Anda di halaman 1dari 16

KESULTANAN MELAYU: DI SEKITAR PERSOALAN

TAKHTA KERAJAAN, 1445-1945

Oleh
Abdullah Zakaria bin Ghazali
Jabatan Sejarah
Universiti Malaya

Pendahuluan
Persoalan takhta kerajaan adalah salah satu aspek yang tidak kurang menariknya dalam
perkembangan sejarah kesultanan Melayu di Tanah Melayu. Sepanjang 500 tahun, 1445
hingga 1945, berlaku pada tahun-tahun tertentu rebutan takhta kerajaan. Dalam rebutan
tersebut, ia melibatkan kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Selain itu persaingan ini
boleh dibahagikan kepada dua. Pertama Persaingan Dengan Perang dan keduanya
Persaingan Tanpa Perang. Kedua-dua bentuk persaingan ini melibatkan sokongan atau
campur tangan negeri tempatan, kuasa jiran dan asing. Dengan berdasarkan kerangka di atas,
percubaan dibuat untuk menghuraikan persoalan takhta kerajaan sepanjang tahun 1445
hingga 1945. Dalam hal ini beberapa buah negeri yang berkaitan diberi perhatian.

Tinjauan Sebab Cetus Persaingan


Seringkali dinyatakan yang ramainya kerabat diraja dan sistem penggantian yang
longgar menyebabkan berlakunya persaingan rebutan takhta kerajaan. Memang tidak
dinafikan dari masa ke semasa jumlah kerabat diraja bertambah ramai. Namun ini bukanlah
faktor asas kepada berlaku rebutan takhta kerajaan; kerana bakal menduduki takhta kerajaan
telah pun dipilih dan dilantik sebelum Sultan atau Yang Dipertuan mangkat: atau kadangkala
Raja atau Sultan telah pun dilantik. Lazimnya calon ini memakai gelaran Raja Muda atau
Tengku Mahkota atau Yang Dipertuan Muda. Gelaran ini pula tergantung kepada negeri-
negeri tertentu. Begitu juga dengan sistem penggantian, sama ada negeri itu mempunyai
Undang- Undang Tubuh atau tidak, penggantian dalam kesultanan berdasarkan adat dan ciri-
ciri tertentu. Dengan perkataan lain, setiap kesultanan mempunyai adat penggantian,
walaupun tidak mempunyai Undang-Undang Tubuh. Negeri pertama mempunyai Undang-
Undang Tubuh ialah Johor (1895) dan diikuti oleh Terengganu (1911). Pada lazimnya,
putera sulung sultan, sama ada anak gahara atau tidak, dengan persetujuan pembesar akan
dipilih dan dilantik sebagai bakal sultan. Sekiranya putera sulong ini tidak layak, biasanya
bisu, buta, gila atau berkelakuan menyalahi hukum syarak jawatan itu akan jatuh kepada
putera berikutnya, mengikut susunan. Raja Muda atau Tengku Mahkota atau Yang
Dipertuan Muda akan diisytiharkan sebagai sultan sebelum jenazah sultan dimakamkan.
Sistem penggantian ini jelas, namun terdapat kerabat diraja yang mendakwa dirinya
layak dan berhak menyebabkan mereka mencabar sultan dan menuntut takhta kerajaan.
Pencabar ini pula mendapat sokongan daripada pembesar negeri atau kadangkala mendapat
sokongan daripada negeri tempatan, jiran atau kuasa asing. Dalam pada itu terdapat juga
rancangan yang dilakukan oleh pembesar untuk menjatuhkan sultan. Misalnya Bendahara
Tun Abdul Jalil di Johor (1699) dan Menteri Besar Dato' Jaya Perkasa Che Da Omar bin
Mahmud di Terengganu (1945). Namun begitu terdapat perbezaan di sini, Bendahara Tun
Abdul Jalil setelah berjaya merancang membunuh Sultan Mahmud menduduki takhta
kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah lV; menakala Dato' Jaya
Perkasa Che Da Omar bersama ahli Majlis Negeri melantik kerabat diraja, sebagai sultan.
Setelah kehadiran British di Tanah Melayu, mereka pula terlibat memilih dan
mengesahkan calon yang pada pandangan mereka memenuhi kepentingan mereka. Dalam
penentuan calon dan perlantikan sultan ini, British melanggari adat penggantian kesultanan.
Sepanjang penglibatan British ini, calon yang mereka sokong mendapat kejayaan. Selain
British, Siam juga terlibat dalam persaingan rebutan takhta di Tanah Melayu; misalnya di
Kelantan.

Persoalan Takhta Dengan Perang

Melaka
Apabila Sultan Muhammad Syah Melaka mangkat pada tahun 1445, puteranya dengan
puteri Rokan, Raja Ibrahim dilantik sebagai sultan Melaka memakai gelaran Sultan Abu
Syahid. Namun begitu kuasa pentadbiran Melaka dikendalikan oleh Raja Rokan, sepupu
bonda Sultan Abu Syahid. Keadaan ini menimbulkan kebencian pembesar Melaka. Raja
Rokan kemudiannya menghalau Raja Kasim, putera Sultan Muhammad dengan Tun Wati
dari istana. Raja Kasim membawa diri dan menjadi nelayan. Perbuatan Raja Rokan ini
menyebabkan timbulnya pakatan membunuh Raja Rokan. Pakatan Raja Kasim dan Penghulu
Bendahari Seri Nara Diraja (Tun Ali, saudara Tun Wati, bonda Raja Kasim) mendapat
sokongan daripada Bendahara Melaka dan orang ramai. Serangan dilancarkan ke atas Raja
Rokan dan baginda dibunuh. Sebelum mangkat, Raja Rokan menikam Sultan Abu Syahid
yang ad
a di sisinya. Setelah Sultan Abu Syahid mangkat takhta kerajaan Melaka diduduki oleh Raja
Kasim dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Syah.1

Kedah
Setakat maklumat yang ada, pada tahun 1681, berlaku perselisihan rebutan takhta
kerajaan di Kedah di antara dua bersaudara, Dato' Padang Seri Jana dengan Sultan Dhiauddin
Mukarram Shah l (1661-1688). Dato' Padang Seri Jana mendapatkan bantuan Bugis.
Sementara itu cuba mendapatkan bantuan Belanda. Oleh kerana Belanda enggan memberi
bantuan, percubaan Dato' Padang Seri Jana gagal.2
Kemudiannya pada tahun 1687, Tunku Ngah Putera (putera Raja Juang Tawa dengan
Tunku Safura Negara), yang meninggalkan Kedah ke Sulawesi kerana merajuk tidak dilantik
sebagai bakal sultan Kedah, bersama angkatan Bugis menyerang Kedah. Serangan ini dapat
diatasi oleh Sultan Dhiauddin Mukarram Shah l. Ketua angkatan Bugis meninggal dunia
dalam pertempuran. Dengan itu Tunku Ngah Putera berundur ke Beruas, Kelang dan
akhirnya ke Jeram, Selangor. Beliau menetap dan berkahwin di sini.
Persoalan takhta krajaan Kedah berlaku semula pada tahun 1720-an. Perselisihan dan
tercetusnya peperangan kali ini berlaku di antara Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778)
dengan saudaranya Raja Nambang. Sultan Muhammad Jiwa dengan bantuan Opu Bugis lima
bersaudara (Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng
Kemasi) berjaya mengekalkan Sultan Muhammad Jiwa di atas takhta kerajaan Kedah. Raja
Nambang yang dikalahkan mendapatkan bantuan Raja Kechil Siak. Raja Kechil bersama
pengikutnya orang Minangkabau datang ke Kedah. Dengan itu Sultan Muhammad Jiwa
sekali lagi memohon bantuan Bugis. Pertempuran berlaku di antara angkatan Bugis dengan
angkatan Minangkabau. Walaupun Daeng Parani terkorban dalam perang ini, tetapi Raja
Kechil dikalahkan dan Sultan Muhammad Jiwa kekal di atas takhta kerajaan. Dengan itu
Sultan Muhammad Jiwa membayar pendahuluan 3 bahara ringgit (satu bahara bersamaan 400
paun) daripada 13 bahara yang dijanjikan kepada orang Bugis kerana membantu baginda.3
Pada tahun 1760 Raja Nambang datang menyerang Kedah sekali lagi untuk
mendapatkan takhta kerajaan tetapi dia gagal. Raja Nambang kemudiannya menetap di
Perak dalam keadaan miskin.4 Begitu juga apabila Sultan Muhammad Jiwa melantik
puteranya, Tunku Abdullah sebagai bakal Sultan (Raja Muda), putera baginda yang lain,
Tunku Long Putera dan Tunku Anjang tidak puas hati. Kedua-duanya membantu angkatan
Bugis di bawah pimpinan Raja Haji menyerang Kedah pada tahun 1770. Bugis menyerang
Kedah, dikaitkan dengan tuntutan 12 bahara ringgit yang belum dibayar oleh Sultan Kedah.
Tunku Long Putera dan Tunku Anjang gagal kerana angkatan Bugis tidak mencapai
kejayaan. Setelah gagal mendapatkan bantuan Belanda, Tunku Long Putera dan Tunku
Anjang menetap di Bernam. Percubaan merampas takhta kerajaan diteruskan oleh putera
Tunku Long Putera; Tunku Unga Bendang dan Tunku Bisnu. Rancangan mereka gagal,
kerana kedua-duanya ditangkap oleh Tunku Abdullah (Raja Muda) dan dijatuhkan hukuman
mati.5

