Anda di halaman 1dari 13

Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018

Kaunseling Di Malaysia

PANDANGAN KAUNSELOR MENGENAI ISU PERUNDANGAN DAN ETIKA


KAUNSELING DI MALAYSIA
1
Liley Afzani binti Saidi & 2 Norsuraya binti Hassan

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia

Abstrak: Kajian ini berdasarkan kepada temubual yang dilakukan terhadap seorang
kaunselor dalam melihat pandangan kaunselor tersebut mengenai isu perundangan dan
etika kaunseling di Malaysia. Dalam temubual yang dijalankan turut mengulas pandangan
kaunselor mengenai dilema yang dialami oleh seorang kaunselor dalam mempraktikan kod
etika kaunselor. Dalam kontek kajian ini, kaunselor yang ditemubual merupakan kaunselor
berdaftar dan berkerja di salah sebuah jabatan kerajaan dan mempunyai cabarannya yang
tersendiri. Tujuan temubual ini dijalankan adalah melihat pandangan kaunselor terhadap isu
dan etika dan perundangan kaunseling di Malaysia, kedua adalah mengkaji dilema yang
dialami oleh seorang kaunselor dalam menjalankan sesi kaunseling bedasarkan kepada kod
etika kaunselor dan ketiga adalah melihat faktor-faktor belakunya dilema semasa kaunselor
menjalankan sesi kaunseling tersebut. Hasil daripada temubual yang dijalankan mendapati
terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dilema berlaku. Dilema merupakan sesuatu
perkara yang sering berlaku dikalangan kaunselor dalam menjalankan sesi kaunseling
namun dengan beberapa aspek kemahiran dan pengetahuan mampu membantu kaunselor
dalam mengatasi masalah dilema tersebut.

Kata Kunci: Perundangan dan etika kaunseling, dilema

1.0 PENGENALAN

Isu perundangan dan etika kaunselor di Malaysia merupakan salah satu isu yang jarang
diperkatakan oleh masyarakat namun perundangan dan etika kaunselor merupakan sesuatu
yang penting. Kaunselor merupakan satu profesion yang mula mengambil tempat dan
mendapat perhatian disebabkan oleh kepentingannya dalam menjaga serta membantu
masyarakat dalam isu-isu sosial semasa. Secara umumnya etika merupakan sesuatu yang
di istilah sebagai kontrak sosial. Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan etika sebagai
satu garis panduan yang digunakan bagi membantu seseorang ahli profesional dalam
menjalankan tugasnya megikut peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, dalam
membincangkan isu ini, kaunselor mememerlukan pemahaman yang mendalam mengenai
kepentingan etika dalam sesebuah proses kaunseling.

Di Malaysia, undang-undang dalam perlaksanaan etika kaunselor seperti yang


termaktub dalam Akta Kaunselor 580 dan Kod Etika Kaunselor masih lagi belum
dilaksanakan sepenuhnya. Namun sebagai seorang kaunselor, kedua-dua sumber rujukan
tersebut adalah penting dalam sesuatu isu penyelesaian masalah atau dilema yang dihadapi
oleh seorang kaunselor.
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

1.1 Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)

Akta Kaunselor 1998 atau lebih dikenali sebagai Akta 580 adalah suatu akta untuk
mengadakan peruntukan bagi pendaftaran dan amalan kaunselor dan bagi perkara-perkara
yang berkait dengannya (Akta Kaunselor 1998). Terdapat lapan bahagian penting dalam
Akta Kaunselor 1998 yang terdiri daripada:

BAHAGIAN I: Permulaan
BAHAGIAN II: Majlis Penasihat Kaunselor Malaysia
BAHAGIAN III: Lembaga Kaunselor
BAHAGIAN IV:Pendaftaran Kaunselor Dan Perakuan Amalan
BAHAGIAN V: Pertubuhan Perbadanan Menjalankan Amalan Sebagai Kaunselor
BAHAGIAN VI: Prosiding Tatatertib
BAHAGIAN VII: Kesalahan Dan Penalti
BAHAGIAN VIII: Pelbagai

Setiap bahagian membincangkan isu dan perkara yang berkait dengan profesion kaunseling
di Malaysia dari definisi kaunselor sehinggalah kuasa-kuasa yang termaktub dalam akta
kaunselor tersebut.

1.2 Kod Etika Kaunselor (Lembaga Kaunselor Malaysia)


Kod Etika Kaunselor yang dikeluarkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia adalah tertakluk
kepada kaunselor berdaftar di Malaysia. Secara umumnya, pada tahun 2011, Kod Etika
Kaunselor (Lembaga Kaunselor Malaysia) telah dibangunkan dan disesuaikan dengan
profesion kaunseling di Malaysia berasaskan kepada Code Of Ethics (American Counseling
Association). Secara keseluruhannya terdapat persamaan yang besar dalam kod etika
kaunseling di Malaysia dan juga Code of Ethics oleh American Counseling Association. Ini
membuktikan kod etika di mana-mana negara adalah mempunyai piawai yang lebih kurang
sama dan setara.
Terdapat 8 bahagian utama dalam kod etika kaunseling di Malaysia iaitu:

