Anda di halaman 1dari 3

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL MENANGANI CABARAN PENGGUNAAN PLC

DALAM KALANGAN GURU SEKOLAH RENDAH

ABSTRAK

1.0 PENGENALAN

Perkembangan yang pesat dalam bidang Pendidikan berlaku di seluruh dunia termasuklah
negara kita, Malaysia. Setiap negara berlumba-lumba dalam merangka pelbagai kaedah dan
program bagi meningkatkan kualiti Pendidikan supaya berdaya saing di peringkat global.
Tidak terkecuali dengan negara kita yang mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
sebagai peneraju bidang Pendidikan secara rasmi telah menggubal pelbagai program yang
bertujuan untuk meningkatkan kualiti Pendidikan dan meletakkan Pendidikan di Malaysia
setaraf dengan negara-negara maju yang lain di persada dunia.

Dapatan dari ‘Trends in International Mathematics and Science Study’ (TIMMS) 2011
menunjukkan prestasi murid Malaysia menurun ke tahap di bawah purata antarabangsa bagi
Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan negara berbanding dapatan
tahun 1999. Lebih kritikal lagi, 35% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran
minimum dalam Matematik dan 38% dalam Sains. Murid ini dikenal pasti memiliki
penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad. Data dari ‘Programme for
International Student Assessment’ (PISA) menunjukkan Malaysia juga berada di bawah
purata antarabangsa dengan menghuni tangga ke 54 dalam bidang bacaan, tangga 57 dalam
bidang Matematik dan tangga 52 dalam bidang Sains, (PISA 2009).

Ini memaksa pihak KPM merangka suatu program pembangunan baharu iaitu Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan dengan rasminya
pada 6 September 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur oleh Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Pendidikan ketika itu iaitu YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md Yasin.
Dalam PPPM 2013-2025, terdapat sebelas anjakan utama transformasi sistem yang dibentuk
bertujuan untuk membuat penambahbaikan sistem pendidikan negara. Aspek ‘Professional
learning Committee’ (PLC) diberikan penekanan utama menerusi elemen penglibatan dan
kerjasama pihak sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta badan lain secara meluas.
Menerusi anjakan ke-sembilan dalam PPPM 2013-2025, hasrat KPM adalah selari dengan
amalan PLC iaitu amalan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan bagi memperoleh
kesan dapatan jangka panjang (KPM, 2019; DuFour, 2001).

Hord (2004) telah mendefinisikan PLC sebagai komuniti profesional yang belajar. Hal ini
bermaksud, guru di sekolah serta para pentadbir pengurusan sekolah perlu sentiasa mencari
dan berkongsi apa sahaja kaedah atau pendekatan yang berkaitan dengan pembelajaran guru.
Guru perlu belajar ilmu mengajar yang baru atau memberi tambah nilai kepada corak
pengajaran lama bagi menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan dan berkualiti. Dalam
hal ini, guru perlu mencari ilmu mengajar secara konsisten, dikongsi bersama-sama serta
diamalkan agar murid memperoleh manfaat (Barth, 2006). Walau bagaimanapun, menurut
Stoll et al. (2006) tidak ada definisi yang universal untuk menggambarkan PLC. Stoll
menganggap bahawa PLC diterjemahkan dalam pelbagai definisi mengikut konteks
pelaksanaannya. Namun begitu, Stoll et al. (2006) bersetuju dengan pandangan beberapa
orang pengkaji PLC seperti Mitchel dan Sackney (2001), Toole dan Louis (2002) serta King
dan Newman (2001) bahawa PLC ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia yang berkongsi
dan berbincang secara berterusan tentang amalan pengajaran mereka secara berterusan,
sentiasa reflektif, bekerjasama, berorientasikan pembelajaran dan sentiasa berusaha untuk
memajukan diri (Dima Mazlina@Siti Aishah Bt. Abu Bakar & Abdul Rashid B. Jamian,
2016).
Dalam konteks pendidikan di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
mendefinisikan PLC sebagai komuniti sekolah yang bersama-sama berusaha secara
profesional melakukan penambahbaikan pembelajaran murid melalui lima ciri yang telah
dibangunkan oleh Hord (2004) iaitu perkongsian dan sokongan kepimpinan, perkongsian
nilai, misi dan visi, pembelajaran secara kolektif dan aplikasi, keadaan persekitaran yang
menyokong dan perkongsian amalan individu (Dima Mazlina@Siti Aishah Bt. Abu Bakar &
Abdul Rashid B. Jamian, 2021).

PLC dilihat sebagai satu kaedah terbaik bagi memperbaiki serta mempertingkatkan kebolehan
guru dalam melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas secara
bersemuka mahupun ketika Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) dan sekaligus
meningkatkan kualiti Pendidikan negara ke tahap yang lebih baik. Melalui PLC, perkongsian
ilmu dapat dilaksanakan dalam kumpulan sasar yang lebih kecil supaya proses pembelajaran
dan perkongsian guru ini dapat berlaku dalam suasana yang kondusif. Namun begitu, umum
mengetahui bahawa pelaksanaan PLC kadangkala diambil mudah oleh segelintir guru. Ini
mendorong pelbagai kajian tempatan dan antarabangsa untuk mengiktiraf PLC sebagai satu
amalan yang baik untuk perkembangan profesional guru (Groskey & Gamron, 2010; Botha,
2012); Vescio, Ross & Adam, 2008; Tan & Caleon, 2016; Lieberman & Miller, 2011; Hairon
& Dimmock, 2012; Khalid, Joyes, Ellison & Daud, 2014; Ismail, Ghani & Abdullah, 2014;
Zheng, Yin, Liu & Ke, 2016) kerana ia memupuk idea inovatif (Cornelius, 2011) dan
meneroka kaedah pengajaran terbaik untuk pembelajaran pelajar (Muhammad Hayat Khan, et
all, 2021).

Dasar PLC memberi ruang kepada sekumpulan guru secara profesional berkongsi
pengalaman dan kepakaran untuk mempertingkatkan kemahiran pengajaran dalam usaha
meningkatkan pencapaian pelajar (Amin, 2018). Amalan perkongsian secara kolaboratif akan
dapat mengubah budaya guru dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan amalan
kolaboratif ini perlu berlaku secara berterusan untuk meningkatkan profesionalisme guru
sepanjang perkhidmatan (Zanaton H Iksan, et all, 2021).

Anda mungkin juga menyukai