Kelantan
Pada kurun ke-18, sehingga tahun 1721 keluarga diraja Jembal memerintah Kelantan
berpusat di Jembal. Apabila Raja Omar mangkat pada tahun 1721, takhta kerajaan Kelantan
diduduki oleh menantu baginda Long Bahar atau Tuan Besar yang berasal daripada keluarga
bangsawan Patani. Dengan ini takhta kerajaan Kelantan diduduki oleh keluarga bangsawan
Patani. Long Bahar dan Tuan Sulong datang ke Kelantan di masa pemerintahan Raja Omar.
Ketika berada di Kelantan Long Bahar berkahwin dengan Raja Pah, puteri Raja Omar,
tinggal di Jembal. Manakala Tuan Sulong berkahwin dengan Cik Biru, anak Penghulu
Kampung Laut dan tinggal di Kubang Labu. Apabila Long Bahar mangkat, takhta kerajaan
Kelantan diduduki pula oleh Long Sulaiman, putera baginda dengan isteri di Patani. Long
Sulaiman pula dibunuh oleh menantunya sendiri Raja Legeh, Long Deraman. Long
Deraman yang berkuasa ke atas Kelantan tidak melantik putera Long Sulaiman, Long Yunus
sebagai pengganti. Sebaliknya melantik Long Muhammad anak Tuan Sulong sebagai Raja
Kelantan dan berpusat di Kota Kubang Labu. Walaupun perpindahan teraju pemerintahan,
tetapi masih daripada keluarga yang sama. Begitu juga apabila Long Muhammad mangkat,
Long Deraman melantik pula Long Pandak, saudara Long Muhammad sebagai Raja
Kelantan. Di sini menunjukkan kekuasaan dan kewibawaan Long Deraman ke atas Kelantan.
Kekuasaan dan kewibawaan Long Deraman berakhir, apabila baginda mangkat dan
Long Yunus berjaya mengalahkan Long Pandak serta menduduki takhta kerajaan Kelantan
pada tahun 1776. Long Yunus berjaya menduduki takhta kerajaan Kelantan kerana bantuan
Sultan Mansur l Terengganu dan Long Ghaffar dari Reman. Penglibatan Sultan Mansur l
Terengganu dalam politik Kelantan dikaitkan dengan dua perkara. Sabungan ayam di
Terengganu dan perkahwinan Long Yunus dengan anak saudaranya, Tuan Jumat binti Ku
Tana Wangsa. Seorang panglima Terengganu datang ke Kelantan mencari ayam sabungan
untuk bertanding dengan ayam Bugis berjumpa dengan Long Yunus dan Long Ghaffar di
rumah Mandor Mis, Padang Garung, Kota Bharu. Long Ghaffar yang mempunyai ayam
sabungan 'Bakas Beracun' bersetuju datang ke Terenganu. Dalam sabungan ini ayam Long
Ghafar berjaya mengalahkan ayam sabungan Bugis. Peristiwa ini cuba menyatakan yang
Terengganu terhutang budi kepada Long Ghaffar, sahabat Long Yunus. Dengan itu apabila
Long Yunus menyatakan hasrat mengambil alih teraju pemerintahan Kelantan, Sultan
Mansur l memberi bantuan. Long Yunus berjaya mengalahkan Long Pandak dan menduduki
takhta kerajaan Kelantan. Long Ghaffar dilantik sebagai Engku Maharaja Perdana Menteri,
berkuasa ke atas kawasan dari Sungai Pasir Tumbuh sampai ke sempadan Kelantan-
Terengganu.6
Dalam sumber lain menyatakan selepas Long Sulaiman mangkat dibunuh oleh Long
Deraman, Long Yunus mengundurkan diri ke Terengganu; menetap di Bukit Datu,
kemudiannya berpindah ke Losong. Kemudiannya beliau berkahwin Tuan Jumat, anak Ku
Tana Wangsa. Wujudnya hubungan kekeluargaan ini memberi peluang Long Yunus
meminta bantuan saudara-saudara isterinya, Tun Tahir Temenggung, Engku Muda, Tun
Jamal dan Tun Sulaiman mengadap Sultan Mansur I supaya menyatakan hasratnya untuk
mendapatkan semula takhta kerajaan Kelantan. Permintaan Long Yunus Long Yunus
diperkenankan oleh Sultan Mansur I. Bantuan pertama Terengganu berjaya meletakkan
Long Yunus di atas takhta kerajaan Kelantan. Tidak lama kemudian, Long Pandak yang
berundur ke Legeh kembali ke Kelantan bersama Long Deraman menyerang Long Yunus.
Long Yunus dikalahkan, berundur ke Terengganu. Dengan Terengganu membantu buat kali
keduanya. Kali ini tidak meletus peperangan di antara kedua-dua pihak. Mereka berunding
di Setiu. Dalam rundingan ini Sultan Mansur l dan Long Deraman setuju mengekalkan Long
Pandak sebagai Raja Kelantan dan Long Yunus sebagai Raja Muda. Kemudiannya Long
Yunus difitnahkan, sekali lagi berundur ke Terengganu. Sultan Mansur l menghantar lagi
angkatan Terengganu melanggar Kelantan. Long Pandak dikalahkan, Long Yunus diangkat
menjadi Raja Kelantan. Long Yunus diangkat sebagai Raja Kelantan pada tahun 1776.
Baginda mendapat pengabsahan dari Terengganu.7
Walaupun kini Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Legeh, tetapi ia
menjadi naungan Terengganu pula. Pengaruh Terengganu ke atas Kelantan ini dapat dilihat
dengan perlantikan Tengku Muhammad, putera Sultan Mansur l, menantu Long Yunus
sebagai Raja Kelantan. Padahal Long Yunus mempunyai putera, seperti Long Muhammad,
Long Zainal dan Long Tan. Tengku Muhammad tidak disenangi oleh putera Long Yunus.
Dengan itu mereka menggulingkan Tengku Muhammad pada tahun 1801. Walaupun Tengku
Muhammad disokong oleh Terengganu dan Patani dalam pertempuran 1802, tetapi gagal
mengalahkan Long Muhammad yang mendapat bantuan daripada orang Cina Galas.8
Kejayaan Long Muhammad dan menjadi Yang Dipertuan Kelantan dengan gelaran Sultan
Muhammad berakhirnya kekuasaan Terengganu ke atas Kelantan. Kini Kelantan menjadi
negeri bebas dan berdaulat.
Persoalan takhta kerajaan berlaku lagi di Kelantan selepas Sultan Muhammad mangkat
pada tahun 1837. Persaingan berlaku di antara Yang Dipertuan Kelantan Long Zainal
dengan anak saudara baginda, Tuan Senik Mulut Merah (atau Long Senik Mulut Merah) bin
Temenggung Aria Pahlawan Long Tan. Oleh kerana Sultan Muhammad mangkat tanpa
zuriat, Majlis Mesyuarat dan Muafakat melantik saudara baginda, Long Zainal (Raja
Bendahara atau dikenali juga dengan Raja Banggol) sebagai Yang Dipertuan Kelantan. Tuan
Senik Mulut Merah tidak puas hati dengan perlantikan, kerana mendakwa dia telah
diwasiatkan sebagai pengganti oleh al-marhum Sultan Muhammad. Dengan itu Tuan Senik
Mulut Merah berpakat dengan saudaranya, Tuan Kota menyerang Long Zainal. Ketika
perang berlaku, angkatan Siam datang membantu Tuan Senik Mulut Merah; memakai
gelaran Sultan Muhammad. Long Zainal dikalahkan dan Tuan Senik dilantik sebagai sultan
oleh Majlis Mesyuarat dan Muafakat pada April 1839. Tuan Kota dilantik sebagai Sultan
Dewa.
Long Zainal berangkat ke Legor mendapatkan bantuan. Usaha dia gagal. Seterusnya
menetap di Bangnara (Narathiwat). Kemudiannya Long Zainal membuat pakatan dengan
Long Besar (Tuan Besar) Kampung Laut menyerang Sultan Muhammad ll. Sekali serangan
Long Zainal dapat dipatahkan oleh angkatan Sultan Muhammad. Sultan Muhammad
mendapat bantuan Siam.9

