Anda di halaman 1dari 6

BINCANGKAN SISTEM KELUARGA DAN PERUBAHAN

SOSIAL MASYARAKAT INDIA DI MALAYSIA


1.0 Pengenalan Sistem Keluarga
Institusi keluarga merupakan salah satu unit yang penting dalam sesebuah komuniti ataupun
kelompok masyarakat. Keluarga didefinisikan sebagai sekumpulan manusia pada kebiasaannya
mempunyai persamaan dari segi bahasa, tempat tinggal, corak hidup, budaya dan juga kerjasama
dalam mengukuhkan ekonomi. Institusi keluarga memainkan peranan penting bagi individu
untuk mendapatkan sokongan moral dari segi mental mahupun fizikal untuk meneruskan
kehidupan melalui pembinaan keluarga iaitu perkahwinan.

Sistem keluarga terdiri daripada dua orang atau lebih yang menetap di bawah satu bumbung.
Setiap ahli dalam keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Sebuah keluarga
yang berfungsi dengan baik mampu memberikan sokongan dari segi rohani dan moral antara satu
sama lain. Hal ini bertujuan menyambung zuriat atau keturunan sesuatu keluarga dari satu
generasi ke generasi yang lain.

Selain itu, keluarga menjadi fungsi sosialisasi apabila terdapat keperluan untuk berinteraksi
sesama ahli keluarga. Sebagai contoh, ahli keluarga berbincang tentang masalah yang dihadapi
dalam keluarga seperti masalah pengurusan kewangan keluarga. Melalui perbincangan tersebut
ia dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Sesebuah keluarga itu juga turut
mengamalkan fungsi agama untuk menerapkan nilai-nilai kerohanian. Nilai-nilai kerohanian
tersebut dapat diterapkan dalam bentuk nasihat dan bimbingan daripada golongan lebih tua
supaya dapat membentuk generasi muda yang berperibadi mulia.

Masyarakat India yang menetap di Malaysia berasal dari negara India di mana nenek moyang
mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh koloni British ketika zaman penjajahan British
pada abad ke-19 hingga abad ke-20 untuk menampung keperluan tenaga buruh pada masa
tersebut. Masyarakat India telah datang dari pelbagai pelusuk benua di India. Negara India
terbahagi kepada dua benua iaitu Selatan India, dan Utara India. Kebanyakan masyarakat India
di Malaysia adalah daripada benua Selatan India. Mereka ini adalah masyarakat yang berbangsa
Dravida yang mempunyai pelbagai sub-etnik seperti bangsa Tamil, Malayalam dan Telugu.
Manakala masyarakat India dari benua Utara India pula merupakan golongan yang berbangsa
Indo-Arya yang meliputi sub-etnik seperti bangsa Punjabi, Benggoli, Gujerati, Sindhi, Gurka dan
sebagainya.

Sistem keluarga masyarakat India terbahagi kepada dua kategori iaitu keluarga tradisional dan
keluarga moden. Keluarga moden merupakan sistem keluarga yang wujud selepas kemerdekaan
Tanah Melayu, manakala keluarga tradisional pula merupakan sistem keluarga yang wujud
sebelum kemerdekaan.Sistem keluarga tradisional atau dikenali sebagai joint-family yang
bermaksud keluarga gabungan. Ia merujuk kepada bilangan anggota keluarga yang terdiri
daripada beberapa generasi yang menetap di dalam sebuah rumah. Keluarga tradisional terbentuk
melalui penggabungan anggota keluarga lelaki yang sama keturunan, isteri dan anak-anak
mereka yang masih belum berumah-tangga. Sistem keluarga moden pula dikenali sebagai
nuclear-family yang bermaksud keluarga kecil yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak
mereka sahaja. Sistem keluarga nuklear terbentuk akibat daripada beberapa faktor mengikut
masa dan keadaan yang disebabkan oleh perkembangan ilmu dan perkembangan teknologi.
1.1 Aspek Dalam Sistem Keluarga Masyarakat India
Sistem keluarga masyarakat India dipelihara oleh dua aspek iaitu Ashrama Dharma dan
Prusartha. Aspek Ashrama Dharma mempunyai 4 tahap iaitu Brahmacharya, Grihasta
Vanaprasta dan Sannyasa. Tahap pertama (Brahmacharya) adalah tahap di mana masyarakat
India mempelajari dan mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin pada umur 12 hingga 24
tahun iaitu pada zaman bujang. Pada usia 12 tahun yang pertama menunjukkan tahap
pembelajaran yang biasa dan seterusnya menjadi pembelajaran yang lebih serius pada usia 12
tahun yang seterusnya. Tahap kedua (Grihasta) adalah tahap di mana mereka mula bekerja dan
mencari pasangan untuk berumahtangga. Pada tahap Grihasta, mereka berusia 21 hingga 30
tahun, di mana mereka mula mencari kekayaan sebelum berkahwin iaitu dengan mempunyai
pekerjaan. Tahap ketiga (Vanaprasta) pula merupakan tahap di mana mereka akan memperbaiki
diri dengan bertapa dan berusaha membebaskan diri dari duniawi. Selalunya, pada usia 48
hingga 72 tahun, golongan di tahap ini akan mencapai kearifan dan berupaya memberi nasihat
kepada orang lain. Mereka mula menyelesaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan mula
mendalami agama. Tahap terakhir (Sannyasa) adalah tahap di mana masyarakat India
menyebarkan ilmu yang mereka perolehi kepada masyarakat seperti menjalankan kerja amal dan
menyebarkan agama.

