Anda di halaman 1dari 9

Pergolakan dalam kerajaan Johor-Riau

Manisa bt Ramli
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim Perak
(manisaramli97@gmail.com)
018-9740547

ABSTRAK

Artikel ini memperkatakan tentang pergolakan yang berlaku dalam politik Johor-Riau dari tahun

1699 sehingga 1722. Dalam tempoh 20 tahun tersebut menyaksikan pelbagai konflik yang

berlaku. Kemangkatan sultan tanpa meninggalkan zuriat yang sah, kenaikan bendahara

sebagai pemerintah, tuntutan pihak luar ke atas tahta Johor dan munculnya keluarga baru akan

diperkatakan di dalam artikel ini. Imej Johor-Riau sebagai sebuah pusat perdagangan yang

terkenal pada abad tersebut dicemari oleh insiden pembunuhan ke atas sultan yang

memerintah. Diikuti pula berlakunya komplot oleh golongan elit untuk merampas tahta Johor.

Selain itu, tipu muslihat dan penyingkiran serta kekacauan berlaku di sana-sini kerana adanya

campur tangan daripada pihak luar. Rasa tidak puas hati mendorong pihak tertentu berlaku

belot dalam usaha mendapatkan kembali hak ke atas tahta Johor yang dianggap sebagai milik

keluarganya. Namun yang nyata pergolakan, konflik dan krisis yang berlaku sedikit s ebanyak

telah mencalarkan imej Johor-Riau pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18. Kewujudan

keadaan yang demikian rupa menambahkan menariknya soal ini diberi perhatian kerana ia

sekurang-kurangnya dapat menjelaskan tentang fenomena dalam politik Johor sepanjang

tempoh tersebut.
Pengenalan

Selepas kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511, orang

Melayu yang diketuai oleh raja mereka melarikan diri berkelana ke seluruh rantau kerajaan

untuk menyelamatkan diri daripada buruan orang Portugis dan kemudiannya daripada kerajaan

Aceh yang baru ditubuhkan itu. Ibu negeri mereka sering diserang dan dibakar, dan istana raja

sentiasa berpindah-randah. Pada awal kurun ke-17 keadaan mereka juga tidak terhindar

daripada pensejarahan yang dilakukan oleh kekuasaan Aceh yang pada waktu itu sudah dapat

diramalkan menjadi suatu kuasa yang unggul di Selat Melaka. Hanya selepas tahun 1641,

dengan penaklukan Melaka yang dikuasai Portugis oleh Belanda dan dengan bermulanya

persahabatan yang erat antara Johor dengan Belanda barulah Johor dapat memulakan semula

pemerintahan yang lebih tenteram di sekitar Sungai Johor. Walaupun Johor makmur dan

kekuatannya telah pulih, namun ia sekali lagi telah menjadi mangsa suatu pelanggaran yakni

peristiwa pemusnahan Johor oleh Jambi pada tahun 1673 yang menyebabkan seluruh ibu

kotanya musnah terbakar.1

Peristiwa Pembunuhan ke atas sultan

Di akhir abad ke-17, Kota Tinggi yang terletak di tanah besar Johor pula menjadi pusat bagi

kerajaan Johor. Di sinilah berlakunya pergolakan dalam negeri yang berakhir dengan

pembunuhan ke atas Sultan Mahmud II oleh Megat Seri Rama pada Oktober 1699.2 Baginda

dikenali sebagai Marhum Mangkat di Julang. Dengan kemangkatan baginda bererti berakhirlah

1
Berhubung Perang Johor-Jambi sila lihat, Leonard Y. Andaya. 1987. Kerajaan Johor 1641-1728:
Pembangunan Ekonomi dan Politik. Terj. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 112-137.
2
Sultan Mahmud dikatakan sebagai seorang raja yang zalim dan rendah akhlak. Leonard Y. Andaya.
1987. Kerajaan Johor 1641-1728: Pembangunan Ekonomi dan Politik. Terj. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. 1987. Hlm. 5.
salasilah keturunan sultan dari Kesultanan Melayu Melaka.3 Setelah Sultan Mahmud II dibunuh

dan oleh kerana tidak mempunyai zuriat pengganti, pembesar-pembesar Johor menabalkan

Bendahara Abdul Jalil sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV.