Perak
Pada masa pemerintah Sultan Muzaffar Shah (1728-1756), tahun 1742 orang Bugis di
bawah pimpinan Yamtuan Muda Daeng Chelak datang menyerang Perak. Serangan ini
dipercayai membantu Raja Muda Bisnu. Walaupun gagal menurunkan Sultan Muzaffar
Shah, orang Bugis melantik Raja Muda Bisnu sebagai Sultan, bersemayam di Pulau Tiga,
Hilir Perak dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Kini Perak terbahagi dua, di bawah dua
orang sultan. Sultan Muzaffar Shah bersemayam di Kuala Kangsar; manakala Sultan
Muhammad Shah bersemayam di Pulau Tiga. Pacat menjadi sempadan kuasa kedua-dua
sultan ini. Kedua-dua sultan ini akhirnya berbaik semula, Sultan Muzaffar Shah pulang
semula bersemayam di Brahman Indera.10

Johor
Dalam sejarah Johor, soal takhta kerajaan yang melibatkan perang berlaku selepas
Sultan Mahmud dibunuh pada tahun 1699. Hikayat Johor Serta Pahang11 dan Tuhfat al-
Nafis12 menyatakan dengan jelas yang Bendahara Tun Abdul Jalil dan beberapa orang
saudaranya dan pembesar Johor terlibat dalam pakatan pembunuhan Sultan Mahmud oleh
Megat Seri Rama. Setelah Sultan Mahmud mangkat, dengan alasan tidak mempunyai zuriat;
Bendahara Tun Abdullah Jalil menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul
Jalil Riayat Shah lV. Kira-kira 19 tahun kemudian, 1718, datang Raja Kechil yang menuntut
putera Sultan Mahmud dan berhak di atas takhta kerajaan Johor menyerang dan mengalahkan
Johor. Baginda menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat
Shah (1718-1722). Raja Kechil mendapat sokongan daripada orang Minangkabau.
Persoalan takhta kerajaan Johor tidak berakhir di sini. Putera Sultan Abdul Jalil Riayat
Shah lV, Raja Sulaiman mendapatkan bantuan Opu Bugis lima bersaudara. Pertempuran di
antara Raja Kechil dengan Bugis berlaku di Riau, Linggi dan Siak. Dengan bantuan Bugis
(Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi) Raja
Kechil dikalahkan. Seterusnya Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan
gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sebagai mengenang jasa bantuan Bugis,
Jawatan Yamtuan Muda Johor dianugerahkan kepada Bugis.13
Kemudiannya soal takhta kerajaan yang mencetuskan perang berlaku lagi selepas
kemangkatan Sultan Ali. Pertempuran berlaku di antara Tengku Alam, putera Sultan Ali
dengan angkatan Maharaja Abu Bakar pada akhir 1879 hingga awal 1880. Pada 20 Jun 1877
Sultan Ali mangkat di Umbai, Melaka. Pada ketika ini Gabenor Negeri-negeri Selat
dipangku oleh A.E.H. Anson.14 Kemangkatan baginda menimbulkan masalah pengganti,
sehingga jenazah lewat dimakamkan,15 iaitu pada 8 Julai 1877.16 Pada lazimnya dalam adat
Kesultanan Melayu perlantikan pengganti Sultan dibuat sebelum jenazah Sultan
dimakamkan. Oleh sebab itu Temenggung dan Penghulu-penghulu Muar menandatangani
surat mengakui Tengku Alam, putera Sultan Ali adalah pengganti Sultan Ali. 17 Begitu juga
pada 9 Ogos 1877 Temenggung Muar dan tiga orang putera Tengku Abdul Jalil dalam satu
pertemuan membuat keputusan melantik Tengku Alam sebagai pemerintah Muar.18
A.E.H. Anson menjalankan usaha menyekat sebarang perlantikan pengganti Sultan
Ali. Beliau menghantar J.Douglas, Setiausaha Pejabat Jajahan Negeri-negeri Selat
menghadiri upacara pemakaman Sultan Ali di Umbai, Melaka dengan arahan rahsia supaya
tidak ada sebarang pengisytiharan pengganti Sultan Ali dilaksanakan pada hari tersebut. 19
Selepas kemangkatan ayahandanya, Tengku Alam menghantar surat kepada A.E.H. Anson
menyatakan dia adalah putera Sultan Ali dengan Raja Siti dan waris sah menggantikan
ayahandanya berdasarkan adat Melayu.20 Tuntutan Tengku Alam ini tidak dilayan;
sebaliknya A.E.H. Anson menegaskan bahawa Maharaja Abu Bakar akan memerintah Muar
sehingga keputusan dibuat bagi menentukan kedudukan pemerintah Muar. Manakala gelaran
Sultan yang dipakai oleh Sultan Ali terhapus dengan sendirinya setelah Sultan Ali mangkat. 21
A.E.H. Anson menyerahkan pentadbiran Muar kepada Maharaja Abu Bakar pada 29 Jun
1877.22 Maharaja Abu Bakar menerima penyerahan ini.23 Dengan itu Maharaja Abu Bakar
telah membuat persediaan dengan Penghulu-penghulu dan Temenggung Muar untuk
membentuk pentadbiran di Muar. Demi menjaga keamanan Maharaja Abu Bakar telah
mengambil keputusan mendirikan balai-balai polis di kedua-dua tebing Sungai Muar dan
Kesang.24
Dengan itu pemilihan pemerintah Muar diadakan di Kuala Kesang pada hari Jumaat 9
November 1877. Mereka yang terlibat dalam pemilihan ini: Penghulu Adam, Tanjung
Gading; Menteri Khamis dan Penghulu Shamsu, Tasik; Penghulu Sudin, Chohong - mereka
adalah Penghulu Sungai Kesang: Penghulu Senchu, Gemir; Penghulu Seman, Reng;
Penghulu Khamat, Jementah; Penghulu Rahmat, Kundang; Penghulu Hashim, Sungai Datu
dan Penghulu Dagang Subuh, Legeh - mereka adalah Penghulu Muar. 25 Dalam pemilihan
ini, dua orang penghulu26 bangkit menyatakan bahawa mereka mahu Maharaja Abu Bakar
sebagai pemerintah Muar. Sikap penghulu ini memeranjatkan Temenggung Muar. 27 Namun
begitu majlis yang bersidang bersetuju bahawa Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah
Muar.28
Setelah pemilihan selesai, masing-masing penghulu pulang; 29 dan A.M. Skinner pula
pulang ke Singapura. 30 Di Singapura, A.M. Skinner melaporkan kepada W.F. Robinson
bahawa sokongan kepada Maharaja Abu Bakar adalah disebabkan kecekapan Maharaja
mentadbir Muar, Temenggung Muar tidak digemari, dan kebimbangan sekiranya Tengku
Alam menggantikan Sultan Ali, Temenggung Muar akan diwakilkan mentadbir Muar.31
Dengan keputusan di Kuala Kesang ini Maharaja Abu Bakar adalah pemerintah bagi
Johor dan Muar. Walaupun pada akhir tahun 1879 Tengku Alam, putera Sultan Ali
melancarkan gerakan yang dikenali sebagai perang Jementah untuk mendapat gelaran Sultan
dan kekuasaan ke atas Johor dan Pahang. Pertempuran berlanjutan hingga Januari 1880
dengan kekalahan di pihak Tengku Alam. Pada tahun 1885 Maharaja Abu Bakar dibenarkan
oleh Raja Inggeris untuk memakai gelaran Sultan. Gelaran ini pula boleh diwarisi oleh
keturunan baginda. Kenaikan Maharaja Abu Bakar di atas takhta kerajaan Johor bergelar
Sultan Abu Bakar bermakna dinasti Temenggung menduduki takhta kerajaan Johor.

