Anda di halaman 1dari 32

sebuah Bangsawan

Batu Belah
Batu Bertangkup

skrip oleh
LENNY ERWAN
(berdasarkan sumber cerita tradisional)

1
@HAKCIPTA TERPELIHARA MARLENNY DEENERWAN
KUALA LUMPUR 2005

WATAK-WATAK

PEKAN
TUAN PUTERI MAYANG MENGURAI
MELUR
SELAMAT
NENEK KEBAYAN
RAJA JAYENG INDERA SAKTI
MAK INANG
SULTAN
PERMAISURI
DATUK BENDAHARA
DATUK TEMENGGUNG
DATUK LAKSAMANA
DATUK SYAHBANDAR
DATUK PENGHULU BENDAHARI
DATUK PAWANG ISTANA
PAWANG MAK DARAT
PARA PEMBESAR ISTANA
PARA PENGAWAL
DAYANG-DAYANG
PARA PENARI ISTANA
PARA PEMAIN KOMPANG/ PENARI ZAPIN
2 ORANG PENGIKUT RAJA JAYENG
ORANG-ORANG KAMPUNG

2
SINOPSIS

Kisah bermula bertahun-tahun selepas berlakunya tragedi Batu Belah Batu


Bertangkup yang memakan ibu si Pekan dan Melur akibat kempunan telur ikan tembakul.
Pekan dan Melur kini telah dewasa dan dipelihara oleh Nenek Kebayan yang bekerja
sebagai pengasuh Tuan Puteri Mayang Mengurai.

Sultan di Kerayong bimbang kerana Tuan Puteri Mayang Mengurai enggan


berkahwin dan menolak pinangan putera-putera raja. Datuk Biduanda mencadangkan
supaya diadakan perlawanan sabung ayam bagi mencari jodoh puteri, kerana menurutnya
jika ayam sabungan gagah dan kuat, pastilah pemiliknya bijak bistari. Cadangan ini
ditentang oleh Datuk Bendahara kerana bimbang berlaku pertumpahan darah hanya
kerana berebutkan seorang puteri, tetapi Sultan meyakinkan Bendahara bahawa ini dibuat
sekadar untuk suka-suka sahaja.

Manakala pada satu hari ayam jantan Pekan yang bernama Bereng telah terlepas
masuk ke dalam taman larangan puteri dan ini membawa kepada pertemuan mereka
berdua. Walaupun pada mulanya Tuan Puteri sangat marah, tetapi budi bahasa Pekan
membuatkan Tuan Puteri jatuh kasih, maka bercintalah mereka berdua.

Apabila tersebar berita bahawa Sultan mahu mengadakan perlawanan sabung


ayam di kalangan putera raja, Pekan sangat sedih kerana dia hanyalah rakyat biasa.
Tetapi Tuan Puteri mencadangkan Pekan menyamar sebagai putera raja dengan
membawa ayamnya si Bereng serta meletakkan bisa racun di taji si Bereng supaya boleh
mengalahkan semua ayam yang lain. Pekan bersetuju.

Pada hari perlawanan, Raja Jayeng Indera Sakti datang dengan hajat yang besar
untuk mengahwini Tuan Puteri, dengan membawa ayamnya yang terkuat. Tetapi
ayamnya telah kalah di tangan Si Bereng. Sultan memenuhi janji dengan bersetuju
mengahwinkan Tuan Puteri dengan si Pekan walaupun tahu Pekan bukanlah putera raja
sebenar.

Raja Jayeng yang marah dan merasakan maruahnya tercabar, datang menemui
Dukun Mak Darat bagi menyihir pasangan itu di hari perkahwinan mereka. Sihirnya
menjadi dan menyebabkan Tuan Puteri serta Pekan pengsan di majlis persandingan.
Melur segera teringat pesan arwah ibunya sebelum ditelan batu, sekiranya berlaku
kecelakaan antara mereka dua beradik, maka ambillah air di Batu Belah Batu Bertangkup
sebagai penawar. Mereka membawa Tuan Puteri ke hadapan batu dan berjaya
memulihkannya. Raja Jayeng yang marah segera menyerang dengan senjata tetapi belum
sempat menikam Pekan, dia telah ditikam oleh Melur.

3
Sultan sangat bersedih dengan kejadian ini dan menyesal kerana tidak menurut
kata Bendahara supaya tidak diadakan perlawanan sabung ayam kerana ia akan
menyebabkan pertumpahan darah.
Selesai lagu pembukaan, ketika muzik syair bermula, tirai pentas terbuka sedikit dan
kesan bunyi menggerunkan mulai kedengaran. Efek asap kelihatan di antara bukaan
tirai itu.

SYAIR PEMBUKAAN
Dengarkan kami membuka kisah
dengan lafaz kata Bismillah
cerita lama kami bermadah
untuk ingatan sekalian ummah

Ingatkah lagi ceritera ini


Batu Belah Batu Bertangkup nama diberi
Melur dan Pekan empunya diri
ditinggal ibu sedihnya hati

Bunyi menggerunkan bergema lagi. Kelihatan IBU berlari menuju ke arah bukaan
tirai sambil menangis.

IBU
Wahai Batu Belah Batu Bertangkup, kau telanlah aku, kau makanlah aku. Suamiku sudah
mati, anak-anakku tidak sayangkan aku lagi.

Muncul MELUR dan PEKAN ketika kecil mengejar IBU dan apabila sampai mereka
menarik IBU tetapi sudah terlambat kerana IBU sudah pun ditarik masuk ke dalam
bukaan tirai itu (Batu Belah Batu Bertangkup). MELUR dan PEKAN menangis dan
berlalu pergi dalam kesedihan.

Dewasa sudah Melur dan Pekan


dijaga oleh nenek kebayan
negeri Kerayong tempat bertuan
menumpang kasih sayangnya orang

Setia Melur menjaga adiknya


supaya jadi insan berguna
satu pesanan ibu tercinta
dikenang Melur selama-lamanya

VOICE OVER:
Wahai anakku Melur dan Pekan, tinggallah kamu dua beradik, pergilah ibu membawa
diri, minta dimakan si Batu Belah Batu Bertangkup. Tapi anakku, ingatlah pesan ibu.

4
Kiranya ada celaka menimpa tubuh dan badan, datanglah mencari penawar di Batu Belah
Batu Bertangkup. Selamat tinggal anakku, jagalah dirimu baik-baik.

Muzik penutup syair bergema.


