Anda di halaman 1dari 3

Ternyata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan pengalaman cukup luar biasa buat rakyat

Malaysia, malah majoriti warga seluruh dunia.

Dipercayai, kadar perkahwinan, kelahiran dan perceraian boleh meningkat sewaktu musibah pandemik
ini. Justeru, kita tentunya boleh membayangkan senario mungkin sudah, sedang dan bakal berlaku di
tanah air.

Bagi negara membangun seperti Malaysia, tiga perubahan kadar itu mampu memberikan impak
signifikan kepada pengurusan sumber manusia dan produktiviti negara.

Wuhan di China yang menjadi pusat pertama penyebaran COVID-19 melaporkan peningkatan kes
perceraian dan keganasan rumah tangga selepas bermulanya serangan virus itu. Kes keganasan rumah
tangga pula dikatakan meningkat tiga kali ganda. Apakah manusia lebih mengganas berbanding virus?

Perintah berkurung dikuatkuasakan dikatakan menzahirkan perangai buruk sang suami. Antara rungutan
isteri, suami pengotor dan tidak membantu kerja di rumah, sebaliknya sibuk melayan gajet bersama
media sosial serta permainan digital.

Apakah pula rungutan suami? Wanita di tempat kerja dikatakan lebih anggun berbanding di rumah.

Susan Newman dalam Psychology Today terbitan bulan lalu memberikan kewajaran untuk
membandingkan apa yang bakal berlaku akibat COVID-19 ini dengan pengalaman musibah bencana yang
pernah dunia alami sebelum ini. Antaranya seperti wabak dan bencana diakibatkan manusia sendiri.

Sebuah kajian diterbitkan Journal of Family Psychology menunjukkan Taufan Hugo yang melanda Puerto
Rico, Virgin Islands dan Charleston di South Carolina pada 17 hingga 22 September 1989, meningkatkan
kadar perkahwinan, kelahiran serta perceraian.

Dalam kajian diterbitkan pada 2002 itu, Catherine L Cohan dan Steve W Cole menganalisis data
perkahwinan, kelahiran serta perceraian di South Carolina antara 1975 hingga 1997. Didapati wujud
peningkatan tekanan dialami individu dan pasangan, lalu menyumbang kepada fenomena itu.
Bagaimanapun, kita tidak pasti apakah dengan teknologi perhubungan digital kini dapat memberi kesan
berbeza terhadap semua pemboleh ubah ini.

Dengan cara sama, apakah gandingan PKP dan media sosial kini mampu menjadikan keadaan bertambah
baik seperti sebahagian kerja (yang kini boleh dilakukan dari rumah) dan proses pembelajaran masih
boleh diteruskan?

Kes suami bunuh isteri sewaktu PKP baru-baru ini diharap tidak menjadi sel barah yang bakal merebak.
Inisiatif seperti talian bantuan Womens Aid Organization (WAO) sewajarnya disokong dan dipuji, diiringi
sokongan rangsangan ekonomi pihak kerajaan dan bantuan kemanusiaan pihak individu serta
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kajian empirikal berterusan perlu dijalankan. Impak terhadap hubungan bukan sekadar membabitkan
soal individu khususnya suami, isteri dan anak, bahkan membawa kepada organisasi dan tempat kerja,
juga masyarakat dan negara.

Namun, persoalan perlu ditanya, benarkah masalah kewangan dan makanan menjadi punca utama
perceraian? Apakah benar kadar perkahwinan dan perceraian dapat memberikan kesan kepada
produktiviti dan inovasi?

Kalau benar kadar kelahiran meningkat, apakah akan ada kesan terhadap pendidikan dan pekerjaan
untuk tempoh beberapa tahun akan datang?

Banyak lagi persoalan atau hipotesis boleh kita senaraikan. Data membumi dan data raya penting untuk
proses analisis, sekali gus membantu dalam menampilkan pelan tindakan tepat.

Kita bukan sahaja perlu berganding bahu menangani COVID-19 yang semakin hari semakin mencatat
peningkatan, bahkan perlu juga sama-sama menangani impak pandemik dalam pelbagai bidang dan
skala.

Ahli akademik seluruh negara juga perlu mengambil kesempatan daripada dana khas untuk geran
penyelidikan keadaan pascaCOVID-19 yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Geran meliputi pelbagai disiplin ini walaupun bersifat low hang fruit kerana tempoh singkat enam bulan
sahaja, ia mestilah berimpak besar seperti dapat memberi tambah baik kepada dasar sedia ada.
Sebelum ini, sewaktu banjir besar melanda tanah air pada akhir 2014 dan awal 2015, sejumlah
penyelidikan dijalankan demi persediaan lebih baik pada masa akan datang dalam menangani musibah
bencana alam khususnya banjir.

Buat agensi kerajaan dan swasta juga institut pengajian tinggi (IPT), syarikat dan NGO, kerjasama serta
hubungan baik perlu disuburkan.

Jalan terbaik, tingkatkan kerjasama dan kurangkan sengketa, termasuk perbezaan fahaman politik. Kita
masih berada di medan perang, melawan ancaman pandemik COVID-19.

Buat pasangan suami isteri, moga PKP menjadi wadah berbulan madu dan bukannya 'bulan tak
bermadu'.

Susah senang kita harungi bersama, dengan pengakhiran yang baik. PKP wajar dipositifkan sebagai
'peluang memperkukuhkan perhubungan.'

Anda mungkin juga menyukai