Terengganu
Soal takhta kerajaan Terengganu mencetuskan peperangan berlaku pada tahun 1830-
an; di antara Sultan Omar dengan bapa saudaranya Tengku Mansur dan sekali di antara
Sultan Muhammad dengan saudara sepupunya Baginda Omar.
Sultan Ahmad mangkat pada tahun 1830, takhta kerajaan Terengganu digantikan pula
oleh saudara baginda Sultan Abdul Rahman. Tidak sampai satu tahun memerintah
Terengganu, Sultan Abdul Rahman mangkat pada tahun 1831. Takhta kerajaan Terengganu
diduduki oleh Sultan Daud, putera sulung al-marhum Sultan Ahmad. Sultan Daud melantik
adinda baginda, Tengku Omar sebagai Yang Dipertuan Muda dan bapa saudara baginda
Tengku Mansur, sebagai Bendahara. Kira-kira sebulan di atas takhta kerajaan baginda
mangkat pada tahun 1831.
Bagi mengelakan pertikaian di antara kedua belah pihak, pembesar Terengganu
mengangkat Tengku Mansur sebagai Yang Dipertuan Tua dan Tengku Omar sebagai Yang
Dipertuan Besar. Perlantikan ini tidak mengakhiri perselisihan mereka berdua; peperangan
berlaku di antara kedua belah pihak dan Yang Dipertuan Besar Tengku Omar dikalahkan,
mengudurkan diri ke Besut, Kemaman dan Lingga. Dengan itu Tengku Mansur menjadi
Sultan Terengganu bergelar Sultan Mansur ll. Apabila baginda mangkat takhta kerajaan
Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Sultan Muhammad
mengangkat Tengku Abdullah ibn Sultan Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Muda
Terengganu.
Ketika pemerintahan Sultan Muhammad, Tengku Omar dan saudaranya, Tengku
Mahmud yang berlindung di Lingga, datang menyerang Terengganu pada tahun 1839.
Sultan Muhammad yang gagal mengatasi serangan ini telah mengundurkan diri ke Kelantan.
Tengku Omar dilantik menjadi Sultan Terengganu dengan gelaran Baginda Omar. Apabila
Baginda Omar mangkat pada tahun 1876, kerana tidak meninggalkan putera, maka anak
saudara baginda, Tengku Ahmad ibn Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud diangkat
sebagai Sultan Terengganu bergelar Sultan Ahmad Syah ll. 32

Persoalan Takhta Tanpa Perang

Johor
Persoalan takhta kerajaan tanpa perang berlaku selepas kemangkatan Sultan Abdul
Jalil Muazam Shah pada tahun 1760. Dengan itu Raja Ahmad, putera Sultan Abdul Jalil
yang masih kecil dilantik sebagai Sultan Johor. Kemudiannya pada tahun 1761, Sultan
Ahmad pula mangkat. Pembesar Melayu di Riau mahukan salah seorang saudara Sultan
Abdul Jalil Muazam Shah, Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang dilantik sebagai sultan.
Manakala Yamtuan Muda Daeng Kemboja dan orang besar Bugis berkehendakkan Raja
Mahmud, putera Sultan Abdul Jalil yang masih kecil sebagai sultan. Persaingan yang tidak
mencetuskan perang ini memihak kepada calon Bugis. Dengan itu Raja Mahmud dilantik
sebagai Sultan Mahmud (1761-1812).33
Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga yang mengalami kemerosotan sejak kurun ke-18
menuju keruntuhan pada kurun ke-19. Apabila Sultan Mahmud II mangkat di Lingga pada
12 Januari 1812 takhta kerajaan sepatutnya mengikut adat istiadat Kesultanan Melayu
diduduki oleh putera sulong baginda Tengku Long atau Husin telah diduduki oleh adindanya
Tengku Abdul Rahman yang mendapat sokongan kuat daripada Yamtuan Muda Johor Raja
Jaafar.34 Pada ketika ini Tengku Husin berada di Pahang kerana berkahwin dengan Che Wan
Esah adik Bendahara Pahang Tun Ali. Perlantikan ini menimbulkan perselisihan (tanpa
peperangan) di antara penyokong Tengku Husin (di antaranya Raja Hamid) dengan Yamtuan
Muda Raja Jaafar dan pengikut-pengikutnya.35
Dalam suasana politik begini, dan British pula mempunyai kepentingan di Singapura,
Sir Stamford Raffles telah berjaya mempengaruhi Temenggung Johor, Abdul Rahman
menerima Tengku Husin sebagai Sultan Johor. 36 Tengku Husin tiba di Sinapura dari Riau
pada 1 Februari 1819 dan berikutnya pada 6 Februari 1819 diisytiharkan sebagai Sultan
Johor.37 Seterusnya perjanjian ditandatangani di antara Sultan Husin dan Temenggung Abdul
Rahman dengan pihak British pada 6 Februari 1819. Dari sini membuktikan bahawa Tengku
Husin telah diakui oleh Temenggung Abdul Rahman sebagai Sultan Johor. Dengan itu
Sultan Husin adalah Sultan Johor dan mempunyai hak dan kedaulatan ke atas Johor.
Kekuasaan ke atas Johor lebih berkesan lagi dengan berkuatkuasanya Perjanjian Inggeris-
Belanda 1824, yang telah mempastikan sempadan kekuasaan British dan Belanda; serentak
bererti Kerajaan Johor Lama kini telah dipecahkan.38 Pada 8 Disember 1825 Temenggung
Abdul Rahman meninggal dunia. Jawatan ini hanya dipersetujui dipegang oleh puteranya,
Daeng Ibrahim pada tahun 1833: diiktirafkan sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor di
Singapura di hadapan Bendahara Pahang, Wan Ali dan Gabenor Samuel G. Bonham pada 19
Ogos 1841. Pada 1834 Sultan Husin berpindah dari Singapura ke Melaka; dan mangkat di
Umbai pada 1835.39 Kemangkatan Sultan Husin digantikan oleh puteranya Tengku Ali dan
diisytiharkan sebagai 'Sultan' pada 16 September 1840. 40 Kelewatan pengisytiharan hampir
lima tahun ini kerana ada tanda-tanda pihak British tidak mahu mengiktirafkan gelaran ini.
Perlantikan dan pengiktirafan ini adalah juga bererti bahawa Sultan Ali adalah juga Sultan
bagi Johor dan Pahang.