BABAK 1
ISTANA KERAYONG

Ketika tirai dibuka, SULTAN dan PERMAISURI telah sedia bersemayam di atas
takhta. PARA PEMBESAR juga siap-sedia di tempat masing-masing. Tarian daripada
PENARI ISTANA sedang berlangsung tetapi SULTAN tampak gusar dan tidak
tenang. Belum pun sempat tarian diselesaikan, SULTAN bangun daripada takhta.
BENDAHARA terkejut dan menitahkan PARA PENARI berhenti menari, muzik juga
berhenti. Semua PEMBESAR turut berdiri apabila SULTAN berdiri.

BENDAHARA
Ampun tuanku duli mahkota. Ampunkan patik ingin bertanya, apakah gerangan apakah
angkara, hingga tuanku kelihatan lemah, tidak bermaya. Usahlah tuanku masyhgul
seorang diri, sebarang sengketa khabarkanlah kepada kami. Patik sekalian bersedia
menjunjung duli. Ampun tuanku.

SULTAN
Ayuhai ayahanda Bendahara. Bukanlah beta berduka kerana ancaman mana-mana seteru.
Negeri kita makmur bahagia, tiada bala tiada bencana. Tapi beta tidak gembira,
mengenangkan anakanda puteri nan satu.

BENDAHARA
Ampun tuanku. Apakah gerangan yang telah menimpa anakanda Puteri Mayang
Mengurai?

SULTAN
Ayuhai Bendahara, tiadalah sebarang jahat, malah anakanda puteri berlaku cermat. Beta
hanya memikirkan, bagaimanakah Kerayong ini di masa mendatang. Puteri Mayang
Mengurai puteri beta nan seorang, siapakah akan memerintah dan melawan jika nanti
diserang?

BENDAHARA
Ampun patik tuanku, patik yang hina kurang mengerti titah baginda.

PERMAISURI
Ampun kekanda, izinkan adinda memberi bicara.

SULTAN
Silakan adinda.

5
PERMAISURI
Wahai ayahanda Bendahara, ada pun maksud duli tuanku, siapakah yang akan
menguruskan hal-ehwal negeri ini, kiranya beta berdua kembali kepada Illahi? Puteri
Mayang Mengurai hanya seorang puteri, mampukah anakanda mengendali negeri?
BENDAHARA
Ampun tuanku duli shah alam. Sekiranya itulah punca tuanku gundah-gulana, patik
sekalian turut berdukacita. Ampun tuanku.

SULTAN
Beta ingin melihat anakanda Puteri bersuamikan seorang putera yang mampu memerintah
negeri. Tetapi sehingga kini semua utusan peminangan anakanda Puteri enggan. Kata
anakanda, belum bertemu hajat di hati. Lagi pula, takkanlah perigi yang mencari timba.

Semua orang diam dan ikut berfikir.

DATUK TEMENGGUNG
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Bukankah tidak lama
lagi, negeri ini akan menyambut ulangtahun kelahiran tuan Puteri? Pada waktu itu,
adakanlah pertandingan beradu tenaga, yang dapat mengumpulkan putera-putera raja di
sekitar rantau ini. Manalah tahu, terbuka hajat Puteri untuk memilih seorang suami,
daripada putera yang gagah perkasa.

Semua orang bersetuju.

SULTAN
Molek juga cadangan Datuk Temenggung.

BENDAHARA
Ampun tuanku. Maafkan patik yang hina, memberi bicara. Adatnya kita, kalau
perempuan yang jadi pertaruhan, pasti ada yang binasa. Tidaklah molek kalau hanya
kerana berebutkan seorang puteri yang cantik, ada darah yang menitik. Ampun patik
tuanku.

SULTAN
Benar juga bicara ayahanda Bendahara.

DATUK TEMENGGUNG
Ampun patik tuanku. Wahai Datuk Bendahara, memang benar bicara datuk, kita tidak
mahu darah manusia akan tumpah. Tetapi apa bicara tuanku, sekiranya darah yang kita
titiskan itu, bukan darah manusia?

SULTAN
Apa maksud Datuk Temenggung?

6
DATUK TEMENGGUNG
Ampun patik tuanku, putera-putera raja dan orang-orang muda gemar menyabung ayam.
Mengapa tidak kita adakan saja perlawanan menyabung ayam? Ampun tuanku.

SULTAN
Bagaimana bicara ayahanda Bendahara?

BENDAHARA
Ampun tuanku duli mahkota. Perlawanan menyabung ayam, dengan taruhannya puteri
raja?

DATUK TEMENGGUNG
Ampun tuanku, kalau gagah ayam peliharaannya, pasti gagah juga tuan pemiliknya.
Bukankah kegagahan itu lambang kebijaksanaan? Lagipun Datuk Bendahara, bukankah
telah tuanku titahkan, peraduan ini bukan untuk menjodohkan puteri. Tetapi hanya untuk
membuka mata, kalau-kalau putera idaman ada di hadapan mata.

SULTAN
Benar kata Datuk Temenggung. Ayuhai ayahanda Bendahara, janganlah diberatkan
sangat akan perlawanan ini. Kita adakan dahulu dengan tujuan berpesta, sekiranya putera
yang menang bijaksana orangnya, dan anakanda Puteri pun suka, maka kita umumkanlah
dia menjadi Putera Mahkota. Jika tidak, beta juga tidak mahu anakanda puteri hidup
dalam sia-sia.

BENDAHARA
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Segala titah perintah
tuanku terjunjung di atas batu jemala patik. Ampun tuanku.

SULTAN
Datuk Temenggung, sebarkanlah perlawanan ini. Seluruh negeri pasti terhibur
melihatnya.

DATUK TEMENGGUNG
Sembah dijunjung tuanku.

SULTAN
Sekarang beta dan adinda Permaisuri ingin bertemu dengan tuan puteri, menitahkan
sendiri khabar ini.

SEMUA PEMBESAR
Menjunjung titah tuanku.

Tirai ditutup.

7
BABAK 2
RUMAH NENEK KEBAYAN

Tirai dibuka. PEKAN dan SELAMAT sedang bersilat umpama dua orang sedang
bermusuh. Satu ketika, PEKAN mengeluarkan kerisnya lalu mahu menikam
SELAMAT, ketika ini NENEK keluar dari rumah dan menjerit marah.

NENEK
Sudahlah tu Pekan, Selamat!

Aksi mereka terhenti, memandang NENEK dan kemudian ketawa besar. PEKAN
menarik tangan SELAMAT membantunya bangun.

