Anda di halaman 1dari 11

bijakspm.

com

BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu

REVISION QUESTIONS
Soalan Ulangkaji

WEEK 6
Minggu 6
Latihan Karangan Bahasa Melayu

1. Langkah-langkah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan

2. Usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber


Sekolah

3. Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum

4. Punca-punca yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam


akademik

1
2
Skema Jawapan

Langkah-langkah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-
sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai
sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya
menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin
masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, janganlah murid-murid menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak
dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada berguna”. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid harus berusaha mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?

Langkah pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan
sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian
ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk
ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan
pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan
pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan.
Secara tidak langsung saya dapat mengingati apa sahaja yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa sahaja yang
saya sebut atau ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya
akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya
terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan,
didapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-
pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang
difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan
segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan.

Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu
belajar dan saya akan mengikutinya dengan penuh disiplin sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar
menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji
pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Saya harus mengikut jadual
waktu belajar yang telah saya tetapkan terutama apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan
bahawa “sediakan payung sebelum hujan”. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri
daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat
persiapan awal biasanya terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan
“masa yang lalu tidak akan kembali” Mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba
peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat
persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih
banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada
frasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Sangat kalau bersesuaian dalam hal ini ungkapan ini ditukarkan ke
dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini

3
membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai
kemahiran dalam sesuatu perkara. Saya juga akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai
mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung
saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang
kaji secara berterusan bak kata pepatah “sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” dan “sedikitsedikit,
lama-lama jadi bukit”. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan
untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran terutamanya dalam mata pelajaran sains.
Tegasnya, jika saya membuat lebih banyak latihan dan mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya
bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan
bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut” dan “malu
bertanya sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat
tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada mereka. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua
kali, maka saya akan lebih mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, topik yang
sama diajar disekolah yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping
itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti
Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya
menyertai program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan
dan latihan yang kerap kali ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah
dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.

Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan
cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak
bermakna gagal selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat sebarang masalah atau cabaran yang
timbul. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia
telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita
tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa,
malah saya akan mencuba sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah
dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan tidak akan mudah putus asa
untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada
ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar kerana orangorang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan
sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.
Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan
berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang
cemerlang tanpa doa, restu dan dorongan daripada ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada
Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan
yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan
atas segala pemberianNya.

4
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya lebih cerah dengan cahaya kejayaan. Kejayaan
dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-
gelita. Kecemerlangan dalam peperiksaan akan menentukan masa depan kita, tanpanya kita akan hidup teraba-
raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan
disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya dari
pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai
kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik
audio visual, dan sebagainya. Murid akan memperoleh pelbagai manfaat jika memaksimum penggunaan
kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan
penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan
memastikan lokasi pusat sumber sekolah strategik agar mudah dikunjungi oleh murid-murid. Misalnya, lokasi
pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan
pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana bising untuk membolehkan pengunjung memberi
tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang. Hal
ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural
yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk mengunjungi dan meneroka kemudahan yang
terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, ’tak kenal maka tak cinta’. Selain itu, suasana di dalam pusat
sumber perlulah kondusif seperti mempunyai penyaman udara dan ruang membaca serta membuat rujukan yang
selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh
ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca atau semasa mengulangkaji pelajaran. Buku-buku
yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan terdiri daripada buku-buku terkini. Waktu PSS juga
perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku, membaca operasi membuat ulang kaji.

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan
terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan.
Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat
di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan
komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga
dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan
rujukan terkini perlu ditampal di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Selain itu,
murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka
dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan PSS. Mereka perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar
tidak berlaku pertembungan. Pihak PSS juga boleh menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis.
Jelasnya, melalui hebahan tersebut, muridmurid akan memperoleh maklumat tentang penggunaan perkhidmatan
pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

5
Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu mengadakan Program
Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid akan sentiasa
mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber. Program NILAM merupakan
satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha
berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan
buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid.
Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambah
bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan
yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’. Tempat
yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak
langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid.

Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik pengunjung
mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-minggu tertentu seperti
Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik. Pertandingan seperti Menulis Ulasan
Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan
di PSS. Hal ini membolehkan murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam buku-
buku daripada perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan
hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakanrakan yang mengambil bahagian. Secara tidak
langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat mengetahui kemudahan yang
disediakan di PSS. Mereka akan terus mengunjungi PSS pada masa akan datang untuk meminjam buku-buku di
PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat
sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini yang seiring dengan
mengikut peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid dan menarik mereka
untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses
pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan
lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkanlah masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu
dalih.