Aspek Prusartha pula mempunyai 4 objektif mulia yang sering diamalkan dalam masyarakat
India iaitu Aram/Dharma, Porul/Artha, Inbam/Karma dan Moksha/Vidu. Objektif pertama iaitu
Aram/Dharma merupakan kepatuhan mereka dalam etika dan moral. Objektif kedua pula,
Porul/Artha adalah mempunyai pekerjaan dan mencari kekayaan dengan cara yang halal.
Objektif ketiga iaitu Inbam/Karma adalah di mana masyarakat India menekankan sikap kasih
sayang serta kepuasan dengan kejayaan atau kekayaan yang dimiliki. Objektif terakhir adalah
Moksha/Vidu adalah kesempurnaan rohani yang dipaparkan apabila mereka berjaya
membebaskan diri dari duniawi.

2.0 Jati Diri Keluarga Tradisional Masyarakat India


Masyarakat India amat berpegang teguh dengan jati diri mereka. Jati diri merupakan nilai-nilai
dalam kehidupan yang dianggap beretika, bermoral dan berperibadi mulia. Terdapat tiga jati diri
yang dipelihara oleh masyarakat India, iaitu jati diri bagi golongan lelaki, golongan wanita dan
golongan remaja.

2.1 Golongan Lelaki (Bapa)


Kehebatan dan keperwiraan golongan lelaki dalam masyarakat India menjadi sanjungan tinggi
oleh masyarakat India. Hal demikian melambangkan seseorang lelaki tersebut mampu
melindungi dan layak menjadi pemimpin dalam keluarga. Golongan ini selalu menjadi harapan
dalam sesebuah keluarga untuk mempertahankan maruah keluarga, bangsa dan tanah air. Mereka
selalunya dipandang tinggi dan dihargai. Dari segi sistem keluarga, golongan lelaki
bertanggungjawab dalam mencari nafkah untuk keluarga, menjaga dan melindungi keluarga,
memberi kebahagian dan menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Mereka juga dilarang
meminati isteri orang kerana ia akan menyebabkan keluarganya mereka akan ditimpa bala.

2.2 Golongan Wanita (Ibu)


Golongan wanita adalah suci dan bersih di mana mereka perlu menjaga maruah diri dengan baik.
Jika mereka tidak dapat memelihara maruah dan harga diri, mereka dianggap menconteng arang

1
ke muka keluarga dan ia merupakan satu penghinaan dalam keluarga mereka. Masyarakat India
sangat menghormati golongan wanita sehingga menganggap Tuhan sebagai ibu iaitu ‘Dewi Ibu’.
wanita yang sudah berkahwin perlulah setia dengan suami. Jika seorang wanita meminati suami
orang adalah sangat keji dan akan dikenakan hukuman kerat hidung ke atas wanita tersebut.
Wanita yang belum berkahwin adalah dibawah tanggungjawab bapanya, tetapi apabila seseorang
wanita itu telah berkahwin maka tanggungjawab itu beralih kepada suaminya pula. Golongan
lelaki amat dituntut untuk menjaga golongan wanita dengan baik sekali. Pada zaman dahulu,
wanita yang bekerja akan dikatakan kurang baik. Jadi, ramai antara mereka hanya menjadi suri
rumah sepenuh masa yang menjaga rumah, menyediakan makanan, membesarkan anak-anak,
dan menjaga keperluan suami.