NENEK
Kamu berdua ni, tak sudah bersilat di gelanggang, di halaman rumah pun nak menunjuk
jantan.

PEKAN
Alah nek, janganlah marah. Kami berdua bergurau-senda.

SELAMAT
Iyalah nek, Tok Guru mengajar buah silat yang baru.

PEKAN
Selamat, mari kita tengok si Bereng. Aku takut dia terlepas lari, susah nanti nak cari.

SELAMAT
Mari.

Ketika itu MELUR baru keluar dari dalam rumah. Apabila SELAMAT terpandang
MELUR, SELAMAT cuba mengusik tapi MELUR buat-buat marah kepadanya.
PEKAN terus menarik SELAMAT ke belakang rumah. MELUR menghampiri
NENEK yang sedang membuat ramuan air wangi di halaman rumah.

MELUR
Nek, malam tadi Melur mimpikan ibu lagi. Sudah tiga malam berturut-turut nek, hati
Melur rasa tak sedap. Tiga mimpi berlalu, pesan ibu tetap begitu. Katanya, kalau berlaku
bala bencana kepada Melur dan Pekan, datanglah mencari penawar di Batu Belah Batu
Bertangkup. Apakah ertinya mimpi Melur ini nek?

8
NENEK
Melur, sudah sering dikatakan orang. Mimpi itu perhiasan malam, permainan tidur.
Janganlah Melur bimbang. Kalau berterusan hatimu tak sedap, mohonlah perlindungan
daripada Allah cu.

PEKAN dan SELAMAT muncul kembali membawa ayam.

PEKAN
Amboi! Wanginya! Bau apa yang wangi ni nek?

SELAMAT
Agaknya wangi rambutmu Melur?

MELUR (mencebik)
Tak payah kau memuji aku Selamat. Aku tak suka.

SELAMAT
Wah, dipuji pun kau tak suka. Mahu kau, kalau aku mengejekmu sepanjang masa?

NENEK
Sudahlah Selamat, jangan diganggu si Melur. Nanti dia tak mahu masak untuk kamu
berdua lagi. Pekan, nenek sedang membuat ramuan air Perindu Malam.

PEKAN
Air Perindu Malam? Untuk apa gunanya nek?

NENEK
Bukan sebarang air, ini air pengasih. Barang siapa terkena baunya, pasti akan merindu-
rindu setiap malam.

SELAMAT
Kalau begitu, bagilah saya sedikit nek.

NENEK
Kau nak buat apa Selamat?

SELAMAT
Saya nak berikan pada si Melur, supaya dia merindu saya setiap malam.

9
Semua mereka ketawa. MELUR marah dan berjalan naik ke rumah.

MELUR
Pada aku merindu kau, baik kurindu si Bereng!

Mereka ketawa lagi, MELUR merajuk terus masuk ke dalam rumah. SELAMAT
mengikut dan memanggil-manggilnya dari belakang mahu memujuknya, tetapi tidak
dipedulikan oleh si MELUR. PEKAN menghampiri NENEK.

PEKAN
Untuk siapa nenek buatkan air itu?

NENEK
Ini untuk Tuan Puteri Mayang Mengurai. Tuan Puteri suka wangian ini, selalu disapu
pada tubuhnya selepas bersiram.

PEKAN
Nek, nek. Tuan Puteri Mayang Mengurai itu, cantikkah nek?

NENEK
Pekan, namanya saja Tuan Puteri. Bagai bulan bersuluh penuh, bagai bunga kembang
setaman. Tapi, janganlah kau bermimpi di siang hari. Dijolok dengan galah pun, belum
tentu kau tercapai.

PEKAN
Ah, tidaklah nek. Saya bertanya saja.

NENEK
Pergilah kau berdua naik, si Melur dah masak. Selamat, janganlah lagi kau mengganggu
si Melur, nanti satu kerja pun dia tak mahu buat. Nenek nak ke istana, menghantar air ini
pada Tuan Puteri.

PEKAN
Nek, jangan lupa beritahu puteri, nenek ada cucu bernama Pekan ya.

NENEK pergi sambil menggeleng-geleng.

SELAMAT
Marilah kita naik makan.

PEKAN
Ah, kau bukan nak makan. Kau nak mengusik kakakku saja.

10
SELAMAT
Aku laparlah Pekan.

PEKAN
Nanti lepas makan kita bawa lagi si Bereng berjalan ya.

SELAMAT
Ya, ya!

Mereka masuk ke dalam rumah. Tirai ditutup.

11
BABAK 3
TAMAN PUTERI

TUAN PUTERI MAYANG MENGURAI sedang bersiram sambil menyanyi bersama


dayang-dayangnya. Sambil mereka menyanyi, kelihatan PEKAN termasuk ke dalam
kawasan taman untuk mencari ayamnya. PEKAN terdengar nyanyian dan mula
mengintai.

LAGU BERSIRAM

DAYANG: Turunlah puteri bersiram wangi


Bermandi air Perindu Malam
Seri seluruh langit dan bumi
Cantiknya Puteri Mayang Mengurai

PUTERI: Awan bersepuh hujan nak luruh


Tiup bahtera di laut Jawa
Ingin ku tempuh langit yang tujuh
Mencari putera idaman jiwa

DAYANG: Turunlah puteri bersiram wangi


Bermandi air Perindu Malam
Seri seluruh langit dan bumi
Cantiknya Puteri Mayang Mengurai

PUTERI: Pohon mengkudu si pohon sena


Rendanglah lagi pohon ketapang
Akanku tunggu kasih berbunga
Walaupun nanti nyawaku hilang

Di penghujung lagu, sekumpulan DAYANG menuju ke arah PEKAN bersembunyi


untuk memetik bunga. Mereka ternampak PEKAN lalu menjerit. Nyanyian terhenti
dan TUAN PUTERI keluar dari dalam kolam. PEKAN mahu lari tetapi TUAN
PUTERI memanggilnya.

TUAN PUTERI
Hei pencuri! Jangan cuba melarikan diri, kelak binasa nyawamu nanti. Dayang,
panggilkan pengawal!

PEKAN

12
Tuan puteri, ampunkan patik tuan puteri. Janganlah tuan puteri menghukum patik, patik
tidak berniat buruk. Patik mencari ayam patik tuan puteri.

TUAN PUTERI
Dayang! Tunggu dulu!

(Menghampiri PEKAN)

Kenapa mencari ayam, di taman larangan beta?