Selangor
Persoalan takhta kerajaan Selangor berlaku setelah Sultan Muhammad mangkat pada
tahun 1857. Balu baginda, Tengku Puan Basik, cucu Raja Lumu mencadangkan supaya
Raja Mahmud, sebagai puteranya dengan Sultan Muhammad yang berusia kira-kira lapan
tahun dilantik sebagai Raja Muda. Perlantikan ini hanya disokong oleh Nakhoda Omar dan
Che Tambah Hitam. Di samping itu ada juga yang menyatakan bahawa Raja Mahmud
dilantik sebagi Raja Muda ketika Sultan Muhammad masih hidup.41 Pada tahun 1858
Tengku Ampuan Basik ada mengajudkan surat kepada Gabenor Blunddell menyatakan
bahawa para pembesar Selangor memilih Raja Mahmud sebagai Raja Muda. Gabenor
Blunddell telah pun dimaklumkan bahawa Raja Abdul Samad telah pun dipilih sebagai
Sultan Selangor. Pemilihan Raja Abdul Samad ini diakui oleh Tengku Ampuan Basik dalam
surat kepada Gabenor bertarikh 1860, yang mana mencatatkan Raja Abdul Samad dipilih
sebulat suara. Nakhoda Omar dan Tengku Ampuan bercita-cita untuk melantik Raja Yunus
sebagai Sultan. Para pembesar lain tidak memberi sokongan. 42 Para pembesar Selangor
tidak menyokong cadangan itu, Dato' Aru Pasangan, Dato' Penggawa Permatang, Dato'
Jeram dan Dato Kaya Klang menyokong supaya Tengku Panglima Besar, Raja Abdul Samad
ibn Raja Abdullah ibn Sultan Ibrahim dilantik sebagai Sultan Selangor. 43 Raja Jumaat dan
Raja Abdullah juga menyokong Raja Abdul Samad.44 Tengku Ampuan Basik akhirnya
mengalah dan menerima cadangan para Pembesar. Dengan itu Dato' Aru dan Dato'
Penggawa datang ke Langat meminta beliau menjadi Sultan Selangor. 45 Para pembesar
Selangor mengambil keputusan kerana putera Sultan Muhammad adalah tidak layak.
Walaupun begitu, Raja Abdul Samad adalah menantu Sultan Muhamamd. Isterinya Raja
Tipah adalah puteri Sultan Muhammad. Raja Abdul Samad datang ke Bandar (Kuala
Langat) dan kira-kira tiga bulan kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Selangor. Sultan
Abdul Samad menjaga Raja Mahmud dan beransur-ansur gelaran Raja Muda yang
disandangnya tidak diberi perhatian dan akhirnya hilang.46

