Pihak sekolah
juga telah meminta bantuan pihak polis dan juga RELA bagi mengawal lalu lintas semasa acara larian
berlangsung. Seterusnya, kami telah diminta untuk memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya
kekejangan otot semasa berlari nanti.

Perasaan aku makin berdebar ketika melihat peserta lelaki bawah 18 tahun dilepaskan oleh
Pengetua kami. Kemudiannya, bunyi tembakan kedengaran di udara menandakan kami telah dilepaskan
untuk memulakan larian. Aku yang berada di barisan hadapan terus meluru laju ke hadapan. Sepanjang
laluan yang kami lalui, kami telah diberi sorakan semangat oleh orang ramai yang berkumpul di tepi jalan
untuk menyaksikan kami berlari.

Beberapa orang pelajar terjatuh kerana tergelincir. Nasib mereka baik kerana tidak mengalami
kecederaan yang serius. Aku pun beberapa kali nyaris hendak terjatuh kerana tersepak batu-batu yang
bertaburan di atas jalan. Sepanjang jalan yang kami lalui, terdapat guru-guru yang mengedarkan getah
untuk kami pakai menandakan kami sudah melalui jalan tersebut dan mengelakkan berlakunya penipuan.

Aku makin bersemangat apabila melihat reben direntang di lorong penamat larian itu. Aku
memecut habis-habisan untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya keghairahan aku itu
menyebabkan aku telah tersepak kaki aku sendiri dan mengakibatkan aku jatuh tertiarap di atas padang.
Hasrat aku untuk mendapat tempat pertama berkecai. Tetapi aku melihat guru-guruku bertepuk tangan
untuk memberikan aku semangat bagi meneruskan larian.

Dengan kaki yang terhencot-hencot aku sampai ke garisan penamat. Walaupun tidak berjaya
mendapat tempat pertama, aku tetap berbangga kerana berjaya menghabiskan larian dan mendapat
tempat ketiga. Aku percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Anda mungkin juga menyukai