Bahagian A: Perhubungan Menolong


Bahagian B: Kerahsiaan, Komunikasi, Privilej, dan Privasi
Bahagian C: Tanggungjawab Professional
Bahagian D: Hubungan Dengan Profesional-Profesional Lain
Bahagian E: Penilaian, Penaksiran dan Pentafsiran
Bahagian F: Penyeliaan, Latihan, dan Pengajaran
Bahagian G: Penyelidikan dan Penerbitan
Bahagian H: Penyelesaian Isu-Isu Etika

Secara umumnya, terdapat lima tujuan utama dalam Kod Etika Kaunseling yang dibuat oleh
Lembaga Kaunselor Malaysia. Berdasarkan Kod Etika Kaunselor (2011), lima tujuan utama
tersebut adalah:

1. Menyediakan garis panduan bagi membantu kaunselor untuk bertindak secara


profesional
2. Mewujudkan prinsip-prinsip yang menentukan tingkahlaku beretika serta
amalan-amalan yang terbaik.
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

3. Membolehkan Lembaga Kaunselor (Malaysia) menjelaskan tanggungjawab


etika semua kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor (Malaysia)
4. Memberi sokongan kepada misi Lembaga Kaunselor (Malaysia)
5. Menjadi asas bagi memproses aduan dan pertanyaan mengenai etika yang
ditujukan kepada kaunselor.

2.0 LATAR BELAKANG MASALAH

Profesion sebagai seorang kaunselor merupakan satu dari bidang yang terdapat di Malaysia
dan merupakan bidang yang mempunyai kekuatan dari pelbagai aspek iaitu termasuk dari
pendekatan yang digunakan dalam menangani isu sosial yang dialami oleh seseorang
individu. Maka tidak hairanlah jika kepentingan memahami isu etika dan perundangan ini
sangat penting bagi seorang kaunselor. Menurut kajian yang dilakukan oleh Mohamad
Bokhari (2012) dalam kajian yang bertajuk Hubungan Antara Kefahaman, Kesedaran dan
Amalan Etika Kerahsiaan Dalam Kaunselor Malaysia memperjelaskan bahawa apabila etika
kerahsiaan yang dipegang oleh kaunselor menjadi dilema, maka isu mengenai pertimbangan
oleh kaunselor dalam membuat keputusan adalah berkait dengan etika dan perundangan
kaunseling dimana ianya penting untuk dikupas.

Berdasarkan kepada Cowles (1991), kesepakatan di kalangan kaunselor dalam


mewujudkan kefahaman dan kesedaran dalam sesuatu isu etika adalah perlu. Ini supaya
amalan kod etika tersebut dapat dipraktikkan bagi meningkatkan kemahiran dan kekuatan
dalam profesion kaunselor. Sehubungan dengan itu, kaunselor berperanan sangat penting
dalam memastikan segala isu yang berkait dengan etika dan perundangan kaunseling di
Malaysia mempunyai penjelasan yang sesuai dengan permasalah yang berlaku.

Selain daripada itu, isu seperti kaunselor di sekolah di Malaysia memberi gambaran
yang kurang baik tentang profesion kaunselor. Perkhidmatan kaunseling di sekolah-sekolah
di Malaysia bermula pada tahun 1968 dan pada masa tersebut perkhidmatan kaunseling
dikenali sebagai “Khidmat Bimbingan” dan pada tahun 1984 melalui surat pekeliling KP
5209/34 (4) telah mencadangkan agar semua sekolah rendah dan seklah menengah agar
melantik seorang guru bimbingan dan sejak itu guru-guru dilantik menjadi kaunselor di
sekolah. Namun isu tidak berhenti di situ, adakah guru-guru yang dilantik di sekolah
mempunyai kelayakan yang sesuai?. Menurut Johari Talib (2009), dalam kajiannya
menyatakan bahawa isu profesionalisme guru kaunseling di sekolah sering dipertikaikan
disebabkan isu kelayakan guru kaunseling yang menjalankan sesi tanpa kelayakan yang
khusus.

2.1 Pernyataan masalah

Menurut Nurul Hasyimah (2013) dalam artikelnya mengenai Amalan Etika Dalam Kalangan
Kaunselor Di Malaysia telah mengariskan beberapa isu mengenai etika dalam bidang
kaunseling. Menurut padangan beliau, amalan Kod Etika Kaunselor masih belum
dikuatkuasakan sepenuhnuya dimana kebanyakkan kaunselor masih menjalankan
perkhidmatan kaunseling berdasarkan kepada konsep pemahaman kaunselor itu sendiri iaitu
berdasarkan kepada pengalaman, pengkongsian diantara kaunselor, pengetahuan yang
sedia ada dan sebagainya. Keadaan ini menjadi satu masalah kepada kerjaya kaunselor di
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

Malaysia kerana ia akan menimbulkan ketidakselarasan dalam mengendalikan sesi


kaunseling. Walaupun terdapat Kod Etika Kaunselor dan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580),
tetapi ianya masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kekangan ahli berdaftar
yang mana sehingga 2013 hampir 4000 orang sahaja kaunselor bardaftar di bawah
Lembaga Kaunselor Malaysia (Komunikasi Personal, 2013).

Oleh yang demikian, pelbagai masalah atau kekangan yang harus dihadapi dalam
membincangkan isu mengenai etika dan perundangan dalam bidang kaunseling ini.
Sehubungan dengan itu, perhatian serius sepatutnya diberikan oleh para kaunselor bagi
mencapai kata sepakat dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai mengikut arus semasa
mengenai sesuatu dilema yang berkaitan dengan isu etika dan perundangan kaunseling ini.
Dalam kontek kajian ini, satu temubual telah dibuat bersama seorang kaunselor bagi
merungkai beberapa isu mengenai etika dan perundangan kaunselor di Malaysia, faktor
penyebabnya serta masalah dilema yang pernah dihadapi oleh kaunselor tersebut.