PEKAN
Patik tak tahu pun ini taman larangan tuan puteri. Patik hanya mengikut kaki, ayam patik
tidak patik temui. Kalau tuan puteri izinkan, biarlah patik berundur sekarang.

TUAN PUTERI
Aduhai! Sudah mengintip, mahu lari pula? Apa yang tuan hamba nampak tadi?

PEKAN
Nampak apa tuan puteri?

TUAN PUTERI
Tuan hamba nampak beta bersiram bukan? Beta cungkil mata tuan hamba nanti.

PEKAN
Tidak tuan puteri. Patik tak nampak apa-apa. Patik cuma mencari ayam saja. Tapi, yang
pasti, patik tercium haruman wangi.

TUAN PUTERI
Haruman wangi?

PEKAN
Ya, haruman Perindu Malam. Pasti patik tak boleh tidur malam ini.

TUAN PUTERI
Bagaimana kamu tahu, air wangi beta bernama Perindu Malam?

PEKAN
Ampunkan patik tuan puteri. Sebenarnya nenek pengasuh yang membuatkan air Perindu
Malam untuk tuan puteri, adalah nenek patik. Nenek selalu bercerita, akan kecantikan
tuan puteri. Bagai bulan bersuluh penuh, bagai bunga kembang setaman. Sungguh, tuan
puteri memang rupawan, lebih jelita daripada yang diceritakan oleh nenek.

TUAN PUTERI sungguh terpesona dengan cara PEKAN memuji dirinya. DAYANG-
DAYANG berbisik-bisik sesama sendiri.

13
TUAN PUTERI
Dayang-dayang, silakan pergi jauh sedikit. Tinggalkan beta dan orang muda, ada perkara
ingin bicara.

DAYANG-DAYANG pergi sambil berketawaan, mengusik TUAN PUTERI.

TUAN PUTERI
Adakah tuan hamba yang bernama si Pekan?

PEKAN
Tuan Puteri tahu nama patik?

TUAN PUTERI
Nenek juga ada bercerita, dia mempunyai dua orang cucu yang sangat disayanginya.
Yang seorang bernama Melur, dan adiknya bernama Pekan. Beta sangkakan, si Pekan itu
budak-budak bodoh, rupanya …

PEKAN
Rupanya apa Tuan Puteri?

TUAN PUTERI
Rupanya bagai kulit digosok limau, berseri memancar kilau.

PEKAN
Maafkan patik Tuan Puteri, kerana menceroboh taman ini. Masihkan puteri ingin
mencungkil mata patik?

Seorang DAYANG masuk sambil berlari.

DAYANG
Ampun tuan puteri, Sultan dan Permaisuri berangkat ke mari.

TUAN PUTERI kelam-kabut menyuruh PEKAN pergi. PEKAN melarikan diri.

PEKAN
Patik pergi dulu Tuan Puteri, sungguh gembira dapat berbicara dengan puteri, tetap
dikenang di dalam hati. Patik berundur diri Tuan Puteri.

14
TUAN PUTERI
Pekan,
Orang pantai tanam selasih
Duduk menanam di waktu fajar
Beta tak pandai bermain kasih
bolehkah tuan menunjuk ajar?

DAYANG
Tuan puteri, lekas!

TUAN PUTERI dan PEKAN berpisah dengan renungan mata bertaut. Kedua-dua
mereka jelas ada menyimpan hati. Akhirnya, PEKAN pergi dan TUAN PUTERI
beserta DAYANG bersiap menyambut kedatangan Sultan.

TUAN PUTERI
Mari, kita ke gerbang taman.

Mereka bergerak. Tirai ditutup.

15
BABAK 4
RUMAH NENEK KEBAYAN

Tirai dibuka dan PEKAN sedang duduk termenung bersama si Bereng di halaman
rumah. Sambil itu SELAMAT sedang mengusik MELUR di tangga rumah.

SELAMAT
Melur,
Dari Jasin hendak ke Bidor
Singgah bersantap di Tanjung Pinang
Tikus lalu menggoyang ekor
Kenapa kucing tak lalu memandang?

MELUR
Singgah bersantap di Tanjung Pinang
Pergi ke Bidor jalan sehari
Macamana kucing nak lalu memandang
Tikusnya busuk tak sedar diri

SELAMAT (merajuk)
Sampai hati kau menghina aku Melur. Ya, aku insan tak sedarkan diri, hidup di dunia
sebatang kara. Menumpang kasih pada yang sudi, tapi sayang dia tak rela.

MELUR
Aku bukan menghina kau Selamat. Tapi kau suka mengusik aku. Tidak bolehkah kau
berkata-kata, seperti seorang anak muda yang budiman?

SELAMAT
Biarlah kata-kata tak seindah rupa Melur, yang penting hatiku mulia.

NENEK masuk.

NENEK
Selamat, kau ganggu si Melur lagi?

SELAMAT
Tidak nek, kami bergurau senda sahaja, kan Melur?

NENEK menghampiri PEKAN yang termenung. SELAMAT terus mengusik MELUR.

16
NENEK (menyindir PEKAN)
Pekan, kenapa sejak kebelakangan ini, nenek lihat langit selalu nak mendung? Tapi yang
nenek hairankan, tiada angin tiada pula ribut. Tiada guruh, petir pun tidak berdentum.
Hujannya tetap tak turun-turun. Kenapa ya?

PEKAN
Entahlah nek. Mungkin air hujan dikendong awan. Sampai masanya nanti, runtuhlah ia.
Mungkin juga, itu tandanya tengkujuh bakal menjelma.

SELAMAT
Hairan juga ya nek. Mendungnya makin gelap, waktu hari semakin malap. Jangan-jangan
air yang nak mencurah tu air Perindu Malam tak nek?

PEKAN
Diamlah kau Selamat.

SELAMAT mentertawakan PEKAN. PEKAN membalingnya dengan batu. SELAMAT


kesakitan, MELUR pula mentertawakannya.

NENEK
Pekan, janganlah kau sangka nenek tidak tahu apa-apa.

PEKAN (terkejut)
Apa yang nenek tahu?

NENEK
Bukankah setiap hari Nenek berulang-alik ke istana Tuan Puteri. Masakan Nenek tidak
mendengar dari yang empunya diri?

PEKAN
Nenek marahkah pada Pekan?

NENEK
Nenek tidak marah padamu cu. Tapi Nenek sekadar berpesan, supaya Pekan gunakan
fikiran. Walaupun merpati mahu terbang bersama gagak, tapi buruknya kan nampak jua.
Hidup kita mencari jalan bahagia, jangan dipanggil sengsara. Lihatlah pondok buruk kita
cu, takkan sama mahligai kayangan.