Perak
Pada 26 Mei 1871 Sultan Ali al-Mukamal Inayat Shah mangkat di Sayong. Jenazah
baginda hanya dimakamkan sebulan kemudian, iaitu pada 29 Jun 1871. Kelewatan ini adalah
disebabkan timbulnya masalah untuk menentukan pengganti Sultan. Kegagalan Raja Muda
Abdullah hadir di upacara pemakaman jenazah Sultan Ali menyebabkan para pembesar
mengambil keputusan melantik Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan Perak. Perlantikan ini
mendapat sokongan kuat daripada Menteri Ngah Ibrahim yang sudah lama bersengketa
dengan Raja Muda Abdullah. Raja Osman, putera Sultan Ali dilantik sebagai Raja Muda. 47
Raja Bendahara menduduki takhta kerajaan Perak dengan gelaran Sultan Ismail Muabidin
Shah mendapat sokongan pembesar Perak dan juga pengiktirafan British.48
Kenaikkan Raja Bendahara Ismail di atas takhta kerajaan Perak menimbulkan rasa
tidak puas hadi Raja Muda Abdullah, yang kini menetap di Purbayan, Hilir Perak.
Kemudiannya pada tahun 1872 Raja Muda Abdullah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan
Abdullah Muhammad Shah. Juga melantik Raja Yusof sebagai Raja Muda Perak. 49 Langkah
Sultan Abdullah ini dipengaruhi oleh sokongan pembesar Hilir Perak dan semangat oleh
Edward Bacon yang mempunyai minat untuk mendapatkan uluran di Kerian. Sultan
Abdullah mengutuskan surat kepada Gebenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry Ord yang
ditandangani dan cop mohor oleh Syahbandar, Orang Kaya Balai, Laksamana, Dato' Seri
Agar Diraja (Dato' Sagor) dan Maharaja Lela yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat
menerima Sultan Ismail kerana baginda keturunan Siak, Sumatra bukan kerabat diraja
Perak.50
Raja Muda Abdullah dalam usahanya untuk menduduki takhta kerajaan Perak cuba
mendapatkan sokongan daripada saudagar-saudagar di Pulau Pinang dan pegawai-pegawai
British. Beliau kerap kali menghubungi pegawai British; malah beliau pernah meminta jasa
baik Munshi Ibrahim memaklumkan kepada C.J. Irving bahawa sekiranya beliau menjadi
Sultan, beliau sanggup melayani kehendak British. Raja Muda Abdullah bersama-sama
Ngah Ibrahim ada berunding dengan C.J. Irving di kapal api Pluto mengenai kacau bilau
yang berlaku di Perak. Bagi British keamanan sangat penting untuk kelancaran kegiatan
ekonomi bagi kepentingan mereka.
Pada 4 November 1873 Sir Andrew Clarke tiba di Singapura memegang jawatan
Gabenor Negeri-Negeri Selat menggantikan Sir Harry Ord. Lee Kim Ching mengambil
peluang kedatangan Gabenor baru dengan melaporkan tuntutan Raja Muda Abdullah dan
meminta Raja Muda Abdullah menulis surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat menjadi
orang tengah dalam penyelesaian persengketaan di antara beliau dengan Ngah Ibrahim; serta
sanggup berlindung di bawah bendera British.51 Sementara itu Sultan Abdullah pula
dipengaruhi oleh W.H. Read.52
Pada 11 Januari 1874 Gabenor Sir Andrew Clarke, Thomas Braddell, Peguam Agung
Negeri-Negeri Selat dan rombongan berangkat dari Singapura ke Pulau Pangkor. Di Pulau
Pangkor nanti Sir Andrew Clarke akan mengadakan rundingan dengan Orang-Orang Besar
Perak termasuk Sultan Ismail, Sultan Abdullah dan ketua-ketua Ghee Hin dan Hai San. Pada
13 Januari 1874 ketua Ghee Hin dan Hai San dibawa ke Pulau Pangkor dengan kapal api Fair
Malacca. Perbincangan di antara Ghee Hin dengan Hai San ini mencapai persetujuan pada
15 Januari 1874 di mana mereka sanggup memusnahkan kubu-kubu dan meletakkan senjata,
melantik suruhanjaya yang terdiri daripada pegawai British dan dua orang wakil mereka
untuk menilai segala tuntutan ganti rugi dan segala urusan pentadbiran Larut akan
dikendalikan oleh Residen British dan masing-masing mengikat janji sebanyak $50,000.00
untuk menjamin keamanan dan mematuhi segala syarat perjanjian.
Dalam perbincangan yang dihadiri oleh Menteri Ngah Ibrahim, Bendahara,
Temenggung (Orang Besar Empat); Laksamana, Dato' Sagor dan Syahbandar (Orang Besar
Lapan), kecuali Menteri Ngah Ibrahim yang tidak menunjukan sokongan kepada Sultan
Abdullah sebagai Sultan Perak. Menteri Ngah Ibrahim menyokong Sultan Ismail. Dalam
pertemuan di antara Menteri Ngah Ibrahim dengan Sir Andrew Clarke di atas kapal Pluto
pada 16 Januari 1874, Menteri Ngah Ibrahim dipertanggungjawabkan di atas kekacauan yang
berlaku di Larut. Dengan menyatakan bahawa Menteri Ngah Ibrahim adalah seorang yang
tidak cekap dan hilang kepercayaan kepadanya, Sir Andrew Clarke menegaskan kepada
Menteri Ngah Ibrahim bahawa kerajaan British berhasrat untuk campur tangan di Perak.
Walaupun Menteri Ngah Ibrahim menentang hasrat British ini tetapi akhirnya mengambil
keputusan bersetuju menerima seorang pegawai British di Larut dan pihak British akan
menyelesaikan persengketaan di antara Ghee Hin dengan Hai San dan mengiktirafkan Sultan
Perak yang disokong oleh kerajaan British dengan syarat beliau diiktirafkan sebagai
pemerintah bebas Larut. Tuntutan pemerintah bebas ini membawa kepada perbincangan
yang panjang di antara Menteri Ngah Ibrahim dengan Thomas Braddell. Walaupun Menteri
Ngah Ibrahim menunjukkan contoh kejayaan pemerintah Orang Besar bebas yang berjaya di
Johor tetapi Thomas Braddell menegaskan bahawa Sultan tidak berhak menganugerahkan
wilayahnya dan bermakna ini akan mewujudkan sebuah negeri baru yang mempunyai
kedaulatan penuh sendiri. Begitu dengan panggilan Tengku kepada Menteri Ngah Ibrahim
adalah tidak layak kerana beliau bukan berdarah raja. Walaupun Menteri Ngah Ibrahim
mengakui bahawa panggilan Tengku adalah tidak layak kepadanya malah beliau sendiri tidak
menggunakan gelaran Tengku di cop mohornya tetapi beliau tetap berkeras dengan tuntutan
kedaulatannya ke atas Larut. Oleh kerana sikap Menteri Ngah Ibrahim yang tidak berganjak
ini menyebabkan Thomas Braddell menuduh Menteri Ngah Ibrahim bercita-cita untuk
menjadi Sultan. Tuduhan Thomas Braddell ini dinafikan oleh Menteri Ngah Ibrahim.
Menteri Ngah Ibrahim yang telah pun menyedari tidak berjaya menegakkan kedaulatannya
ke atas Larut dalam pertemuan dengan Gabenor Sir Andrew Clarke pada 16 Januari 1874
yang lalu, apabila hadir dalam pertemuan pada 17 Januari 1874 telah diarahkan duduk
bersama-sama dengan pembesar-pembesar lain telah bersetuju menerima Sultan Abdullah
sebagai Sultan Perak dan Sultan Ismail akan dipencenkan. 53
Pada 12 Januari 1874, dengan tujuan mewujudkan perjanjian dengan Perak, Sir
Andrew Clarke datang ke Pangkor. Ketua Ghee Hin dan Hai San, Raja Muda Abdullah,
Bendahara, Laksamana, Syahbandar, Raja Mahkota, Menteri, Temenggung, Dato' Sagor
datang ke Pangkor. Raja Ismail, Raja Yusof dan Maharaja Lela tidak datang. Setelah
berbincang mereka membuat perjanjian mengiktiraf Raja Muda Abdullah sebagai Sultan dan
seorang Residen British akan dilantik di Perak. Residen British akan menasihati dalam
semua perkara kecuali adat istiadat orang Melayu dan agama Islam. Setelah selesai
berunding Sir Andrew Clarke menghantar surat menjelaskan segala pencapaian di Pangkor
dan meminta supaya Sultan Ismail menyerahkan alat-alat kebesaran Perak.54
Kemudiannya pada 20 Januari 1874 Perjanjian Pangkor ditandatangani di antara tujuh
orang pembesar Perak dengan Sir Andrew Clarke. Di antara lain Perjanjian ini berbunyi:

Fasal yang pertama - maka Raja Muda Abdullah itulah


disebutkan menjadi Sultan Perak.

Fasal yang kedua - maka Raja Bendahara Ismail yang ada jadi
pemangku Sultan itu ditanggungkan kepadanya gelaran Sultan
Muda serta mendapat pencen dan satu jajahan kecil tersebut
menjadi punyai kepadanya.

Fasal yang keempat - kuasa yang telah diberi kepada Orang


Kaya Menteri di atas Larut oleh almarhum itu dikukuhkan juga
demikian.

Fasal yang keenam - hendaklah sultan itu menerima seorang


besar British yang akan dinamai Residen dan mengadakan
sebuah rumah yang patut akan tempat kediamannya maka
orang besar ini hendaklah ada berkuasa dan terpakai dalam
balai bicara sultan itu dan hendaklah dituntut apa-apa nasihat
daripadanya dan mengikut ajarannya pada membuat apa-apa
dalam segala perkara yang lain daripada perkara yang kena
kepada agama dan adat-adat Melayu.55

Terengganu
Konflik takhta kerajaan di Terengganu berlaku sekali lagi pada tahun 1945, apabila
Sultan Ali dilucutkan jawatan. Persoalan takhta kerajaan Terengganu 1942-1945
diperkatakan oleh akhbar Utusan Melayu pada tahun 1947. Utusan Melayu menghantar
Zabha, Wakil Khasnya ke Kuala Terengganu untuk membuat liputan mengenai perkara
tersebut.
Tengku Ali ialah putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dengan Tengku Ampuan
Mariam. Apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat pada 15 Ramadan 1361
(September 1942), Tengku Ali, putera sulung Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dengan
Tengku Ampuan Mariam, diangkat sebagai pengganti.56
Tengku Ali diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Ramadan 1361 oleh
Dato' Bija Sura, Hakim Besar dan ahli Jumaah Menteri Terengganu dan Mufti Terengganu
Sheikh Zaki Yamani dihadapan jenazah Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. 57 Sultan Ali
diakui oleh pentadbiran Tentera Jepun. Dalam surat akuan yang dikeluarkan oleh pihak
Menabukuji Si Ju Kit Terengganu, pentadbir Tentera Jepun mengaku menjadikan Tengku Ali
sebagai Sultan Terengganu pada 25 September tahun 17 Syowa atau bersamaan 25
September 1942. Begitu juga dalam ucapan Sujukit kepada Tengku Ali pada 30 September
2602 (30 September 1942), yang diterjemahkan, beliau menyatakan:
Oleh sebab kemangkatan al-Sultan dan berkenaan dengan gelaran dan pangkat bagi kepada
Tengku Ali seorang pengganti al-sultan...pihak tuan ketua pejabat pentadbiran tentera nipon
telah menimbang khas perkara ini dan memberi perintah kepada saya supaya mengurniakan
gelaran sultan dan memberi perbicaraan sultan kepada Tengku. 58
Sultan Ali dalam satu ucapan pada bulan September 2602 (September 1942) ketika menyeru
rakyat Terengganu mematuhi ajaran agama Islam, mengerjakan suruhan Allah dan
meninggalkan tegahanNya; serta tolong menolong di antara satu sama lain demi keamanan
dan kesejahteraan bersama Asia Raya ada menyatakan:
Tuan-tuan sekalian sudah termaklum bahawa seri paduka ayahanda saya yang dikasihi al-
Sultan Sulaiman Badrul Alam Sha telah mangkat (kembali ke rahmatullah) maka dengan
kehendak Tuhan yang maha kuasa telah dilantik akan saya pengganti al-marhum seri paduka
ayahanda saya itu menjadi Sultan bagi negeri Terengganu sebagaimana disahkan oleh surat
akuan Tuan Terutama Syuchokan yang disampaikan kepada saya.59