2.2 Objektif kajian

Antara objektif dalam kajian ini adalah:

i. Menilai pandangan kaunselor mengenai isu etika dan perundangan


kaunseling di Malaysia.
ii. Mengenalpasti dilema dalam isu etika dan perundangan yang dihadapi oleh
kaunselor dalam menjalankan sesi kaunseling.
iii. Mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan dilema dalam isu etika dan
perundangan yang dihadapi oleh kaunselor

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Dalam bahagian ini, ianya akan membincangkans secara khusus mengenai beberapa aspek
iaitu daripada tatacara atau prosedur kajian yang dilakukan, latar belakang kaunselor yang
ditemubual dan jenis temubual yang dilakukan. Secara umumnya, pada bahagian ini akan
mengfokuskan kepada kaedah yang digunakan dalam kajian ini serta pendekatan yang
digunakan dalam melaksanakan kajian ini secara khususnya.

3.1 Prosedur kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melalui temubual yang dijalankan
bersama seorang kaunselor berdaftar. Penggunaan teknik temubual adalah lebih efektif
kerana kelebihan kajian ini ialah ianya banyak menggunakan soalan-soalan terbuka yang
mana memerlukan kaunselor menjawab persoalan yang diberikan dengan lebih terperinci
dan mendalam mengenai isu perundangan dan kaunseling di Malaysia. Selain itu, kajian ini
juga merupakan kajian kes tunggal dan analisis yang akan dilakukan berdasarkan daripada
jawapan yang telah diberikan oleh kaunselor tersebut.

3.2 Konseptualisasi Kes


Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

Bahagian ini akan membincangkan mengenai latarbelakang kaunselor yang dipilih bagi
membincangkan isu-isu mengenai etika dan perundangan kauseling di Malaysia.

Maklumat Kaunselor

Kaunselor berumur 27 tahun dan sedang berkhidmat di salah sebuah jabatan


kerajaan iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri
Perlis yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Beliau
terdahulunya telah memulakan kerjaya di Universiti Malaysia Kelantan sebelum mula
berkhidmat di LPPKN yang kini sudah mencecah dua tahun. Kaunselor juga telah berdaftar
dengan Lembaga Kaunselor Malaysia sejurus bergraduasi dalam Ijazah Sarjana Muda
Kaunseling daripada Universiti Malaya pada tahun 2012. Beliau begitu bergiat aktif dalam
Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) semasa di peringkat universiti lagi. Bertugas
dalam bidang kaunseling keluarga dan remaja menjadikan bidang tersebut adalah satu
cabarannya di LPPKN dalam menangani isu perkahwinan serta isu kekeluarga.

3.3 Janis temubual

Dalam kajian ini, penggunaan teknik temubual digunakan bagi mendapatakan maklumat
daripada kaunselor tersebut. Penggunaan teknik temubual dilihat berkesan memandangkan
hanya seorang sahaja responden yang terlibat dalam kajian ini dan maklumat yang
diinginkan memerlukan penjelasan yang terperinci oleh kaunselor.

Jenis temubual yang digunakan ialah temu bual semi struktur. Ianya digunakan kerana
mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam mengumpulkan data melalui temubual. Schensul
at al. (1999) menyatakan bahawa penggunaan temubual semi struktur adalah yang terbaik
untuk meneroka dan menjelaskan faktor-faktor dan subfaktor-subfaktor. Oleh itu,
penggunaan teknik temubual semi struktur ini adalah dilihat sesuai bagi kajian ini.

4.0 DAPATAN KAJIAN

4.1 Etika dan perundangan perkhidmatan kaunseling di Malaysia

Berdasarkan temu bual yang dijalankan bersama kaunselor tersebut, beliau berpendapat
bahawa isu etika dan perundangan kaunseling ini adalah sangat luas. Jika dibandingkan
dengan negara-negara barat, Malaysia masih jauh ketinggalan dalam pelaksanaan perkara
ini. Di Malaysia, jarang-jarang sekali kita dengar atau mendapat liputan media mengenai
aduan kes-kes seperti salah laku kaunselor, masalah tatatertib dan etika, disaman serta
didakwa di mahkamah sedangkan ia merupakan salah satu hak klien untuk membuat
tindakan. Ini kerana rakyat Malaysia kurang pendedahan dan masih belum memahami
sedalamnya mengenai perkhidmatan kaunseling itu sendiri di Malaysia, inikan pula
memahami tentang etika dan perundangan kaunseling. Dalam kalangan kaunselor juga
sebenarnya ada yang masih kurang jelas dan tidak dapat membezakan antara etika dan
perundangan kaunseling itu sendiri.

