Anda di halaman 1dari 6

Aku pencinta wanita.

Ya. Siapa tidak tahu lagu ini? Para remaja malah belia sibuk mensiulkannya. Tidak hairan. Bukan
setakat lagu ini. Setiap musim dan setiap tahun pasti ada lagu yang juaranya. Pasti ada artis
yang mempeloporinya. Bukan baru. Sejak era Televisyen warna, malah sejak peneganalan
televisyen hitam putih dan suasana sebuah radio satu kampong di tahun-tahun 60-an, 70-an awal
kemerdekaan tanah melayu, lagu-lagu cinta telah rancak berkumandang di seluruh Negara. Dari
zaman p ramlee sampai Dian Sastrowardoyo, kini Irwansyah, tema cinta akan bersemi
selamanya dalam arena seni Negara, dominan dalam masyarakat, sehingga diperdengar di kafe-
kafe, dalam bas, kereta peribadi, rumah-rumah, malah festival-festival, besar atau kecil. Nama
Asmawi Ani barangkali masih belum lenyap ditimpa tsunami zaman.

Cinta diperhebat. Sms on cinta. Iklan yang selalu mengisi iklan televisi. Ada apa dengan cinta
barangkali sudah dikira filem lama. Juga Cinta Kolestrol. Filem "Cinta" tajaan Shurah - yakin dan
suci -, sebuah kisah tentang kasih pun belum tentu filem terbaru. Kisah cinta artis mencintakan
lagi cinta. Mawi dan Ina adalah sebuah kubur cinta. Cinta zulaikha lain pula. Ruangan Hiburan
akhbar perdan Utusan Malaysia pun tidak terlepas soal artis dan cinta, apalagi lambakan tabloid
yang terbilang, walaupun mungkin tidak cemerlang. Belum berbicara soal cinta antarabangsa.

Malaysian Idol, Akademi Fantasia, dan sebilangan lagi program perdana Negara
menyemarakkan lagi bunga-bunga cinta. Keabadian Cinta, Menyemai Cinta Bersamamu, dan
pelbagai lirik cinta lagi. Budak-budak sekolah pun sejak kecil lagi diajar bercinta. Tentang Cinta
Kanak-kanak barangkali adalah tajuk tepat Tentang Bulan.

Iklan di mana-mana adalah iklan pasangan cinta. Setiap hari anda dapat melihat. Di kaca TV, di
papan iklan tepi jalan, di koc-koc tren, di mana-mana, iklan-iklan peragaan pasangan lelaki dan
wanita. Iklan-iklan syarikat telekomunikasi adalah bukti yang nyata.

Karnival-karnival dan konsert-konsert adalah perhimpunan umum dan tahunan pasangan-


pasangan cinta. Dari seluruh pelosok kota, mari kita berkumpul dan bersuka ria. Peduli apa,
dunia ini kita yang punya. Sampai pagi, macam tidak biasa. Kita anak muda. Gwen Stefani, layan
saja. Konsert merdeka, merdekakan diri kita dari segalanya! Dunia tanpa batas slogan kita.

Cinta adalah dunia kita. Cinta adalah media kita. Cinta adalah persekitaran kita, di mana-mana,
orang bertuturkannya, di mana-mana orang bercinta. Di mana-mana, setiap tika, para remaja
bernafaskan oksigen cinta, makan minum cinta bersama si dia, menghirup sup cinta, jus cinta,
membaca cinta, bermain cinta, berborak cinta, bercinta cinta, memandang dengan mata dan hati
cinta, serta nafsu diraja. Cinta adalah restu ibu bapa kita, asal tidak cemar nama keluarga. Cinta
adalah promosi perdana. Cinta adalah bi'ah (suasana) kita. Cinta adalah tarbiyah (pendidikan)
kita. Cinta adalah lagu siulan kita, cinta adalah filem tontonan kita, sardin "cinta" ada di pasaran
kita, cinta adalah makanan kita, cinta adalah wine dan beer yang kita mabuk kerananya.