Dengan itu bermulalah pemerintahan keluarga baru di Johor, meneruskan tradisi pemerintahan

Kesultanan Melaka. Keadaan tersebut menimbulkan konflik dan kekacauan berlaku di sana-sini.

Perairan Johor yang sentiasa sibuk sebelumnya sudah mulai lenggang, tidak ada lagi

kapal-kapal dagang yang berlabuh melainkan perahu-perahu kecil. Pedagang-pedagang mulai

takut untuk datang kerana faktor keselamatan yang tidak terjamin. Orang laut yang merupakan

tulang belakang kepada keselamatan di perairan sebelumnya sudah tidak mempedulikan lagi

keselamatan bahkan menjadi penyumbang pula kepada kekacauan yang berlaku pada waktu

itu. Hal ini berlaku kerana orang laut merasakan tidak perlu lagi mempertahankan pemerintahan

kerana sultan yang berdarah keturunan dari bukit Siguntang telah tiada. Keadaan menjadi

semakin tidak terkawal apabila sultan diganti oleh bendahara melalui hasil komplot golongan

pembesar.

Bendahara sebagai pemerintah

Awal abad ke-18 memperlihatkan keadaan Johor yang tidak tenteram, Tun Abdul Jalil (Marhum

Kuala Pahang) yang merupakan bendahara Johor telah mengangkat dirinya sebagai sultan.4

Beliau memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Kenaikannya sebagai pemerintah

daripada keluarga baru yakni keluarga bendahara merupakan hasil komplot di kalangan

golongan elit istana Johor pada masa tersebut. Beliau merupakan anak kepada Bendahara Tun

Habib Abdul Majid.

3
L.Y. Andaya, “Raja Kechil and Minangkabau Conquest of Johore”, JMBRAS, Vol. 45, Pt.2, 1972.
4
Muhammad Yusoff Hashim (pngr.). 1992. Hikayat Siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hlm. xiii.
Sungguh pun berjaya mengangkat dirinya sebagai sultan, namun tidak semudah itu

beliau mempertingkatkan taraf dirinya daripada seorang yang ‘berdarah merah’ kepada seorang

yang ‘berdarah putih’; daripada taraf ‘Tun’ kepada taraf ‘Sultan’ tanpa memikirkan bahawa

tindakan yang cukup berani tetapi bertentangan dengan tradisi dan resam Melayu ini

mencetuskan pergolakan di dalam budaya perpolitikan Melayu yang cukup hebat di perairan ini.

Belum pernah terjadi di dalam sejarah Melayu tindakan politik seperti ini. Anak-anaknya juga

turut menggunakan gelaran ‘Tengku’. Dan tidaklah pula selicin itu itu beliau berjaya di dalam

ikhtiar menegakkan wibawanya sebagai seorang pemerintah dan raja yang berdaulat.

Sepanjang era pemerintahan beliau di antara tahun 1700 hingga 1718 terdapat kalangan yang

menyokong dan menentangnya. Suasana Johor-Riau menjadi gawat. Ini memberikan laluan

kepada perpecahan kuasa dan menggugat keutuhan kuasa pusat, perpaduan anggota

masyarakat menjadi longgar, seterusnya merintis jalan kepada kemasukan unsur-unsur asing

ke dalam institusi politik dan masyarakat Johor-Riau.

Selain faktor tidak mendapat sokongan rakyat jelata dan masalah keselamatan di

perairan,5 kelemahan keperibadian bendahara juga menjadi penyumbang kepada masalah

politik Johor pada tempoh tersebut. Dalam pentadbirannya, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV

banyak bergantung kepada saudaranya Bendahara Tun Mas Anum (1699-1708) dan Raja

Muda Tun Mahmud yang mengetuai menteri-menteri Johor pada tahun 1708-1718. Raja Muda

pula pada ketika itu tinggal di Riau. Keadaan ini mengakibatkan kegelisahan dalam kalangan

rakyat jelata.