Salah satu masalah utama dalam etika dan perundangan di Malaysia ini ialah isu
kaunselor berdaftar. Menurut direktori Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) sehingga tahun
2015, kaunselor yang berdaftar dengan LKM baru sahaja mencecah 6000 orang seluruh
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

Malaysia sedangkan kita tahu setiap tahun terdapat sejumlah besar graduan dari universiti
awam dan swasta tamat belajar sekurang-kurangnya ijazah pertama dalam jurusan
kaunseling. Ini membuktikan bahawa terdapat ramai lagi kaunselor di luar sana yang masih
tidak berdaftar. Mereka sepatutnya tahu dan jelas mengenai perkara ini kerana telah
didedahkan tentang etika dan perundangan kaunseling yang merupakan salah satu subjek
wajib semasa di universiti. Sebagai kaunselor yang bertanggungjawab seharusnya mereka
mendaftar dengan LKM sejurus selepas bergraduasi. Ini membuktikan kurangnya
kefahaman kaunselor tersebut dalam isu perundangan kaunseling seperti yang termaktub
dalam Akta 580.

Berdasarkan pemerhatian beliau juga, di Malaysia, ada sesetengah individu mengaku


dirinya sebagai kaunselor disebabkan mereka menjalankan sesi dan memberikan motivasi
kepada orang lain, tetapi apabila diselidik latarbelakang akademiknya, individu tersebut
bukanlah seorang kauselor dan tidak berkelayakan sama sekali. Ini jelas membuktikan
penggunaan perkataan “kaunselor” adalah sewenang-wenangnya oleh individu tersebut. Ini
juga dapat dilihat dari perspektif guru kaunseling yang dilantik tanpa latar belakang akademik
kaunseling untuk menjalankan sesi bersama pelajar. Ini amat bertentangan dengan akta
dan etika kaunselor.

Kaunselor sekolah yang sedia ada pula sewajarnya berdaftar dengan LKM bagi
membantu mereka berhadapan dengan pelbagai isu yang mungkin akan timbul kemudian
harinya. Contohnya kes yang melibatkan tuntutan ke atas kaunselor di mahkamah mungkin
sukar untuk dibantu oleh LKM sekiranya kaunselor tersebut tidak berdaftar. Dalam hal ini
peranan persatuan-persatuan kaunseling seperti Persatuan Kaunseling Malaysia
(PERKAMA) adalah penting untuk mempromosikan dan memberi kesedaran kepada guru-
guru kaunseling untuk berdaftar dengan LKM.

Isu etika dan perundangan ini tidak terkecuali dalam perkhidmatan awam di Malaysia
dimana jika dilihat jawatan yang satu ketika dahulunya digelar sebagai pegawai kaunseling
atau kaunselor, kini sudah dikenali sebagai pegawai psikologi. Dalam hal ini, bukan sahaja
individu yang berlatar belakangkan kaunseling sahaja yang boleh menjawat jawatan ini,
malahan individu dengan latar belakang psikologi dan kerja sosial juga boleh memohon. Isu
etika dan perundangan yang timbul di sini ialah apabila mereka diminta untk melakukan sesi
kaunseling, ianya akan menjadi masalah kerana mereka tiada pengalaman dan pendedahan
dalam melakukan sesi kaunseling. Malahan sebenarnya mereka tidak berkelayakkan untuk
menjalankan sesi kaunseling tersebut.

4.2 Dilema dalam isu etika dan perundangan yang dihadapi oleh kaunselor

Disebabkan pengalaman bekerja sebagai kaunselor baru sahaja mencecah dua tahun,
beliau masih tidak banyak berhadapan dengan isu-isu yang berkaitan etika dan
perundangan ini. Namun sebagi kaunselor baru, beliau tidak terlepas mengalami dilema
yang berlaku dalam dirinya sendiri, contohnya; dalam sesi yang beliau kurang mahir untuk
kendalikan dilapangan, beliau perlu selesaikan sendiri walaupun sukar untuk membuat
keputusan. Berbanding semasa praktikal sebagai pelajar dahulu yang mana beliau dibantu
oleh kaunselor terlatih.

Satu perkongsian oleh beliau ialah bila mana berhadapan dengan klien yang pernah
mendapat perkhidmatan dengan kaunselor lain. Klien mengadu tidak berpuas hati dengan
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

perkhidmatan kaunselor tersebut disebabkan isu-isu personal yang melibatkan kaunselor


dan klien tersebut. Dalam hal ini kaunselor tersebut telah memberikan nombor telefon
peribadi kepada klien yang memudahkan klien untuk akses kaunselor tersebut. Namun,
apabila kaunselor tersebut terlepas pandang atau tidak memberi maklumbalas apabila
dihubungi oleh klien, klien merasakan seolah-olah kaunselor tersebut tidak mengambil berat.
Di sini, beliau merasakan perlu untuk membetulkan persepsi negatif klien terhadap kaunselor
tersebut namun dalam masa yang sama beliau tidak bersetuju dengan tindakan kaunselor
tersebut memberikan no telefon peribadinya kepada klien tersebut.

Beliau juga pernah berhadapan dengan delima dalam membuat pertimbangan untuk
menerima klien yang dirujuk daripada majikannya atas faktor-faktor tertentu. Klien tersebut
mempunyai sejarah perubatan dengan profesional lain iaitu pernah mendapat rawatan pakar
psikiatris dan pernah mengambil ubatan tertentu. Dalam hal ini beliau telah menerima klien
tersebut, namun masih dalam pertimbangan untuk meneruskan sesi bersama klien tersebut
atau tidak. Dalam masa yang sama beliau cuba untuk menghubungi pakar psikiatris tersebut
untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang klien, namun sehingga kini, masih belum
mendapat maklum balas. Ini bagi memastikan bahawa klien tersebut masih lagi
mendapatkan rawatan dengan profesional lain ataupun tidak.