Pada 17 Jun 2603 (17 Jun 1943), Syucokan Terengganu mengeluarkan surat akuan
menggelarkan Tengku Ainul Jamil, isteri Sultan Ali sebagai Tengku Ampuan. 60 Seiringan
dengan pengesahan ini Tengku Ampuan Ainul Jamil diberikan wang sara hidup berjumlah
empat ribu lapan ratus ringgit ($4,800.00) setahun, yang mana berkuat kuasa mulai 17 Jun
2603.61

Kesimpulan
Sepanjang 500 tahun, 1445 hingga 1945, soal takhta kerajaan berlaku pada tahun
tahun-tahun tertentu dalam kesultanan Melayu. Selain terlibat golongan dalam negeri,
persaingan ini melibatkan negeri tempatan, jiran dan kuasa asing.

Singkatan
CMDSJ -
Copy of the Treaty of
1855 between SULTAN OF
JOHORE and TUMONGGONG,
and for the
CORRESPONDENCE respecting
MUAR Since the DEATH of the
late SULTAN of Johore

C.O. -
Colonial Office

CTAMS -
Claims of Tunku
Allum t Moar Succession

ECCOPE -
Enquiry as Complicity
of Chiefs in the Perak Outrages
Precis of Evidence
EMJSM -
Election of the
Maharajah of Johore to be Sultan
of Moar

MS -
Muar Succession

MTBRMS -
Memorial presented on
behalf of His Highness Tungku
Badar Shah, Tungku Panglima
Besar of Selangor, concerning
His Right and claim to be
appointed Raja Muda of Selangor

PLC -
Paper laid before the
Legislative Council by Command
His Excellency the Governor

TMS - The
Muar Succession

t.t. -
tanpa tarikh
1

Notakaki

. Buyong Adil, Sejarah Melaka (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, hlm. 26-28.
2