5
Orang Laut kerap melakukan kekacauan di perairan Johor. Selain itu mereka telah berpaling tadah yakni
menyokong pihak luar merampas tahta Johor.
Raja Kechil dari Siak

Dinasti Bendahara yang diasaskan oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV seringkali mengalami

keadaan kucau-bilau dalam negeri. Setelah hamper 18 tahun menduduki takhta kerajaan Johor,

Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV telah disingkirkan oleh Raja Kechil dari Siak pada 1718.6 Raja

Kechil mendakwa bahawa beliau adalah putera Sultan Mahmud II dan waris sah takhta

kerajaan Johor.7 Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, menyatakan Sultan Mahmud

mempunyai hubungan dengan Encik Pong iaitu gundiknya hingga menyebabkan Encik Pong

mengandungkan anak Sultan Mahmud yang kemudiannya diberi nama Raja Kechil. Menurut

Tuhfat al-Nafis,

Syahadan maka adalah pada satu malam baginda itu berahikan isterinya peri itu, konon.

Maka terpancarlah manikamnya ke tikar peraduan baginda itu. Maka lalu disuruhnya

telan kepada gundiknya, anak Laksamana bernama Encik Pong. Maka Encik Pong

buntinglah, konon.8

Orang Laut telah menyertai Raja Kechil beramai-ramai dan menerimanya sebagai

putera raja yang diselamatkan secara ajaib, mengakuinya sebagai raja dipertuan dari keturunan

raja-raja Melayu yang asal yang datang untuk menuntut bela atas kemangkatan ayahandanya.

Dengan diperkuatkan oleh kedaulatan dipertuan Minangkabau di Pagarruyung yang menaungi

Raja Kechil, maka dakwaannya itu disifatkan oleh orang-orang Melayu sebagai tuntutan yang

hak dan sah. Menurut silsilah Melayu, raja-raja Minangkabau adalah keturunan salah seorang

Mengenai Raja Kechil sila lihat Abdullah Zakaria bin Ghazali. 1981. “Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil
6

Rahmat Syah 1718-1722: Satu Kajian Tentang Asal-Usulnya”. Jurnal Sejarah Melaka, Bil. 6. Hlm. 48-52.
7
Muhammad Yusoff Hashim (pngr.). 1992. Hikayat Siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hlm. 97.
8
Raja Ali Haji. 1982. Tuhfat al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Hlm. 45.
putera raja yang muncul di Bukit Si guntang dan dengan itu mempunyai asal-usul yang sama

dengan raja-raja yang kemudiannya memerintah Melaka.9

Akhirnya dengan bantuan orang Minangkabau, orang-orang laut dan orang-orang Johor

tertentu Raja Kechil melancarkan serangan ke atas Johor pada tahun 1718, dan akhirnya

berjaya menawannya. Seterusnya pada tahun yang sama Raja Kechil menduduki takhta

kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (1718-1722).

Raja Sulaiman dan Upu-Upu Bugis

Ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah negeri Johor sekali lagi mengalami

keadaan huru-hara. Kali ini putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV, iaitu Raja Sulaiman telah

melancarkan serangan ke atas Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dengan bantuan Upu-Upu Bugis

lima bersaudara,10 untuk menegakkan kembali dinasti Bendahara. Oleh kerana bantuan Upu-

Upu Bugis, Raja Sulaiman berjaya menewaskan Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan

seterusnya Upu-Upu Bugis telah menabalkan Raja Sulaiman di atas tahta kerajaan Johor

dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada tahun 1722.