Isu pertimbangan juga sering dikaitkan dengan kerahsiaan. Beliau amat menitik
beratkan isu kerahsiaan dalam sesi kaunseling yang dijalankan. Dalam persetujuan
termaklum yang diberikan kepada klien, isu kerahsiaan telah diterangkan kepada klien
bahawa kaunselor tidak akan mendedahkan maklumat yang dikongsikan oleh klien kepada
pihak ketiga atau pihak berwajib melainkan ia melibatkan nyawa atau membahayakan klien
atau orang lain.

4.3 Faktor-faktor yang menyebabkan dilema dan penyelesaiannya

Menurut beliau, antara faktor-faktor yamg menyumbangkan kepada dilema seorang


kaunselor ialah bila mana kaunselor itu sendiri tidak memahami dengan jelas dan mendalam
tentang isu etika dan perundangan kaunseling ini. Ini menyulitkan keadaan mereka untuk
berhadapan dengan klien disebabkan kurang pengetahuan tentang cara pengurusan klien
apabila berhadapan sesuatu dilema. Selain itu, kaunselor juga mungkin kurang sumber
rujukan apabila berhadapan sabarang masalah pengurusan klien. Sumber rujukan yang
dimaksudkan di sini ialah rakan sejawat dan pakar-pakar kaunseling lain. Menurutnya,
sebagai manusia seseorang kaunselor tidak boleh menganggap dirinya sempurna dan betul
sepenuhnya. Adakalanya kita perlu mendapatkan maklumbalas/ pandangan/ pendapat
daripada rakan-rakan sejawat (peer supervision) dan pakar-pakar yang terlibat dalam
profesion kaunseling ini bagi membantu dalam menghadapi dilema. Disebabkan sesi
kaunseling adalah satu proses yang panjang, maka kaunselor harus menggunakan peluang
ini untuk mendapatkan maklumat daripada supervisor tentang isu dilema yang tidak boleh
diselesaikan seorang diri.

4.4 Peranan persatuan kaunseling di Malaysia dalam isu etika dan perundangan

Jika dilihat, akta dan etika kaunselor sudah sedia termaktub, namun masih belum
dikuatkuasakan sepenuhnya di Malaysia disebabkan ahli berdaftarnya masih tidak ramai.
Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) sememangnya memainkan peranan penting dalam isu
etika dan perundagan kaunseling di Malaysia. Selain itu, beberapa persatuan kaunseling
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

juga ditubuhkan untuk para kaunselor bagi membantu dalam menghadapi pelbagai isu etika
dan perundangan. Antaranya ialah Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) dan
Persatuan Kaunselor Berdaftar Malaysia.

Pada pendapat beliau, sumbangan PERKAMA dalam sejarah perkembangan


kaunseling adalah tidak dinafikan. Namun, keahlian PERKAMA adalah tidak eksklusif
kepada kaunselor sahaja kerana individu yang berlatarbelakangkan psikologi dan kerja
sosial juga boleh menyertai PERKAMA. Ini bermakna PERKAMA terdiri daripada ahli
bersekutu dan tidak terikat kepada satu profesion sahaja. Apabila wujudnya situasi ini,
adalah sukar bagi PERKAMA untuk mempertahan dan menegakkan sesuatu perkara
berkaitan etika dan perundangan untuk kaunselor itu sendiri. Maka mungkin dengan sebab
itu, wujudlah satu lagi persatuan iaitu Persatuan Kaunselor Berdaftar Malaysia.

Dengan penubuhan persatuan ini yang ahlinya hanya terdiri daripada kaunselor
berdaftar, diharapkan ahlinya akan terus meningkat supaya kekuatan sesuatu persatuan itu
dapat dilihat. Dengan itu, sesuatu perkara yang ingin diperjuangkan oleh para kaunselor
akan dapat diambil perhatian oleh pihak tertentu dengan serius. Ini dapat dilihat dalam
profesional lain seperti doktor dan peguam yang mempunyai ahli berdaftar yang ramai
dimana mereka begitu kuat dan mudah dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

Walaupun kaunselor juga adalah profesional, tetapi ahlinya berdaftarnya tidak ramai
dan ini menyebabkan perkhidmatan kaunseling ini adalah tidak sepopular perkhidmatan
doktor dan peguam. Jika diteliti, ini mungkin disebabkan faktor budaya Malaysia yang tidak
sama dengan barat. Kaunselor adalah satu profesion yang begitu membangun di barat
kerana apabila sesorang berhadapan dengan masalah seperti tertekan, mereka akan
berjumpa dengan kaunselor atau ahli terapi yang lain. Ini mungkin kerana penduduknya
tiada pegangan agama yang kuat dan budaya tertentu. Berbanding budaya dan agama
penduduk Malaysia yang akan mencari ahli agama seperti ustaz, ahli keluarga terdekat dan
kawan rapat sekiranya berhadapan masalah. Berjumpa dengan kaunselor adalah perkara
terakhir yang dilakukan, itupun jika masalah tersebut terlalu besar dan tidak boleh
diselesaikan sendiri.