Cinta dan cinta. Memenuhi jiwa. 24 Februari hari kita meraikannya, secara perdana. Di KLCC,
mall-mall, taman-taman, jalan-jalan, restoren-restoren, bahkan di kilang-kilang, di kampus
pengajian, di warung-warung dan di mana-mana. Kita hadiahkan bunga cinta. Kita makan malam
cinta, kita pasang lilin cinta, dan kita lena dalam penat cinta. Kita mimpikan cinta, mengigau cinta
dan angau cinta.

Bangun-bangun, "aku pencinta wanita" sudah bergema. Dunia telah asyik dalam cinta, hingga
"remaja bercinta" adalah biasa. Maaruf (yang terkenal). Siapa yang tidak bercinta, dia pelik
(gharib), ajaib. Mundur. Hina. Tiada kelas. Tidak laku. Tak cool. Ketinggalan zaman. Dan
sebagainya.

Dengan hebatnya tiupan taufan cinta, besarnya gelombang ombak cinta, melatanya pasangan-
pasangan panas cinta, lalu, semua orang pun mahu bercinta. Remaja bingkas. Berlumba.
Berduyun-duyun. See you d IPT. Fon genggam dan kecanggihan teknologi ICT, membantu
tumbuh segarnya cinta. Cinta temu fizikal dan cinta temu maya. Fon bordering. Sms sent. Buzz!!
Icon J ... mms. suburnya cinta, dibantu teknologi maya. Dari ladang maya kasih, tumbuh segar
cendawan cinta, selepas hujan propaganda massa media. Restoren-restoren cinta dipenuhi para
remaja, gadis muda mudi, memadu cinta dalam burger kea-ef-si, menghirup beer akar a&w,
membahagi pecahan tepung italia di pondok pizza, meleseri kaki lima puluh pasar-pasar mega,
bertenggek berdamping dalam gelap panggung, menjerit meraung seronok dalam koster
berpusing, berbasah kuyup dalam ombak pantai cinta, dan seribu dua puluh tiga keseronokan
apabila dua remaja lain jantina bersama.

Lalu, apa? Salahkah cinta? Bukankah kita dijadikan berlainan bangsa dan jantina, supaya saling
mengenal dan bercinta? Jangan hendaknya kita saling bergaduh dan huru hara sesama kita?
Cinta masa remaja, itu kan seperti satu fasa persediaan menghadapi hidup sebenar berumah
walaupun mungkin tiada tangga? Kalau saling tak mengenal, bagaimana mahu membina bahagia
di masa depan sana?

Ya, remaja. Kami pun pernah remaja, dan kami amat memahami jiwa remaja. Remaja memang
butuhkan (perlukan) cinta. Ya, cinta memang tidak pernah bersalah. Tidak pernah ada salahnya
pada cinta. Setiap orang membutuhkannya. Maka, tika engkau sudah membutuhkannya, wahai
remaja, bercintalah kamu dengan cinta yang benar dan sebenar. Iaitu kahwinlah! Kerana inilah
satu-satunya jalan pembuka tirai cinta yang benar dan menjanjikan kehidupan paling bahagia.

Tapi, kami tahu, bukan sedikit dari kalian yang terkejut, apabila kami menganjurkan kepada
kalian "Kahwinlah!". Ya, kami tahu kalian masih belum bersedia. Masih terlalu awal kata kalian.
Belum bersedia, boleh di"sedia"kan. Bersedialah mula sekarang. Masih terlalu awal? Itu kata
kalian tika belum kahwin. Sesudah kahwin, kami seperti yakin bahawa kalian akan mengubah
jawapan, malah dengan penyesalan, "kenapa aku tidak kahwin lebih awal?", dan baru kalian tahu
bahawa ia bukan masih awal, tapi telah lewat untuk kalian kahwin. Tapi, telah lewat tidak
bermakna kalian memperlewatkan lagi, kerana "alang-alang" sudah terlewat. Tapi, justeru,
kerana telah terlewatlah, kalian perlu bersegera, secepatnya. Seperti kalian telah terlewat ke
kuliah, bukanlah patutnya kalian lewat-lewatkan lagi, atau tidak pergi terus (ie tidak kahwin
langsung), tapi justeru kalian berlari, bersegera, ke kuliah (ie kepada perkahwinan) yang bakal
menjanjikan kebahagiaan damaian tenang hidup masa depan.

