Anda di halaman 1dari 8

Penggunaan alat-alat berfikir di dalam nota

1.0 Pengenalan

Penggunaan alat-alat berfikir ketika membuat nota merupakan salah satu cara yang
berkesan untuk memudahkan dan membantu proses seseorang belajar itu dengan lebih
baik. Dalam hal ini, alat-alat berfikir ialah alat yang dapat membantu mengasah kemahiran
berfikir kita, terutama sekali ketika kita belajar mengenai sesuatu topik atau isu yang baharu.
Kemahiran ini merupakan kemahiran yang penting kerana kita sedia maklum bahawa ketika
kita membaca, otak kita sentiasa memproses maklumat dan menilainya mengikut
pengetahuan dan pengalaman kita yang sedia ada. Penguasaan terhadap kemahiran ini
adalah amat penting lebih-lebih lagi mereka yang masih bergelar sebagai seorang pelajar.
Dengan adanya penggunaan alat-alat berfikir ini dalam nota kita, otak kita akan lebih
terangsang untuk memahami, menilai dan mengingati sesuatu maklumat yang baharu
tersebut dengan lebih baik.

1.2 Pengurusan grafik

Alat-alat berfikir perlu digunakan dengan bijak ketika membuat nota dan perlulah
bersesuaian dengan topik, tujuan serta bersesuaian dengan cara mereka mengingat nota
tersebut. Bagi mereka yang mementingkan visual dalam nota mereka, pengurusan grafik
merupakan salah satu daripada alat-alat berfikir yang boleh digunakan ketika membuat nota
kerana ia dikatakan mampu merangsang pelajar berfikir melalui bacaan visual. Hal ini
selaras dengan dapatan kajian daripada Mohd Yusof (2012) yang menyatakan bahawa
pengurusan grafik ataupun Grapic Organiser (GO) ini berupaya meningkatkan kefahaman
teks bacaan pelajar. Penggunaan pengurusan grafik ini melibatkan pola susunan yang dapat
menunjukkan hubungan antara maklumat-maklumat ataupun idea dengan lebih sistematik,
tersusun dan teratur dalam bentuk ilustrasi. Dalam pada itu, penggunaan pengurusan grafik
ketika membuat nota memerlukan kemahiran mengumpul dan menyusun maklumat dalam
bentuk gambar rajah iaitu pelajar perlu bijak mencari isi-isi penting ataupun idea utama di
dalam teks dan menterjemahkan isi tersurat dan tersirat kepada ayat yang lebih ringkas.
Secara tidak langsung, proses pemikiran akan berlaku kerana pelajar mula mengurus dan
menyusun cara mereka berfikir.

6
Pengurusan grafik mempunyai pelbagai jenis seperti membanding dan membeza,
meramal kesan dan akibat, mengesahkan sumber maklumat, membuat kategori,
menerangkan sebab dan sebagainya. Maka oleh sebab itu, pelajar perlu tahu menggunakan
pengurusan grafik ini sesuai dengan topik yang mereka pelajari. Contohnya, pelajar boleh
menggunakan pengurusan grafik jenis pengkelasan ketika membuat nota untuk mengenai
ciri-ciri haiwan, tumbuhan, kereta, jenis makanan dan sebagainya. Peluang untuk mereka
tertukar maklumat dan tersalah tafsir sesuatu benda tersebut adalah tipis kerana
penggunaan pengurusan grafik jenis pengkelasan ini membolehkan pelajar untuk menyusun
maklumat-maklumat yang penting di dalam teks yang kompleks tersebut dan menyusunnya
kembali di dalam rajah jaringan atau rajah Venn misalnya, yang boleh dilakukan oleh pelajar
ketika membuat nota mengikut kreativiti mereka masing-masing. Selalunya, pengurusan
grafik jenis ini digunakan ketika membuat nota-nota berkaitan dengan subjek sains seperti
biologi, kimia dan juga fizik yang mempunyai banyak fakta yang kompleks dan sukar
difahami oleh pelajar. Namun begitu dari sudut pandangan yang lain, pelajar perlu bijak
mengurus masa mereka dengan baik kerana menghasilkan nota dalam bentuk pengurusan
grafik memakan masa yang agak lama dan memerlukan ketelitian ketika mencari isi-isi di
dalam teks.

1.3 Lingkaran soalan

Selain daripada itu, alat-alat berfikir yang boleh digunakan di dalam nota boleh juga
dalam bentuk soalan. Penggunaan soalan lingkaran dalam nota akan membantu dalam
menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di dalam kalangan pelajar. Dalam hal
ini, soalan lingkaran merupakan salah satu daripada teknik menyoal aras tinggi yang
memerlukan pelajar untuk mengingati fakta, memahami isu dan masalah yang dinyatakan
serta berfikir menghubungkaitkan fakta dengan lebih luas. Lingkaran soalan diperkenalkan
oleh Christenbury dan Kelly pada tahun 1994 dan merupakan bentuk soalan yang
memberikan tumpuan kepada skop-skop tertentu yang apabila digabungkan, membentuk
soalan yang mampu meningkatkan kemahiran berfikir yang dapat dijadikan sebagai bahan
rangsangan. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat, memperkukuhkan kefahaman dan
menilai kebolehan pelajar dalam sesuatu topik tersebut.