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum
dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan
damai malah saling menghormati.

Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip Rukun Negara.
Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan
pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.
Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh
pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.
Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang
kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha untuk
membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di
6
sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul, bermain dan sebagainya semasa melakukan
aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih
bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa
Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam
kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum
menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.

Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara
kita. Rumah terbuka bermaksud satu majlis perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan
tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika
merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam
kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat
resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling
menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita sedia menerima adat resam dan budaya
kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di negara kita.
Rakanrakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum tetapi
juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan
dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.

Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari
keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari
keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan
hubungan sesama kaum. Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan
berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu
bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap
ahli masyarakat dapat mengenali dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya
berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang
dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian
kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan
perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan,
semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan
hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian
Inang oleh masyarakat Melayu boleh dipersembahkan. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyarakat
Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India juga boleh dipertontonkan. Persembahan
kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara
ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan kita
dapat mengenali antara satu sama lain kata pepatahkerana tak kenal maka tak cinta.

Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan di negara kita kerana ia
menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam
memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan
Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun
Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

7
Punca-punca yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik

Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila
diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang”. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid
sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana mereka merupakan bakal
pemimpin negara pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah
negara. Hal ini bertepatan dengan ungkapan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Persoalannya,
apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?

Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan ketika
guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p). Sekiranya seseorang murid itu
menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap
masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan
murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran
di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa
mengemukakan soalan kepada guruguru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru mengajar.
Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan guru-guru tentang akademik, pasti meraih
kejayaan yang cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya
apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas berkayuh perahu
hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh
guru dan menghantar dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid juga turut melibatkan diri dalam
aktiviti bilik darjah secara proaktif bagi membantu mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan
berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor
utama kecemerlangan murid dalam akademik

Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang kepada
kecemerlangan murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu
dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program ini, murid-murid dapat memupuk minat mereka dalam subjek
tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa,
pihak sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu. Dengan
menghadiri bengkel menjawab soalan, murid-murid dapat mengetahui kelemahan mereka dalam sesuatu subjek
dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid dengan teknik menjawab soalan
peperiksaan sebenar dengan betul. Hal ini bertujuan untuk menjadikan murid-murid lebih berkeyakinan semasa
menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi
dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan membentuk keperibadian
yang luhur. Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga turut memberi motivasi
kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh. Jelasnya, program yang dianjurkan sekolah juga merupakan
salah satu faktor kecemerlangan murid dalam akademik.

Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang cemerlang
dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama berbincang tentang
sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-
rakan dalam kumpulan perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman murid
tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama rakan perbincangan juga, saya akan
membuat lebih banyak latihan terutamanya Matematik, Fizik, Prinsip Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan
rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan
berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-
sama. Kumpulan perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar. Muridmurid

8
yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia dan berkeyakinan ketika menghadapi
peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan guga merupakan antara faktor kejayaan
murid dalam akademik.

Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada
kedua-dua ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan seseorang murid itu rajin dan gigih berusaha
untuk mencapai kecemerlanagn. Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi
kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya
dorongan, motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menjadi
contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anakanak ke perpustakaan atau menghantar anak-anak ke
kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi
kepada diri mereka sendiri. Bak kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Salah satu cara
ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak
menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh
menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini,
anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu
bapa amat penting untuk anak-anak mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan murid dalam akademik. Untuk mencapai
kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah.
Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain
menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca
daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik
bergantung pada keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan
hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

9
BijakSPM is a free exam preparatory service provided to you by Cyberjaya University
College of Medical Sciences, a top-tier university (MQA Tier-5 / Excellent) with over a
decade of educational & research excellence. The university’s 3,500 students are enrolled
in over 20 undergraduate & postgraduate research programmes in medical sciences,
pharmacy, psychology, occupational safety and health, biomedical engineering and
more. Find out more about us and our 2018/19 scholarships at www.cybermed.edu.my

The questions you have downloaded and the answers provided have been
prepared by our partners, PastiSkor. The copyright of all materials is held by
PastiSkor. If you want to access more practice questions and get 2018
SPM tips which are 70-80% accurate, contact PastiSkor and order
their 2018 SPM Tips at www.pastiskor.com.my. Accurate
Tips will be provided 1 week before the 2018 SPM
examinations.

bijakspm.com

Copyright of questions and responsibilities for its accuracy is held by the content
develop, PastiSkor. Your use of this materials is subject to PastiSkor and the University’s
terms and conditions. The University shall not be held liable for any damages caused
by errors, omission or the use of the said materials.

Anda mungkin juga menyukai