PEKAN
Tapi bagaimana kalau tangan yang bertepuk, berbunyi kedua-duanya nek?

17
NENEK
Darah muda mengalir muda, selalu lupa pada tingginya langit dan tajam duri di bumi.
Pekan, tuan puteri akan dijodohkan dengan putera raja. Tentu kau tahu, di mana duduk
letak dirimu.

NENEK masuk ke dalam rumah. MELUR dan SELAMAT hanya diam memandang
PEKAN yang bersedih. MELUR menghampiri PEKAN.
MELUR
Pekan adikku, janganlah ditentang kata nenek. Dia telah menjaga kita, sejak kecil hingga
dewasa. Cukup minum dan makan, kasih sayang pun tidak berkurang. Janganlah sakitkan
hatinya ya dik.

PEKAN
Pekan tidak melawan nenek kak Melur. Pekan tau kita terhutang budi padanya. Kalau
bukan dia yang mengambil kita, entah apa jadi nasib kita berdua. Tapi ini soal hati dan
perasaan Pekan kak.

MELUR
Berkasih pada yang sayang, bercinta pada yang sudi dik. Jangan hidung tak mancung,
pipi yang tersorong. Jangan orang menanam padi, kita hanya dapat hampasnya. Kakak
tak mau kau menderita.

PEKAN
Sudahlah kak. Jangan memujuk Pekan lagi, Pekan sudah dewasa. Pekan tahu berfikir
sendiri. Tengoklah diri kakak, kerana bencikan kasih dan sayang, hingga sekarang kakak
langsung tiada berteman. Apa kakak mahu jadi anak dara tua?

SELAMAT
Pekan!

MELUR terkejut, menangis dan naik ke rumah.

SELAMAT
Kenapa kau berkata begitu pada Melur, Pekan? Dia kakakmu. Seluruh kasih sayangnya
ditumpahkan padamu. Dia pernah memberitahu aku, dia takkan berkahwin selagi belum
melihat dirimu bahagia.

PEKAN diam dan hanya tunduk kesal.

SELAMAT
Pekan, sebenarnya aku telah mendengar khabar. Tapi aku tak sampai hati memberitahu.

18
PEKAN
Khabar apa Selamat?

SELAMAT
Ulang tahun tuan puteri bakal menjelang, Sultan memerintahkan supaya putera-putera
raja datang menyabung ayam. Ayam siapa yang menang, maka tuannya boleh jadi
terpilih menjadi Putera Mahkota, beristerikan Tuan Puteri.
PEKAN terdiam, menyimpan si Bereng ke dalam sangkarnya dan kemudian pergi
meninggalkan SELAMAT. Tirai ditutup.
BABAK 5
TAMAN ISTANA

SELAMAT masuk sembunyi-sembunyi. Gayanya memanggil seseorang. Tidak lama


kemudian muncul MAK INANG.

SELAMAT
Kenapa lambat sangat Mak Inang? Sudah lama hamba menanti di sini.

MAK INANG
Hamba lambat sebab hamba bersiap-siap. Tengok rambut hamba, banyak sungguh bunga.
Wangi tak rambut hamba ni?

SELAMAT
Wangi Mak Inang. Mana Tuan Puteri? Mak Inang beritahu tak si Pekan nak bertemu
dengannya hari ini?

MAK INANG
Tuan Puteri sedang dalam perjalanan ke sini. Tuanku Sultan dan Permaisuri ada di dalam
istana, jadi Tuan Puteri mesti berhati-hati, bimbang nanti dicurigai.

SELAMAT
Pekan juga sedang menunggu di balik sana. Nanti kalau Tuan Puteri datang, Mak Inang
khabarkan kepada hamba ya.

SELAMAT mahu pergi, tapi MAK INANG menahannya.

MAK INANG
Eh, eh Selamat. Nantilah dulu. Sementara menunggu Tuan Puteri tiba, apa salahnya kita
berdua-duaan di sini.

SELAMAT
Eh, tak manis begitu Mak Inang. Apa nanti dikata orang?

19
MAK INANG
Mana ada orang di sini Selamat, kan kita berdua saja. Selamat, Selamat, tuan hamba
sudah ada yang punya?

SELAMAT
Kenapa Mak Inang tanya?

MAK INANG
Kalau tuan hamba belum berpunya, hamba pun belum berpunya.

SELAMAT
Eh, eh perigi mencari timba.

MAK INANG
Apa kata tuan hamba? Perigi mencari timba. Tuan hamba dah menghina hamba. Baik,
kalau begitu, hamba beritahu Tuan Puteri supaya tak payah datang ke mari.

SELAMAT
Janganlah Mak Inang. Janganlah merajuk. Hamba bergurau sahaja. Sebenarnya hamba
sedang berdukacita.

MAK INANG
Kenapa pula?

SELAMAT
Kalau Mak Inang nak tahu, pertemuan Pekan dan Tuan Puteri ini, adalah pertemuan yang
terakhir kali.

SELAMAT dan MAK INANG tidak sedar bahawa TUAN PUTERI MAYANG
MENGURAI sudah tiba pada waktu ini dan mendengar percakapan mereka.

MAK INANG
Hah? Pertemuan terakhir kali? Kenapa Selamat?

SELAMAT
Pekan sungguh sedih, mendengar Tuan Puteri bakal dikahwinkan dengan putera raja ...

Waktu ini SELAMAT sedang berpaling ke belakang dan ternampak TUAN PUTERI.
SELAMAT terkejut dan hampir terpeluk MAK INANG.

TUAN PUTERI
Selamat, benarkah bagai dikata?

20
SELAMAT (gagap)
Ampun Tengku Puteri, patik ... patik ... panggilkan Pekan.

SELAMAT pergi kelam-kabut.

TUAN PUTERI
Mak Inang, benarkah apa yang dikatakan oleh si Selamat itu?

MAK INANG (pura-pura menyahut panggilan)


Ya Tuanku. Patik datang. Ampun Tengku Puteri, Tuanku Permaisuri panggil patik. Patik
pergi dulu ya.

MAK INANG pergi tergopoh-gapah. TUAN PUTERI keliru dan bersedih. Nyanyian
lagu tarik nasib bermula. Di tengah lagu akan muncul PEKAN menyanyi bersama.