2.3 Golongan Remaja (Anak)


Seorang anak perlu menghormati ibu bapanya. Masyarakat India berpendapat pegangan agama
yang kuat tidak membuktikan seseorang anak itu sangat menghormati ibu bapanya. Jika amalan
agamanya tinggi, tetapi tidak menghormati ibu bapa, ianya dianggap tidak memberi sebarang
makna. Anak-anak dari masyarakat India sering meng-umpamakan ibu bapa sebagai Tuhan yang
dikatakan ada bersama manusia secara fizikal. Remaja atau anak-anak masyarakat India dididik
supaya mempunyai rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain terutama terhadap
golongan lebih tua iaitu mempunyai hubungan yang erat dengan datuk dan nenek mereka. Nilai-
nilai kebaikan ini diamalkan sepanjang kehidupan.

3.0 Faktor-faktor Perubahan Sistem Keluarga


Terdapat dua faktor berlakunya perubahan dalam sistem keluarga masyarakat India iaitu faktor
urbanisasi dan faktor industrialisasi. Faktor urbanisasi dalam sistem keluarga adalah faktor yang
menyebabkan berlaku perubahan dari segi pembandaran. Pembandaran yang berlaku
menyebabkan ramai masyarakat India mula berpindah dari kawasan luar bandar ke bandar, iaitu
dari kawasan ladang atau estet ke kawasan bandar.

Faktor industrialisasi pula merupakan tempoh atau jangka masa berlakunya perubahan dari segi
sosial dan ekonomi. Perubahan-perubahan tersebut telah menyebabkan penghijrahan masyarakat
India dari sektor pertanian tradisional kepada industri pertanian.

4.0 Perubahan Sosial Masyarakat India di Malaysia


4.1 Perkahwinan
Perkahwinan dalam masyarakat India merupakan perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga.
Perkahwinan ditentukan oleh ahli yang paling tua iaitu ibu bapa mereka. Pasangan bagi
pengantin ditentukan melalui beberapa aspek seperti kasta, latar belakang keluarga, darjat
keluarga, astrologi (tarikh lahir), ekonomi keluarga, dan juga pemberian dowri juga diambil kira
dalam sesebuah perkahwinan masyarakat India. Wanita yang telah berkahwin akan tinggal
bersama keluarga suaminya dan bertanggunjawab untuk menjaga ahli keluarga suaminya. Sistem
perkahwinan ini tidak ada istilah percintaan sebelum berkahwin di mana jodoh mereka
ditetapkan oleh ibu bapa mereka dan biasanya tidak boleh ditentang keputusan tersebut.
Masyarakat India amat mementingkan amalan kasta atau jati. Hal ini kerana, sistem kasta dan
pecahannya melambangkan status sosial seseorang. Jadi, perkahwinan berlainan kasta adalah
tidak dibenarkan.

Dalam perkahwinan masyarakat India, pemberian dowri adalah wajib diberi kepada pihak lelaki
dari pihak perempuan. Pemberian dowri adalah sebagai penghargaan. Masyarakat India percaya

2
bahawa identiti keluarga mereka dapat dijaga melalui perkahwinan yang diatur dan ia dapat
mengukuhkan pertalian persaudaraan, memelihara status keluarga dan menjaga maruah keluarga
sesama kasta.

Namun begitu, perkahwinan melalui pilihan sendiri adalah satu sebab yang menyebabkan sistem
keluarga gabungan semakin berkurang. Hal ini kerana, peranan ibu bapa dalam menentukan
perkahwinan anak mereka semakin kurang diamalkan. Anak-anak pada masa kini lebih
cenderung untuk memilih sendiri jodoh yang mereka inginkan. Pilihan pasangan berlainan kasta
masih tidak menjadi kebiasaan masyarakat India. Tetapi, terdapat juga segelintir masyarakat
India yang boleh menerima perkahwinan yang berlainan kasta. Disebabkan hal itu, pemberian
dowri kurang ditekankan untuk menentukan kemampuan pasangan tersebut untuk berumah
tangga. Pemberian dowri tidak lagi menjadi satu kewajipan, tetapi ianya bergantung kepada
kemampuan dan keupayaan pasangan tersebut.

Masyarakat India semakin mendapat pendedahan tentang dunia luar dan bercampur dengan
pelbagai etnik lain. Malah, terdapat juga perkahwinan campur iaitu masyarakat India yang
berkahwin dengan etnik yang lain. Selain itu, faktor urbanisasi juga telah menyebabkan ramai
masyarakat India mengadakan perkahwinan mereka di dewan. Ia agak sukar untuk diadakan di
rumah mereka kerana ada yang tinggal di kawasan perumahan pangsapuri, kondominium atau
sebagainya, mengalami kesukaran untuk mendirikan khemah. Mereka juga terpengaruh dengan
kecanggihan teknologi pada masa kini iaitu perkahwinan masyarakat India tidak lagi
menjalankan upacara perkahwinan secara sepenuhnya dan hanya menjalankan upacara penting
sahaja dan ianya diselitkan dengan elemen-elemen modesisasi seperti terdapat tema dalam majlis
resepsi perkahwinan mereka.

