Anda di halaman 1dari 5

SEJARAH DATUK KERAMAT!

2 KUBUR CETUS NAMA KAMPUNG DATUK KERAMAT


warga kota, nama Kampung Datuk Keramat memang
tidak asing lagi, bukan saja kerana ia antara kawasan
perkampungan Melayu terbesar di ibu negara, tetapi ia
juga adalah syurga makanan. Sebut saja makanan apa,
pasti dapat dijumpai di situ.
Begitu juga setiap kali kedatangan bulan Ramadan,
Kampung Datuk Keramat bertukar wajah menjadi pesta
makanan dengan ratusan gerai menjual pelbagai jenis
makanan tempatan terutamanya di kawasan Pasar Datuk
Keramat.
Dalam kemeriahannya sebagai syurga makanan, ramai
yang tidak tahu asal-usul nama penempatan ini. BH Plus
menyingkap maksud di sebalik nama perkampungan ini.
Penduduk lama Kampung Datuk Keramat, Mohd Ali Ridza
Abdul Latif, 54, berkata kawasan ini dahulunya dikenali
sebagai Kampung Tangga Cina.
"Ada dua versi nama Kampung Tanga Cina ini, Dulu,
kawasan ini adalah lombong bijih timah. Ramai kaum
Cina tinggal di kawasan itu dengan kerja sebagai
pelombong dan dari situlah timbul nama Kampung
Tangga Cina," katanya.
Cerita Mohd Ali Ridza, peristiwa hitam negara, 13 Mei,
mengubah pola penduduk di situ. Peristiwa itu
menyebabkan kaum Cina berpindah dan ia kemudiannya
diduduki orang Melayu.
Satu lagi versi asal-usul Kampung Tangga Cina dikatakan
berpunca daripada kehadiran beberapa orang India, di
situ, yang dipanggil Tanggaci. Bagaimanapun, nama itu
tidak kekal.
Kehadiran kubur `keramat' di penempatan itu
menyebabkan penduduk mula menggelar kawasan itu
sebagai Kampung Datuk Keramat.
"Ramai yang tidak tahu Kampung Datuk Keramat ini
diambil sempena dengan kehadiran sebuah kubur
keramat di sini. Kedudukan kubur itu terletak
bersebelahan dengan Pasar Keramat. Mengikut
ceritanya, kubur keramat itu sangat popular dan ramai
yang datang ke sini semata-mata untuk ke kubur itu.
"Pelbagai amalan khurafat dijalankan di situ kerana
mereka percaya ia keramat. Tidak kira bangsa, semua
datang minta hajat dan tidak kurang juga yang memuja.
Sebab itu bila orang tanya nak pergi mana, jawapan
mereka nak ke kampung Datuk Keramat. Jadi nama ini
melekat sehinggalah dipanggil Kampung Datuk Keramat.
Tapi siapa empunya kubur keramat itu tidak dapat
dipastikan," kata Mohd Ali Ridza.
Kubur `keramat' itu bagaimanapun, kata Mohd Ali Ridza,
kini sudah tiada. Ia dipindahkan oleh pihak tertentu atas
faktor tidak mahu ia `disalahgunakan' dan kawasan yang
menempatkan kubur itu dijadikan sebagai kawasan
perkuburan Islam.
Bercerita mengenai pembangunan Kampung Datuk
Keramat, beliau berkata, kawasan itu terkenal kerana
pasarnya, seperti Pasar Siti Khadijah di Kelantan.
"Pasar Datuk Keramat dikenali sebagai antara pasar
utama di Kuala Lumpur dan ia didominasi sepenuhnya
oleh orang Melayu. Dahulunya, kawasan pasar ini adalah
lombong. Kebanyakan kawasan Kampung Datuk Keramat
ini dulu adalah bekas lombong dan peniaga hanya
berniaga di tepi lombong ini tapi setelah lombong
ditutup dan ditimbus, barulah pasar Datuk Keramat
semakin besar.
"Pasar ini menjadi kebanggaan kepada penduduk di sini
dan menjadi tarikan utama Kampung Datuk Keramat,
tidak kira oleh pelancong dalam mahu pun luar negara,"
katanya.
BH Plus kemudiannya berusaha menjejaki kubur yang
dikatakan keramat itu walaupun penduduk sudah
memberitahu kubur itu tidak lagi wujud hari ini.
Beberapa penduduk yang ditemui di sekitar tanah
perkuburan Islam Datuk Keramat berkongsi kisah serupa
mengenai kewujudan kubur keramat itu.
Jamal Abdul Rashid, 43, yang telah hampir 20 tahun
menjadi penjaga tanah perkuburan ini menyatakan
sepanjang bekerja di situ, kubur keramat itu sudah tiada,
namun berdasarkan cerita orang tua, kubur keramat itu
dulu sangat dikagumi dan menjadi tumpuan orang ramai.
Katanya, ada seorang tua pernah bercerita kepadanya
mengenai kewujudan dua kubur keramat, satu kubur
yang dibaluti kain kuning dan satu lagi kubur dipercayai
kepunyaan seorang India Muslim, dengan sebuah rumah
kecil yang mempunyai kubah di tepinya.
"Kawasan tanah perkuburan ini dulu hutan dan ada dua
kubur keramat. Mengikut cerita yang disampaikan
kepada saya, kubur kepunyaan India Muslim itu setiap
minggu akan dijalankan upacara menyembelih kambing
sebelum dimasak dan dijamu kepada penduduk
setempat. Ramai orang akan datang mengunjungi
kawasan kubur ini dan ada yang berdoa serta meluahkan
hajat.
"Tidak dapat dipastikan ia kubur siapa kerana sepanjang
saya menjaga tanah perkuburan ini tiada waris yang
datang bertanya dan mencari kedua-dua kubur keramat
ini," katanya.
Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali
mengesahkan kewujudan dua kubur keramat itu.
Jelasnya, ketika kecil, beliau selalu bermain di kawasan
itu dan dapat melihat dengan jelas sebuah rumah kecil
yang mempunyai kubah terletak di sebelah kubur
berkenaan.
Beliau yang kini berusia 50-an berkata, kedudukan rumah
itu berada di dalam hutan dan dilindungi oleh pokok,
malah tidak ramai kanak-kanak sebayanya berani
bermain berdekatan rumah itu.
"Memang tidak dapat dinafikan, asal-usul nama
Kampung Datuk Keramat adalah disebabkan kewujudan
dua kubur keramat ini. Sudah menjadi kebiasaan orang
dulu memilih nama kawasan berdasarkan keunikan atau
perkara yang terjadi di sekitar," katanya.
Sumber: Berita Harian Online

Anda mungkin juga menyukai