Telah tiba masanya. Kalian membutuhkan cinta. Cinta dari seseorang yang istimewa. Yang lain
jantina. Yang akan memenuhi keperluan. Sosiologis, biologis, psikologis dan lain-lainnya. Maka,
berkahwinlah, apabila kalian telah mampu. Kenapa kalian tidak berani untuk mencari cinta yang
halal? Tapi, berani kalian mencuba-cuba, mencari cinta yang haram? Yang bukan milik kalian.
Kalian mengambilnya, walaupun si dia mungkin suka (ie redha), tapi bagaimana dengan si Dia?
Anda telah melewati batas-Nya? Tidakkah kalian takut pada Allah untuk mencari cinta yang
belum dihalalkan pada anda. Cinta tetap cinta. Sebelum atau selepas kahwin, ia tetap cinta.
Yang berbeza, hanya dosa dan pahala. Saham neraka atau pelaburan syurga. Anda diberi
pilihan untuk memilihnya. Maka, kahwinlah!
Apalah yang ada kurangnya pada perkahwinan? Ia penghancur sebuah keseronokan? Ia
pengakhir masa bujang? Ia penamat masa keremajaan? Ia pengikat kebebasan? Ia
mengeluarkan kita dari medan keseronokan dosa dan hawa? Itulah racun-racun syaitan. Yang
mahu memperpanjangkan tempoh bujang, tempoh keseorangan, tempoh kesepian, tempoh
kesengsaraan, membuka jalan-jalan noda, sedang kalian telah membutuhkan hadirnya cinta,
terdampingnya seseorang secara sah, halal dan aman.

Perkahwinan, adalah sebuah penyelesaian kepada masalah berpanjangan remaja yang


memerlukan teman. Ia adalah sebuah keperluan. Ia adalah pintu keselamatan. Ia mengumpulkan
pahala dan menjauhkan dosa. Ia mematangkan fikiran. Ia membahagiakan. Ia adalah sumber
ketenangan, kestabilan, kesejahteraan. Berkahwinlah! Kalian yang telah berkemampuan.

Betapa ramai kalian yang telah membutuh dan menginginkan, serta mencita-citakan sebuah
kehidupan lengkap perkahwinan yang membahagiakan, tetapi belum berkemampuan. Berdoalah
supaya Allah mempermudahkan! Berusahalah mempersediakan segala kelengkapan.
Persediaan dalaman dan luaran. Ilmu dan iman, financial, material dan lain-lain.

Kalian yang belum berkemampuan!

Bersabarlah dan jagalah diri dari terjerumus ke lembah larangan dan kehinaan. Berpuasa dan
jaga pandangan mata, adalah dua kunci utama, yang akan banyak menyelamatkan jiwa, dan
iman.

Janganlah cuba mendekati yang belum halal buat kalian, baik orangnya atau perbuatan.
Sekalipun, ia (terutama ‘orangnya') akan menjadi halal pada masa depan, tapi sekarang ia
belum. Belum halal, dan belum masanya. Ia belum milik kalian. Sang lelaki, janganlah kalian
mendekati si perempuan. Sekalipun, ia akan jadi milik kalian, di masa depan. Kerana sekarang,
ia masih haram. Ia belum milik kalian. Tidak ada alas an. masa depan tidak akan pernah
menghalalkan masa sekarang. Perkahwinan dan bukan perkahwinan adalah perbezaan.
Sekalipun, kalian telah mengikat janji setia akan melangsungkan perkahwinan, janji setia adalah
janji setia. Janji setia bukanlah perkahwinan. Janji setia tetap tidak menghalalkan apa yang
haram. Hanya perkahwinan, jalan syarie yang bisa menghalalkan.

Kalian yang belum berkemampuan dan belum berikat janji setiaan!