LAGU TARIK NASIB

PUTERI
Gendang ditabuh jiwaku rawan
tarian duka senandung hiba
malang sungguh bunga di taman
menanti cahaya mendung yang tiba

PEKAN
Di malam hari aku merindu
wajahmu tidak aku lupakan
Di dalam hati di lubuk kalbu
di situ dinda kanda pujakan

PUTERI & PEKAN (bersilih baris)


Budi dan sayang sudah terukir
sumpah setia sehidup semati
Janji tak akan pernah kumungkir
walaupun embun menjadi api

Lagu tamat. PUTERI MAYANG MENGURAI menangis hiba.

TUAN PUTERI
Kanda Pekan, benarkah pertemuan ini adalah pertemuan kita yang terakhir kali?
Mengapa begitu kehendak kanda?

PEKAN
Dinda, mengapakah dinda tidak berterus-terang saja, bahawa dinda akan berjodoh dengan
seorang putera raja?

21
TUAN PUTERI
Kekanda Pekan, dinda tidak ingin mengkhabarkan, kerana khabar itu melukakan hati
dinda. Tak sanggup rasanya berpisah dengan kekanda. Kasih kita telah dinda tautkan di
dalam hati.

PEKAN
Benarlah kata Nenek, gagak usah bermimpi terbang bersama merpati. Belum sampai di
langit tinggi, jauh ditinggal pergi, tetap berpatah hati.

TUAN PUTERI
Janganlah kekanda Pekan berkata sedemikian rupa. Hancur hati dinda mendengarnya.

Mana kuletak kain yang putih


putih sudah ditabur arang
mana hendak kubuang kasih
kasih sudah bercampur sayang

PEKAN
Dinda,
Handal pahlawan membelah bukit
mencari penawar puteri tercinta
kasih dan sayang bukan sedikit
rasa nak mati bersama-sama

TUAN PUTERI
Kalau kanda benar-benar kasih pada adinda, bawalah adinda pergi dari sini,
sembunyikanlah adinda di pondok nenek, biarlah semua orang tidak lagi melihat adinda,
asalkan kita berdua bahagia selama-lamanya.

PEKAN
Usahlah berfikiran begitu dindaku sayang, kelak binasa badan. Adinda Puteri Diraja,
jodohnya juga tentu sang putera. Siapalah kanda untuk berdiri bersama adinda, bagaikan
serpihan kaca, berderai di mata intan.

TUAN PUTERI
Kenapakah kanda lekas berpatah hati? Kemanakah pergi sayang kekanda yang sepenuh
hati? Takkanlah hanya kerana ayahanda inginkan putera raja, maka kekanda terus
berputus asa?

22
PEKAN
Apa maksud adinda?

TUAN PUTERI
Kekanda juga boleh bertaruh gagah di medan sabung. Kalau ayam kekanda menang,
dinda boleh membuat pilihan.

PEKAN
Tapi bagaimana kalau si Bereng kalah dinda?

TUAN PUTERI
Bukankah kekanda pernah berkata pada adinda, bahawa taji ayam jika ditaruh akan
pokok beracun, akan menumpaskan semua lawannya. Bukankah itu satu cara untuk
memenangi perlawanan itu nanti?

PEKAN
Ya, benar kata adinda. Pokok beracun? Baiklah adinda, sekarang kanda melihat jalan
yang baik, terbentang memberi peluang. Biarlah kanda balik dahulu, membawa Selamat
mencari pohon beracun di hutan Kerayong. Kelak membawa tuah pada Si Bereng di
gelanggang lawan.

TUAN PUTERI
Silakan kekanda. Adinda menanti penuh harapan.

PEKAN pergi dengan pantas. TUAN PUTERI memberi pandangan penuh


mengharap. Tirai ditutup.

23
BABAK 6
GELANGGANG SABUNG AYAM

Ketika tirai dibuka, sabung ayam sedang berlangsung, tetapi telah berada di
penghujung perlawanan dan ayam RAJA JAYENG INDERA SAKTI memenangi
perlawanan. RAJA JAYENG INDERA SAKTI sedang meraikan kemenangannya
dengan angkuh sekali. Perlawanan turut disaksikan oleh SULTAN, PERMAISURI,
TUAN PUTERI dan PARA PEMBESAR. TUAN PUTERI sungguh benci melihat
keangkuhan RAJA JAYENG dan juga gelisah kerana PEKAN belum sampai.

RAJA JAYENG INDERA SAKTI


Ada sesiapa lagi ingin melawan ayam beta? Ini Jalak Bukit Berapi, datanglah beribu
ayam sekalipun, semuanya akan kecundang di hujung taji.

Semua diam dan tidak ada sesiapa lagi ingin melawan.

PENGIKUT RAJA JAYENG


Ampun tuanku beribu ampun, nampaknya ayam kepada raja patik telah berjaya
menunjukkan kehandalannya. Apalah kata jika kita segerakan pengisytiharan
kemenangan. Ampun patik tuanku.

SULTAN
Benar kata tuan hamba. Datuk Bentara, isytiharkan kemenangan ayam Raja Jayeng
Indera Sakti.

TUAN PUTERI
Ampun anakanda, ayahanda. Mohon kiranya ayahanda menunggu lagi barang seketika,
kalau-kalau ada lawan bakal menjelma.

RAJA JAYENG
Wahai Tuan Puteri Mayang Mengurai, indah rupa bak daun emas sehelai, ayam beta
ayam ternama, jangankan ayam di dalam negeri, dari luar juga belum tentu dapat
ditanding.

SUARA SELAMAT (dari luar)


Nanti dulu!

Semua orang menoleh. Muncul PEKAN dan SELAMAT. TUAN PUTERI gembira
sekali.

24
SELAMAT
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembahkan patik harap diampun. Maafkan patik dan
… erm …. raja patik. Lambat tiba ke gelanggang sabungan.

TUAN PUTERI
Tidak mengapa tuan hamba. Teruskanlah perlawanan.

Semua orang memandang TUAN PUTERI dengan hairan. TUAN PUTERI serba-
salah.

SULTAN
Baiklah, kita teruskan lagi perlawanan.

DATUK TEMENGGUNG
Dengan limpah perkenan duli tuanku, kita teruskan persabungan ayam si Jalak Bukit
Berapi kepunyaan Raja Jayeng Indera Sakti, dengan ayam … apa nama ayamnya?

SELAMAT
Si Bereng!

DATUK TEMENGGUNG
… ayam Si Bereng kepunyaan … putera dari negeri mana?

SELAMAT
Erm …. Erm … di hilir….

DATUK TEMENGGUNG
Putera dari negeri Di Hilir.