4.5 Cadangan dan penambahbaikan

Beliau berpendapat bahawa adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan
tentang isu etika dan perundangan kaunseling dikalangan masyarakat dan kaunselor itu
sendiri. Tetapi pertamanya, pendidikan harus diberikan kepada kaunselor itu sendiri kerana
masih ada lagi kaunselor yang kurang jelas mengenai isu ini. Namun, sebagai seorang yang
profesional, kaunselor tidak hanya boleh berharap kepada LKM untuk memberi pendidikan
atau menganjurkan program berkaitan perundangan kaunseling ini sahaja. Kaunselor sendiri
seharusnya peka, bertanggungjawab dan berinisiatif dalam meningkatkan pengetahuan
tentang ilmu perundangan.

Beliau juga mencadangkan agar LKM berdiri sendiri walaupun bernaung di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Ini bagi memberi kuasa autoriti kepada
LKM dalam membuat sebarang tindakan atau keputusan tertentu seperti yang dilakukan oleh
badan profesional lain.
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

5. PERBINCANGAN

Kod etika dan perundangan sememangnya amat penting dalam dunia kaunseling. Kod etika
yang dibangunkan oleh sesebuah organisasi adalah bertujuan untuk memandu ahli
profesionalnya iaitu kaunselor dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Menurut Freeman (2000), kod etika merupakan panduan moral untuk mengawal diri, dan
mencerminkan nilai-nilai normatif sesuatu profesion. Perundangan pula menurut Foster
(1975), bertujuan untuk mengiktiraf, mendamaikan, dan membatasi persaingan tuntutan dan
kepentingan, selaras dengan nilai-nilai utama sesuatu tempat dan masa. Undang-undang
menyediakan beberapa jawapan yang pasti dan hampir setiap peraturan mempunyai
pengecualian tersendiri.

Dalam kajian ini didapati, walaupun terdapat perundangan dan etika yang melibatkan
kaunselor di Malaysia iaitu Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan Kod Etika Kaunselor
Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), ianya masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana
jumlah kaunselor berdaftar di Malaysia masih kurang. Jika dibandingkan dengan negara
barat seperti di negara-negara Britain, pelbagai badan kaunseling kebangsaan telah
ditubuhkan bagi menetapkan piawaian etika yang dilihat amat penting sebagai panduan
kepada ahlinya. Ini kerana kegagalan untuk bekerja dalam panduan yang ditetapkan akan
menimbulkan kekhuatiran mengenai amalan etika seseorang kaunselor, yang mana dalam
kes yang serius boleh membawa kepada perbicaraan tatatertib atau dibuang daripada
keahlian (Freeman, 2000). Disebabkan perkhidamatan kaunseling di negara barat adalah
popular dan sangat diperlukan, maka isu etika kauselor adalah sangat dititikberatkan jika
dibandingkan dengan Malaysia. Di sini dapat disimpulkan bahawa peranan ahli kaunseling
berdaftar adalah sangat penting bagi mempromosikan perkhidmatan kaunseling di Malaysia
umumnya dan dapat menguatkuasakan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) secara
keseluruhannya khususnya.

Justeru itu, sekiranya etika dan perundangan dalam kaunseling ini tidak dilaksanakan
dengan segera di Malaysia, maka para kaunselor akan mengalami dilema yang mungkin
akan menjejaskan perkhidmatan mereka terhadap klien. Menurut temubual dalam kajian ini
juga didapati masih terdapat sebilangan kaunselor yang kurang jelas antara etika dan
perundangan kaunseling ini. Kedua-dua undang-undang dan etika mempunyai kesan ke atas
hubungan antara kaunselor dan klien. Secara umumnya, undang-undang bersifat
menyokong ataupun neutral terhadap kod etika profesional dan piawaian tertentu. Kod etika
tidak bertujuan untuk menggantikan undang-undang, tetapi lebih kepada menjelaskan
undang-undang dan dasar yang sedia ada. Menurut Cottone & Tarvydas (2003), apabila
berlaku percanggahan antara etika dan undang-undang, ianya adalah sukar untuk
menyelesaikan perkara ini. Ini kerana kedua-dua paiwaian adalah luas dan terbuka kepada
interpertasi keadaan, jadi organisasi kaunseling perlu bekerjasama dengan badan
perundangan, badan kehakiman, dan ahli mereka sendiri untuk mendidik dan mencapai
piawaian yang lebih baik.

Masalah utama isu etika dan perundangan di Malaysia seperti dinyatakan oleh
kaunselor dalam kajian ini ialah mengenai status pendaftaran kaunselor dengan Lembaga
Kaunselor Malaysia (LKM). Seperti mana yang diketahui, dalam Akta Kaunselor 1998 (Akta
580) Bahagian IV, Seksyen 22 (1)(a) yang menyatakan bahawa kaunselor hendaklah
didaftarkan bermaksud, tiada seorang pun boleh mengamalkan atau menjalankan atau
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

mengendalikan, atau mengemukakan dirinya sebagai mengamalkan atau menjalankan atau


mengendalikan, amalan sebagai kaunselor atau bekerja sebagai kaunselor. Ini bermakna
kaunselor yang tidak berdaftar sepatutnya tidak boleh menjalankan sebarang sesi
kaunseling bersama klien. Sama juga keadaannya dengan individu yang sewenang-
wenangnya mengaku sebagai kaunselor, tetapi sebenarnya tiada kelayakan untuk
melakukan sesi kaunseling. Bahagian IV, Seksyen 22 (1)(b), Akta Kaunselor 1998 telah
memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh menggunakan gelaran “kaunselor
berdaftar” atau apa-apa gelaran dalam apa-apa bahasa yang mungkin semunasabahnya
ditafsirkan sebagai menunjukkan bahawa dia seorang kaunselor berdaftar. Denda tidak
melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun
atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kedua-dua salahlaku ini.