Janganlah kalian saling berdekatan dengan alasan, mahu saling berkenalan, supaya serasi dan
bisa mengikat persetiaan. Yang haram tetap haram dan yang halal hanyalah yang telah jelas
halalnya. Kebahagiaan adalah milik Allah. Kebahagiaan masa depan, Dia yang anugerahkan.
Siapa yang dekat dengan-Nya, beriman pada-Nya, patuh pada arahan-Nya, akan dikurniakan
kebahagiaan perkahwinan. Bagaimana kalian mahu dapatkan kebahagiaan masa depan yang
dimilik Tuhan itu, jika kalian awal-awal lagi telah tidak patuh pada-Nya? Mahukah kalian
memberikan sesuatu milik kalian kepada seseorang yang tidak mahu mengikut kata kalian, tidak
mahu patuh pada arahan kalian. Kebahagiaan bukanlah dicari dengan keserasian sebelum
perkahwinan. Pembentuk kebahagiaan masa depan bukanlah banyaknya perjumpaan antara
bakal pasangan atau kerapnya pertemuan atau kebersamaan sebelum perkahwinan. Pembentuk
kebahagiaan masa depan bukanlah acapnya perbualan, perkongsian, senda gurau dan intim
mesra sebelum perkahwinan, tetapi penjamin kebahagiaan masa depan adalah bersihnya masa
sebelum kahwin dari dosa-dosa dan laku yang haram. Penjamin kebahagiaan masa depan
adalah ketaqwaan kepada Allah pada masa sebelum kahwin, dengan menjaga halal haram
perhubungan, dan menjauhi maksiat perjantinaan. Makin banyak perbualan, perkongsian, senda
gurau dan intim mesra sebelum perkahwinan, makin sedikitlah yang berbaki untuk selepas
perkahwinan. Manis telah disepah awal-awal, madu telah dihisap sebelum masa, maka tinggallah
tawar dan hambar sahaja apabila masa yang sepatutnya telah tiba. Allah pun tidak mahu lagi
menambahkan bahagia pada hamba-Nya yang telah awal-awal gelojoh, tamak dan derhaka
pada-Nya. Kerana itu, tidak hairan kita melihat dalam ummah, manis dan gemilang pasangan
sebelum perkahwinan, tapi bercerai berai setelah disatukan. Pelikkan? Padahal, setelah
disatukan (dengan halal lah) justeru semakin padu keserasian, perpaduan, kemanisan, dan
kegemilangan kebersamaan. Pokoknya, kerana melanggar arahan Tuhan, nikmat dunia lagi akan
kehilangan.

Kalian yang belum berkahwin!

Jauhilah perhubungan dua jantina sebelum kahwin. Sedemikian banyak kemanisan yang dikecap
antara hubungan dua jantina sebelum kahwin, sedemikian banyaklah kemanisan yang akan
ditarik Allah sesudah di alam perkahwinan. Malanglah! Betapa manisnya masa cinta sebelum
kahwin, hanya pahit dan sepah yang tinggal selepas kahwin, semua madunya telah dihisap
dengan rakus dan tamak sebelum kahwin.

Kalian yang belum berkahwin!


Jauhilah perhubungan dua jantina sebelum kahwin. Ia hanya tipu daya yang menipu anda di
depan mata. Sebelum kahwin, kedua-duanya baik-baik dan manis saja, kerana kedua-duanya
pula adalah pelakon terbaik dan sanggup berkorban apa saja untuk mendapatkan apa yang
dicita. Setelah didapat (berkahwin), hilanglah segala yang dilakonkan, hilanglah madu, manis dan
baik-baik, yang tinggal dan timbul hanya yang sebenar, yang tawar, hambar. Tiada lagi
pengorbanan dan kesanggupan yang tinggi. Kebersamaan seolah tidak beerti dan tidak manis
lagi. Bahagia telah pergi. Yang ada hanya sengsara, akibat keterpaksaan bersama, kerana
kehidupan telah dibina, putra-putri telah berusia, perpisahan hanya akan mengundang lebih
besar bala, dan malu dalam masyarakat. Lalu, hiduplah, bersama walau tidak sehaluan, tidak
bahagia. Inilah denda, azab, sengsara dunia, kerana melampaui hak Allah sebelum perkahwinan
masa remaja.

Kalian yang belum berkahwin!