4.2 Adat Resam


Amalan nilai murni dalam masyarakat India di Malaysia adalah sangat penting. Nilai murni dan
moral yang tinggi didapati dari pelbagai aspek dalam kehidupan. Contohnya, golongan lebih tua
mendidik golongan muda cara hidup dengan agama. Pada zaman sebelum kemerdekaan,
keluarga besar atau keluarga gabungan yang tinggal bersama membolehkan generasi tua
mengawal sikap generasi muda dari segi tutur kata yang baik. Datuk dan nenek dalam keluarga
tersebut akan bercerita tentang kehidupan mereka disamping untuk menyampaikan nilai-nilai
moral berdasarkan cerita tersebut. Sekiranya, terdapat salah laku yang berlaku, golongan lebih
tua ini mampu untuk memberi teguran dan ianya dapat diperbaiki dan diajarkan untuk generasi
seterusnya. Antaranya adalah sikap menghormati dan kasih sayang sesama keluarga sangat
diterapkan kepada anak-anak mereka supaya mereka boleh saling membantu dan tolong-
menolong antara satu sama lain jika terdapat masalah. Sekiranya, terdapat masalah yang rumit,
mereka akan sentiasa merujuk dan mendapatkan nasihat dari ketua keluarga sebelum membuat
sebarang keputusan.

Namun selepas kemerdekaan iaitu ramai masyarakat India yang berpindah ke bandar dan tinggal
dengan keluarga yang lebih kecil membuatkan golongan wanita memainkan peranan dengan
lebih rancak. Contohnya seperti mereka tidak lagi bergantung kepada nasihat atau keputusan dari
golongan lelaki. Golongan wanita menjadi lebih berpengetahuan untuk membuat sesuatu
keputusan. Manakala, dari segi pengagihan kuasa pula, golongan lelaki telah berkurang autoriti
kerana golongan wanita yang semakin berpengetahuan.

4.3 Pendidikan

3
Pendidikan adalah sangat penting dan merupakan salah satu asas untuk melahirkan masyarakat
dan negara yang lebih baik. Golongan wanita dalam masyarakat India telah ditindas dalam
mendapatkan pendidikan formal. Mereka hanya bergantung sepenuhnya terhadap golongan lelaki
dalam setiap perkara. Hal demikian menyebabkan mereka tidak dapat membaiki taraf hidup
mereka disebabkan tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan.
Golongan wanita selalunya tidak berpeluang mendapat pendidikan formal kerana pendapat kuno
yang tidak menitikberatkan pelajaran golongan wanita di mana mereka tidak berfikir mereka
tidak perlu membelanjakan wang untuk pelajaran golongan wanita kerana akhirnya golongan
wanita hanya akan berkhidmat untuk keluarga.

Perubahan sosial yang berlaku disebabkan faktor urbanisasi dan industrialisasi menyebabkan
beberapa aspek utama diperbaharui seperti dalam sistem pendidikan dalam kalangan masyarakat
India. Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan dikuatkuasakan kepada semua ahli keluarga
termasuk golongan perempuan. Hal ini adalah utnuk memastikan golongan wanita mempunyai
keupayaan dan kemahiran yang sama dengan golongan lelaki untuk turut sama-sama
menyumbang kepada keluarga. Oleh itu, golongan wanita mula diberi pengiktirafan dan
mendapat peluang dalam pendidikan yang lebih tinggi dan melibatkan diri dalam sektor
perkhidmatan.

4.4 Ekonomi
Sistem ekonomi bagi masyarakat India adalah berpandukan pekerjaan yang diwarisi secara
turun-temurun. Amalan ini sangat aktif diamalkan terutamanya dalam sistem keluarga gabungan.
Sebagai contoh, jika seorang bapa bekerja sebagai tukang kasut maka anak serta cucunya akan
mewarisi pekerjaan tersebut. Kemahiran tersebut akan diturunkan kepada anak serta cucunya.
Manakala, jika seorang bapa bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat maka anak serta
cucunya akan mewarisi pekerjaan tersebut. Oleh itu, harta dan kekayaan yang dimiliki keluarga
tersebut didapati secara kolektif yang dikumpul secara keseluruhan dan ianya dibahagikan secara
sama rata. Pembahagian tersebut termasuklah perbelanjaan anak-anak, pembelian peralatan,
perbelanjaan ubah suai rumah, dan lain-lain akan dikongsi bersama supaya dapat meringankan
beban kos tanggungan sekeluarga. Pembahagian harta dalam keluarga masyarakat India
merupakan satu kelemahan apabila ianya hanya dibahagikan sesama anak lelaki dan anak
perempuan tidak mempunyai hak ke atas harta tersebut. Hal ini kerana mereka berpendapat
bahawa anak perempuan mereka dikatakan tidak lagi menjadi sebahagian dari keluarga asalnya
apabila mereka sudah berkahwin kelak. Jika mereka diberi harta, maka ia dianggap seperti
memberi sebahagian harta kepada keluarga yang lain.