Kemudiannya sebagai tidak mengingkari janji, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah

(1722-1760) melantik Daeng Marewah (Kelana Jaya Putera) sebagai Yamtuan Muda Johor

9
B.W. & Leonard Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Ed. Ke-2. Basingstoke: Palgrave. Hlm. 94.

10
Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi.
yang pertama dalam persejarahan politik dan pentadbiran Johor.11 Jawatan ini disandang

berterusan oleh keluarga Bugis dan bidang kuasanya amat luas dalam kerajaan Johor.12

Pelantikan Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Johor menandakan kemunculan

kuasa Bugis dalam politik Tanah Melayu. Kini mereka telah bertapak di Johor dan memiliki

bidang kuasa yang boleh melewati bidang kuasa Yang Di Pertuan Besar Sultan Sulaiman

Badrul Alam Syah. Petikan berikut menggambarkan keadaan struktur kuasa politik kerajaan

Johor pada tahun 1722,

Setelah Raja Sulaiman (putera Sultan Abdul Jalil) menjadi Yamtuan Besar sampaikan

kepada turun-temurunnya dan upu berlima menjadi Yamtuan Muda sampaikan kepada

turun-temurunnya juga tiada boleh yang lain…lagi pula Yamtuan Besar jadi seperti

perempuan saja jika diberi makan baharulah makan ia dan Yamtuan Muda jadi seperti

laki-laki dan jika datang satu-satu hal atau apa-apa juga bicara melain dan apa-apa kata

Yamtuan Muda.13

Maka mulai tahun 1722 apabila Sultan Sulaiman dinaikkan takhta, bermulalah tradisi

dan pengaruh politik Bugis di Riau-Lingga kerana jawatan Yam Tuan Muda hanya dikhaskan

kepada keluarga dan suku-sakat Bugis sahaja. Jawatan ini penting sebab diberikan taraf dan

wibawa politik yang melebihi sultan.

11
Daeng Marewah memegang jawatan ini dari tahun 1722-1728. Muhammad Yusoff Hashim. 1988.
Pensejarahan Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. Hlm. 481.
12
Kemudiannya jawatan Yamtuan Muda ini disandang oleh Daeng Chelak, Daeng Kemboja, Raja Haji,
Raja Ali dan Raja Jaafar.
13
Ahmad Fauzi Mohd Basri. 1988. Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya, Kuala Lumpur:
Fajar Bakti. Hlm. 3.
Kesimpulan

Dalam masa 20 tahun tersebut sekurang-kurangnya empat peristiwa penting berlaku dalam

politik kerajaan Johor-Riau. Pembunuhan Sultan Mahmud Syah pada tahun 1699, pertabalan

raja yang berketurunan darah bendahara, penaklukan Miangkabau ke atas Johor pada tahun

1718, dan penyerapan orang Bugis secara beramai-ramai ke dalam struktur sosial dan politik.

Implikasi daripada peristiwa-peristiwa berkenaan menyebabkan negeri-negeri yang pernah

berada di bawah naungan Johor-Riau satu persatu telah membebaskan diri daripada pertuanan

kerajaaan tersebut. Negeri-Negeri seperti Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan

Kelantan telah membentuk Kerajaan Melayu Baru yang merdeka. Pada abad ke-18 juga

menyaksikan kemunculan dan penguasaan Bugis dalam politik di Tanah Melayu sehinggakan

pada abad tersebut ada dalam kalangan sarjana yang menyebutnya sebagai abad Bugis.

Bibliografi

Abdullah Zakaria bin Ghazali. 1981. “Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah 1718-1722:
Satu Kajian Tentang Asal-Usulnya”. Jurnal Sejarah Melaka, Bil. 6.

Ahmad Fauzi Mohd Basri.1988. Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya. Kuala
Lumpur: Fajar Bakti.

Andaya, B.W. & Leonard Y. 2001. A History of Malaysia. Ed. Ke-2. Basingstoke: Palgrave.

Andaya, L.Y. 1972. “Raja Kechil and Minangkabau Conquest of Johore”, JMBRAS, Vol. 45,
Pt.2.

Andaya, L.Y. 1987. Kerajaan Johor 1641-1728: Pembangunan Ekonomi dan Politik. Terj.
Shamsuddin Jaafar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Teks
Publishing Sdn. Bhd.

Muhammad Yusoff Hashim (pngr.). 1992. Hikayat Siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Raja Ali Haji. 1982. Tuhfat al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Anda mungkin juga menyukai