Jauhilah perhubungan dua jantina sebelum kahwin. Jauhilah dari suka bersama-sama sekalipun
untuk tidak berbuat apa-apa, jauhilah dari bersama walaupun bukan di tempat gelap gelita,
jauhilah dari sentiasa bersama walau dalam terangnya cahaya, jauhilah dari sentiasa bersama
walau hanya sekadar untuk berehat-rehat dan berhibur saja. Kerana, kebersamaan yang tidak
ada apa-apa adalah kebersamaan di depan manusia, dalam terang cahaya. Tapi kebersamaan
akan mengukuhkan "kebersamaan", dan di ujung-ujungnya akan menjadikan dua raga yang
berbeza berpadu dalam raga yang "sama". Kebersamaan akan mengukuhkan kebersamaan, dan
akan menuntut kebersamaan sehingga ia menjadi tabiat yang sukar dipisahkan, sehingga ia
menjadi satu ketagihan untuk bersamaan, padahal belum kahwin, sedang manusia tidak sentiasa
ada bersama kita, manusia tidak akan sentiasa di depan kita, terang akan tiba waktu gelap pula,
sedang kebersamaan dengan ketagihannya akan terus bersama, dan apa lagi kalau sudah
gelap, dan orang sudah tiada, kebersamaan akan memadukan manusia menjadi paduan yang
sama. Dan syaitan akan meloncat ronta gembira!

Lelaki yang belum berkahwin!

Pasti saudara pernah mendengar ungkapan "dari mata jatuh ke hati". Ya, memang dari mata
akan jatuh ke hati kerana mata adalah pancaindera yang menerima sumber atau input data. Hati
adalah pemproses yang akan menentukan nilaiannya. Saudara memilih dan membeli barang di
pasaran setelah melihat, memerhati dan telah jatuh hati. Ya, apabila saudara melihat saudari
dengan mata, ia akan jua dinilai oleh hati. Baik buruknya. Cantik kurangnya. Mata dan hati,
pancaindera dan organ adalah ciptaan Tuhan yang suci. Tapi punya peranan yang bisa dipositifi
atau dinegatifi, tergantung kepada nakhoda si pengemudi diri. Maka, saudara, jagalah
pandangan mata! Supaya hanya terpandang dan memandang yang baik-baik saja dan yang
mendatangkan kebaikan saja. Kerana boleh jadi, sesuatu itu baik, tetapi tidak akan
mendatangkan kebaikan, bahkan menambah keburukan, dosa dan noda jika dipersalahguna.
Kecantikan pada wajah si putri itu baik, dan elok sekali, untuk kemantapan rumahtangga
berkeluarga. Tapi, awas, kecantikan yang bukan atau belum milik saudara itu berbahaya untuk
dipandang-pandang lama, diulang-ulang pandang, ditenung-tenung dengan penuh rasa,
kononnya menjiwai kecantikan makhluk ciptaan Yang Esa. Ya, memang indah ciptaan makhluk
Yang Esa itu, tapi apakah saudara telah punya autoriti untuk menikmatinya. Kalau bukan yang
saudara punya, tentu tidak boleh. Menceroboh namanya. Mengambil hak oang itu, mencuri.
Mahu jadikan ia, hak anda, berkahwinlah!

Lelaki yang belum berkahwin!

Jagalah pandangan mata. Jangan biarkan ia terlepas liar, tambatlah pada tali taqwa
berpelunggulkan iman. Janganlah biarkan pandang mata anda hinggap pada badan-badan
manusia yang tidak bertutup, janganlah ia melihat pada manusia yang pakainya tak ubah seperti
pembalut nangka, janganlah membiarkan ia melihat secara lutsinar pandangan pada objek-objek
yang tidak sepatutnya, janganlah ia dibenarkan menikmati pemandangan bukit bukau dan lurah
cerun yang tidak halal baginya, janganlah ia jatuh bertentangan lama mata antara dua jantina,
kelak mengalir arus-arus syaitan yang berlari sepantas panahan, membawa virus bayang-
bayangan dan ingatan, yang akan menjelma pada masa-masa depan, masa keseorangan, masa
berangan-angan, masa khayalan, masa kesepian, kelak nanti mendorong kemaksiatan.

Perempuan yang belum berkahwin! Juga.