R. Bonney, Kedah 1771-1821: The Search For Security and Independence (Kuala Lumpur: Oxford University
Press, 1974), hlm. 21. Buyong Adil, Sejarah Kedah (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980), hlm. 25-
26.
3
R. Bonney, Kedah 1771=-1821: The Search for Security and Independence, hlm. 22. Mengenai perang ini sila
lihat, Virginia Matheson (ed.), Tuhfat al-Nafis (Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1982), hlm. 87-
95.
4
Mohd. Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990),
hlm. 18.
5
Ibid., hlm. 19-21.
6
Nik Mahmud bin Ismail, Ringkasan Cetera Kelantan (Kota Bahru: The Al-Assasiyah Press Coy, 1934), hlm. 23-
26.
7
H. Marriott, "A Fragment of the History of Trengganu and Kelantan". Muhammad Saleh bin Awang, Haji,
Terenggnu Dari Bentuk Sejarah Hingga Tahun 1918m [1337] (Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributers, 1978), hlm. 129-132. Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh, Dato', "Inilah Kisah Negeri Terengganu
Berperang Dengan Negeri Kelantan - Sebuah Sejarah Kelantan dari Terengganu", Warisan Kelantan Xll (Kota
Bahru: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1993), hlm. 115-118.
8
. Rahmat Saripan, Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776-1842, (Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979), hlm. 61-63.
9
Mengenai perang saudara ini, sila lihat Rahmat Saripan, Perkembangan Politik Tradisional Kelantan 1776-1842,
hlm. 89-113. Cyril Skinner, The Civil War in Kelantan in 1839 (Kuala Lumpur: The Malaysian Branch Royal
Asiatic Society, 1966). Hikayat Kelantan, hlm. 35. H. Marriott, "A Fragment of the History of Trengganu and
Kelantan", JSBRAS, No. 72, May 1916, hlm. 12-13. Shahril Talib, History of Kelantan Monograph No. 21
(Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1995), hlm. 14.
10
Buyong Adil, Sejarah Perak (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972), hlm. 26-27. Raja Chulan, Misa
Melayu (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966), hlm. 22-26.
11
Hikayat Johor Serta Pahang , hlm. 1-2.
12
Virginia Matheson (ed.), Tuhfat al-Nafis, hlm. 45.
13
L.Y. Andaya, Kerajaan Melayu Johor 1641-1728: Pembangungan Ekononmi dan Politik (Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1987), hlm. 333-426.
14
Jawatan ini dipangku sementara menunggu perlantikan Gabenor baru kerna Sir William Jervois bercuti dan
seterusnya akan bertugas di Australia. (C.N. Parkinson, British Intervention in Malaya 1867-1877,(Kuala
Lumpur: Oxford University Press, 1964), hlm. 321 ).
15
Mahmood Adam, Johor dibawah Abu Bakar: Satu Kajian Mengenai Keutohan Politik Johor,(Latihan Ilmiah,
Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur,1975), hlm. 32.
16
C.O.273/92, "TMS", William F. Robinson kepada Carnavon, 13 Disember 1877, terlampir Singapore Daily
Times, 12 Disember 1877, tercatit surat Tengku Alam kepada A.E.H. Anson, 4 Julai 1877.
17
C.O.273/416, "CMDSJ", William C.F. Robinson kepada Carnavon, 5 Disember 1877, Enclosure 2, Tengku Alam
bin Sultan Ali Iskandar Syah kepada Carnavon, 26 November 1877.
18
C.O.273/416, "CMDSJ", A.E.H. Anson kepada Carnavon, 4 Ogos 1877, terlampir, Enclosure 2, "Minute by the
Colonial Secretary", 7 Julai 1877. Lihat juga C.O.273/92, "IMSA", W.H. Read kepada Meade,(t.t.).
19
C.O.273/91, W.F. Robinson kepda Carnavon, 31 Oktober 1877, terlampir memo,(t.t.).
20
C.O.273/92, "MS", William F. Robinson kepada Carnavon, 13 Disember 1877, terlampir Singapore Daily Times,
12 Disember 1877, tercatit surat Tengku Alam kepada A.E.H. Anson. C.O.273/98, "PLC", A.E.H. Anson kepada
Carnavon, 6 Julai 1877. A.E.H. Anson mencatitkan umur Tengku Alam tiga puluh tahun. C.O.273/416,
"CMDSJ", A.E.H. Anson kepada Carnavon, 6 Julai 1877.
21
C.O.273/92, "MS", William F. Robinson kepada Carnavon, 12 Disember 1877, terlampir Singapore Daily Times,
12 Disember 1877, "Ucapan W.H. Read di Majlis Perundangan Singapura".
22
C.O.273/416, "CMDSJ", Enclosure 2, A.E.H. Anson kepada Maharaja Johor, 29 Jun 1877.
23
C.O.273/416, "CMDSJ", Abu Bakar, Maharaja Johor kepada A.E.H. Anson, 30 Jun 1877. Lihat juga
C.O.273/98, "PLC", Maharaja Abu Bakar kepada A.E.H. Anson, 30 Jun 1877.
24
C.O.273/416, "CMDSJ", A.E.H. Anson kepada Carnavon, 29 September 1877, trlampir Enclosure 1, Maharaja
Abu Bakar kepad A.E.H. Anson, 28 September 1877.
25
C.O.173/416, A.M. Skinner kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat, 12 November 1877.
C.O.273/91, "EMJSM", W.F. Robinson kepada Carnavon, 14 November 1877, terlampir A.M. Skinner kepada J.
Douglas, 12 November 1877.
26
A.M. Skinner tidak mencatatkan nama mereka.
27
C.O.273/91, "EMJSM", W.F. Robinson kepada Carnavon, 14 November 1877, terlampir A.M. Skinner kepada J.
Douglas, 12 November 1877.
28
C.O.273/91, "EMJSM", W.F. Robinson kepada Carnavon, 14 November 1877, terlampir A.M. Skinner kepada J.
Douglas, 12 November 1877. C.O.273/92, "CTAMS", W.F. Robinson kepad Carnavon, 5 Disember 1877.
29
Ibid.
30
C.O.273/416, "CMDSJ", A.M. Skinner kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat, 12
November 1877.
31
C.O.273/416, "CMDSJ", William C.F. Robinson kepada Carnavon, 14 November 1877.
32
Muhammad Saleh bin Awang, Haji, Terengganu Dari Bentuk Sejarah Hingga Tahun 1918m [1337], hlm. 159-
161. Mubin Sheppard, "Baginda Omar the Conqueror", Malaysia in History Vol. 12, No. 1, October 1968.
Peringatan Dato' Nara Wangsa.
33
Buyong Adil, Sejarah Johor (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971), hlm. 126. Virginia Matheson
(ed.), Tuhfat al-Nafis (Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1982), hlm. 151-152. Abdullah Zakaria bin Ghazali,
"Kesultanan Johor, 1828-1885", Abdullah Zakaria bin Ghazali & Zainal Abidin Borhan (editor), Johor Dahulu
Dan Sekarang (Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1994), hlm. 25.
34
Raja Jaafar ialah anak Raja Haji, menggantikan Yamtuan Muda Raja Ali yang meninggal dunia pada 1806
sebagai Yamtuan Muda Keenam.
35
Abdullah Zakaria bin Ghazali, Persaingan Di antara Keluarga Sultan Dengan Keluarga Temenggung Di Johor
1835-1885,(Tesis Ph.D., Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984), hlm. 9-13. R.A. Tiwary, Raffles at
Singapore,(B.A. Graduation Exercise, University of Malaya, Singapore, 1959), hlm. 14. W.H. Read, Play and
Politics in Malaya,(London: 1901), hlm. 9-10. L.A. Mills, British Malaya 1824-1867,(Kuala Lumpur: Oxford
University Press, 1966), hlm. 64. Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang,(Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1972), hlm. 98; Sejarah Johor, hlm. 157. Abdul Malek Munip, "Sejarah Awal Negeri Johor", Malaysia
Dari Segi Sejarah, 8, (April 1979), hlm. 12. W. Linehan, A History of Pahang,(Kuala Lumpur: MBRAS, 1973),
hlm. 56. J. Kennedy, A History of Malaya,(London: Macmillan Press Ltd., 1975), hlm. 92. J.S. Tay, The
Attemps of Sir Stamford Raffles to Secure British Interests in the East-India Archipelago, 1818-1819,(B.A.
Graduation Exercise, University Malaya, Singapore, 1958), hlm. 18.
36
C.O.273/405, R.J. Wilkinson kepada Davis, 3 Julai 1913, terlampir "The Power of a Sultan"; R.J. Wilkinson
kepada Davis, 3 Julai 1913, terlampir "Sultan Ali", terlampir W.J. Butterworth kepada Timbalan Gabenor
Bengal, 21 Oktober 1846.
37
Haji Buyong Adil, Sejarah Singapura,(Kuala Lumpuar: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972), hlm. 62-63.
38
N. Tarling, British Policy in the Malayan Peninsula and Archipelago 1824-1871,(Kuala Lumpur: Oxford
University Press, 1969), hlm. Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, hlm. 179.
39
C.O.273/406, R.J. Wilkinson kepada Davis, 3 Julai 1913, terlampir "Sultan Ali"; terlampir W.J. Butterworth
kepada Timbalan Gabenor Bengal, 21 Oktober 1846.
40
C.O.273/416, "CMDSJ", William C.F. Robinson kepada Carnavon, 5 Disember 1877, terlampir Tengku Alam
bin Sultan Ali Iskandar Syah kepada Lord Carnavon, 26 Disember 1877.
41
C.O. 717/117, Pesuruhjaya Tinggi kepada J.H. Thomas, 7 April 1936, terlampir "Memorandum concerning the
appointment of a Raja Muda, Selangor".
42
C.O. 717/105, Pesuruhjaya Tinggi kepda Sir Philip Cunliff-Lister, 17 Mei 1934, Enclosure No.2, "Historical
Narrative".
43
C.O. 717/117, "Opinion of the Chiefs of Selangor", Dato' Penggawa Tua, Muhammad Shah, Kampung Kuantan,
1 Mac 1936.
44
C.O.717/117, "MTBRMS", hlm. 6.
45
C.O. 717/117, "Opinion of the Chiefs of Selangor", Dato' Penggawa Tua, Muhammad Shah, Kampung Kuantan,
1 Mac 1936.
46
C.O. 717/105, Pesurhjaya Tinggi kepada Sir Philip Cunliff-Lister, 17 Mei 1934, Enclosure 2, "Historical
Narrative"
47
Enquiry as to Complicity of Chiefs in the Perak Outrages Precis of Evidence , (Singpore: The Government
Printing Office, 1876), hlm. 2. (Seterusnya diringkaskan sebagai ECCOPE, 1876). J. Kennedy, A History of
Malaya, hlm. 150. P.L. Burns (ed. & Introduced), The Journals of J.W.W. Birch: First British Resident to Perak
1874-1875 (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1976), hlm. 13. C.D. Cowan, Ninetenth Century Malaya:
The Origin of British Political Control (London: Oxford University Press, 1967), hlm. 78-79; Tanah Melayu
Kurun Kesembilan Belas (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970), hlm. 106-107. P.L. Burns & C.D.
Cowan (ed.), Swettenham's Malayan Journals 1874-1876 (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1975), hlm.
38. R.J. Wilkinson (ed.), Papers on Malay Subjects (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1971), hlm. 100-
101.
48
. R.J. Wilkinson (ed.), Papers on Malay Subjects, hlm. 101.
49
. C.D. Cowan, Ninetenth Century Malaya, hlm. 79; Tanak Melayu Kurun Kesembilan Belas, hlm. 108. J.
Kennedy, A History of Malaya, hlm. 151.
50
. ECCOPE, 1876, hlm. 2.
51
. ECCOPE, 1876, hlm. 3; Appendix l, Sultan Abdullah kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, 12
Zulkaedah 1290 (2 Januari 1874), hlm. i.
52
. C.D. Cowan, Ninetenth Century Malaya, hlm. 180; Tanah Melayu Kurun Kesembilan Belas, hlm. 247.
53
. C.D. Cowan, Tanah Melayu Kurun Kesembilan Belas, hlm. 252-257.
54
. ECCOPE, 1876, hlm. 4.
55
. Khoo Kay Kim, 'The Pangkor Treaty in Malay', Peninjau Sejarah, Vol. l, July 1966.
56
Abdullah Zakaria bin Ghazali, Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai Di Terengganu 1942-1945 (Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, 1996), hlm. 55.
57
. Utusan Melayu, Rabu 26 November 1947. Utusan Melayu, Selasa 2 Disember 1947.
58
. "Tarikh Kemangkatan Raja-Raja Dan Lainnya".
59
. SUK. Tr., 96/1361, "Ucapan Sultan Ali", Sepetember 2602.
60
. SUK. Tr.,61/2603, "Surat Akuan", Syucukan Terengganu, 17.6.2603.
61
. SUK. Tr., 61/2603, "Surat Perkurniaan Pension - Tengku Ampuan Ainul Jamil", Syucukan Terengganu,
17.6.2603.

Anda mungkin juga menyukai