Berbalik kepada senario di Malaysia ini, sekiranya akta ini dilaksanakan sepenuhnya,
maka ramailah kaunselor/ individu di luar sana akan dikenakan tindakan undang-undang
disebabkan tidak berdaftar dengan LKM dan mengaku sebagai kaunselor tanpa sebarang
kelayakan yang sepatutnya. Langkah-langkah yang sewajarnya harus dilaksanakan oleh
LKM seperti memberi pendidikan atau menganjurkan program berkaitan perundangan
kaunseling ini bagi meningkatkan jumlah kaunselor berdaftar di Malaysia supaya akta ini
dapat dilaksanakan sepenuhnya suatu hari nanti kelak.

Namun, adalah menjadi tanggungjawab profesional bagi seorang kaunselor


meningkatkan pengetahuan tentang ilmu perundangan kaunseling ini dan bukan hanya
berharap kepada LKM sahaja. Mengikut Kod Etika Kaunselor Bahagian C.2.f (pendidikan
berterusan), kaunselor perlu sedar tentang pentingnya memperoleh dan mengekalkan
pendidikan berterusan mengenai maklumat saintifik dan profesional terkini bidang mereka.
Bahagian C.1 (pengetahuan tentang piawaian) juga menyatakan tanggungjawab kaunselor
untuk membaca, memahami dan mematuhi Kod Etika Lembaga Kaunselor Malaysia serta
undang-undang dan peraturan yang berkaitan. Bahagian H.1.a (pengetahuan) pula
menerangkan bahawa kauselor hendaklah memahami Kod Etika Lembaga Kaunselor
Malaysia dan kod etika lain yang boleh diguna pakai daripada organisasi profesional yang
lain di mana mereka menjadi ahli. Kekurangan pengetahuan atau salah faham mengenai
tanggungjawab etika bukan alasan pembelaan bagi suatu tuduhan tingkah laku yang tidak
beretika. Inisiatif daripada kaunselor itu sendiri sebenarnya memainkan peranan yang
penting dalam isu pendaftaran sesorang kaunselor dengan LKM.

Dalam kajian ini, masalah dilema yang dihadapi oleh kaunselor adalah mengenai
ketidak mahirannya dalam mengendalikan kes-kes tertentu memandangkan pengalaman
beliau bekerja sebagai kaunselor baru sahaja mencecah dua tahun. Dalam hal ini kaunselor
tersebut boleh mendapatkan konsultasi dengan rakan sejawat atau pakar kaunseling lain.
Tetapi kaunselor tersebut haruslah berpegang kepada Kod Etika Kaunselor Lembaga
Kaunselor Malaysia Bahagian B.8.C (pendedahan maklumat rahsia) dimana kaunselor
dilarang mendedahkan maklumat rahsia yang boleh membawa kepada identifikasi klien atau
individu lain, yang dengannya mempunyai hubungan profesional yang perlu dirahsiakan
melainkan beliau telah memperoleh persetujuan terlebih dahulu daripada individu tersebut.
Pendedahan maklumat hendaklah hanya setakat yang diperlukan bagi mencapai tujuan
konsultasi. Asas kepercayaan dalam hubungan kaunselor dengan klien ialah dengan
menjaga rahsia klien. Jika kaunselor dapat membina kepercayaan klien, maka prinsip etika
dalam kaunseling iaitu kesetiaan tidak akan dilanggar oleh sesorang kaunselor.
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

Dalam kajian ini, kaunselor pernah berhadapan dengan klien yang pernah mendapat
perkhidmatan dengan kaunselor lain dan mengadu tidak berpuas hati dengan perkhidmatan
kaunselor tersebut yang tidak memberi maklumbalas apabila dihubungi melaui talian
peribadi kaunselor tersebut. Perkara pertama yang kaunselor tersebut harus pastikan ialah
sama ada klien tersebut sudah tamat sesi ataupun sudah tidak menerima perkhidmatan
kaunseling dengan kaunselor terdahulu. Jika klien masih lagi menerima perkhidmatan
kaunselor tersebut, beliau harus memberikan perkhidmatan kaunseling pra-penamatan untuk
menamatkan sesuatu perhubungan menolong. (Kod Etika Kaunselor Lembaga Kaunselor
Malaysia Bahagian A.11.c. Penamatan yang sesuai). Dalam hal ini juga beliau berpendapat,
kaunselor tersebut tidak patut memberikan nombor telefon peribadinya kepada klien. Namun
beliau perlu sedar mengenai pendekatan berbeza dan tersendiri bagi setiap kaunselor dalam
setiap perkhidmatan kaunseling yang diberikan (Kod Etika Kaunselor Lembaga Kaunselor
Malaysia Bahagian D.1.a. Pendekatan berbeza).