Orang ramai bersorak. Kedua-dua ayam dilepaskan dan bertarung. Pertarungan


begitu sengit, dan berakhir dengan kemenangan Si Bereng. Semua orang bersorak,
TUAN PUTERI sangat gembira. SULTAN berdiri, kelihatan begitu terhibur.

SULTAN
Bagus, beta tidak pernah melihat ayam segagah ini. Datuk Bentara, isytiharkan
pemenangnya.

DATUK TEMENGGUNG
Dengan titah perintah Duli Tuanku, diisytiharkan pemenang sabungan ayam kali ini,
ayam Si Bereng kepunyaan putera Raja Di Hilir.

TUAN PUTERI tidak dapat mengawal kegembiraannya lalu berlari mendapatkan


PEKAN.

25
TUAN PUTERI
Kekanda Pekan!

SULTAN dan PERMAISURI hairan.

SULTAN
Anakanda puteri, anakanda dan Raja Di Hilir sudah berkenalan rupanya?

PEKAN
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harapkan diampun. Hukumlah patik
tuanku, patik bukannya putera raja …

TUAN PUTERI
Kanda Pekan!

Semua orang terdiam. SULTAN dan PERMAISURI keliru.

SULTAN
Apakah maksud semuanya ini anakanda?

TUAN PUTERI
Maafkan anakanda, tuanku. Anakanda yang bersalah, menyuruh kekanda Pekan
menyamar sebagai putera raja, untuk memenangi perlawanan ini. Sebenarnya, kekanda
Pekan adalah cucu kepada Nenek pengasuh anakanda …

SULTAN
Anakanda! Sanggup anakanda berbuat cemar dengan menipu ayahanda dan bonda?
Pengawal, bawa mereka berdua ini masuk ke dalam istana.

TUAN PUTERI
Ayahanda, maafkan anakanda ayahanda!

PENGAWAL menghampiri PEKAN dan SELAMAT.

SULTAN (tidak mempedulikan TUAN PUTERI)


Adakan persiapan untuk majlis perkahwinan anakanda beta dan juga putera
kesayangannya ini.

Semua terkejut lalu bersorak. SULTAN terus berangkat diikuti dengan laungan
“DAULAT TUANKU” oleh BENTARA, diikuti oleh orang ramai sebanyak tiga kali.
TUAN PUTERI dan PEKAN sangat gembira.

26
Manakala di gelanggang hanya tinggal RAJA JAYENG INDERA SAKTI dan para
pengikutnya memerhati dengan penuh dendam.

Tirai ditutup.

BABAK 7
RUMAH DUKUN

Ketika tirai dibuka, Pawang Mak Darat sedang membaca menteranya sambil
diperhatikan oleh RAJA JAYENG INDERA SAKTI.

MENTERA
Asap yang putih
jadikan kau bara yang hitam
api yang merah
jadikan kau hati yang hitam
kutepuk hati
kutepuk jantung
kutepuk kalbumu
berkat mentera Pawang Mak Darat
berkat jampi guruku Ayah Pendekar Gunung Hitam
turunlah kau bantu cucumu
Jayeng Indera Sakti
hancurkan jasad Tuan Puteri Mayang Mengurai
musnahkan jasad suaminya si Pekan
Ini seru Pawang Mak Darat
anak Ayah Pendekar Gunung Hitam

Selesai mentera dibacakan, PAWANG MAK DARAT membungkus sesuatu dengan


kain hitam dan memberikannya kepada RAJA JAYENG.

PAWANG MAK DARAT


Tengku, telah patik serapahkan segala ramuan, untuk buatan ke atas musuh yang Tengku
dendam. Tengku tiupkan ramuan ini dari jarak sepelaung, maka akan ternampaklah
kesannya serta-merta. Tapi Tengku mesti waspada, jangan sampai Tengku dilihat orang,
padah yang mendatang.

RAJA JAYENG
Tentang hal itu, janganlah Pawang Mak Darat bimbangkan. Ini habuan buat Pawang
Mak Darat. Sekarang beta berangkat, menghapuskan dendam kesumat.

PAWANG MAK DARAT

27
Ampun Tengku. Tapi satu perkara mesti Tengku ingat, jangan sampai mereka tahu
bahawa penawar santau ini, adalah air di Batu Belah Batu Bertangkup. Sekiranya
penawar mereka perolehi, binasalah pekerjaan Tengku.

RAJA JAYENG INDERA SAKTI tidak mempedulikan pesanan PAWANG. Sambil


ketawa RAJA JAYENG keluar dari rumah PAWANG, bergerak ke hadapan. Ketika
ini pertukaran babak berlaku (straight scene).

RAJA JAYENG
Tuan Puteri Mayang Mengurai, beta belum pernah dimalukan sedemikian rupa di
hadapan ramai. Dendam beta takkan mudah terpadam. Kamu rasakan kemarahan Raja
Jayeng Indera Sakti. Darah raja dimalukan oleh orang biasa.

Kedengaran kompang berbunyi. Tirai ditutup dan di hadapan tirai muncul PEKAN
diiring SELAMAT, MELUR & NENEK KEBAYAN. Mereka disambut tari silat dan
zapin (ini berfungsi sebagai extra turn). Apabila selesai persembahan, tirai dibuka dan
TUAN PUTERI MAYANG MENGURAI sudah siap menunggu diiringi PARA
DAYANG. Kemeriahan majlis perkahwinan.

RAJA JAYENG bersembunyi di satu kawasan untuk meniupkan ramuan sihir itu.
Orang semakin ramai dan majlis semakin meriah. Adat-istiadat berlangsung. TUAN
PUTERI dan PEKAN bersanding. Tidak lama kemudian, DATUK BENDAHARA
tampil membuat pengumuman. Ketika ini RAJA JAYENG meniupkan ramuannya.

DATUK BENDAHARA
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harapkan diampun. Dengan titah
perintah dan limpah perkenan Sultan, dengan berlangsungnya persandingan Tuan Puteri
Mayang Mengurai dan suami baginda, maka diisytiharkan perlantikan Raja Muda …

Belum selesai pengumuman, TUAN PUTERI mengaduh sakit dan terus jatuh
pengsan. PEKAN yang terkejut dan mahu mengangkat TUAN PUTERI, juga jatuh
pengsan. Orang ramai kecoh. PAWANG ISTANA tampil dan memeriksa kedua-
duanya.

PERMAISURI
Wahai Datuk Pawang Diraja, apakah gerangan apakah angkara, hingga begini menimpa
anakanda beta?