Jagalah pandangan mata. Kerana mata saudari itu adalah kuasa yang dipinjamkan-Nya. Kuasa
tarik yang maha kuat. Yang maha tajam. Bisa menembus benteng kekuatan iman sang lelaki.
Kuasa tusukan panahan yang maha bisa hingga membuatkan orang tersiksa dan ketagih untuk
melihatnya lagi. Andai tidak bisa melihat lagi, ia terus tersiksa, dan merana, dan terus
menyimpan cita-cita dan ia susuli dengan usaha hingga bisa dua mata dari lain jantina itu bisa
bertentang lagi. Padahal, pada pertentangan itu tidak ada lain kecuali panahan syaitan dan
murka Allah saja. Awas. Jagalah pandangan matamu sang putri, demi menjaga kesaliman iman
saudaramu seagama tapi berlainan jantina, sang lelaki. Jagalah pandangan matamu, kerana
engkau tidak buta. Dan dia yang melihat juga tidak buta. Dan bagaimana sekiranya kamu
dijadikan Allah buta? Tidakkah kamu bersyukur dengan ketidakbutaan kamu? Mengapa mahu
lagi kamu derhaka pada perintah aturan-Nya?

Buat putri,

Jagalah kemuliaan jiwa dan ragamu. Pada dirimu itu tidak ada lain hanya kemuliaan. Rupa
wajah, paras potongan, bentuk ciptaan, dan aurat adalah kemuliaan yang Allah jadikan padamu,
untuk menguji orang yang beriman, kamu dan manusia lain. Maka, kemuliaan itu, peliharalah,
jagalah, lindungi ia, tutupilah, jangan dedah-dedahkan, kelak terkena kotoran, tercalar oleh
sentuhan haram lagi terlarang, kelak diguris orang, kelak disambar, diterkam sang pemandang,
pengintai, pemerhati, yang memandang dan menyimpan, cita-cita memiliki dan menguasai.

Duhai putri,

Labuh-labuhkanlah. Jangan singkat-singkatkan. Labuhkanlah hijab (tudung kepala). Jangan


singkat-singkatkan. Biar sampai menutupi bentuk-bentuk badanmu. Biar sampai menutupi
dadamu, dari depan, dan sisi. Labuhkanlah jilbab (pakaian badan), dan longgar-longgarkanlah.
Biar ia melepasi, paras yang menjadi sensitivity. Janganlah sekadar mengambil nama, asalkan
pakai saja. Pakailah kerana tujuannya. Tujuannya untuk menutupi, untuk menghalang dari
dipandangi, maka, tutupilah selayaknya, sesempurnanya. Janganlah telah ditutupi semuanya,
tapi seperti pembalut nangka, kulitnya tidak nampak, tapi bulat lepernya semua orang tahu,
bentuknya! Bentuknya! Jagalah bentuknya, supaya bentuknya pun orang tidak tahu. Supaya
bentuknya pun tidak melemparkan kamu, dan melemparkan orang yang memandangnya kea pi
yang menyala. Bentuk adalah satu kuasa, bentuk adalah amanah Allah padamu supaya dijaga,
bentuk adalah satu bentuk ujian kepada kita. Maka, bentukmu, jagalah!

Putri, janganlah berlunak manja, dengan lain jantina. Pada suaramu ada aura, ada aurat, dan
ada kuasa, ada gravity, dan tarikan lunak manja. Apalagi, kalau aurat fizikal sudah tidak terjaga,
atau tidak sempurna tutupnya, lebih parah dan bahaya. Tetapi, jika aurat fizikal sudah dilitup
syumul semuanya, pun suara masih kena dijaga, kerana ia bisa jadi bahaya, apabila dilunak
manja, dilemak lentukkan lengguknya, ditambah bunga bahasa, yang segar dan wangi pula,
lebah mana tidak teruja? Lebah itu nampaknya bergaya, terbang ke sini sana, riang ria, tapi
awas! Lebah itu berbahaya. Madu diserapnya, dan manusia pun disengatnya. Jagalah suara,
jagalah bahasa, dan intonasinya. Kalau pun dia sang lebah berjaya mengawal kehendaknya, tapi
siapa yang bisa menidakkan dosa, apabila ia telah terlaksana, (ie apabila suara telah dibicarakan
dengan lemak manja lunak menggoda).