Selain itu, kaunselor tersebut juga berhadapan dengan delima dalam membuat
pertimbangan untuk menerima klien yang mempunyai sejarah perubatan dengan pakar
psikiatrik dan masih mengambil ubatan tertentu. Walaupun klien mempunyai sejarah
penyakit mental, namun di sini kauselor harus mengamalkan salah satu prinsip etika dalam
kaunseling iaitu keadilan (justice) dimana setiap individu mempunyai hak untuk dilayan sama
rata. Permasalahan yang diutarakan oleh klien haruslah didengar secara baik dan
bersungguh-sungguh. Dalam hal ini juga, menurut Kod Etika Kaunselor Lembaga Kaunselor
Malaysia Bahagian A.3 (klien yang diberi perkhidmatan oleh profesional lain), kaunselor
hendaklah memohon kebenaran klien untk menghubungi profesional tersebut dan
memaklumkan kepada mereka tentang penglibatannya serta berusaha untuk mewujudkan
perhubungan dan kerjasama positif dengan profesional tersebut. Namun, jika kaunselor
merasakan tidak mampu memberikan bantuan profesional kepada klien, beliau hendaklah
membuat rujukan yang sesuai dari segi klinikal serta mencadangkan alternatif ini kepada
klien. Jika klien menolak cadangan rujukan tersebut, kaunselor seharusnya tidak
meneruskan perhubungan kaunseling dengan klien tersebut (Kod Etika Kaunselor Lembaga
Kaunselor Malaysia Bahagian A.11.b).

Seperti yang dibincangkan diatas, dalam menghadapi pelbagai dilema dalam dunia
kaunseling ini, sesorang kaunselor harus membuat pertimbangan etika dengan baik supaya
tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada klien berasaskan prinsip-prinsip etika
dalam kaunseling. Menurut Beauchamp & Childress (2008) terdapat 4 prinsip-prinsip etika
kaunseling yang utama iaitu (a) hormat terhadap autonomi individu; (b) membuat kebaikan
kepada klien; (c) keselamatan klien/ tidak memudaratkan klien; dan (d) keadilan. Thompson
(1990), telah menambah dua lagi prinsip-prinsip etika iaitu (e) kesetiaan dan (f) kepentingan
diri (kelayakan kaunselor kepada lima prinsip-prinsip tersebut). Prinsip-prisip etika ini
berperanan sebagai sebagai asas etika profesional yang mempunyai banyak kekuatan
tersendiri. Menurut Bond (2010), prinsip-prinsip etika ini bertindak sebagai kenderaan untuk
menyebarkan terminologi dan cara berhadapan masalah etika yang mengambil pendekatan
berintegrasi kepada banyak model etika kontemporari yang utama. Prinsip-prinsip ini juga
menyediakan kaedah untuk kaunselor memahami rasional sesuatu etika dan juga sebagai
kaedah mudah yang boleh digunakan dalam peraturan dan penghakiman.

Sebagai kesimpulan, etika dan perundangan dalam kaunseling sememangnya amat


penting sebagai panduan umum kepada kauselor sekiranya berhadapan dengan sebarang
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

delima. Menyelesaikan masalah dilema memerlukan pemikiran, pengetahuan, perasaan dan


mungkin juga memerlukan dorongan untuk membuat sesuatu keputusan yang tepat.
Penyelesaian dilema etika boleh dikatakan sebagai penyelesaian masalah secara umum dan
ianya sebenarnya merupakan satu proses dimana kaunselor boleh menjadi lebih
berkemahiran dalam menghadapi sesuatu isu. Dilema etika ini selalunya dikaitkan dengan
cabaran profesional atau peribadi, namun ianya boleh menjadi sumber pembelajaran yang
baru untuk kaunselor, apabila pembelajaran itu dikongsikan dengan profesion secara
keseluruhannya (Bond, 1997).
Pandangan Kaunselor Mengenai Isu Perundangan dan Etika 2018
Kaunseling Di Malaysia

RUJUKAN

Abdul Malek Abdul Rahman, Siti Zubaidah Jais & Nor Junaidah Mohd Isa. (2014).
Competency Level of the Counselor in Secondary School in Malaysia. International
Journal of Education and Research, Vol.2.

Beauchamp, T.L. & Childress, J.F. (2008). Principles of Biomedical Ethics (Sixth Edition).
New York: Oxford University Press.

Bond, T. (2010). Standards and Ethics for Counselling in Action (Third Edition). London:
Sage.
Bond, T. (1997). Therapists’ Dillemas as Stimuli to New Understanding and Practice.
London: Sage.

Code of Ethics (American Counseling Association) 2014.

Corey, G., Corey, M.S., & Callanan, P. (1998). Isues & Ethics in Helping Professions, 5th
Edition Mnterery. California: Cole Publising Company.

Cottone, R. R. & Tarvydas V. M. (2003). Ethical and Professional Issues in Counseling


(Second Edition). New Jersy: Merrill Prentice Hall.
Foster, H. M. (1975). The Conflict and Reconcilation of the Ethical Interests of Therapist and
Patient. Journal of Psychiatry and Law, 3 (1), 39-48.

Freeman, S. J. (2000). Ethics: An Introduction to Philosophy and Practice. Canada:


Wadsworth Thomson Learning.

Lembaga Kaunselor Malaysia. (2011). Kod Etika Kaunselor. Kuala Lumpur: Penerbit
Lembaga Kaunselor.

Lembaga Penyelidikan Undang-Undang. (2013). Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan
Peraturan-Peraturan. Selangor: International Law Book Services.

Noriah Mohd. Ishak, Zuria Mahmud & Amla Md. Salleh. (2003). Kesedaran Perkembangan
Hubungan Dual Di Kalangan Kaunselor: Satu Kajian Kes.

Thompson, A. (1990). A Guide to Ethical Practice in Psychotherapy. New York: John Wiley
and Sons.

Anda mungkin juga menyukai