Anda di halaman 1dari 3

Sejak akhir-akhir ini, gejala vandalisme yang melibatkan golongan remaja dan pelajar sekolah

semakin meningkat. Fenomena ini amat menggusarkan hati pelbagai pihak. Bincangkan usaha-usaha
yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menangani gejala negatif ini.

Tema /Isu : gejala vandalisme

Tugasan?Arahan : Usaha-usaha menangani gejala vandalisme

Format : tiada - Pendapat

Sejak akhir-akhir ini, gejala vandalisme atau 'laku musnah ' semakin hari semakin meningkat.
Gejala ini telah menular ke kawasan sekolah apabila gejala ini turut melibatkan pelajar sekolah.
Menurut kamus dewan, vandalisme bermaksud kegiatan merosakkan atau memusnahkan harta
benda awam dan juga harta benda orang lain. Fenomena ini semakin menggusarkan hati pelbagai
pihak memandangkan golongan remaja boleh diibaratkan batu permata yang bakal mencorakkan
masa depan negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memerangi
gejala negatif ini?

Sebenarnya, sebelum membincangkan peranan pihak lain, diri golongan remaja sendiri perlu
diberi perhatian. Hal ini demikian kerana, remaja sendiri dikurniakan akal fikiran untuk berfikir
tentang baik buruknya seuatu perkara. Usaha murni pelbagai pihak untuk memendung gejala
vandalisme tidak akan memberi impak seperti yang diharap-harapkan jika golongan remaja sendiri
tidak bersedia untuk membuat anjakan paradigma dan mengubah persepsi mereka terhadap
kepentingan menghargai kemudahan awam.

Sehubungan dengan itu, remaja perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan bersyukur terhadap
kemudahan yang disediakan. Contohnya, golongan remaja haruslah menggunakan dengan
berhemah dan sentiasa menjaga kemudahan yang disediakan oleh ibu bapa di rumah, kemudahan
dan peralatan di sekolah , malahan kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Golongan remaja wajar mempunyai kesedaran dengan membayangkan kesulitan yang akan timbul
jika mereka tinggal si sesebuah negara yang tidak mempunyai kemudahan awam yang sempurna
seperti negara-negara miskin atau negara yang mengalami pergolakan dan peperangan. Sekiranya
setiap remaja berjaya memupuk kesedaran ini dalam jiwa mereka, sudah pasti mereka tidak akan
tergamak melakukan kegiatan vandalisme ini.

Memang tidak dapat disangkal lagi, ibu bapa perlu memainkan peranan penting sebagai
pihak yang paling hampir dengan remaja. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah
ditanam dalam jiwa anak-anak mereka sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Didikan agama yang sempurna mampu menjadi tembok penghalang remaja daripada
melibatkan diri dalam gejala vandalisme. Hal ini demikian kerana, ajaran agama mementingkan
kebaikan dan melarang melakukan perkara-perkara keburukan. Sehubungan dengan itu, ibu bapa
perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda yang ada di dalam rumah dan
menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di
tempat lain. Justeru, didikan sejak peringkat awal umpama sebutir benih yang ditanam, dibaja, dan
disiram setiap hari, bakal tumbuh menjadi pokok yang subur dan menghijau.

Lanjutan daripada itu, ibu bapa, harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh
anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan anak-anak mereka. Ibu bapa yang cemerlang
ialah yang sering menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak sekolah untuk mengetahui
perkembangan anak-anak mereka terutama dari segi sahsiah. Hal ini disebabkan, tidak mustahil
berlaku apabila tingkah laku anak-anak sangat berbeza semasa di sekolah berbanding semasa di
rumah. Contohnya, terdapat remaja yang serig menimbulkan masalah di sekolah tetapi
dimaklumkan oleh ibu bapa sebagai remaja yang baik tingkah lakunya ketika di rumah. Oleh itu,
sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan
sewajarnya harus diambil sebelum nasi menjadi bubur. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran
tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,
sayangkan anak, tangan-tangankan.