PAWANG ISTANA
Ampun patik tuanku Permaisuri. Pada hemat patik, ini bukan sakit sebarangan, ini
angkara khianat orang.

SULTAN
Khianat siapa Datuk Pawang?

28
DATUK PAWANG
Ampun patik Tuanku. Patik kurang periksa.

MELUR
Ampun tuanku, sekiranya tuanku izinkan, mohonlah patik membawa adik patik serta tuan
puteri ke dalam hutan. Patik ingin mengubat mereka di hadapan Batu Belah Batu
Bertangkup. Ampun tuanku.

SULTAN
Kenapa mesti dibawa ke sana Melur?

MELUR
Ampun tuanku, sebelum ibu patik dimakan oleh Batu Belah itu, ibu telah berpesan
kepada patik. Barang berlaku malapetaka ke atas diri patik berdua, datanglah ke situ,
akan ada pertolongan. Ampun Tuanku.

PERMAISURI
Ampun kekanda. Izinkanlah ikhtiar si Melur, manalah tahu penyakit anakanda boleh
diubati.

SULTAN
Baiklah, beta izinkan. Akan tetapi Datuk Pawang Istana juga mesti ikut serta, supaya
membantu sekiranya berlaku angkara. Datuk-Datuk lain silalah berkawal di istana, beta
bimbang ada pengkhianat cuba membuat jahat.

DATUK PAWANG & PARA PEMBESAR


Menjunjung titah Tuanku.

PARA PENGAWAL mengangkat PEKAN dan TUAN PUTERI menggunakan tandu


pengusung. Mereka bergerak menuju ke Batu Belah. RAJA JAYENG kelihatan takut
dan sangat marah. RAJA JAYENG menuruti rombongan itu dari belakang. Tirai
ditutup.

29
BABAK 8
BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Ketika tirai dibuka, rombongan telah sampai di hadapannya dan meletakkan tandu
pengusung di hadapan batu. MELUR tidak tahu hendak berbuat apa tetapi
menghampiri Batu Belah dan berdoa.

MELUR
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Ya Allah Ya
Tuhanku, kau tunjukkanlah jalan untuk memulihkan adikku Pekan dan isterinya Tuan
Puteri Mayang Mengurai. Ibu, Melur datang ibu. Kasihan adik Pekan, sakit terkena
buatan orang. Apakah jalan untuk Melur membantu adik Pekan dan Tuan Puteri ibu.

Kawasan sekitar Batu Belah Batu Bertangkup mula berasap. Semua orang terkejut
dan diam memerhati. Tiba-tiba Batu Belah Batu Bertangkup terbuka dan ada satu
punca asap yang sangat tebal. PENGAWAL menghampirinya tetapi tidak dapat
mendekati kerana mata dan kepala mereka sakit.

SULTAN
Mengapa pengawal?

PENGAWAL
Ampun tuanku. Kami ternampak seperti ada mata air yang mengeluarkan asap di dalam
batu itu Tuanku. Tapi kami tak boleh mendekatinya.

MELUR bangun dan mengangkat sembah kepada SULTAN.

MELUR
Ampun tuanku, izinkan patik mengambil air di dalam gua itu Tuanku.

SULTAN
Silakan Melur, hati-hatilah.

MELUR menghampiri lalu mengambil air dari dalam Batu Belah. Ketika ini RAJA
JAYENG sampai dan bersembunyi, memerhati dari jauh. MELUR membawa air
kepada PEKAN dan TUAN PUTERI lalu menyapukan ke wajah mereka. Tidak berapa
lama, PEKAN dan TUAN PUTERI tersedar.

PERMAISURI
Anakanda puteri!

30
TUAN PUTERI
Bonda, apa yang telah terjadi?

MELUR
Pekan, adikku! Syukurlah kau selamat!

PEKAN
Kenapa kak Melur? Apa yang telah berlaku?

NENEK KEBAYAN
Kau dianiaya orang, cu.

PEKAN
Dianiaya orang? Siapa yang berbuat begitu?

Serta-merta RAJA JAYENG yang sangat marah keluar dari persembunyian, diikuti
oleh DUA ORANG PENGIKUTNYA. DUA PENGIKUTNYA segera menarik
PERMAISURI dan NENEK KEBAYAN untuk dijadikan tebusan. Walaupun Para
Pengawal dan Pembesar bersedia menyerang tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

SULTAN
Apa? Ini semua angkara kamu Raja Jayeng?

RAJA JAYENG
Ya, ini angkara Raja Jayeng Indera Sakti, Tuanku Sultan. Patik lakukan ini kerana kamu
seluruh kerajaan Kerayong memungkiri janji. Mahu mengahwinkan puteri dengan putera,
tetapi orang biasa jadi pilihan. Kau Pekan berdarah hina, hari ini nyawamu akan kuambil.
Jangan sesiapa cuba menahan, kelak seluruh negeri kumandikan dengan darah.

RAJA JAYENG mula menyerang PEKAN. Dalam keadaan lemah, PEKAN cuba
melawan. PARA PEMBESAR melindungi SULTAN dan TUAN PUTERI. RAJA
JAYENG berjaya menjatuhkan PEKAN, dan ketika RAJA JAYENG mahu menikam
PEKAN, MELUR menikamnya dari belakang. RAJA JAYENG mati di situ. DUA
ORANG PENGIKUT RAJA JAYENG meluru kepada RAJA JAYENG dan mereka
ditangkap oleh PENGAWAL.

PEKAN
Kak Melur, kak Melur telah menyelamatkan nyawa Pekan.

MELUR
Adikku Pekan, kita dua-beradik ditinggalkan ibu. Siapa lagi yang harus melindungimu
kalau bukan kakak dik!

31
Suasana sayu. SULTAN tampil.

SULTAN
Dengarlah sini wahai sekalian yang ada. Jadikanlah ini pengajaran sesama kita. Dendam
khianat, akan berbalas derita juga akhirnya. Beta tidak mahu peristiwa ini berulang lagi.
Benarlah kata Datuk Bendahara dahulu, tindakan beta mahu mencarikan jodoh anakanda
beta, kini telah menumpahkan darah. Beta menyesal, maafkanlah beta. Angkatlah mayat
Raja Jayeng, dan hantarkan utusan ke negeri asalnya, ceritakanlah perkara yang sebenar.
Moga tidak berlaku sengketa antara negeri.

Tirai ditutup.

TAMAT

32

Anda mungkin juga menyukai