7
Lingkaran soalan dapat digunakan oleh pelajar ketika membuat nota kerana soalan-soalan
tersebut dapat digunakan untuk membantu pelajar mengaitkan pengetahuan dan
pengalaman sedia ada mereka dengan sesuatu topik tersebut. Antara fokus skop untuk
lingkaran soalan ialah Perkara (P) yang merujuk kepada idea dan tema, contohnya
namakan lima jenis buah tanpa musim ?. Kedua ialah soalan yang melibatkan Individu (I)
yang merujuk kepada individu yang terlibat seperti soalan adakah anda suka buah-buahan
tempatan? Beri pendapat anda. Akhir sekali ialah Luar Individu (LI) iaitu masyarakat
kawasan, daerah mahupun negeri. Contoh soalan untuk skop ini ialah seperti beri sebab
mengapa Austalia mengeksport buah-buahan. Pelajar yang mampu mengemukakan soalan
dan memberikan jawapan yang tepat menunjukkan penguasaan terhadap kemahiran belajar
dan juga berfikir.

1.4 Peta Minda

Peta minda merupakan alat berfikir yang sering kita pakai dalam nota-nota kita dan salah
satu cara yang dipakai untuk meringkaskan maklumat di dalam PowerPoint untuk dibentang
di dalam kelas misalnya. Peta minda merupakan alat berfikir yang dicetuskan oleh Tony
Buzan dan beliau mendefinisikan peta minda sebagai lakaran grafik dengan tajuk atau isi
utama yang diletakkan di bahagian tengah manakala idea sampingan atau huraiannya pula
dikembangkan di sekelilingnya. Dalam hal ini, peta minda bertujuan untuk memudahkan
pelajar mencatat nota dengan lebih cepat dan ringkas di samping mengorganisasikan idea
dalam bentuk ilustrasi dan kata kunci. Peta minda jenis cabang dan jenis alir misalnya
membolehkan nota pelajar kelihatan lebih menarik di samping sangat berguna untuk
membantu pelajar mengimbas kembali nota-nota mereka dengan lebih efisien terutama
sekali ketika pelajar melakukan ulang kaji saat akhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
Pelajar boleh menggunakan peta minda dalam nota mereka dengan meletakkan isi utama di
tengah kertas dan meletakkan idea-idea sampingan di sekeliling bulatan tersebut. Bentuk
dan warna peta minda adalah mengikut kreativiti pelajar dan ia boleh melibatkan bentuk-
bentuk sesuai dengan keminatan mereka masing-masing. Kelemahan menggunakan peta
minda ialah murid sukar untuk memahami sesuatu konsep kerana nota pelajar hanya
berdasarkan kata-kata kunci yang ringkas . Oleh sebab itu, pelajar perlu bijak menggunakan
kata kunci yang sesuai serta memastikan peta minda mereka kemas agar tidak berserabut
dan mudah untuk mereka faham.

8
1.5 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, alat-alat, berfikir seperti peta minda, pengurusan grafik dan
lingkaran soalan sangat berguna dan sewajarnya diaplikasikan oleh semua pelajar ketika
membuat nota. Ia bukan sahaja memudahkan kita mengingati dan memahami sesuatu topik
itu dengan lebih baik tetapi bahkan juga membantu mengasah kemahiran berfikir kita.
Subjek yang memerlukan hafalan fakta yang banyak seperti subjek sejarah misalnya sangat
memerlukan daya ingatan pelajar yang kuat. Oleh sebab itu, pelajar perlu menggunakan
alat-alat berfikir yang dirasakan berkesan dengan gaya pembelajaran kendiri pelajar serta
sesuai dengan tujuan dan sesuatu topik tersebut.

9
Sumber rujukan

Chew Fong Peng , Zul Hazmi Hamad . (2018) . Kemahiran berfikir aras tinggi dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan bahasa Melayu melalui teknik penyoalan . Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu 8 : 1 -12 .

Khalid Mohamed Noor . (2002) . Belajar teknik belajar . Kuala Lumpur : PTS Publication And
Distibutor Sdn. Bhd.

Nachiappan, S., Julia, I. P., Abdullah, N., Sehgar, S. C., Suffian, S., & Sukri, N. A. (2019).
Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi oleh guru dalam pengajaran dan
pembelajaran di tadika. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, 8, 24-32.
Retrieved from https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPAK/article/view/3154

Rosinah Edinin . (2015) . Kemahiran Belajar . Selangor ; Pelangi Profesional Sdn. Bhd.

Syed Ismail Syed Mustapa , Ahmad Subki Miskon & Aliza Adnan . (2014) . Kemahiran
Belajar . Selangor Darul Ehsan : Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

Sabri Ahmad . (2003) . Kemahiran Belajar Berkesan . Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distibutions Sdn. Bhd.

Mohd Yusof . (2012) .  Minda Melayu global .  Penerbit UPSI, Tanjong Malim, Perak.

Wong Kiet Wah, Norlia Mat Esa, Tan Ai Lee & Ridza Ahmad Nizam . (2019) . Siri Pendidikan
Guru : Kemahiran Belajar . Selangor Darul Ehsan : Oxford Fajar Sdn. Bhd .

10
Lampiran

Contoh pengurusan grafik jenis pengkelasan

Contoh pengurusan grafik menerangkan sebab

11
Contoh pengurusan grafik mengesahkan sumber maklumat

Rajah Venn

Rajah jaringan

12
Peta minda jenis cabang

Peta minda jenis alir

Anda mungkin juga menyukai