Keadaan ekonomi masyarakat India mula diberi nafas baru ketika zaman selepas kemerdekaan
kesan daripada faktor industrialisasi. Ia telah memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat
India yang mampu berhijrah ke bandar. Kesan daripada penghijrahan tersebut, keluarga nuklear
mula terbentuk. Mereka tidak lagi bergantung kepada perniagaan atau pekerjaan turun-temurun
yang telah diwarisi daripada keluarga mereka. Masyarakat India lebih berdikari dan mencorak
kehidupan masing-masing di bandar. Sebelum kemederkaan, peluang pekerjaan yang ditawarkan
adalah terhad dan berbeza mengikut tahap kemahiran yang mereka miliki. Jadi, mereka tidak lagi
mengamalkan pekerjaan yang diwarisi secara turun-temurun.

Namun begitu, pekerjaan yang dilakukan tidaklah memadai untuk menampung kos perbelanjaan
seharian di bandar. Oleh itu, golongan wanita juga turut tampil membantu suami mereka dengan
bekerja demi mencari pendapatan sampingan untuk menampung keperluan keluarga. Keadaan ini

4
menunjukkan bahawa isteri tidak lagi hanya bergantung kepada suami untuk mencari nafkah atau
pendapatan kerana mereka juga mampu untuk bekerja. Pengagihan pendapatan pula adalah sama
rata antara suami dan isteri.

5.0 Kesimpulan
Keluarga gabungan atau joint-family, dan keluarga nuklear dalam masyarakat India di Malaysia
telah menghadapi pelbagai perubahan yang menunjukkan beberapa ciri yang ketara dilihat pada
masa kini. Antara perubahan yang ketara adalah disebabkan pengaruh budaya luar, kepelbagaian
kaum di Malaysia, kecanggihan teknologi, perkembangan pendidikan, cara hidup dan nilai murni
dalam masyarakat India. Selain itu, peranan golongan wanita yang berubah dalam sistem
keluarga juga menyumbang kepada perubahan sosial masyarakat India di Malaysia. Sukar
dinafikan, ramai masyarakat India yang lebih selesa dengan sistem keluarga moden kerana
mempunyai lebih privasi dan kebebasan dalam membuat keputusan. Namun demikian, sistem
tradisi keluarga masyarakat tetap perlu dipertahankan supaya cara hidup lebih harmoni dan dapat
diterima oleh masyarakat bersesuaian dengan peredaran zaman.

Rujukan

M. (2008). Masyarakat India -. 076115tamadun.blogspot.my. Retrieved from


http://076115tamadun.blogspot.my/2008/04/tamadun-india-masyarakat-dan-budaya.html
Abdul Latiff Abu Bakar. (2012). Jati diri dan patriotisme (pp. 151-172). Tanjong Malim, Perak:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Adat Resam Dan Kebudayaan Kaum India. Scribd. Retrieved from
https://www.scribd.com/doc/31193652/Adat-Resam-Dan-Kebudayaan-Kaum-
India#scribd
Bab 13: Organisasi Keluarga. norafidahbpsrt. Retrieved from
https://norafidahbpsrt.wordpress.com/galeri-informasi-ert-bab-1-16/bab-13-organisasi-
keluarga/
Halid, N. (2002). Masyarakat India di Malaysia. Pmr.penerangan.gov.my. Retrieved from
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/3243-masyarakat-india-di-
malaysia.html
Mohd. Saleeh Rahamad, Rozlan Mohamed Noor, Zulkifli Jamaasim, & Enchelah Rajadewa.
Sastera teras negara bangsa.
SISTEM KEKELUARGAAN DAN MASYARAKAT TAMADUN INDIA. prezi.com. Retrieved from
https://prezi.com/h8qatwsmximu/sistem-kekeluargaan-dan-masyarakat-tamadun-india/

Anda mungkin juga menyukai