Bukan kerana Tuhan tidak menyayangi, bukan kerana Dia tidak Adil, lalu Dia menetapkan
bermacam-macam ketidakbolehan, halangan, larangan, ikatan, kesempitan padamu, sang putri!
Bukan! Bukan! Justeru Dia menyayangi saudarilah, dia menyediakan system pengurusan diri
saudari dengan sedemikian aturan, standard, dan prosedur, yang komprehensif, efektif, supaya
saudari selamat, jiwa dan raga (selamat jiwa dari dosa, selamat raga dari bahaya). Putri, apabila
keluar dari rumahmu, tahanlah dirimu dengan kesabaran dari berhias. Badanmu itu sendiri sudah
satu perhiasan yang sangat cantik, yang bisa menarik manusia, tiada siapa yang bisa
menafikannya. Apalagi jika saudari tambahi dengan perhiasan luaran. Bertambahlah tarikan.
Sedang Tuhan tidak mengkehendaki saudari dari mentertarikkan orang, supaya jauh dari maksiat
dan ketidakselamatan. Maka, tahanlah diri dari berhias! Pada wajah, pada badan dan pada
pakaian. Allah itu memang Maha Cantik dan Menyukai kecantikan. Tapi, berpada-padalah
dengan kecantikan dan biarlah ia menempati keperluan. Berpakailah sekadar kemas, tidak
comot, tapi bukan sampai berlebihan dengan hiasan, wangian, warna-warna ranggi dan garang,
memikatkan, sehingga mentertarik setiap mata yang terpandang, atau memandang.
Sembunyikanlah dulu perhiasan, biar manusia tidak tahu tapi Tuhan Maha Tahu. Dan bunyi-
bunyian, dari mata rantaian, yang mengelilingi dan melingkari tangan-tangan, atau kaki-kakian,
locengan dan hentakan dari sepatu, senyapkanlah.

Tuhan Maha Tahu, bahawa engkau tidak bisa mematikan nafsu, kehendak dan ingin yang mahu,
menunjukkan bahawa engkau adalah makhluk yang hebat, cantik, dan menarik. Engkau
mahukan perhatian, dipandang, dan diberi pujian. Engkau mahu menunjukkan, engkau adalah
sebaik-baik perhiasan. Engkau mahu berhias-hiasan, bercantik-cantikan, berwangi-wangian,
menarik dan menawan dalam pandangan, kerana itu semua karateristik idaman, karakteristik
syurga yang diharap balasan, maka bernikahlah! Ia menghubungkan manusia. Ia mendamaikan
jiwa. Ia menukarkan dosa kepada pahala. Ia menghalalkan yang haram. Ia membenarkan yang
dilarang. Ia tempat kepuasan. Ia tempat untuk berhias-hiasan, bercantik-cantikan, bersenang-
senang seronokan, tempat untuk mempamerkan segala kehebatan, ia adalah hak anda yang
telah dihalalkan. Kelak, berhiaslah sehias-hias dan sepuas-puasnya, dalam lingkungan kamar,
dan dalam rumah anda, dan peragakanlah, pertontonkanlah kepada si dia yang telah halal pada
anda.

Berkahwinlah! Belum mampu? Bercita-cita, bersedia, dan berusahalah! Sedang menunggu


masa, bersabarlah dan berpuasa! Sesungguhnya ia benteng. Dan menjaga kehormatan diri, dari
noda dan dosa. Jauhi supaya tidak terhampiri, kerana apabila sudah hampir, tidak dapat lagi lari,
syaitan telah mengelilingi. Sucikanlah diri. Berdoa dan minta diampuni. Berdoa dan minta
dipeliharai, oleh Allah sendiri. Berdoalah, dan minta dipandui. Berdoalah, supaya cepat dan
selamat diijabkabuli. Dan berdoalah, supaya bahagia yang menanti.

Berdoalah, kerana Dia Maha Mendengar, dekat dan mengkabulkan.

Berdoalah, dengan takut (dosa-dosa yang lepas) dan harap (diampuni).

Anda mungkin juga menyukai