Selain itu, pihak sekolah harus mengambil tindakan tegas terhadap gejala merosakkan harta
benda di sekolah. Contohnya, kes pelajar memecahkan pintu bilik darjah, pintu pagar sekolah, pintu
tandas, merosakkan kerusi meja dan kemudahan sekolah yang lain serta gejala menconteng dinding
bangunan sekolah amat mendukacitakan pihak sekolah. Hal ini demikian kerana, peruntukan yang
besar terpaksa dikeluarkan untuk menggantikan peralatan sekolah yang rosak untuk menyediakan
persekitaran yang kondusif kepada guru dan pelajar sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran
di sekolah. Gejala vandalisme dalam kalangan pelajar di sekolah mesti dibendung sejak awal dengan
mengenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat. Tindakan tegas perlu diambil selaras dengan peraturan
disiplin sekolah contohnya, tindakan amaran, sesi kaunseling, denda malah sehingga lah pelajar
boleh digantung sekolah supaya gejala ini tidak menular kepada pelajar-pelajar lain dan menjadi duri
dalam daging kepada pihak sekolah. Malah program 'Polis Angkat' iaitu pihak polis menjadikan
sekolah sebagai sekolah angkat dan menghantar beberapa orang pegawai polis untuk memberi
ceramah tentang vandalisme atau terlibat dalam program sekolah amat baik untuk mengelakkan
pelajar dari terlibat dalam gejala ini.

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme berlaku
dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Sikap mementingkan diri sendiri bagai enau
dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing harus dikikis apatah lagi jika gejala yang berlaku
tidak melibatkan anak atau saudara mara sendiri. Setiap anggota masyarakat juga tidak harus
besikap lepas tangan dan hanya mengharapkan pihak berkuasa sahaja. Amalan hanya menjaga tepi
kain sendiri, dan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain mungkin tidak lagi relevan bagi
permasalahan vandalisme ini. Justeru, tindakan segera perlu diambil atas perbuatan seperti
menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong
sampah awam. Sebagai contoh, masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat
dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti bayaran denda kepada ibu
bapa yang anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka
terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. Selain itu anggota masyarakat perlu prihatin dan
melaporkan gejala vandalisme kepada pihak berkuasa jika gejala ini bertambah serius di kawasan
perumahan masing-masih. Jika masyarakat sentiasa peka dan prihatin tentang gejala vandalisme ini,
nescaya jalan keluar dapat ditemui untuk menangani gejala yang melibatkan golongan remaja
sebagai aset negara tercinta.

Selain itu, memang tidak syak lagi, pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang drastik.
Umpamanya, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala
vandalisme. Pengisian kempen yang relevan amat perlu dititikberatkan demi meningkatkan
kesedaran semua pihak yang terlibat terutama golongan remaja tentang kesan-kesan negatif gejala
vandalisme ini. Perancangan yang teliti perlu dibuat supaya kempen yang dijalankan berjaya
mengatasi masalah vandalisme ini dan bukanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja'.
Contohnya , siri ceramah, pameran, pertandingan yang berkaitan dengan isu vandalisme perlu
dilaksanakan dengan terancang dan menyeluruh. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut
melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala ini. Kerajaan juga perlu
mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang
aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan
perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti
menyapu sampah, membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah
pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh
pihak berwajib.

Tambahan pula, pihak media massa harus berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk
membasmi gejala vandalisme ini. Media elektronik seperti televisyen umpamanya, mempunyai
pengaruh yang besar terhadap masyarakat terutama remaja. Justeru, pihak penerbit siaran
televisyen harus menyiarkan lebih banyak rancangan yang memberi maklumat dan kesedaran
terhadap buruk dan hinanya gejala vandalisme ini dan tidak hanya menumpukan pada rancangan
yang membawa keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap
masyarakat. Contohnya, rancangan berbentuk rencana, wawancara dengan tokoh yang berkenaan,
drama yang memaparkan pengajaran tentang vandalisme perlu diperbanyak. Begitu juga dengan
media cetak seperti surat khabar, turut berperanan untuk menyiarkan rencana atau artikel tentang
vandalisme. Oleh itu sekiranya wujud kesedaran tentang kesan-kesan negatif gejala vandalisme ini
dalam sanubari segenap lapisan masyarakat , sudah pasti gejala vandalisme ini dapat dibendung.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat serta bersama-
sama melangkah sederap untuk memerangi gejala vandalisme ini. Gejala ini jika dibiarkan mampu
menjadi virus yang akan mencipta jenayah yang lebih besar. Kerajaan bukan sahaja terpaksa
menanggung kerugian malah imej negara di mata para pelancong asing turut tercalar. Justeru,
langkah memerangi gejala vandalisme perlu dilakukan segera demi masa depan generasi muda dan
seterusnya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Marilah kita bertindak segera untuk
‘memerangi’ gejala ini jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.

Anda mungkin juga menyukai