Anda di halaman 1dari 3

Seringkali kita mengeluh dan berasa sedih kenapa Allah selalu menangguhkan

permintaan kita.

Pernahkah kita terfikir tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya?

Kita sering saja menangguhkan segala suruhan Allah. Allah tidak menciptakan
manusia dengan sia-sia. Kita wajib mentaati dan patuh segala suruhan-Nya.

Antara tujuan dan tanggungjawab kita sebagai hamba adalah untuk mengabdikan
diri kepada Allah, menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang
dilarang serta memakmurkan bumi Allah berdasarkan syariatNya.

Salah satu kewajipan kita terhadap Allah SWT adalah dengan menunaikan solat
pada awal waktu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi mengenai amalan paling utama ialah solat
diawal waktu.

Nabi SAW pernah ditanya, "Amalan apakah yang paling utama?" Baginda
menjawab: "Solat pada awal waktu." (Hadis Riwayat Tirmidzi No: 155)

Seperti yang kita tahu, banyak kelebihan dan keistimewaan bagi hamba-Nya yang
menunaikan solat di awal waktu.

Ada yang merungkai dari segi saintifik, meditasi dan kesihatan.

Tertarik dengan apa yang dikongsi seorang blogger, Nurisa Omar. Contohnya, pada
waktu Subuh, ia berkait rapat dan sangat mempengaruhi sistem metabolisme dalam
badan.

Ini diterangkan bahawa alam berada dalam spektrum warna biru muda yang
bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan
penawar, rezeki dan komunikasi.

Sebab itu hadis untuk berpagi-pagian sentiasa dikongsi oleh pakar motivasi.

Rasulullah SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan
keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan
keberuntungan." (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

Manakala waktu Zuhur pula, spektrum pada waktu ini berkait rapat dengan frekuensi
perut dan hati di mana ia berhubung dengan sistem penghadaman.

Seterusnya waktu Asar, ia dinyatakan frekuensi ketika ini berkait dengan sistem
yang ada pada prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Dengan solat Asar pada awal waktu akan memberi kesan yang baik kepada organ
kesuburan.
Selain itu, kelebihan solat awal untuk waktu Maghrib ada dijelaskan kaitan dengan
unsur keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang. Di mana waktu ini, spektrum
warna menghampiri frekuensi jin dan iblis iaitu cahaya merah (infra-red).

Dinasihatkan juga kepada musafir untuk berhenti solat terlebih dahulu dan tidak
meneruskan perjalanan kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan terutama pada
pandangan mata.

Rungkaian untuk waktu Isyak pula ada keistimewaan dari segi sistem kawalan otak
di mana frekuensi pada waktu ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian.

Ini bertepatan dengan hadis Sahih al-Bukhari (5970) yang bermaksud, "Apakah


amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab "Solat pada
waktunya."

Rasa tertarik dan terpanggil dengan kisah yang dikongsikan oleh pendakwah,
Ustazah Asma' Harun dalam kuliahnya mengenai seorang hamba Allah iaitu seorang
pembantu rumah kepada sahabatnya yang bersiap sedia untuk solat, mengambil
wuduk setengah jam sebelum masuknya waktu azan.

Selepas mendengar kisah ini, kita dapat rasakan satu aura yang sangat berbeza. Ia
satu tamparan yang hebat untuk kita muhasabah.

Kita selalu rasa hebat dan megah dengan apa yang kita ada. Kita rasa lebih
berkuasa dengan jawatan apa yang kita pegang dan berapa besarnya gaji bulanan
kita.

Kita riak dengan memiliki banyak kereta dan rumah, kita rasa kita sudah cukup
bagus dengan siapa kita, kita rasa pongah dan angkuh dengan tingginya jawatan
kita, kita merasa tinggi diri dengan apa yang kita miliki.

Sehinggakan kita rasa rugi untuk meninggalkan sebentar urusan dunia.

Sesungguhnya rugi menjadi orang yang angkuh seperti merak. Ini dijelaskan dalam
Al-Quran: "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-
laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di
antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa." (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).

Sebenarnya kita lupa, kita milik-Nya, di mana semua ini adalah pinjaman sementara
dan ia milik Allah SWT.

Tapi, dari kisah ini, betapa membuka mata kita, hubungan kita dengan Allah
terletaknya pada tingginya takwa kepada Pencipta kita.

Sedangkan pembantu rumah ini menjaga hubungan dengan Allah SWT, betapa
kasih dan cintanya dia terhadap Allah SWT.

Di sini menunjukkan beza hubungan kita dengan Allah SWT.


Pernahkah dalam seharian kesibukan tugas kita, kita tanya diri kita? Dalam setahun
berapa kali kita solat sejurus selesainya azan? Dalam sebulan, berapa kali kita solat
di awal waktu?

Belum lagi ditanya, khusyukkah solat kita? Pernahkah kita muhasabah status
pencapaian KPI dalam solat kita?

Jom amalkan dan didik diri untuk solat diawal waktu.

Dengan solat pada awal waktu, kita akan berasa waktu dan masa itu lebih lama,
lapang dan tenang daripada biasa kerna terdapatnya barakah.

Muat turun aplikasi solat untuk menghantar notifikasi azan atau waktu solat supaya
tidak leka dengan tugasan kerja.

Tutup komputer atau berhenti serta-merta bila azan berkumandang dan terus
bersiap sedia dengan mengambil wuduk.

Jadikan setiap waktu solat sebagai temu janji yang paling eksklusif dan dating kita
dengan Pencipta yang dinanti-nanti.

Ini kerana Allah lah majikan Teragung. Sentiasa berada dalam kumpulan yang suka
mengingatkan satu sama lain untuk sentiasa mengajak untuk kita bersolat seusai
azan berkumandang.

Seeloknya terus menuju masjid atau surau untuk menunaikan solat secara
berjemaah. Banyak keistimewaan dan kelebihan dalam menunaikan solat berjemaah
antaranya adalah kita akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda, "Solat
berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali
ganda)." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terlepas dari azab api neraka dan terhindar jadi seorang munafik,
mendapat perlindungan dari Allah pada hari Kiamat, dinaikkan darjat di sisi Allah
SWT, diampunkan dosa, mendapat jaminan syurga, disediakan hidangan di syurga,
mendapat cahaya pada hari kiamat dan pahala seperti menunaikan haji.

Sesiapa yang ingin doanya dimakbulkan segera oleh Allah SWT, solat dengan
segera.

Lebih cepat kita tunaikan hak Allah, lebih cepat Allah akan makbulkan hajat kita.

Jadikan semua rezeki dan kurniaan Allah kepada kita itu sebagai pemangkin untuk
kita jadi lebih berdisiplin.

Bentuk diri dengan solat pada awal waktu. Tinggalkan sementara urusan dunia, dan
tunaikan tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta.

Anda mungkin juga menyukai