Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PENGHULU BAGI KURSUS PENINGKATAN KEJURULATIHAN

PERINGKAT DAERAH NEGERI SABAH TAHUN 2015


15 18 FEBRUARI 2015
Salam sejahtera dan selamat pagi
Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis.
Yang Berusaha Encik Ambrews Andau, Ketua Unit Pusat Kokurikulum Negeri Sabah, Sektor
Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Sabah,
Yang Berusaha Puan Pazidah Haji Tawar, Ketua Jurulatih Pusat Kokurikulum Sabah,
Yang Berusaha En Mohd Dun Haji Lamat, Panel Kejurulatihan Kebangsaan, Pusat Kokurikulum
Sabah,
Yang Berusaha Encik Salleh Haji Abbas, Komandan Kursus Peningkatan Kejurulatihan Tahun
2015,
Tuan dan Puan Jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Sabah, dan rakan-rakan peserta kursus
sekalian.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran kerana pada pagi ini kita dapat bersamasama berkumpul dalam Majlis Penutupan Rasmi Kursus Peningkatan Kejurulatihan Peringkat
Negeri Sabah bagi Tahun 2015 yang bermula 15 Februari hingga 18 Februari 2015.
Hari ini merupakan hari terakhir kami khususnya peserta Kursus Peningkatan Kejurulatihan
berkampung di Kem Malangang, Kiulu ini. Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah di hari
terakhir kita berada di dalam kursus ini.
Kalau lautan sama direnangi,
Kalau lurah sama dituruni,
Kalau sampan sama berdayung,
Kalau lesung sama menumbuk.
Itulah signifikannya pertemuan kita selama empat pada hari yang bersejarah ini.
Bak kata orang
Kalau memanjat, sudah sampai ke puncak,
Kalau menurun, sudah sampai ke lembah.
Kalau terjun, sudah sampai ke tanah,
Kalau berenang, sudah sampai ke pantai.
Kalau belayar sudah sampai ke pulau,
Kalau berjalan sudah sampai ke batas.
Kalau mudik, sudah sampai ke hulu,

Kalau hanyut sudah sampai ke kuala.


Dikesempatan ini juga, saya selaku wakil peserta ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada
Pusat Kokurikulum Negeri Sabah kerana memanggil kami semua semula untuk mengikuti kursus
ini lanjutan daripada kursus asas kejurulatihan yang telah kami hadiri pada tahun lalu. Ini adalah
adalah penghargaan dan penghormatan kepada kami semua. Kami sangat berterima kasih dan
berbangga terpilih untuk mengikuti program ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepanjang empat hari di sini banyak tambahan ilmu yang kami perolehi daripada para jurulatih
yang tidak lokek ilmu berkongsi dengan kami. Banyak ilmu yang kami perolehi daripada slotslot yang telah disusun atur sepanjang program ini yang meliputi ikatan & simpulan, pengurusan
aktiviti rekreasi tali, pengurusan aktiviti pandu arah, pembinaan modul, manual aktiviti & SOP
dan kami juga berpeluang mengikuti Ujian Kecergasan Fizikal di Stadium Likas. Semua ini
adalah pengalaman yang cukup berharga yang tak mungkin dilupakan sampai bila-bila. Selain
daripada itu, setiap aktiviti yang kami jalankan juga mendapat teguran dan respon yang positif
daripada para jurulatih. Tidak dinafikan banyak juga kelemahan, namun atas dorongan dan
tunjuk ajar yang diberi oleh para jurulatih, kami berjaya mengharungi setiap tugasan yang diberi
dengan jayanya.
Saya juga mewakili rakan-rakan peserta ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf
jika ada kesilapan yang dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja sepanjang berada di
dalam kursus ini.
Kalau wajah ada yang tersalah pandang,
Kalau nama ada yang tersalah sebut,
Kalau gelar ada yang tersalah ucap,
Kalau duduk ada yang di salah tempat.
Hanya kemaafan mampu dihulurkan..
Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
Saya tidak berniat untuk berucap panjang, jadi di sini saya ingin menyeru rakan-rakan peserta
untuk memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi sepanjang berada di kursus ini dan
mengaplikasinya di sekolah nanti untuk dikongsi bersama rakan-rakan guru dan khususnya
kepada murid-murid kita nanti. Saya juga mewakili rakan-rakan yang lain berbesar hati jika
dipanggil untuk membantu dan bertugas dalam program-program kelolaan Pusat Kokurikulum
Negeri Sabah selepas ini. Pastinya jika tiada komitmen lain yang menghalang, pasti kami sedia
datang ke sini lagi untuk sama-sama membantu para jurulatih.
Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun,
Ada malam ada siangnya,
Ada suka ada dukanya,
Ada awal ada hujungnya,
Ada pertemuan ada perpisahannya

Mudah-mudahan ada pertemuan kembali selepas ini dalam majlis yang lain pula.
Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai